Isu tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di negara ini seharusnya ditangani dengan bijak.
Perbincangan ilmiah dengan memahami maksud tersurat dan tersirat terhadap tuntutan ini harus diselami oleh semua pihak.
Kalimah Allah merupakan kalimah suci yang melambangkan Islam itu
sendiri. Umat Islam semestinya mempertahankan penggunaan kalimah ini
agar tidak tersasar daripada maksud sebenar. Ia adalah kewajipan bagi
umat Islam dalam mempertahankan kesucian Islam itu sendiri.
Pendahuluan
31 Disember 2007 — Pengarang akhbar Herald-The Catholic Weekly, Paderi
Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN)
telah memperbaharui permit penerbitan akhbar itu tanpa larangan
menggunakan kalimah Allah. Kerajaan menegaskan bahawa larangan itu masih
kekal.
3 Januari 2008 — Kabinet mengekalkan larangan bagi semua agama kecuali
Islam daripada menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar
masing-masing. Sebelum ini Kabinet telah memutuskan keputusan yang sama
dalam mesyuarat pada 18 Oktober dan 1 November 2006.
19 Mac 2008 — Gereja Katolik telah memohon di Mahkamah Tinggi untuk
melakukan semakan kehakiman terhadap larangan penggunaan kalimah Allah.
05 Mei 2008 — Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas)
telah membuat keputusan membenarkan permohonan Gereja Katolik untuk
membuat semakan kehakiman larangan tersebut dalam penerbitan mingguan
Herald-The Catholic Weekly.
Alasan Gereja Katolik Menggunakan Kalimah Allah
Dalam akhbar The Sun (24 Dis. 2007), terdapat laporan bertajuk Church
leaders explain use of Allah. Terdapat 5 alasan utama yang dikemukakan
oleh laporan tersebut mengapa Gereja Katolik ingin meneruskan penggunaan
kalimah Allah di dalam akhbar terbitan mereka. Alasan yang dikemukakan
ialah:
1) Mendakwa mereka mengikuti Bible. Bible dalam bahasa Melayu
menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God dan Tuhan
sebagai terjemahan istilah Lord.
2) Mendakwa bahawa mulai awal ke 19, para penganut Katolik di Malaya
telah memiliki buku-buku doa dalam Bahasa Melayu dan kalimah Allah telah
digunakan sebagai terjemahan istilah God. Penganut Katolik Malta juga
menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan dan begitu juga
masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.
3) Mendakwa ayat-ayat suci al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga telah menggunakan lafaz Allah.
4) Mendakwa bahawa segmen terjemahan dalam Bahasa Malaysia diwujudkan
untuk memenuhi keperluan kepelbagaian etnik dan bahasa yang wujud di
Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di
Malaysia.
5) Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam
urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara 11(3)A
Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-Hujah menolak Alasan Pihak Gereja Katolik
Alasan Pertama : Mendakwa mereka mengikuti Bible. Bible dalam Bahasa
Melayu menggunakan kalimah Allah sebagai terjemahan istilah God dan
Tuhan sebagai terjemahan istilah Lord.
Hujah-Hujah Menolak:
1) Kalimah Allah adalah kata nama khas berasal daripada Bahasa Arab. Ia
tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Menurut nahu
Arab, kalimah ini tidak boleh diumum, dikecil, dilelaki, diperempuan
atau diterbitkan nana-nama lain daripadanya. Kalimah Allah adalah bebas
dari segi struktur nahu dan maknanya dari segala korupsi. Kita tidak
boleh memanipulasikannya dengan apa cara sekalipun dalam bahasa asalnya.
Dari segi struktur linguistik, kalimah Allah lebih superior daripada
apa jua perkataan apa jua bahasa dalam memelihara dan mempertahankan
makna ke-Esaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah. Oleh
itu, umat Islam tidak sekali-kali menterjemahkan Allah kepada apa jua
bahasa melainkan dikekalkan lafaznya yang asal iaitu Allah.
2) Di peringkat antarabangsa, penggunaan kalimah Allah dari segi istilah
adalah amat sinonim dengan agama Islam. Ia diiktiraf oleh kamus-kamus
serta ensiklopedia terkemuka di dunia.
Antaranya:
i. Kamus Oxford—Allah: Name of God among Muslims.
j. Ensiklopedia Britannica—Allah: God, the one and only God in the religion of Islam
k. Ensiklopedia Katolik—Let it be noted that although Allah is an Arabic
term, it is used by all Moslems, whatever be their language, as the
name of God.
