Tahaaluf siyaasi: Pas dilema lagi    
Ahli-ahli Pas mahu pemimpin parti itu lebih mendominasi kepimpinan PR,
 bukan tunduk kepada PKR dan DAP.
 
RESOLUSI multaqa ulama Pas di Alor Setar yang mahu parti itu kaji semula tahaaluf siyaasi dengan PKR, ditolak menerusi kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin.  Ketika mengumumkan perkara itu, Abdul Hadi disertai dua Naib Presiden,  Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar selain Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali sekali gus membayangkan bahawa keputusan itu adalah konsensus dan muktamad oleh kepimpinan tertinggi parti.

Hal ini penting kerana yang mengusulkan perkara itu adalah ulama, entiti yang selama ini dianggap sangat berpengaruh dalam Pas. Sebarang keputusan yang menyentuh ulama, juga adalah menyentuh sensitiviti majoriti ahli Pas. Ironinya, sama ada mahu diakui ataupun tidak, isu tahaaluf siyaasi sebaliknya memperlihatkan kepada umum bahawa golongan ulama seakan sudah mula hilang pengaruhnya dalam parti itu, dihakis oleh golongan profesional dan aktivis yang kian mendominasi kepimpinan Pas.

Walaupun tanggapan ini sudah pasti akan dipertikaikan, mengambil kira bahawa Abdul Hadi sendiri, juga Mursyidul Am,  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang masih tega mendukung tahaaluf siyaasi juga adalah ulama, namun usul yang meminta perkara itu dikaji semula bukan daripada Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib seorang. Ia sebaliknya adalah resolusi multaqa yang melibatkan ulama-ulama Pas dari seluruh negara.

Sehubungan itu, ramai yang menjangka bahawa usul itu akan dibawa untuk dibahaskan dalam muktamar November ini bagi dicari langkah penyelesaian konflik atau setidak-tidaknya jalan tengah bagi meredakan perbezaan pendapat dalam parti itu. Oleh kerana ia melibatkan dasar yang sangat penting bagi parti, ada baiknya isu tahaaluf siyaasi dikembalikan kepada akar umbi untuk dibincang dan dibuat keputusan dengan majoriti.

Atas sebab itulah, ada yang terkejut apabila Abdul Hadi mengumumkan keputusan Pas menolak usul berkenaan hanya empat hari selepas multaqa tanpa membiarkan hal itu dibahaskan dalam muktamar agung yang dijadualkan berlangsung pada 22 hingga 24 November ini. Mereka melihat pengumuman itu dibuat dalam keadaan yang agak tergesa-gesa, barang kali kerana pimpinan Pas tidak mahu isu tahaaluf siyaasi terus jadi polemik kalangan akar umbi hingga menjejaskan kepercayaan parti sekutu terhadap Pas.

Itulah agaknya mengapa ia harus segera dipancung!

Melarat
Apa pun, hampir pasti bahawa polemik ini tidak akan mati, akan terus menjadi dilema bagi Pas malah mungkin akan tambah melarat. Ini kerana isu tahaaluf siyasi sejak lama dahulu ditanggap oleh ahli Pas secara berbeza. Ada yang melihat kerjasama dengan PKR, juga DAP signifikan bagi parti itu namun ada juga yang melihat ianya tidak perlu sebaliknya hanya menjatuhkan lagi wibawa Pas sebagai parti yang memperjuangkan daulah Islamiyyah.

Dalam kata lain, ada yang bersetuju kemenangan pilihan raya dijadikan agenda utama namun ada pula yang meletakkan matlamat keredaan ALLAH dalam memperjuangkan syariatNya lebih utama berbanding Putrajaya. Pandangan kumpulan yang kedua ini biasanya dipatahkan oleh hujah bahawa dalam negara majmuk seperti Malaysia, Pas mustahil boleh memerintah tanpa bergabung dengan parti lain yang perlu untuk mendapat undi majoriti daripada bukan Islam.

Namun bagi mereka,  dalam perjuangan mendaulatkan Islam, memerintah adalah soal kedua kerana yang perlu lebih diutamakan adalah ketegasan mempertahankan prinsip-prinsip Islam yang tidak boleh terselit sebarang keraguan dalam usaha untuk melaksanakannya. Jika ditakrif dari segi hukum fiqh, kerjasama ini bagi mereka seumpama syubhah!

Namun bagi tok-tok guru dalam Pas yang pro tahaaluf siyaasi dan hujah mereka pula sukar untuk disangkal oleh orang lain kerana mereka tentunya lebih alim dalam urusan dan ilmu fiqh siyasah, langkah Pas bekerjasama dengan PKR dan DAP telah banyak memurnikan pandangan pemimpin-pemimpin bukan Islam dalam dua parti itu terhadap Islam.  

