Islam mementingkan keadilan
Antara nilai-nilai asasi yang di bawa oleh Islam merangkumi prinsip kehidupan individu, keluarga, masyarakat hatta sistem politik adalah sifat adil. Ini dapat dilihat apabila Allah s.w.t. telah menjadikan keadilan adalah matlamat semua risalah samawiyyah. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan. Dan kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai-bagai manfaat bagi manusia, (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)-Nya dan rasul-rasul-Nya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa.” (al-Hadid: 25)
Yang dimaksudkan dengan keadilan itu ialah memberikan hak kepada yang berhak sama ada hak individu atau jemaah. Islam menyuruh berlaku adil terhadap diri sendiri dengan mengimbangi antara hak dirinya, hak tuhannya dan hak orang lain.
Islam juga menuntut berlaku adil terhadap semua manusia sama ada yang kita suka atau yang kita benci. Janganlah kerana sayang kita sentiasa menyebelahi seseorang walaupun pada perkara kebatilan. Sebaliknya kebencian tidak menghalang daripada berlaku adil terhadap hak seseorang. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Ahli Kitab meminta kepadamu agar kamu menurunkan kepada mereka sebuah Kitab dari langit. Maka sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata: “Perlihatkanlah Allah kepada kami dengan nyata.” Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya, dan mereka menyembah anak sapi, sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata, lalu kami maafkan (mereka) daripada yang demikian. Dan telah kami berikan kepada Musa keterangan yang nyata.” (al-Nisaa’: 153)
Islam juga menuntut bersifat adil dalam percakapan. Janganlah kerana marah tidak lagi berbicara secara benar. Begitu juga ketika reda sehingga mengharuskan kebatilan. Firman Allah. s.w.t. bermaksud:
“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim, kecuali dengan cara yang lebih bermanfaat, hingga sampai ia dewasa. Dan sempurnakanlah takaran dan timbangan dengan adil. Kami tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar kesanggupannya. Dan apabila kamu berkata, maka hendaklah kamu berlaku adil, kendatipun ia adalah kerabat(mu), dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu ingat.” (al-An’am: 152)
Islam menuntut berlaku adil dalam penyaksian. Tidak dibenarkan bersaksi kecuali pada perkara yang ia tahu sahaja. Jangan ditokoktambah dan jangan dikurangkan daripada apa yang diketahuinya sahaja serta jangan diselewengkan fakta sebenar. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Apabila mereka telah mendekati akhir iddahnya, maka rujukilah mereka dengan baik atau lepaskanlah mereka dengan baik dan persaksikanlah dengan dua orang saksi yang adil di antara kamu dan hendaklah kamu tegakkan kesaksian itu kerana Allah. Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.” (al-Talaq: 2)
Islam juga menuntut berlaku adil dalam menjatuhkan hukuman. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (al-Nisaa’: 58)
Apabila kita membicarakan tentang keadilan hukum Allah s.w.t., kita tidak boleh mengelakkan diri daripada berbicara tentang hukum hudud terutamanya kerana ia menjadi isu yang hangat diperkatakan mutakhir ini. Ramai yang berpandangan bahawa hukum hudud hanya dikhususkan kepada orang Islam sahaja dan orang bukan Islam tidak terlibat. Seandainya hudud hanya untuk orang Islam sahaja, apakah keadilan akan tertegak terutamanya apabila kes-kes jenayah hudud berlaku merentasi kaum dan agama seperti di Malaysia? Untuk merungkai persoalan ini pandangan para fuqaha’ sepatutnya dirujuk.
Pengertian hukuman hudud
Hudud dari sudut bahasa ialah halang dan memisahkan antara dua benda.[1]
Pengertian hukuman hudud dari sudut syarak ialah hukuman yang telah ditetapkan kadarnya dan bertujuan melaksanakan hak Allah s.w.t.[2] Oleh itu, tidak termasuk dalam pengertian tersebut hukuman takzir, kerana tiada penentuan secara khusus dan juga hukuman qisas, kerana ia berkait dengan hak-hak manusia.
Hukuman tersebut dinamakan sebagai hudud kerana mengikut kebiasaanya dapat mencegah pelakunya daripada mengulangi perbuatan jenayah.