3) Dalam konteks Malaysia kalimah Allah tidak diterjemahkan kepada
Bahasa Melayu atau bahasa Malaysia malah ia dikekalkan tanpa terjemahan.
Oleh itu kalimah Allah di Malaysia adalah merujuk terus kepada makna
yang terkandung di dalam teks al-Quran tanpa mengubahsuaian pada lafaz
(terjemahan) mahupun maksud kalimah tersebut.
Definasi Allah menurut Kamus Dewan Edisi Empat:
Allah : Ar (Asal bahasa Arab) Tuhan (Yg Esa); ~azzawajalla Tuhan yang
Maha Baik dan Maha Mulia; ~ subhanahu wa taala Terpujilah Tuhan Yang
Maha Tinggi.
Definasi Allah menurut Kamus Pelajar:
Allah: Tuhan Yang Maha Esa, Yang bersifat dengan 20 sifat Yang Maha Sempurna dan Yang mencipta alam ini.
Oleh itu kalimah Allah tidak boleh dianggap sebagai terjemahan tuhan
dalam Bahasa Melayu atau god dalam Bahasa Inggeris kerana ia adalah
lafaz Bahasa Arab yang dikekalkan sebagai mematuhi kitab suci umat Islam
yang telah membudaya dalam masyarakat Islam dan dimaklumi sebaiknya
oleh bukan Islam di negara ini.
4) Bible Bahasa Melayu yang didakwa sebagai rujukan kepada penggunaan
kalimah Allah juga tidak boleh diterima berdasarkan faktor kredibiliti
penterjemahan dan perundangan Malaysia. Faktor perundangan menegah
penggunaan kalimah tertentu yang menjadi hak eksklusif umat Islam untuk
digunakan oleh bukan Islam. Oleh itu, alasan yang mengatakan mereka
merujuk kepada Bible Bahasa Melayu adalah tertolak dengan sendirinya
kerana kesahihan penterjemahan Bible tersebut boleh dipertikai.
Alasan Kedua : Mendakwa bahawa mulai awal abad ke-19, para penganut
Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam Bahasa Malayu dan
kalimah Allah telah digunakan sebagai terjemahan istilah God. Penganut
Katolik Malta juga menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan
dan begitu juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia
Barat.
Hujah-hujah Menolak :
1) Alasan ini adalah bertitik tolak daripada sejarah kedatangan mubaligh
Kristian ke Tanah Melayu dan Nusantara. Sejarah mencatatkan antara misi
utama kedatangan penjajah Barat ke Asia Tenggara adalah untuk mengaut
hasil bumi dan menyebarkan agama Kristian ke seluruh rantau ini. Antara
usaha yang giat dilakukan oleh para mubaligh ini ialah menterjemahkan
Bible ke dalam Bahasa penduduk tempatan termasuk menjalankan upacara
keagamaan dalam Bahasa yang difahami oleh masyarakat setempat.
2) Percubaan untuk membandingkan Malaysia dengan negara-negara lain yang
menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada God juga tertolak. Ini
kerana setiap Bahasa yang digunakan oleh setiap bangsa mempunyai sejarah
dan kebudayaan yang berbeza. Dalam kes ini, latar belakang Bahasa
Melayu yang digunakan oleh penduduk Malaysia lahir daripada rahim agama
Islam dan kebudayaan Melayu. Budaya Melayu itu sendiri terhasil daripada
agama Islam. Oleh itu, ia wajib mencerminkan kelaziman Melayu yang
berpunca daripada agama Islam. Ini sudah tentu berbeza dengan latar
belakang Bahasa Melayu yang terdapat di Indonesia dan Singapura.
3) Berkenaan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di Asia
Barat juga tidak boleh dijadikan hujah. Bangsa Arab bulan Islam
sememangnya telah lama menggunakan kalimah Allah berdasarkan faktor
teologi dan kebudayaan yang telah sedia wujud di Asia Barat. Perkara ini
dijelaskan sendiri oleh al-Quran apabila al-Quran datang untuk
menjernih dan menyucikan semula penyalahgunaan maksud kalimah Allah yang
diguna pakai oleh golongan Jahiliyyah dan ahli kitab yang terdiri
daripada Yahudi dan Nasrani.
4) Dalam konteks etimologi dan semantik pula, alasan Gereja Katolik
untuk merujuk kepada masyarakat Kristian Arab adalah tersasar jauh.
