Pages

Thursday, September 12, 2013

Isu minyak: “It takes two to tango”




petronas
 


Kenaikan harga minyak petrol dan diesel minggu lepas telah menimbulkan pelbagai jenis reaksi kepada rakyat Malaysia.[i] Begitu ramai pihak yang telah memberikan komentar sama ada ahli politik, tokoh negarawan, mahupun golongan agamawan. Rakyat pada masa yang sama nampaknya tertekan dengan perkara ini dengan begitu banyak komentar negatif di laman-laman sosial.

Amat sukar untuk berbicara tentang masalah minyak di Malaysia tanpa mengaitkannya dengan isu-isu lain – masalah inflasi, pendapatan isi rumah yang rendah, pengangkutan awam, bebanan hutang negara dan sebagainya. Apabila harga minyak naik, maka dijangkakan bahawa inflasi (kenaikan harga barang) akan berlaku dan seterusnya membebankan rakyat. 

Namun pada masa yang sama, sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah menaikkan harga minyak tersebut, kerajaan kita mungkin terpaksa berdepan dengan masalah lain yang lebih hebat – penilaian ‘rating’ yang rendah oleh penilai bebas seperti Fitch Rating.[ii] Masalah ini seterusnya akan memberikan kesan negatif kepada pelaburan dalam negara yang akhirnya bakal membantutkan perkembangan ekonomi negara dan seterusnya kedudukan ekonomi isi rumah.

Amat penting sebenarnya untuk mendidik rakyat agar faham tentang asas-asas pengetahuan ekonomi agar rakyat tidak terlalu mudah untuk menerima bulat-bulat sebarang maklumat daripada pelbagai pihak. Artikel ini berminat untuk memberikan gambaran secara menyeluruh masalah isu minyak di Malaysia agar rakyat lebih peka tentang apa yang berlaku dan cakna tentang tindakan yang sebaiknya dilakukan.

Harga minyak dunia dan subsidi kerajaan

Jika ingin dibincangkan tentang penentuan harga minyak dunia, agak sukar di sini kerana begitu banyak perkara untuk dijelaskan. Tidak dapat dinafikan bahawa ada beberapa isu dalam penentuan harga minyak dunia, namun apa yang penting untuk difahami adalah kerajaan tidak berkuasa untuk menentukan harga pasaran minyak dunia.

Malaysia adalah antara negara yang memberikan subsidi minyak kepada rakyat. Kerajaan menetapkan harga pasaran tempatan bagi petrol dan diesel. Maka perbezaan harga minyak dunia dan harga minyak dalam negara tersebut ditanggung oleh pihak kerajaan. Dianggarkan kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak 6.19 billion ringgit (US$ 1.98 billion) untuk subsidi minyak pada tahun 2009. Kerajaan membelanjakan lebih daripada 10% daripada perbelanjaan operasi negara saban tahun.[iii] Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan bahawa Malaysia membelanjakan lebih daripada 24 billion ringgit setahun untuk subsidi bahan bakar.[iv]Jika harga pasaran dunia meningkat (dan dijangkakan akan terus meningkat secara signifikan lebih-lebih lagi kerana krisis di Timur Tengah), maka kerajaan akan menanggung lebih banyak kos subsidi. Ini adalah satu perkara yang tidak sihat memandangkan kedudukan kewangan negara berada pada kadar yang tidak kuat. Ini telah pun dijangkakan untuk berlaku tahun sebelumnya oleh beberapa pihak.[v]

Kedudukan kewangan negara

Rakyat perlu menyedari hakikat bahawa sumber kewangan kerajaan (terutamanya Malaysia) tidaklah begitu banyak. Selain daripada pelbagai cukai yang dikutip, kerajaan juga mendapatkan sumber kewangan dengan menjual bon kerajaan. Hakikatnya jualan bon ini merupakan pinjaman pihak swasta mahupun am kepada pihak kerajaan. Kedudukan kewangan Malaysia hari ini terletak pada kadar defisit buat belasan tahun. Dengan kedudukan defisit yang bertambah inilah menyebabkan pihak penilaian bebas Fitch telah meletakkan unjuran (outlook) negatif dari stabil di mana jika tiada perubahan dilakukan dalam tempoh masa tertentu, unjuran kredit Malaysia mungkin akan di ubah kepada gred yang lebih rendah daripada sekarang. (walaupun perkara ini disangkal oleh beberapa pihak kerana pada masa yang sama perkembangan ekonomi Malaysia berlaku dengan sihat).

