Pages

Saturday, May 24, 2014

POLEMIK DYANA SOFYA - ANTARA KEHEBATAN DAP DAN KELEMAHAN PKR, PAS & UMNO


Kami mohon anda yang taksub dan assobiyah dengan individu, bangsa dan parti jangan teruskan membaca coretan ini kerana anda akan sakit hati. Tulisan ini bersandarkan fakta ekademik Islam dan dikhususkan untuk mereka yang berlapang dada, cintakan damai dan yakin dengan kehebatan Islam. Pencinta ilmu dan maklumat akan membaca bersama LINK dari artikel dan surah yang disertakan. Tolong jangan komen sebelum habis membaca dan berfikir. Tak setuju tidak apa tapi jangan mencarut macam forum macai.

Dunia politik semenjak seminggu dua ini menjadi semakin meriah. Warna warni politik sudah bermula seperti satu festival keraian yang mega. Tidak kurang mereka yang memeriahkan suasana dengan carut marut maki hamun tak berpenghujung. Asalkan berlainan kem, terus sahaja yang RASIONAL pun akan dihentam secara EMOSIONAL. DAP kata UMNO dan Melayu Celaka, UMNO pula marah, merusuh, ancam nak bakar pejabat DAP. Bersorak pula DAP katakan UMNO racist dan terrorist.

Sebahagian yang terjadi juga agak melucukan seperti kempen calon bebas yang terdesak sehingga sanggup berlakon seperti dilanggar kereta rasmi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, sedang hakikatnya beliau yang melanggar kereta itu. Namun, PRK di Teluk Intan lebih mencuri perhatian apabila ikon yang menjadi calon DAP dengan senyum dan lambaian karismatik seakan-akan melihat imbasan Mendiang Puteri Diana gayanya. Itulah Dyana Sofya.

PAKU BUAH KERAS BUAT TUN MAHATHIR & UMNO

Kelibat Dyana Sofya turut mencuri perhatian mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir sehingga beliau sendiri dengan yakin mengkritik cara pendidikan ibunya. Yammy Samad kononnya tidak pandai mendidik anak. Agak memalukan apabila seorang ahli veteran UMNO yang berjawatan di dalam parti mempunyai anak yang menongkah arus ke parti seteru. Namun, kenyataan Tun Mahathir dipulang semula dengan satu kenyataan yang sangat sinis dan menyentap…

“Saya cuba didik Dyana seperti Mukhriz tetapi dia membesar menjadi Marina”

Dari segi patriotisma kepartian, Yammy Samad bukanlah seorang yang patriotik secara holistik tetapi sekadar mengambil UMNO sebagai laluan profession politik sahaja, tetapi bukan satu wadah perjuangan yang berdarah daging.

Iman memang tidak boleh diwarisi, tetapi anak boleh dididik kerana iman datang dari unsur kefahaman yang menerbitkan keyakinan. Apa yang berlaku kepada Dyana ialah satu kegagalan doktrin UMNO yang tidak mendasar dalam hati ibunya sendiri. Lebih besar lagi, ia juga kegagalan Tun Mahathir dalam mendidik anak-anaknya sehingga doktrin perjuangan UMNO yang katanya memperjuangkan Melayu dan 'Islam sebenar' itu tidak mampu mendidik Marina yang hanyut dengan pejuang Feminisme, Liberalisme melalui ‘Sister in Islam’ (SIS).

KERANA NAFSU SEMUANYA BOLEH JADI

Keghairahan ibu Dyana sudah sampai ke peringkat yang dilihat sedikit takbur apabila terlalu yakin anaknya akan kekal Islam sampai bila-bila. Beliau turut menunjukkan toleransi secara terbuka dengan mengatakan walaupun anaknya mahu berkahwin dengan bangsa lain juga tiada masalah. Inilah gambaran amalan liberalisma yang boleh memakan diri. Ibu ini tidak ambil pelajaran dari apa yang berlaku dengan kes-kes murtad yang begitu banyak. Beliau juga tidak pandai membaca tanda, dengan gaya pakaian, senyuman, lenggok tubuh anak gadisnya. Beliau tidak curiga apa akan jadi pada nafsu seorang gadis apabila sentiasa diusung lelaki ke sana ke mari, di RENDAM dalam kelompok lelaki non Muslim, dengan parti arak dan sebagainya.