Nik Aziz sendiri mengaku beliau sering dirujuk oleh pemimpin bukan Islam DAP mengenai Islam.
Mungkin hikmah tarbiyah Mursyidul Am Pas itu, Lim Guan Eng menjadikan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai idolanya sejak memerintah Pulau Pinang. Namun bagi golongan yang tetap meragui tahaaluf siyaasi, mereka tidak kisah untuk bangkit membidas setiap kali Karpal Singh mempersoalkan matlamat Pas mahu mendirikan kerajaan Islam.

Mereka mercurigai kemampuan pimpinan Pas untuk mendepani Karpal yang tidak berganjak dari penentangannya terhadap gagasan negara Islam yang diperjuangkan Pas sejak sekian lama.
Apa lagi apabila Pas pada muktamarnya yang ke 57 pada Jun 2011 telah menukar dasar daripada negara Islam kepada negara berkebajikan yang meskipun perubahan itu dialaskan hanya pada label yang merujuk kepada konsep negara 'baldatun toiyyibatun warrabun ghaffur' iaitu negara berkebajikan yang mendapat restu dan keredaan ALLAH, namun ia tetap memberi kesan yang besar dalam keyakinan anggota Pas di peringkat bawahan.

Golongan ini, yang bagi sesetengah pemerhati dianggap sebagai kumpulan majoriti senyap dalam Pas, mula tergugat keyakinan mereka terhadap kepimpinan semasa parti itu yang dilihat semakin hari semakin tunduk kepada PKR dan DAP. Mereka mula membandingkan sikap Pas pada era Datuk Fadzil Noor yang juga pernah cuba dipikat oleh DAP melalui Semangat 46 untuk bekerjasama     istilah tahaaluf siyaasi belum dipopularkan waktu itu     dalam Pilihan Raya Umum 1990 namun Pas sebaliknya hanya sudi untuk berpakat secara langsung dengan Semangat 46 dan parti-parti Islam yang lain iaitu Berjasa, Hamim dan Kimma dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU).

Untuk bekerjasama dengan DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan sebuah lagi parti, Indian Progressive Front (IPF), Semangat 46 terpaksa menubuhkan Gagasan Rakyat. Ini menyebabkan DAP tiada ruang untuk campur tangan dalam urusan Pas sebagaimana sekarang!
 
Campur tangan
Kerjasama solid sesama parti Islam itulah yang membantu Pas mengambil alih kuasa di Kelantan menerusi APU dalam pilihan raya itu dan terus berkuasa hingga hari ini. Memang ada satu kepercayaan dalam politik bahawa dasar sesebuah parti harus bersifat dinamik, mempunyai keanjalan untuk berubah mengikut keperluan semasa namun bagi kumpulan yang sukar untuk menerima tahaaluf siyaasi, mereka akan tetap berasa curiga terhadap kejujuran rakan sekutu, lebih-lebih lagi DAP yang selamanya diketahui tidak akan menerima Islam sebagai dasar pemerintahan seandainya ditakdirkan PR berjaya mengambil alih Putrajaya.

Di sinilah terbukunya keraguan dan mereka akan sentiasa meragui keupayaan pemimpin Pas untuk mendominasi keputusan dalam PR. Pada masa yang sama mereka juga tidak lepas daripada kecurigaan terhadap PKR yang diragui bermain kayu tiga dengan DAP. Ini termasuk dalam isu pembahagian kerusi pilihan raya di kawasan majoriti Melayu, apa yang difahamkan telah menjadi asas resolusi multaqa ulama Pas tempoh hari.

Kita dapat merasakan bahawa isu ini tidak mudah untuk ditangani pemimpin Pas terutama Abdul Hadi sendiri. Inilah cabaran  berat bagi kepimpinan beliau yang kelihatan agak tersepit dalam dilema untuk meningkatkan keyakinan ahli bahawa Pas akan jadi dominan dalam PR sebagaimana yang mereka ingini.

Dalam masa yang sama, kita juga tertanya-tanya apakah bibit masalah baru akan menjelma apabila Harun dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa Dewan Ulama tetap akan meneruskan kajian tahaaluf siyaasi dengan PKR meskipun kepimpinan tertinggi Pas sudah buat keputusan menolak usul itu.

Ke mana laporan kajian itu akan dibawa oleh kumpulan Harun, yang sudah tentu akan umumkan dapatan mereka setelah ianya selesai kelak? Apakah ia hanya akan menambahkan lagi resah ahli atau mendalamkan lagi jurang perbezaan yang sedia ada antara yang pro dengan yang anti tahaaluf siyaasi?

Lainlah jika kajian itu akhirnya mendapati tahaaluf siyaasi perlu diteruskan.

Namun mengambil kira sikap Harun selama ini yang konsisten tegasnya setiap kali diasak dalam isu kepentingan Islam, tahaaluf siyaasi hampir pasti akan mencetuskan dilema yang berpanjangan dalam Pas.
Atau apa mungkin Harun sendiri yang akan jadi korban, diturunkan dari kerusinya pada pemilihan November ini untuk pastikan hubungan cinta Pas dengan PKR tidak tergugat.

Sama-sama kita nantikan!