Bagi mengelakkan penilaian rendah oleh Fitch Rating, maka pihak kerajaan terpaksa mengurangkan kos perbelanjaan dan berusaha meningkatkan pendapatan kerajaan. Oleh kerana kos subsidi minyak adalah antara kos yang paling besar dalam perbelanjaan kerajaan (lebih-lebih lagi dengan harga minyak dunia yang meningkat), maka sudah tentulah tindakan mengurangkan subsidi dengan menaikkan harga minyak tempatan adalah satu tindakan yang sukar untuk dielakkan. Bukan setakat itu, tindakan mengawal subsidi kerajaan ini juga sebenarnya adalah tindakan yang telah dilewatkan daripada beberapa tahun yang lalu.

Rakyat pula sekiranya benar-benar mahukan juga subsidi diberikan, maka kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan perbelanjaan dalam hal-hal lain yang penting untuk rakyat seperti pendidikan dan kesihatan. Oleh itu semua pihak perlu menjadi lebih rasional dalam isu kritikal seperti ini.

Kenaikan harga minyak membebankan

Tidak dapat tidak kenaikan harga minyak sudah pastinya akan memberikan kesan kepada harga barangan tempatan. Kadar inflasi yang pada asalnya sudah meningkat sebanyak 2% pada bulan Julai laludianggarkan pula untuk meningkat sebanyak 0.2% kepada 2.2%untuk tahun 2013 oleh pakar ekonomi AmBank Group. Angka ini akan menjadi lebih besar pada tahun akan datang dengan jangkaan sebanyak 3.5 hingga 4%.[vi]
Tidak dapat dinafikan bahawa selain daripada kos minyak sendiri yang meningkat, rakyat juga terpaksa menanggung beban harga barangan yang meningkat. Terutamanya di Malaysia, dengan pendapatan isi rumah yang tidak meningkat dengan banyaknya saban tahun sudah tentu memberikan kesan yang besar kepada rakyat Malaysia terutamanya para penduduk di kawasan bandar.

Maka moleklah untuk dikatakan bahawa sebenarnya isu yang disuarakan oleh rakyat adalah masalah kewangan dan kesempitan hidup dan bukannya masalah harga minyak semata-mata. Jadi, masalah ini sebenarnya berkait rapat juga dengan kos pembelian rumah dan kereta yang begitu tinggi untuk rakyat Malaysia. Begitu juga masalah barangan runcit terutamanya di kawasan bandar yang tinggi. Ini semua juga mengundang kepada masalah bebanan hutang isi rumah.

Selain daripada kenaikan harga barang yang sewajarnya, masalah harga barang yang tinggi timbul juga apabila para peniaga mengambil kesempatan dalam hal ini. Kenaikan harga minyak tidak dapat tidak sememangnya akan meningkatkan kos bagi sesebuah perniagaan. Malangnya apabila kebanyakan peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang lebih daripada yang sekadarnya. Tidak dapat dinafikan kadang kala ada juga syarikat yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang mungkin 15-20% lebih mahal, sedangkan kenaikan kos perniagaan hanyalah dalam 10%. Malah sebenarnya untuk syarikat-syarikat yang lebih besar, kenaikan harga barang seharusnya boleh diserap dengan mudah kerana adanya skala ekonomi (economies of scale) yang besar.

Tanggungjawab kerajaan

Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat. Maka polisi-polisi kerajaan perlulah dilaksanakan bagi memastikan rakyat boleh hidup dengan lebih selesa.
Tidak dinafikan kerajaan sedang berusaha untuk memperbaiki kedudukan kewangan negara bagi mengurangkan defisit. Cadangan untuk mengurangkan perbelanjaan elaun dan gaji para menteri kabinet adalah satu perkara yang wajar. Walaupun pada keseluruhannya angka tersebut tidaklah signifikan, tetapi membuktikan keikhlasan pihak kerajaan.Pada masa yang sama, kerajaan juga seharusnya mengurangkan perbelanjaan dalam hal-hal lain yang merugikan dan membazir apatah lagi rasuah. Ini adalah satu perkara yang perlu diambil serius oleh pihak kerajaan. Perbelanjaan mewah dalam majlis-majlis rasmi kerajaan serta program-program yang tidak produktif mestilah dikurangkan.