QS:16. An Nahl 72. “Allah menjadikan bagi kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagimu dari isteri-isteri kamu itu, anak-anak dan cucu-cucu, dan memberimu rezeki dari yang baik-baik. Maka mengapakah mereka beriman kepada yang bathil dan mengingkari nikmat Allah ?"

Nabi SAW bersabda: “Bersegeralah beramal sebelum datangnya rangkaian fitnah seperti sepenggal malam yang gelap gulita, seorang laki-laki di waktu pagi mukmin dan di waktu petang telah kafir, dan di waktu petang beriman dan pagi menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia.” (HR. Ahmad No. 8493)

Allah sendiri katakan yang hati kita ini berbolak balik. Jangan begitu yakin kita akan Islam selamanya tanpa sentiasa menjaga iman. Kita hanya mampu berdoa, “Ya ALLAH, Tuhan yang membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku pada agamaMU”.

Itu tentang Marina & Dyana yang kedua ibu bapa mereka tidak mampu mendoktrinkan UMNO kepada anak-anak mereka. Ia juga tidak mampu membuatkan mantan pemimpin utama UMNO, Tun Mahathir untuk menetapkan pendiriannya tentang UMNO itu sendiri semasa beliau mengumumkan keluar parti.

http://prihatin.net.my/v3/2014/05/12/kemelut-politik-negeri-terengganu-amat-kebudak-budakan/

Tindakan merajuk ala Mat Said ini pernah kami tuliskan sebagai satu tindakan kebudak-budakan yang minta dipujuk. Nakhoda bersara kini menjadi penumpang kapal dan disebabkan nakhoda yang ada dilihat kurang cekap lalu beliau bertindak untuk TERJUN dari kapal. Tindakan itu amat pelik untuk seorang bekas pemimpin yang katanya bijak.

DYANA DENGAN KONFLIK DEMOKRASI DAN INTEGRASI KAUM

Dyana lantang membawakan isu integrasi kaum sehingga dengan yakin menyatakan usul hudud dan juga isu UITM yang mendidik beliau, untuk dibuka kepada semua kaum. Ia lupa asal penubuhan UITM itu ialah untuk merapatkan jurang pemisah kaum yang ditinggalkan oleh penjajah. Jurang itu masih belum dirapatkan lagi ia sudah mula beliau pertikaikan.

Jika isunya untuk persamaan, mengapa tidak dimulakan dengan pemansuhan sekolah vernakular dan beberapa universiti perkauman juga? Mana lagi negara yang masih mengizinkan sekolah perkauman sebegini? Di mana keadilan dan sasaran Dyana dan DAP dalam perjuangan memupuk integrasi kaum itu?

Jika DAP dikatakan sebuah parti multi-racial, apa perlunya PKR yang juga sebuah parti multi-racial? Jika PAS sudah dipersetujui benar Islamnya mengapa perlu ada PKR juga? KECUALI kesemua parti-parti ini mempunyai visi-visi yang berlainan yang tidak boleh dikompromi penyatuannya. Lalu untuk apa Pakatan Rakyat ditubuhkan?

Dari sudut itu penyatuan dalam Pakatan Rakyat sangat jelas satu penyatuan PALSU yang semuanya memiliki visi yang tidak akan MENYATU. Penyatuan mereka ini seperti penyatuan Yahudi dan Nasrani yang asalnya ialah musuh ketat tetapi mereka bersatu hanya untuk MENJATUHKAN Ansar sahaja. Yang jelas sekarang ini pun sering berlaku ketidaksefahaman. Pastinya apabila berjaya memerintah akan lebih lagi ketidaksetabilannya.

