Pages

Monday, December 6, 2010

Perasaan Rendah Diri


Perasaan rendah diri. Satu perasaan yang tertanam di dalam diri seseorang. Merasakan diri mereka serba kurang, tidak berkebolehan, rasa sukar untuk masuk ke dalam kumpulan ramai. Rasa berat untuk memberikan sesuatu pandangan, takut tidak diterima oleh orang lain.

Perasaan rendah diri tersemat di dalam diri seseorang tanpa diundang. Biasanya sejak alam kanak-kanak lagi. Perasaan ini akan menjadikan seseorang itu terhalang untuk maju, ketinggalan dalam persaingan disebabkan merasakan dirinya tidak berkebolehan, kurang yakin kepada diri sendiri.

Perasaan rendah diri menyebabkan seseorang itu menjadi mudah tertekan, suka memendam perasaan, amat sensitif dan perasaannya mudah tersentuh walaupun hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang remeh temeh.

Perasaan rendah diri atau tidak ada keyakinan diri telah memusnahkan kehidupan ramai orang. Perasaan ini boleh menjadikan seseorang itu mengalami stress atau tertekan, disebabkan tidak mampu menanggung bebanan fikiran atau masalah yang dihadapi.

Seseorang yang telah terperangkap di dalam situasi begini seharusnya mencuba untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Mereka perlu berusaha membina kekuatan dalaman. Berusaha untuk mengenalpasti kelemahan diri dan menerimanya sebagai takdir Ilahi. Cubalah untuk mengikisnya sedikit demi sedikit.

Di samping itu hendaklah berusaha memupuk sifat-sifat positif di dalam diri. Banyak berdoa kepada Allah swt., bermohon agar Allah memberikan kekuatan.

Sayangilah diri sendiri. Redhalah dengan apa yang Allah telah takdirkan untuk diri kita. Sedarlah, orang lain ramai lagi yang tidak miliki seperti apa yang ada pada kita.

Carilah sahabat-sahabat yang baik dan boleh dipercayai. Luahkan perasaan kepada mereka dan mintalah pandangan dan nasihat daripada mereka. Di sekeliling kita masih terdapat ramai lagi orang yang baik-baik dan bersedia untuk menolong kita.

Lihatlah orang yang telah berjaya. Apakah sifat-sifat yang mereka miliki. Cubalah untuk mengikut sifat-sifat yang baik yang ada pada mereka.

Yang penting kita perlu berusaha untuk mengatasi masalah tadi kerana kita perlu kuat semangat dan mempunyai ketahanan untuk menghadapi liku-liku hidup yang masih jauh yang berada di hadapan kita.

Sekadar renungan....semoga ianya bermenafaat untuk kita bersama. Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment