Pages

Tuesday, December 2, 2014

Solusi bijak bagi menangani krisis Selatan Thailand

December 1, 2014 Berita Dunia Islam, Berita Utama, Pendapat, Utama 0

selatan thailand
 
1. Siri perjuangan rakyat ini bermula sejak puluhan tahun dahulu. Bermula sejak kerajaan Siam menamatkan pemerintahan beraja Pattani pada 1902. Kebangkitan paling ketara untuk berpisah sekitar tahun 1940-1980 an di bawah Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO).

2. Krisis terburuk adalah semasa krisis Tak Bai, cara Thaksin menangani tunjuk perasaan pada Jun 2009 menimbulkan kemarahan masyarakat dunia. Thaksin menghapuskan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (penghubung antara pemimpin Islam dan kerajaan). Sejak 2004, lebih 5400 nyawa telah terkorban.

3. Menurut Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan, situasi di selatan Thailand sebenarnya berbeza dengan selatan Filipina dan lebih sukar untuk ditangani.

Filipina lebih mudah kerana mereka mempunyai kumpulan besar dan ketua yang nyata. Selatan Thailand pula banyak kumpulan kecil yang tidak bersatu dan berpecah serta tiada ketua yang mewakili majoriti kumpulan tersebut. Perbincangan sukar untuk dilakukan dengan pejuang kumpulan-kumpulan di selatan Thailand berbanding di Filipina.
 
Rundingan yang dijalankan sebelum ini tidak hanya tertumpu pada satu kumpulan pemisah iaitu Barisan Revolusi Kebangsaan (BRN), sebaliknya ia perlu melibatkan kumpulan pemisah lain seperti PULO, Barisan Pembebasan Islam Patani (BIPP) dan Gerakan Mujahideen Islam Patani (GIMP).

Hal ini kerana semasa rundingan perdamaian bersama BRN sebelum ini, insiden pengeboman oleh kumpulan pemisah tetap berlaku dan ini menunjukkan BRN tidak mewakili suara majoriti kumpulan pemisah.

4. Peranan Malaysia selaku orang tengah kini adalah untuk memujuk semua kumpulan pejuang itu duduk berbincang dengan kerajaan Thailand. Perkembangan ini adalah perkembangan yang baik. Pihak pejuang dan juga kerajaan Thailand mula menampakkan Malaysia sebagai satu sisi yang neutral dan meletakkan kepercayaan kepada Malaysia dalam menangani krisis ini.

5. Cabaran utama bagi Malaysia adalah untuk mengumpulkan semua atau sekurang-kurangnya majoriti duduk berdiskusi dalam satu meja.

6. Perdana Menteri baharu Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha bersedia untuk menyambung semula rundingan dengan kumpulan pemisah yang terhenti sejak Oktober lalu ketika di bawah pentadbiran Yingluck Shinawatra.

Harapan
Prayuth yang diangkat menjadi Perdana Menteri melalui rampasan kuasa tentera pada Mei lalu, paling kurang boleh mengulangi pencapaian bekas Perdana Menteri General Prem Tinsulanonda yang berjaya mengurangkan ketegangan di kawasan selatan Thailand sekitar 1980an hingga awal tahun 2000 dengan polisi asimilasinya.

Prem berjaya mententeramkan ketegangan di kawasan terbabit dengan melaksanakan dasar pembaharuan termasuk menyokong hak kebebasan budaya, melaksanakan pembangunan ekonomi, memberi pengampunan kepada pemberontak dan mengadakan kerjasama dengan Malaysia bagi mengukuhkan kawalan keselamatan di sempadan.

Dasar-dasar itu dilaksanakan kerana menyedari majoriti penduduk di wilayah berkenaan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat, selain lima daerah Chana, Thepa, Na Thawi, Saba Yoi dan Sadao merupakan penduduk Melayu beragama Islam.

Malaysia harus mengambil peluang sebagai mediator kepada krisis yang berlaku di selatan Thailand ini, juga sebagai bakal Pengerusi ASEAN yang baru pada 2015 ini untuk meletakkan agenda penyelesaian krisis ini antara modus terpenting yang perlu diselesaikan oleh sidang negara-negara anggota ASEAN.

Negara-negara anggota ASEAN mampu menjadi pengerak dan pendesak kepada Thailand supaya lebih memandang serius tentang bagaimana untuk menamatkan konflik berkenaan. Di samping perlunya mencari punca sebenar pergolakan, kegagalan beberapa perjanjian damai dan gencatan senjata sebelum ini perlu menjadi iktibar agar kesilapan sama tidak diulangi tanpa mengabaikan beberapa perkembangan positif yang berjaya dicapai.

Mohamad Asyraf Mohamad Farique
Pengasas dan Penganalisa Kanan IRIS Institute

http://www.iris.institute/v1/2014/11/solusi-bijak-bagi-menangani-krisis-selatan-thailand/
 

No comments:

Post a Comment