Pages

Saturday, September 21, 2013

Hidayah Lailatul Qadar

September 22, 2013 at 12:49 pm

Penghujung tahun 2011, saudara Jamuddin Lorrie (Najmuddin) menghubungi saya, memberitahu ada 11 orang berminat memeluk Islam. Saya bertanya, bagaimana mereka boleh tertarik?

Najmuddin menjelaskan, “Semasa saya sedang telefon ustaz tadi, orang itu terdengar saya sebut perkataan masuk Islam. Sebab itu dia tanya saya, bolehkah kalau saya mahu masuk Islam. Kami 11 orang satu keluarga.”

Benar, sebelum itu ada saudara Najmuddin menghubungi saya, memberitahu beberapa orang yang telah kami ziarahi sebelum ini telah bersedia memeluk Islam.

Ziarah pertama
Ziarah pertama


Sejak itu, kami berziarah ke rumah Encik Linaun, bertemu dengan beliau dan ahli keluarganya. Anaknya ada 14 orang. Ada yang beristeri dua. Cucunya berpuluh-puluh.

Beliau tinggal di Kampung Lotong, Sapulut, bersebelahan dengan Kampung Padang, tempat terletaknya Masjid As-Syahadah.

Anak cucu Aman Linaun
Anak cucu Aman Linaun


Dalam ziarah pertama, Encik Linaun memberitahu, “Kami akan masuk Islam beramai-ramai, 65 orang semuanya, termasuk anak, menantu dan cucu-cucu saya, tapi tunggu kami berbincang dahulu.”

Ketika itu saya belum mengenali beliau dari dekat. Hanya dating, bertegur sapa dan bercerita hal keluarga, selain mengagih kotak-kotak pakaian yang dibekalkan Puan Zubaidah Sulaiman, Pensyarah di IPG Gaya, Kota Kinabalu.

Berkali-kali kami ziarahi beliau dan keluarganya, masih juga belum bersedia memeluk Islam. Lebih lagi saya tidak pernah bertanya, “Bila kamu mahu Islam?”

Setelah lebih setahun mendekati beliau, barulah beliau bercerita berkenaan agama anutannya. Rupanya beliau adalah bekas Pengerusi Gereja di situ. Beliau pernah menjadi pengerusi di gereja lain juga sebelum itu.

Dalam pertemuan itu, beliau bertanya tentang konsep ketuhanan di dalam Islam berbanding trinity yang dipercayainya selama ini.

Mula berjinak dengan Al Quran
Mula berjinak dengan Al Quran


Saya tunjukkan terjemahan Surah Al Ikhlas kepadanya.

“Allah itu Esa, bukan dua atau tiga. Dia tempat semua makhluk meminta pertolongan.” Saya mula menerangkan kepadanya.

Encik Linaun mendengar penuh minat, sementara ahli keluarganya sibuk memilih pakaian yang kami bawa.

“Allah itu tidak beranak, dan Dia juga tidak diperanakkan…” sambung saya.

“Allah itu tidak sama seperti makhluknya. Tidak menyerupai sesuatu, kerana apa yang kita lihat sekarang ini, sungai, bukit, gunung dan semua ini, semua Allah yang cipta.”

Encik Linaun meminta, “Bolehkah kamu bagi saya Al Quran ini?”

“Ya! Ini untuk kamu.” Saya hulurkan terjemahan al Quran itu kepadanya. Sudah nampak sinar hidayah dihatinya.

“Sekarang sudah bertambah 25% keyakinan saya.” Ujar Linaun.

Sejak itu beliau selalu membaca terjemahan Al Quran, dibandingnya dengan kitab pegangan sebelum ini.  Akhirnya beliau tekad untuk memeluk Islam.

Mengucap dua kalimah syahadah
Mengucap dua kalimah syahadah


Pada 27 Ramadhan 1434H, bersamaan 5 Ogos 2013, beliau mengucap dua kalimah syahadah di Masjid As-Syahadah, Kampung Padang, sebagai insan ke 203 memeluk Islam sepanjang saya berdakwah di pedalaman Sabah sejak dua tahun lalu.

Namanya kini Muhammad Usman. Syahadahnya dipimpin saudara Awang Jaafar yang pernah mengikut saya menziarahinya sebelum ini.

1 Syawal, hari raya ‘Idil Fitri, isteri dan 3 orang cucunya pula memeluk Islam.

Isteri dan cucunya memeluk Islam
Isteri dan cucunya memeluk Islam


Insan ini menjadi motivasi untuk saya terus berdakwah di pedalaman Pensiangan.

Oleh kerana berkali-kali kami ziarah, beliau masih belum memeluk Islam, mendorong saya terus terusan mendekati beliau, hingga terbuka hatinya untuk Islam.


Dari mula mengenalinya hingga saat beliau mengucap syahadah memakan masa 1 tahun 6 bulan 18 hari.


Kini beliau aktif berdakwah terutama kepada ahli keluarganya. Berita yang baru diterima, tiga lagi anaknya akan memeluk Islam minggu ini, insyaAllah.


محمد فضلي بن يوسف
22 Sept 2013

Sumber: https://www.facebook.com/mfadli11

No comments:

Post a Comment