Pages

Monday, September 9, 2013

Tarikh yang mendebarkan...

 
Tanggal 10 September 2013 adalah tarikh penentuan bagi kedudukan Islam dan nasib umat Islam di bumi Malaysia. Ia adalah tarikh yang mendebarkan bagi dua pihak, yang akan membawa kesan dan implikasi jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

Pihak pertama adalah sebahagian rakyat Malaysia berugama Islam yang berdiri teguh bersama pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan beberapa Majlis Agama Islam negeri yang ingin mempertahankan hak penggunaan kalimah Allah dari digunapakai secara bebas dan mutlak oleh penganut-penganut Kristian di dalam Bible mereka dengan perlindungan undang-undang.

Manakala pihak kedua adalah penganut-penganut Kristian yang menuntut hak untuk menggunakan kalimah Allah di dalam Bible versi cetakan Bahasa Malaysia.

Pihak ketiga pula adalah sebahagian lain umat Islam dari kalangan parti-parti politik Melayu/Islam yang memilih untuk tidak menyatakan sokongan atau pendirian atau tidak berani bersuara atas dasar setiakawan politik atau memilih untuk berpihak kepada pihak kedua, secara tersurat atau tersirat.

Kesan dan implikasi dari apa pun keputusan yang bakal diterbit dari kamar Hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya besok akan terpaksa dihadapi oleh kedua-dua pihak (dan jiga pihak ketiga) dan percaturan serta pertembungan antara dua kepentingan dan dua agenda tidak akan tamat dengan tercatatnya keputusan hakim.

Para hakim yang bijaksana akan membuat keputusan berdasarkan pembuktian dan hujah-hujah dari kedua-dua pasukan guaman di pihak pertama dan juga kedua. Masing-masing pihak masih boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan sekiranya tidak berpuashati dengan keputusan hakim. Ini sudah maklum bagi semua pihak yang terlibat.

Di sini, bukan soal keputusan hakim yang saya ingin bahaskan akan tetapi sikap dan pendirian umat Islam khususnya berhubung kes rayuan ini.

Saya berpandangan bahawa pihak pertama yang konsisten bersama pihak KDN dan beberapa Majlis Agama Islam nengeri tidak akan rasa begitu kecewa, berkecil hati, marah atau terlalu terkilan sangat kalau keputusan hakim besok tidak menyebelahi mereka.

Ini kerana mereka telah menyuarakan sikap dan pendirian mereka secara jelas, terang dan nyata untuk mempertahankan hak keistimewaan umat Islam dalam penggunaan kalimah Allah. Mereka telah berbuat sesuatu menurut kemampuan mereka dan dari ketinggian perasaan bahawa tindakan mereka adalah bertepatan dengan ruh dan maqasid Syari'ah.

Pihak kedua pula sudah tentu akan bergembira dengan "kemenangan" besar ini yang bakal membuka peluang kepada lebih banyak lagi keistimewaan untuk dituntut pada masa depan. Ia akan menjadi kemenangan buat agenda Liberal, Sekular, Kristianisasi dan hak asasi versi Barat yang begitu diagungkan oleh sebahagian rakyat Malaysia/umat Islam di negara ini.

Akan tetapi juga, tiada siapa dapat menelah atau meramal keputusan hakim besok. Dan wajah-wajah penuh kekhuatiran (di sebalik lantunan-lantunan do'a, zikir dan tilawah) bisa saja diwarnai dan disirami dengan laungan takbir, tahmid dan tahlil tanpa diduga.

Dan ada pihak lain juga yang akan menggigit jari!

Dan bagaimana pula pihak ketiga?

Di sebalik keresahan hati dan debaran jantung umat yang ikhlas berdoa untuk kemenangan buat Islam dan umat Islam besok, di sebalik wajah-wajah yang bertukar ganti antara ketakutan dan harapan dan di sebalik linangan airmata keikhlasan dan keinsafan, apakah pula rona dan lakaran perasaan di wajah anda?

Ya … anda!

Anda yang telah memilih untuk berkongsi keperihatinan dan perasaan dengan pihak Kristian!

Yang meremehkan sokongan sebahagian umat Islam yang bersama pihak pertama dengan pelbagai alasan memalukan!

Yang mengukuhkan sikap dan pendirian sendiri bahawa isu ini tidak perlu disensasikan!

Yang turut mendesak supaya kalimah Allah patut diberikan kepada penganut Kristian untuk dicetak di dalam Bible versi Bahasa Melayu!

Yang tidak rasa bersalah sedikitpun untuk bersantai di khemah pihak kedua!

Saya sekadar ingin bertanya (dan saya tidak berharap pun anda akan memberi respon kepada soalan saya):

Adakah kepentingan politik, parti dan kesetiakawanan lebih tinggi nilainya (bagi anda) dari satu kalimah agung yang mencerminkan penanda aras (benchmark) seorang Muslim yang sahih akidahnya?

Adakah suasana bersahabat dengan penganut-penganut ugama lain dan pemuja-pemuja agenda Liberal, Sekular dan Hedonis lebih kamu hargai dan cintai berbanding kebersamaan dengan saudara seakidah anda?

Atau anda menganggap pihak pertama sebagai golongan yang bodoh, ekstrimis, pemecahbelah, rasis, kolot, kaki provokasi atau talibarut parti pemerintah?

Dan kalau anda tidak keberatan untuk menjawab, satu soalan terakhir dari saya:

Menjelang keputusan dikeluarkan, sebahagian besar umat Islam akan pada malam ini dan esok hari akan bersolat hajat, bertilawah, bersujud dan berdoa untuk kemenangan agama Allah dan masadepan umat Islam di Malaysia.

Anda semua akan berdoa untuk kemenangan siapa?

No comments:

Post a Comment