Mereka tidak boleh membandingkan apa yang berlaku kepada Kristian Arab
dengan Kristian di Malaysia. Apa yang berlaku di negara-negara Arab
ialah pihak Kristian Arab menterjemahkan Bible daripada Bahasa Suryani
(Syria/ Syam) atau Aramik dan Bahasa Ibrani (Hebrew) kepada Bahasa Arab.
Perlu diketahui Bahasa Arab, Aramik dan Ibrani berada dalam rumpun
bahasa yang sama iaitu rumpun Semitik. Oleh itu, Kristian Arab mempunyai
hak untuk berhujah bahawa kalimah Allah berkemungkinan berasal daripada
nama asal tuhan mereka dalam Bahasa Aramik atau Ibrani. Tetapi apa pula
rasional pihak Gereja Kristian utnuk menterjemahkan god dalam Bible
Bahasa Inggeris kepada Allah dalam Bible Bahasa Melayu?. Bukankah
kedua-duanya adalah dua rumpun bahasa yang berbeza dari segi etimologi
dan semantik bahkan suasana yang membudayai penggunaan Bahasa-Bahasa
itu?.
Alasan Ketiga : Mendakwa ayat-ayat al-Quran sendiri telah menunjukkan bahawa golongan bukan Islam juga menggunakan lafaz Allah.
Hujah-hujah Menolak:
1) Antara ayat yang sering dirujuk oleh pihak Gereja Katolik ialah surat al-Ankabut ayat 61:
Makdusnya: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada
mereka (yang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi
dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk makhluk-makhlukNya)?.
Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Maka bagaimana mereka tergamak
dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan
mematuhi perintahnya)?
2) Begitu juga surah al-Maidah ayat 73:
Maksudnya: Demi sesungguhnya telah kafirlah orang yang berkata:
Bahawasanya Allah ialah salah satu daripada tiga tuhan. Padahal tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika
mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu
orang-orang yang kafir dari mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak
terperi sakitnya.
Kedua-dua ayat tadi sebenarnya tidak boleh menjadi hujah bagi golongan
bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah. Ia berdasarkan
alasan-alasan berikut:
i) Dalam surah al-Ankabut ayat 61, al-Quran hanya merakamkan sejauh mana
kefahaman masyarakat Arab Jahiliyah menggunakan kalimah Allah. Ia bukan
untuk mengiya atau membenarkan penggunaan tersebut. Sebaliknya ia mahu
menjelaskan bagaimana kalimah Allah sudah dikenal pasti oleh masyarakat
Arab sebelum Islam. Daripada informasi ayat-ayat seperti ini, al-Quran
menjelaskan orang Arab Jahiliyyah hanya mengenal Allah sebagai:
1. pencipta langit dan bumi;
2. yang memudahkan peredaran matahari dan bulan;
3. yang menurunkan air dari langit; dan
4. tempat menggantungkan harapan
Konsep ini jelas bertentangan dengan konsep Allah
ii) Manakala surah al-Maidah ayat 73 pula tidak boleh menjadi alasan
kepada pihak Kristian menggunakan kalimah Allah. Ini kerana Allah SWT
sendiri menafikan golongan yang mengatakan ZatNya itu satu oknum
daripada tiga oknum (triniti). Malah mereka dianggap kafir. Ini bermakna
sebutan Allah yang keluar dari lidah golongan Kristian itu adalah
sia-sia dan tiada nilai di sisi Allah kerana ia tidak merujuk kepada
kalimah Allah yang sebenar. Sebagaimana maklum, kalimah Allah merujuk
kepada zat (esensi) yang dinamakan.
Sebagai perumpamaan mudah, perkataan kereta adalah merujuk kepada
kenderaan bermotor. Oleh itu. tiada makna bagi orang yang menggunakan
perkataan kereta untuk merujuk kepada alat menjahit pakaian. Sekiranya
ia masih menggunakan kereta tetapi merujuk kepada alat yang salah, ini
bermakna penggunaan perkataan itu adalah sia-sia dan tidak bermakna.
3) Menjadikan al-Quran sebagai rujukan untuk menyokong alasan golongan
bukan Islam menggunakan kalimah Allah, bukanlah satu alasan bagi Gereja
Katolik tetapi hujah bagi umat Islam. Ia melambangkan kegagalan Katolik
untuk berhujah berasaskan teks asal kitab agama mereka. Bagi umat Islam,
ini menjadi bukti bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang memiliki
fakta-fakta yang utuh dan konsisten. Ia juga menjadi bukti bahawa Gereja
Katolik menggunakan al-Quran sebagai sumber paling dipercayai untuk
mengakui Allah sebagai nama tuhan berbanding hujah berdasarkan
perbahasan sejarah dan ilmu Bahasa. Oleh yang demikian, fakta-fakta
mengenai Allah seperti mana yang dibentangkan oleh al-Quran juga
hendaklah diterima.