Kita sedang menyaksikan satu kefasikan yang jelas bila DAP, PAS dan PKR sanggup ketepikan sementara visi masing-masing hanya untuk tumbangkan BN. Sekalipun BN dapat ditumbangkan, bagaimana sebuah kapal mampu dikemudikan oleh 3 nakhoda yang mempunyai destinasi berlainan yang TIDAK selaluan. Kita marhaen ini mahu ke mana?

PKR sebuah parti yang mempunyai doktrin perjuangan keadilan yang dari awalnya tertumpu kepada MEMBELA INDIVIDU bernama DS Anwar Ibrahim. Semenjak 1998 sehingga sekarang ia masih lagi sebuah parti yang bersifat ANANIAH, dengan perjuangan individu dan keluarganya. Ia berdasarkan EMOSIONAL berbanding RASIONAL. Ia lebih kepada simpati bukan empati, atas dasar KASIHAN bukan atas fundamental KASIHkan perjuangan.

Kerana EMOSIONAL itulah menyebabkan rasional perjuangan itu hilang. Jika sama tujuan PKR dan DAP, mengapa tidak menyatu sahaja?. Jelaslah mereka sanggup bersekedudukan tapi tidak sanggup bernikah seperti sepasang kekasih yang tidak yakin untuk berkahwin lagi.

Jika PAS benar untuk memperjuangkan Islam, mengapa pula berkompromi dengan sekutu yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menentang hudud yang diperjuangkan? Sanggup agenda perjuangan utama mereka itu diletak ke tepi dahulu. Seolah-olah hudud itu satu nyanyian bermusim untuk menang pilihanraya sahaja. Di manakah Mat Sabu semasa Dyana Sofya menyatakan untuk tidak menyokong hudud? Adakah sekadar duduk di sebelah dan bergambar sebagai satu sokongan yang mendasar?

Melayu ialah mangsa ‘Dasar Pecah & Perintah’ penjajah. Mereka tinggalkan Melayu dalam kemiskinan tatkala Orang Cina sudah jauh mendahului ekonomi. Dasar Ekonomi Baru sebelum itu dilancarkan untuk kita semua hidup dalam satu keseimbangan yang baik , namun ia masih belum berjaya lagi hingga kini. Terlalu banyak kelemahan deliveri dan sikap Melayu itu sendiri.

Jika perkara yang termaktub dalam kontrak sosial pun mahu dipersoalkan, maka Melayu akan terus miskin apabila peneraju ekonomi hari ini (Cina) berjaya membuang DEB itu dengan kuasa yang diperolehinya. Ia telah berlaku di Pulau Pinang apabila DEB telah dimansuhkan sebaik saja YB Lim Guan Eng menduduki kerusi Ketua Menteri.

Gula-gula Lim Guan Eng yang berbau rasuah politik dengan menambah peruntukan untuk Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dilihat mampu mengaburi mata sekutu mereka, khususnya PAS. Berapi-rapi ceramah PAS memuji Guan Eng. Beginilah lemahnya siyyasah orang Islam. Kita malas membaca dan mengkaji sejarah bagaimana Israel terbentuk, bagaimana pendekatan menaja ibadah haji oleh kerajaan Belanda melalui ulamak palsu Kiai Haji Abdul Ghafur (Snouck Hurgeronje) dalam usaha menjatuhkan Islam di Nusantara pada hujung abad ke 18 dahulu.

http://prihatin.net.my/v3/2013/11/09/pemesongan-fakta-sejarah-dalam-teks-sekolah-seruan-kajian-semula/

http://prihatin.net.my/v3/2013/11/09/arkitek-jurutera-teologi-yang-merangka-kejatuhan-islam-nusantara-ulamak-palsu-snouck-hurgronje/

http://prihatin.net.my/v3/2013/10/15/surat-pembaca-orientalis-berjaya-abu-zafeerah/

ANTARA KEADILAN YANG ‘RACIST’ DAN ‘RELIGIOUS’

Kita harus memahami konsep bahawa ‘keadilan’ itu tidaklah semestinya dapat sama banyak. KEADILAH ialah yang miskin kita berikan lebih, yang kaya kita beri kurang. Tidak dinafikan ada Melayu kaya dan ada Cina yang miskin tetapi yang mahu kita jadikan ialah sebuah negara yang seimbang ekonominya agar semua dalam keadaan aman. Yang miskin tidak kira Cina, Melayu, India harus kita bantu semua secara adil.

UMNO pula sebuah parti klasik yang masih dengan asas perjuangan BANGSA. Bangsa Melayu ialah bangsa yang rata-ratanya Islam. Tidakkah boleh UMNO dan PAS menyatu jika ego UMNO boleh ditundukkan agar perjuangan Melayu boleh dimasukkan dalam agenda perjuangan Islam?

Apa yang berlaku dalam kemerosotan sokongan kepada BN bukan kerana rakyat suka atau yakin sangat dengan Pakatan Rakyat, tetapi orang sudah terlalu jelak dan benci dengan BN & UMNO. Sekiranya tiada PR, kemungkinan fenomena pengundi beralih kepada calon bebas yang ‘Asalkan Bukan UMNO’ (ABU). Itulah doktrin Pakatan Rakyat yang kesemua komponennya mempunyai destinasi berbeza tetapi mereka menyatu MENOLAK BN melalui fenomena ABU.

UMNO sudah semakin mereput walaupun PM kelihatan sangat serius mendekati orang muda. Satu-satunya pendekatan lapuk yang BN gunakan untuk menarik pengundi ialah dengan konsert huhahuha. Bawalah K-Pop ataupun Gangnam, namun yang BN dapat bukanlah warga yang baik dan berwawasan, tetapi sebahagian kutu berahak, mat dan minah rempit yang memang suka dengan hiburan. Sebahagian besarnya belum layak, bahkan tidak mengundipun.

DAP hanya kuat apabila Melayu berpecah sehingga pada PRU-13, ia berjaya menjadi kuasa penentu. UMNO pula masih lena dengan Pak Menteri yang sebahagiannya seperti badut-badut tua yang sudah tidak relevan lagi bila berkata. Budaya kebudak-budakan, kena beri jawatan dan ‘habuan bersara’ untuk jaga hati orang lama, fitnah dalaman, korupsi, promosi yang berlebihan di media perdana dan rata-rata pemimpinnya jahil tentang agama telah membuatkan rakyat yang berakal bosan lalu beralih kepada Pakatan Rakyat.

BN lupa bahawa Malaysia bukan seperti tahun 80-an yang hanya ada RTM 1 dan RTM 2 sahaja. Adanya siaran TV3 dulu pun jika nak dapat siaran kena gantung penutup periuk di antena luar rumah. Hari ini, dunia penuh maklumat dan masyarakat sudah celik. Jangan berikan hujah retorik yang memualkan, sebaliknya berikan fakta yang sahih dan konstruktif.

Jika UMNO masih utuh, tidaklah ramai anak-anak menterinya, bahkan ramai pemimpin lamanya berada di dalam parti pembangkang. Tidaklah Dyana dan Marina jadi begini.

ISU HUDUD, AURAT & WANITA SEBAGAI PEMIMPIN

Kita bingung melihat pendirian pemimpin PAS yang juga dilihat seperti lembu cucuk hidung dalam membela Islam. Satu demi satu prinsip perjuangan Islamnya dikorbankan. Dari perjuangan hudud bertukar kepada negara berkebajikan. Dari mengkafirkan UMNO kerana bekerjasama dengan bukan Islam, kini PAS malah bekerjasama dengan DAP cauvenis yang terang-terang menolak Islam.

Sekian lama kita bingung melihat pemimpin PAS bersekongkol dengan pemimpin DAP sehingga tergamak melihat ayat-ayat quran dipermain-mainkan di pentas mereka. Ramai manakah pemimpin DAP yang sudah masuk Islam dengan sebenar-benarnya? Jangan tipu diri sendiri mengatakan itu dan ini sedangkan kita tahu mereka membaca quran untuk memperolok-olokkan agama dan untuk kepentingan politik sahaja. Mereka perlu dibacakan, bukan membacakan. Allah benci orang yang bercakap tapi tidak melakukan apa yang kita cakap (QS 61/2-3). Allah larang kita berbuat tanpa ilmu dan ikut-ikut(QS:17/36) (QS;10/36).

Hari ini kita bingung melihat sokongan terhadap satu kebatilan yang nyata. Seorang gadis muda yang tidak bertudung dan memelihara syarak itu diarak, disorak dan diusung oleh tok tok lebai dan mukminah berpurdah. Kenyataan demi kenyataan yang rata-rata mengguris hati umat Islam, termasuk menolak HUDUD yang riuh diperjuangkan telah dikeluarkan, pemimpin dan penyokong PAS masih tegak di situ macam badut. Apa sudah jadi dengan prinsip kita sebenarnya? di mana pendirian kita? Maka jelaslah bahawa Islam dan perjuangannya hanya menjadi gula-gula politik sahaja.

http://prihatin.net.my/v3/2014/05/24/kekeliruan-tentang-aurat-dan-hijab-jilbab-khumur-niqab-dan-sikap/
http://prihatin.net.my/v3/2014/05/24/dilema-larangan-wanita-sebagai-pemimpin/

DEMOKRASI YANG MEMAKAN DIRI

Kita sedang melihat kehancuran dari sistem demokrasi tajaan DAJJAL ini. Ia jelas sistem jahiliyah dan bercanggah dengan Islam. Habis segala ulamak dan tok alim pun melaungkan demokrasi. Islam memberikan batasan atau hudud. Demokrasi pula mahukan kebebasan sepenuhnya. Maka kembalilah kita hidup macam haiwan yang mahu demokrasi dan tidak boleh disekat kemahuannya. Islam mahukan penyatuan, demokrasi berparti menyediakan wadah perpecahan. Kasihan melihat semua umat jahiliyah ini MEREMPIT DEMOKRASI semahunya.

Zaman jahiliyah, hanya sedikit yang berilmu dan RAMAI yang jahil. Sistem demokrasi pula akan memenangkan yang ramai. Maka demokrasi menggalakkan fenomena lembu yang ramai memimpin seorang gembala, bukan gembala yang memimpin lembu. Itu jelas tergambar dalam surah ke2, al-Baqarah:170-171. Sudahlah lembu, betina pulak tu.

Zaman jahiliyah, perempuan lebih ramai dari lelaki. Lelaki yang sedikit juga akan cair dengan perempuan yang menawan. Kerana itu, untuk menang, terpaksalah ketengahkan wanita sebagai calun. Ia akan disokong walaupun tidak bertudung, walaupun mencabar hukum, sekalipun Islam melarang wanita jadi pemimpin umum. Yang menyokong, yang disokong bersedialah menanggung dosa dan kifarahnya.

Dengan demokrasi, apapun kita tidak boleh buat kerana semuanya melanggar hak asasi, biarpun hak itu bersifat lebih teruk dari kehaiwanan. Ini Allah sudah jelaskan di surah al-Maidah:90-91, surah hidangan, surah di mana Islam sudah lengkap. Sistem Demokrasi berUNDI ini memecah belah, penuh dengan perjudian yang tidak pasti, menjadikan umat MABUK, taksub dan menyembah selain dari Allah, iaitu harta, tahta, calun dan parti. UNDI Demokrasi ini membuatkan kita melalaikan urusan dakwah dan perjuangan yang hakiki.

http://prihatin.net.my/v3/2014/01/30/sistem-perlantikan-pemimpin-yang-tidak-islamik/

Jika kita masih yakin dengan demokrasi, ingin kami kongsikan mutasyabihat kepada kisah nabi Yunus a.s. yang ditelan ikan besar dalam sistem undi. Biarpun menang, ia tetap akan menyiksa, menghina dan mengalahkan kita selama-lamanya, apatah lagi jika kalah.

Lihat berapa lama PAS Kelantan memerintah, mengapa gagal tegakkan hudud? ini kerana ia masih duduk dalam perut ikan besar. Dan jika Dyana menang, jangan mimpi akan mudah-mudah tegakkan Islam dan keadilan kerana beliau juga akan duduk dalam perut ikan besar iaitu partinya DAP. Siapa yang akan menyokong usul Dyana dalam DAP? Berapa ramai pemimpin Melayu di DAP? Sedangkan Tunku Aziz yang berpengalaman pun keluar DAP, inikan Dyana yang baru setahun jagung.

QS:37. Ash-Syaffaat:141-144 “Kemudian ia ikut MENGUNDI lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian. Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah, niscaya ia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.”

Kenyataan ibu Dyana turut menampakkan beliau juga menjadi mangsa demokrasi. MasyaAllah.

“Dalam rumah kita juga mesti ada pembangkang biar seimbang”
“Anak muda mempunyai kuasa untuk menegakkan demokrasi”
“ Saya tetap akan sokong anak, biar apa pun partinya…”
“Saya beri kebebasan sepenuhnya pada anak saya, sekalipun dia nak berkahwin dengan bangsa/orang asing”

Soalan penting… DI MANAKAH AYAH DYANA? Tidakkah sewajarnya lelaki yang menjadi pemimpin rumahtangga dan jurucakapnya? Maka kesimpulannya, ada juga yang tidak kena dalam peranan kepimpinan lelaki dalam keluarga itu. Jika anak sendiripun gagal dibentuk, macamana ibunya boleh jadi pemimpin yang baik? Itu tak ambil kira lagi hukum wanita sebagai pemimpin umum?

Banyak sekali kelemahan pada rantai pembentukan Dyana dan ibunya ini. Jika beliau adalah ibu yang baik dalam pendidikan keluarga, jika perjuangan beliau dalam UMNO selama ini cukup jitu, dan jika doktrin UMNO cukup mantap, pastinya Dyana akan meneruskan kesinambungan perjuangannya. Itu hakikat warisan perjuangan yang seharusnya disambung oleh generasi penerus, jika ianya benar HAQ dan diperjuangkan dengan betul.

Mungkin sudah sampai masanya UMNO juga harus mengkaji dengan sangat mendalam di mana kelemahan doktrin mereka. Kaji kelemahan dan menapis semula keanggotaan ahli dan keikhlasan pemimpin keseluruhannya. Sikap kememeh, kebudak-budakan yang suka merajuk dan minta gula-gula, suka ikut-ikut dan berbuat tanpa ilmu, ampu bodek, amalan rasuah dan gila kuasa semuanya perlu dihapus.

KESIMPULAN

Kita memang sudah tertipu dan lari jauh dari landasan Islam yang mensejahterakan ini. Tidak guna menyalahkan individu. Apa yang kita hadapi kini bukan salah satu orang, dan bukan kesilapan yang berlaku hanya sekarang. Ia telah dirancang rapi sejak awal penubuhan negara kita yang ditaja penjajah melalui proses kemerdekaan palsu.

Al Marhum Tunku Abdul Rahman telah tertipu, tok nenek kita tertipu, Tun Razak juga tidak sedar, Tun Mahathir meneruskan kesilapan sampai bersara, Pak Lah terlena, dan kini DS Najib sedang pening kepala. Dyana dan ibunya, bahkan kita semua tak usah ceritalah, memang jadi ulam cukup lama. Bagaimana kita akan mampu memerdekakan diri jika semuanya masih berkiblatkan barat? Pemimpin semua belajar di barat. Ilmu dan teknologi semuanya disuap. Tiada penggalian sendiri untuk mengenal diri dan membuat koreksi.