Jumhur fuqaha’ bersepakat mengatakan jenayah yang melibatkan hukuman hudud terbahagi kepada lima, iaitu mencuri, hirabah (merompak dan membunuh), zina, qazaf dan minum arak. Sebahagian fuqaha’ mengatakan jenayah yang melibat hukum hudud ada tujuh, iaitu ditambah dengan kesalahan murtad (riddah) dan pendurhakaan (baghyun).
Hukuman hudud terbahagi kepada tujuh kategori mengikut kesalahan jenayah yang dilakukan iaitu:
- Mencuri, hukumannya adalah potong tangan.
- Merompak dan membunuh (hirabah), hukumannya adalah 1) bunuh, 2) bunuh dan salib, 3) potong tangan, 4) buang negeri. Semuanya bergantung kepada bentuk kesalahan yang dilakukan.
- Zina, hukumannya adalah 1) sebat, 2) buang negeri, 3) rejam sampai mati.
- Qazaf, hukumannya adalah sebat dan tidak diterima sebagai saksi.
- Minum arak, hukumannya adalah sebat
- Murtad (riddah) hukumannya adalah 1) bunuh, 2) dirampas hartanya
- Pendurhakaan (baghyun) hukumannya adalah bunuh.[3]
Persoalan yang timbul ialah apakah skop kawasan dan siapakah yang terlibat dengan hukum hudud ini?
Undang-undang jenayah Islam pada asalnya merupakan undang-undang yang bersifat global kerana ia adalah sebahagian daripada syariat Islam. Syariat Islam sememangnya bersifat ‘aalamin.
Oleh kerana pada hari ini tiada Negara Islam atau Khilafah Islamiah dalam ertikata yang sebenar selain daripada hanya berbentuk negara-negara umat Islam, maka pelaksanaan undang-undang Islam hanya boleh dilaksanakan dalam skop yang kecil iaitu mengikut kawasan atau negeri atau negara. Undang-undang jenayah Islam dengan itu, merupakan undang-undang setempat dari sudut realitinya hari ini.
Dari sudut sasaran pelaksanaannya, mengikut pandangan yang dipakai oleh Imam Malik, Syafei dan Ahmad bin Hanbal, hukuman hudud merangkumi semua jenis jenayah yang melibatkan hudud yang berlaku dalam negara Islam tanpa mengira warganegara dan agama pelakunya[4] sama ada orang Islam, kafir zimmi[5] atau musta’min.[6]
Ini kerana bagi orang Islam semestinya terikat dengan hukum hakam syariat. Bagi kafir zimmi kerana mereka terikat dengan akad zimmah yang menjadikan mereka wajib mematuhi hukum hakam Islam sebagai timbal balas kepada jaminan keselamatan diri dan harta mereka. Manakala bagi musta’min pula mereka tertakluk kepada hukum Islam kerana jaminan keselamatan yang mereka minta.[7]
Ini merupakan kaedah umum. Jumhur fuqaha’ bagaimanapun mengecualikan bab minum arak iaitu peminum arak yang bukan Islam tidak dikenakan had minum arak kerana meraikan pegangan mereka yang menghalalkannya. Sebahagian fuqaha’ yang lain berpandangan sebaliknya.
- Al-Zohiriyyah berpandangan wajib dikenakan hukuman had minum arak tanpa mengira siapa peminumnya; orang Islam atau kafir.
- Al-Ja’fariyyah mengatakan dihukum juga orang kafir sekiranya mereka minum arak secara terang-terangan.
- Al-Zaidiyyah berpendapat orang kafir juga dikenakan hukum had minum arak apabila mabuk, kerana mabuk juga diharamkan oleh agama mereka. Inilah pandangan yang kuat kerana arak jelas merosakkan akal.[8]
Perkara yang berbeza antara orang Islam dan bukan Islam hanyalah melibatkan hal-hal aqidah dan kepercayaan[9] serta isu-isu yang melibatkan perkahwinan dan kekeluargaan.[10]
Apa pun pandangan yang mengatakan bahawa orang bukan Islam tidak terikat dengan hukum hakam syariat, pandangan ini disangkal dengan hujah bahawa keadilan[11] dan penjagaan kemaslahatan masyarakat lebih utama berbanding dengan yang lain.[12]
Oleh itu adalah menjadi kewajiban kita sebagai muslim untuk menjelaskan konsep hukum hudud ini kepada bukan Islam. Penjelasan yang diberi tidak seharusnya menekankan tentang ketegasan hukum Islam semata-mata tetapi penekanan haruslah diberi dari aspek kesan hudud ini terhadap kehidupan masyarakat yang membawa kepada keamanan dan keharmonian. Pada masa yang sama mempamerkan keindahan Islam dari sudut keadilan dan kesungguhan pembasmian jenayah.
Ustaz Kamarudin Awang Mat
TYDP ISMA Kuala Terengganu
______________________________
[1] Al-Bustani, Fuad Afram: Munjid al-Tullab, hlm 108, 1956, Bayrut, Dar al-Masyriq.
Qal’ahji, Muhammad Rawwas: Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 176, 1988, Bayrut, Dar al-Nafais.
[2] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 127 dan 634, 1989, Bayrut, Muassasah al-Risalah.
[3] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 634-663, 1989, Bayrut, Muassasah al-Risalah.
[4] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, juz 1, hlm. 280-287, 332-334 dan 339, 1989, Bayrut, Muassasah al-Risalah. Zaydan, Abd Karim: al-Madkhal li Dirasah al-Islamiyyah, m/s 344, 1990, Bayrut, Muassasah al-Risalah. (شرح السير الكبير ج 1 ص 207، و ج 4 ص 108، المبسوط ج 3 ص 121، الأم للشافعي ج 6 ص 40، المحلى لابن حزم ج 9 ص 425، الخلاف للطوسي ج 3 ص 242، اختلاف الفقهاء للطبري ص 45، البحر الزخار ج 5 ص 148)
Zaydan, Abd Karim: Majmuah Buhuth Fiqhiyyah, hlm. 396, 1986, Bayrut, Muassasah al-Risalah. Ahmad, Abd al-Rahman,(Ulama al-Azhar al-Syarif): Adakah Dilaksanakan Hudud ke Atas Orang-Orang Bukan Islam. 25.4.2007
http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=27901&SecID=0 25.4.2007 Al-Basyar, Khalid bin Abd Allah, Tenaga pengajar di Universiti al-Malik Sauud, Arab Saudi: Adakah Dilaksanakan Hudud Terhadap Orang-Orang Kafir Yang Tinggal Dalam Negara Islam.
http://ejabh.m5zn.com/arabic_article_101361.html 2011
Al-Qaradawi,Yusuf: Pelaksanaan Hukum Jenayah Islam.
http://www.qaradawi.net/library/52/2483.html 9.7.2001
[5] Zimmi ialah bukan Islam yang mendiami Negara Islam dan membuat perjanjian untuk mematuhi undang-undang Islam. Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 276.
Istilah semasa bagi ahli zimmah adalah muwatinun atau warganegara. http://www.qaradawi.net/new/library2/265-2014-01-26-18-45-50/2107-
[6] Mustamin ialah kafir harbi yang memasuki Negara Islam dengan mendapat keizinan atau jaminan keselamatan khas atau melalui perjanjian. Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 277. http://www.qaradawi.net/new/all-fatawa/1802-2012-02-04-022400.
[7] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 287.
[8] Abd Karim Zaydan, al-Madkhal li Dirasah al-Islamiyyah, m/s 344.
[9] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 332.
[10] http://www.qaradawi.net/new/all-fatawa/1802-2012-02-04-022400
[11] Audah, Abd Qadir: al-Tasyri; al-Jinaiyy al-Islamiyy, hlm. 334.
[12] Ahmad, Abd al-Rahman,(Ulama al-Azhar al-Syarif): Adakah Dilaksanakan Hudud ke Atas Orang-Orang Bukan Islam. 25.4.2007 http://www.ikhwanonline.com/new/Article.aspx?ArtID=27901&SecID=0 25.4.2007
Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/05/hudud-untuk-siapa/
No comments:
Post a Comment