Atau adakah Gereja Katolik ingin mengatakan bahawa lafaz Allah di dalam
al-Quran itu merujuk kepada lafaz Elohim dalam kitab asal mereka
Berbahasa Ibrani?. Jika kalimah Allah dan Elohim itu merujuk kepada
hakikat yang sama, mengapa pula konsepnya berbeza?.
Al-Quran mengatakan Allah itu Masa Esa dan tidak mempunyai anak
sebaliknya Gereja Katolik berpegang kepada konsep triniti. Ini sekali
gus memberi makna konsep Allah di dalam Islam adalah amat konsisten
sehingga umat Islam tidak perlu menterjemahkan kepada mana-mana Bahasa
dunia.
Ia berbeza dengn konsep ketuhanan agama Kristian yang tidak memiliki
sumber yang jelas dan konsisten sehingga memerlukan penterjemahan dan
pinjaman daripada bahasa lain
Alasan keempat: Mendakwa bahawa terjemahan dalam Bahasa Malaysia
diwujudkan untuk memenuhi keperluan pelbagai etnik dan Bahasa yang ada
di Malaysia sebagaimana yang wujud di dalam populasi penganut Katolik di
Malaysia.
Hujah-hujah menolak:
1) Alasan penterjemahan kepada Bahasa Malaysia sebagai lambang
kepelbagaian yang wujud dalam populasi masyarakat Kristian Katolik juga
tidak boleh diterima. Perlu diketahui Bahasa Bahasa Malaysia berasal
daripada Bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyebut
Bahasa Melayu adalah Bahasa kebangsaan dan Bahasa rasmi Malaysia. Perlu
diingat bahawa ketika perlembagaan digubal, istilah Malaysia belum
wujud. Oleh itu, apabila kita merujuk kepada Bahasa Malaysia ia sudah
tentu merujuk kepada Bahasa Melayu yang sekaligus merujuk kepada
masyarakat Melayu Islam. Justeru peristilahan-peristilahan khusus yang
telah menjadi syiar dan perlembagaan kepada masyarakat Melayu Islam
sudah tentu tidak sekali-kali boleh diubah konsepnya untuk diterap
kepada satu budaya dan agama yang lain.
2) Memaksakan penggunaan kalimah Allah dengan kalangan Kristian Katolik
yang bertutur dalam Bahasa Melayu di negara ini juga, secara logiknya
sudah pasti memberi kesan negatif terhadap konsep ketuhanan dalam agama
Kristian. Telah dimaklumi bahawa kalimah Allah itu adalah kalimah yang
didominasi oleh umat Melayu Islam secara politik dan kebudayaan yang
terdiri daripada 60% penduduk Malaysia berbanding hanya 9.1% penganut
Kristian pelbagai mazhab.
Bukanlah dengan penggunaan peristilahan yang sama bakal menimbulkan
kecelaruan dalam kalangan penganut Kristian Berbahasa Melayu sendiri?.
Justeru, penterjemahan yang lebih tepat seperti Tuhan sepatutnya
digunakan oleh Gereja Katolik bagi menjamin kepercayaan agama Kristian
sentiasa terpelihara selain mengelakkan kekeliruan.
Alasan Kelima: Mendakwa kerajaan tidak mempunyai hak untuk campur tangan
dalam urusan dalaman gereja berdasarkan hak yang diberi oleh Perkara
11(3a) Perlembagaan Persekutuan.
Hujah-hujah menolak:
1) Alasan ini adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya kerajaan telah
diberi hak oleh Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11(4) untuk
mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan
agama antara orang-orang yang menganuti agama Islam. Di bawah peruntukan
ini kerajaan (sama ada kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri) telah
menggubal undang-undang mengawal dan menyekat pengembangan agama-agama
bukan Islam terhadap umat Islam. Sebagai contoh Enakman Kawalan dan
Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Negeri Terengganu 1980, Seksyen 9
menyebut; (Melarang seseorang bukan Islam daripada menggunakan
perkataan-perkataan tertentu baik dalam tulisan, ucapan atau kenyataan
untuk menggambarkan antaranya kepercayaan atau konsep mana-mana agama
bukan Islam.
Perkataan-perkataan itu termasuklah Allah, Injil, Ilahi, Rasul, Nabi,
Wahyu, Iman, Imam, Syariah, Ulama, Dakwah, Ibadah dan lain-lain.
Peruntukan ini jelas menunjukkan bahawa menggunakan kalimah Allah
sebagai terjemahan kepada perkataan god di dalam Bible adalah menyalahi
undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negara ini. Oleh itu, ia
tidak boleh disifatkan sebagai urusan dalaman gereja.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi hal Ehwal Agama
Islam Malaysia kali ke 82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008
memutuskan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah khusus buat agama dan
umat Islam sahaja.
Pandangan Tokoh Ulama Luar Negara
Pandangan wakil Al-Azhar (Timbalan Syeikh Al-Azhar) dan Ketua Lujnah
Dialog Antara Agama Al-Azhar, Fadhilat Al-Syeikh Abdul Fattah Allam,
beliau berpendapat bahawa tindakan Kerajaan Malaysia menegah penggunaan
kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam adalah tepat. Ini kerana
kalimah Allah tidak boleh disama ertikan dengan kalimah Rabb yang
membawa makna Yang Mewujudkan. Sebagaimana maklum penganut bukan Islam
menamakan sebarang Tuhan Yang mereka sembah seperti batu, haiwan,
matahari dan lain-lain sebagai Allah. Hal ini sudah tentu amat tidak
wajar sama sekali dan menyalahi maksud kalimah Allah itu sendiri
sebagaimana yang termaktub di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.
Pandangan Penasihat Undang-Undang Kementerian Kehakiman Arab Saudi, Syeikh Abdul Muhsin Al-Abikan
Beliau berpendapat bahawa pendekatan Kerajaan Malaysia ini adalah
bertujuan untuk mengelakkan daripada penyalahgunaan nama Allah melainkan
hanya kepada Yang Maha Pencipta (tuhan yang sebenar). Ini kerana
terdapat agama-agama lain yang juga menggunakan kalimah Allah bagi agama
mereka sedangkan mereka adalah penyembah berhala, oleh itu nama Allah
tidak sepatutnya digunakan bagi menggambarkan tuhan-tuhan yang
selainNya.
Tokoh Pergerakan Perlembagaan Islam (Islamic Sonstitutional Movement) Kuwait, Syeikh Abdul Hamid Al-Ballali
Beliau menyokong penuh keputusan Kerajaan Malaysia untuk tidak
membenarkan penganut bulan Islam menggunakan kalimah Allah sebagai
panggilan bagi tuhan mereka. Beliau beralasan bahawa keputusan tersebut
amat signifikan bagi memelihara maksud istilah sebenar bagi kalimah
Allah. Umat yang gagal memelihara istilah-istilah agamanya adalah umat
yang leka. Sedangkan Allah SWT telah mengangkat umat ini sebaik-baik
umat.
Menurutnya lagi umat Islam perlu sedar banyak istilah-istilah yang
berasal daripada Islam pada hari ini telah cuba dieksploitasi, disalah
guna atau dipesongkan maknanya oleh pihak tertentu. Ia seperti istilah
syahid yang juga diguna pakai bagi penganut bukan Islam. Istilah riba
yang ditukarkan kepada faedah bank. Istilah khamar yang ditukarkan
kepada minuman rohani. Istilah liwat yang ditukarkan kepada istilah
hubungan sesama jenis. Persoalannya adakah umat Islam sedar tentang
fenomena ini sebagaimana kesedaran yang dipamerkan oleh Kerajaan
Malaysia?.
Keputusan Kerajaan
Keputusan mesyuarat Kabinet bertarikh 16 Mei 1986 juga telah memutuskan
bahawa perkataan Allah adalah termasuk antara kalimah-kalimah yang
dilarang penggunaannya oleh mereka yang bukan beragama Islam. Malah
penggunaan kalimah Allah,Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun
diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta P.U(A)
15/82 dan pekeliling KKDN. S.59//3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.
Manakala Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada 3 Januari 2008,
memutuskan untuk mengekalkan larangan tersebut yang pernah diputuskan
pada 18 Oktober dan I November 2006.
Kesimpulan
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan, tiada sebab untuk
Kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada pihak Kristian.
Malah keputusan Kerajaan adalah selari dengan Perkara 3 Perlembagaan
Persekutuan yang menobatkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Umat
beragama di Malaysia telah sedia maklum bahawa sebarang isu yang
berkaitan dengan Islam sama ada secara langsung atau tidak seharusnya
menghormati kedudukan istimewa agama Islam dan umat Melayu Islam di
negara ini – jasa.gov.my
Sumber: http://www.budakbenteng.com
No comments:
Post a Comment