Mari kaji semula sirah rasul, sejarah perkembangan dan siri kejatuhan peradaban dunia, umat Islam, bangsa Melayu, Wilayah Melaka Nusantara dan pembentukan Malaysia. Nanti kita akan dapat kesan di mana silapnya dan ada pedoman untuk pembaikan semula.

Oleh itu kami seru agar hentikan tindakan yang terlalu emosional. Berasa malulah. Elakkan sebarang amukan dan demokrasi yang tidak henti-henti. Serangan dan fitnah peribadi terhadap Dyana dan individu pemimpin tidak bawa kita ke mana. Ia malah menjatuhkan tahap kematangan dan kredibiliti kita serta melunturkan kepercayaan bangsa lain untuk bertumpang teduh.

Mari kita bertenang seketika. Kajian oleh Datuk Hassan Ali menunjukkan 98% pelajar sekolah menengah sampai Universiti tidak pandai baca quran. Majoriti tidak tahu solat subuh. Murtad berleluasa. Buang bayi merata-rata. Zina tak kira masa. Beliau yang cuba menegakkan hukum mendapat tekanan hebat dan dipecat tanpa bicara. Itu juga jerat demokrasi yang telah diisi oleh emosi akibat terlalu gila kuasa.

Kami memang sering menyarankan kajian semula kelemahan demokrasi tajaan Dajjal. Kami harap sangat kajian perlaksanaan semula sistem monarki yang dipimpin oleh ulamak yang berjemaah dan tidak berkepentingan. Jangan pula kata kami ini penyokong tegar JATI. Ada bezanya kerana kami tidak taksub kepada bangsa Melayu sahaja. Sebelum PM dilantik lagi kami sudah amalkan konsep 1Malaysia. Itulah Islam yang sebenar, tidak taksub dan asobiyyah.

QS:18. Al Kahfi 18. Dan kamu mengira mereka itu bangun, padahal mereka tidur; Dan kami balik-balikkan mereka ke kanan dan ke kiri, sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan diri dan tentulah kamu akan dipenuhi oleh ketakutan terhadap mereka.

Sudah lama kita diperkotak katikkan dengan sitem demokrasi ini. Anjing mereka yang kita takuti terus memerhati depan pintu gua. Sebentar puak A menang, sebentar puak B menang, lawan lagi dan puak A menang semula… begitulah selamanya kita akan membuang masa, tenaga, dana dan maruah untuk terus berkempen. Rakyat akan terus melarat. (QS: 30/2-6).

Berubahlah.. Yakinlah dengan manual kehidupan yang telah Allah hadiahkan untuk kita ikut tanpa ragu-ragu. Bersatulah. Insyaallah akan Allah tambahkan kuasa yang sedia ada.

“Dan Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang saleh bahwa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa dimuka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar keadaan mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. mereka tetap menyembahku-Ku dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan aku. dan Barangsiapa yang (tetap) kafir sesudah itu, Maka mereka Itulah orang-orang yang fasik (kafir). (Surah An-Nur : 55)

Ayuh ISLAH, cari halatuju yang SOLEH, yang mampu membawa pembaharuan agar kita tidak berbolak balik di takuk lama yang semakin menjahanamkan watan negara ini. Buanglah perjuangan yang palsu dan penuh kefasikan.

Tidak susah untuk memahami manual Allah dan melaksanakannya jika kita benar-benar mencari JALAN menuju Allah dan rasul. Yang susah kerana kita sering mencari ALASAN kerana memang sudah ada sembahan dan keinginan lain dalam diri kita yang menghalang kita kembali kepada ALLAH. Kita asyik rasa kita lebih bijak dari Allah yang memberikan sistem itu. Nafsu dan ego kita LEBIH BESAR dari ALLAH YANG MAHA BESAR.

Analisa Dyana dan Marina Mahathir, UMNO, PAS, PKR & DAP.

Sumber: WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment