“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal” [Ali ‘Imran 190]
Tuesday, December 14, 2010
Dakwah
Dengan nama Allah aku mulai tulisanku ini. Semoga apa yang ku tulis mendapat keredhaanNya.
Tulisanku kali ini sekadar menzahirkan rasa hatiku, betapa aku telah meletakkan satu cita-cita dan juga harapan di dalam sanubariku bahawa biarlah keterlibatanku di dalam blog dan facebook adalah untuk mendapatkan keredhaan AIlah. Juga sebagai satu saluran dakwah.
Erti dakwah sebagaimana yang ku dapati daripada Hidayatul Mursyidin tulisan Syeikh Ali Makhfuz ialah: Mendorong manusia agar membuat kebaikan dan menuruti petunjuk, memerintah mereka memperbuat kebajikan, dan melarang mereka daripada perbuatan mungkar, agar mereka mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
Yang mana berdakwah itu merupakan satu perjuangan hidup untuk menjunjung tinggi undang-undang Ilahi dalam seluruh aspek kehidupan manusia dan masyarakat, sehingga ajaran Islam menjadi sibghah (celupan) yang mendasari, menjiwai dan mewarnai seluruh sikap dan tingkahlaku manusia dalam kehidupan dan pergaulan hidupnya.
Dakwah, sesuatu yang tidak asing dalam ajaran Islam tetapi asing di sudut penghayatan umat Islam hari ini. Dakwah, satu tugas yang mulia tetapi ramai orang yang rasa kurang selesa apabila ada orang yang ingin berdakwah kepada mereka, apatah lagi untuk mereka berdakwah kepada orang lain.
Namun Nabi kita telah meletakkan satu harapan yang besar kepada umatnya supaya berdakwah. Ingatlah Sabda Baginda yang bermaksud, “Sampaikanlah daripada aku ini walaupun dengan satu ayat”.
Bolehlah kita fahami dari maksud kata-kata ini ialah supaya kita semua berdakwah (menyebarkan Islam) mengikut kemampuan yang kita ada.
Aku rasa rugi sekiranya kita semua tidak menjadikan facebook dan blog kita sebagai satu landasan untuk mendapatkan keredhaan Allah. Bukankah kita semua menghabiskan banyak masa kita di situ.
Marilah sama-sama kita mendidik hati kita supaya rasa selesa dengan dakwah, terutama sekali dengan ajaran Islam itu sendiri.
Wallahua’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment