Pages

Saturday, September 21, 2013

Masa depan perjuangan Islam PAS lebih penting daripada kerusi


azar4
 


BANGI, 21 Sept – Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menyokong resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia yang menyarankan agar tahaluf siyasi antara parti PAS, PKR dan DAP dikaji semula.
Katanya, masa depan perjuangan Islam PAS lebih penting daripada sekadar merebut kerusi dalam pilihan raya.

Beliau juga meminta parti itu membuat pertimbangan sebaiknya dengan mengukur maslahah dan mudarat berdasarkan maslahah umat keseluruhan, bukannya terhad kepada isu keuntungan dalam persaingan antara PAS dan UMNO semata-mata. “Utamakan maslahah umat secara keseluruhan, bukan hanya ukur maslahah parti dalam konteks politik PAS-UMNO sahaja. Oleh itu saranan untuk mengkaji semula tahaluf perlu mengambil kira aspek maslahah umat ini,” tegas beliau.
 
Beliau dihubungi wartawan ISMA bagi mendapatkan pandangan berhubung resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar baru-baru ini. Tambahnya, apa yang berlaku kepada PAS pasca PRU-13 harus dijadikan titik-tolak supaya kajian menyeluruh berhubung pelaksanaan tahaluf siyasi sama ada ia menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak atau tidak.
“Sejauh mana tahaluf siyasi menepati syarak dalam PRU baru-baru ini? Jadi sekarang adalah masa yang sesuai untuk perkara itu,” ujar beliau.

Mengulas kenyataan Presiden PAS yang menyatakan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sistem dua parti, Ustaz Abdullah berkata, perkara itu akan menghakis perjuangan Islam PAS yang diperjuangkan selama ini.

Kata beliau, PAS sememangnya dikenali dengan perjuangan negara Islam sedangkan Pakatan Rakyat tidak memperjuangkan dasar dan konsep negara Islam sebenar. “PAS seharusnya menjadi satu parti yang independen, bebas membuat keputusan tentang hala tuju dan masa depan perjuangannya dan tidak terikat dengan pendirian rakan pakatan yang lain. “Hal ini penting kerana sebagai parti Islam PAS perlu mematuhi syarak dan tidak terikut-ikut dengan rakan-rakan pakatan yang tidak mengikuti Al-Quran dan Al-Sunnah,” kata beliau.

Sumber: http://www.ismaweb.net/v4/2013/09/masa-depan-perjuangan-islam-

No comments:

Post a Comment