Kerajaan juga mestilah bijak berkomunikasi dengan rakyat. Segala tindakan kerajaan yang sudah tentunya demi kepentingan negara mestilah dijelaskan rasionalnya kepada rakyat. Kerajaan seharusnya bersikap lebih berterus terang dan bersedia mendidik rakyat dengan penjelasan ekonomi yang berasaskan hujah dan fakta dan bukan alasan-alasan berbentuk peribadi semata-mata. Bukankah ini adalah tanggungjawab Menteri Penerangan?

Masalah pendapatan yang meningkat dengan kadar yang tidak setara seharusnya diambil perhatian. Kerajaan perlu meneliti punca-punca berlaku perkara sedemikian. Mungkin di Malaysia antara masalah yang menyumbang kepada perkara ini adalah kurangnya kesatuan pekerja yang lantang mendesak pihak majikan dalam urusan penentuan gaji.

Selain itu rakyat perlu dididik untuk menjalankan perniagaan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada pendapatan pekerjaan. Oleh itu kerajaan seharusnya menggiatkan kursus dan latihan keusahawanan, menyediakan kaunseling dan nasihat pengurusan kewangan diri dan keluarga selain daripada membuka peluang tender kerajaan kepada para peniaga kecil dan sederhana. Langkah ini juga akan berjalan lancar tanpa adanya rasuah.

Masalah kenaikan harga barang yang tidak setara juga perlu diselidik oleh pihak kerajaan. Sebarang kartel antara para peniaga seharusnya dikenakan tindakan berat. Pertandingan sihat antara para peniaga juga perlu dipastikan dengan adanya pengenalan dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan. Amaran kerajaan terhadap para peniaga harus dipuji namun penguatkuasaan undang-undang tersebut sebenarnya yang dibimbangkan.[vii]

Bagi menyelesaikan masalah kos pengangkutan, alternatif kepada pengangkutan persendirian – pengangkutan awam, perlulah diperbaiki dengan baik bagi memudahkan mobiliti rakyat untuk ke tempat kerja dan melakukan perniagaan. Pengangkutan awam ini bukanlah semata-mata dengan membina projek mega seperti MRT dan sebagainya, tetapi sebenarnya adalah dengan mereka sistem pengangkutan (awam dan persendirian) di peringkat nasional yang lebih komprehensif.

Untuk masalah kos pembelian rumah yang tinggi pula boleh dilihat kerana berlakunya masalah terlebih nilai yang ditetapkan oleh pihak pemaju perumahan. Maka perkara ini perlu dinilai selidik oleh pihak kerajaan. Selain itu peluang perniagaan perumahan perlulah dibuka dengan luas untuk para pemaju perumahan kecil dan sederhana bagi meningkatkan pertandingan antara peniaga.

Tanggungjawab rakyat

Amat bernas tindakan rakyat untuk mempersoalkan kerajaan dalam banyak hal yang seharusnya digalas baik oleh mereka. Namun gesaan haruslah bijak dengan melihat keutamaan dan rakyat juga haruslah bijak bersuara. Mungkin benar untuk rakyat menggesa agar harga minyak dikawal rapi agar rakyat tidak terbeban, tetapi mungkin adalah lebih baik untuk menggesa agar kerajaan mencari jalan supaya rakyat tidak hidup terbeban dan tidak semestinya menerusi pengawalan harga minyak.

Selain daripada melaksanakan tanggungjawab membayar cukai, rakyat harus menggesa kerajaan untuk memperkemaskan sistem pengangkutan awam, memperhalus perancangan bandar dan projek-projek perumahan, memerhati tindakan para peniaga yang tidak wajar dan sebagainya. Rakyat juga perlu berusaha keras dan kompetitif bagi meningkat pendapatan isi rumah dan negara.

Rakyat juga harus bijak berbelanja. Perbelanjaan dalam perkara-perkara yang tidak perlu haruslah dikurangkan dan rakyat juga mestilah berbelanja mengikut kemampuan. Kadang kala ada ramai yang mempunyai sumber kewangan yang stabil tetapi tidak diuruskan dengan baik maka menyumbang kepada kesempitan dan masalah kewangan keluarga. Ambillah peluang untuk menghadiri kursus pengurusan kewangan sama ada yang dianjurkan oleh badan-badan serta agensi kerajaan mahupun bukan.

Gunakan kuasa pembeli

Amat penting untuk dijelaskan bahawa kenaikan harga barang adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan apabila berlakunya perkembangan ekonomi dan peningkatan pendapatan. Namun sudah menjadi tanggungjawab pihak Bank Negara (BNM) untuk memastikan kadar kenaikan berada dalam paras yang stabil (perlu dijelaskan juga bahawa BNM tidak meletakkan sebarang target inflasi).

Pada masa yang sama, selain bergantung harap kepada pihak berkuasa untuk menstabilkan harga barangan, rakyat juga mempunyai kuasa sebagai pengguna untuk memanipulasi harga pasaran. Ada beberapa cara yang boleh dilaksanakan, termasuklah tindakan kolektif dengan tidak membeli barangan sekiranya harga dinaikkan dan membeli alternatif yang lebih murah bagi sesuatu produk. Ini akan menekan para pengeluar dan peniaga untuk menurunkan harga barangan mereka.

Selain itu rakyat juga perlu bergiat aktif dalam persatuan-persatuan pengguna bagi mendesak pihak peniaga untuk menurunkan harga barangan. Suara para pengguna akan lebih kuat dan didengari sekiranya disalurkan melalui persatuan-persatuan pengguna. Ini adalah antara perkara yang kurang sekali berlaku di Malaysia.

Tanggungjawab pihak swasta

Pihak peniaga juga tidak lari daripada memainkan peranan dalam memakmurkan ekonomi Malaysia. Selain daripada menjalankan kegiatan perniagaan bagi menyokong perkembangan ekonomi negara dan membuka peluang pekerjaan, pihak swasta juga seharusnya tidak mengambil kesempatan menerusi perubahan polisi kerajaan. Kenaikan harga minyak tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga barangan melepasi kadar yang sepatutnya. Sekiranya harga minyak naik pada kadar 10%, mustahil sebenarnya untuk mengatakan bahawa kos perniagaan meningkat pada kadar yang sama kerana minyak sudah tentunya hanyalah sebahagian daripada kos  keseluruhan perniagaan (secara umum). Kenaikan harga barang sewajarnya tidak akan melebihi 10%. Menurut Datuk Hassan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, kesan kenaikan harga minyak sepatutnya hanya memberikan kesan kenaikan harga barang sebanyak 0.1% sahaja.[viii]

Selain itu, para peniaga skala kecil dan sederhana bolehlah mengambil kesempatan untuk berlumba di dalam pasaran dengan menyediakan produk dan servis yang berpatutan untuk para pengguna. Dengan adanya lebih ramai peniaga dalam pasaran, maka harga barangan akan lebih terkawal dan menguntungkan pengguna.

Kesimpulan

Semua pihak mempunyai peranan yang begitu penting dalam ekonomi negara. Isu kenaikan harga minyak baru-baru ini memberikan gambaran kepada kita bahawa rakyat sebenarnya dibebani dengan masalah kewangan dan kesempitan hidup. Masalah bebanan kewangan rakyat tidak  dapat diselesaikan dengan mengawal harga minyak semata-mata. Perkara ini perlu diselesaikan secara komprehensif dan melibatkan semua pihak. Setiap pihak mempunyai tanggungjawab masing-masing dan amatlah penting agar peranan tersebut dijalankan.

Rakyat harus peka bahawa tanggungjawab menguruskan ekonomi negara bukanlah hanya terletak di atas bahu pihak kerajaan, malahan adalah usaha bersama. Begitu banyak langkah yang boleh diambil bagi memastikan kelangsungan ekonomi negara yang stabil.

Akbar Shah Ramdhan Bin Abd Rahman
Australian School of Business, The University of New South Wales
Ahli Ekonomisma-PEMIKIR ISMA

No comments:

Post a Comment