November 19, 2014 Majlis Ulama ISMA
katanya “Pemerintah kita kan Melayu, takkanlah
kita terancam kot”
Hari ini serangan terhadap umat Islam berlaku dalam
pelbagai bentuk dan rupa, samada secara jelas, secara tidak langsung atau
secara halus. Di dalam kepelbagaian serangan ini, wujud suatu serangan yang amat
berbahaya, yang boleh membawa kepada lumpuhnya umat secara menyeluruh jika
serangan ini berjaya. Iaitulah suatu serangan yang bertujuan menjadikan orang
yang diserang itu berasa bahawa dia tidak berada dalam situasi diserang.
Saya
suka untuk menamakannya sebagai penyakit “naïf”. Serangan dalam bentuk ini akan
menjadikan orang yang diserang itu tidak berasa terancam, berasa selesa walhal
pada hakikatnya dia sedang diancam lalu keadaan ini dijadikan sebagai peluang
keemasan oleh musuh untuk melakukan pukulan maut.Akhirnya orang yang menghadapi
serangan ini tidak akan sedar bahawa dia sedang kalah hinggalah apabila dia
sedar bahawa kampungnya sudah tergadai sedang dia sibuk bersorak.
katanya “Bilangan ahli Parlimen Melayu dan Islam kan
ramai di Parlimen”
Serangan menggunakan senjata ini bukanlah baru,
bahkan perkara inilah merupakan antara senjata yang paling banyak digunakan oleh
musuh dalam mengalahkan umat Islam. Perhatikanlah sejarah! Lihatlah bagaimana
runtuhnya keagungan tamadun Khilafah Abasiyyah di tangan Mongol.
أَوَلَمۡ يَسِيرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ فَيَنظُرُواْ
كَيۡفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ كَانُواْ مِن قَبۡلِهِمۡۚ كَانُواْ هُمۡ أَشَدَّ
مِنۡہُمۡ قُوَّةً۬ وَءَاثَارً۬ا فِى ٱلۡأَرۡضِ فَأَخَذَهُمُ ٱللَّهُ بِذُنُوبِہِمۡ
وَمَا كَانَ لَهُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن وَاقٍ
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara
di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan
orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang
lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha
pembangunan di muka bumi. Maka sekalipun demikian, Allah binasakan mereka dengan
sebab dosa-dosa mereka dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat
menyelamatkan mereka dari azab Allah. (Al Ghafir:21)
Dr Ragheb El
Sergani menceritakan hal ini di dalam buku beliau “Qisah Tatar: minal bidayah
ila ain jalut” akan suasana naïf yang melanda umat Islam ketika itu:
“Penduduk di Baghdad ini telah menzalimi saudara-saudara mereka selama 40
tahun, mereka dengar akan kisah penyembelihan saudara-saudara mereka yang berada
di Afganistan, Uzbakistan dan lain-lain oleh tentera Mongol, mereka juga
mendengar akan kisah muslimah-muslimah dirogol dan pembunuhan kanak-kanak kecil,
namun mereka langsung tidak berbuat apa-apa. Bahkan mereka mendengar akan kisah
khalifah sebelum itu berkomplot dalam membunuh umat Islam atas kepentingan
politik namun mereka tetap diam membisu. Maka mereka sepatutnya dihukum atas
kenaifan ini”
Umat Islam di Baghdad ketika itu merasakan mereka adalah
kuasa terbesar dunia, mereka adalah pemerintah yang berdiri atas dasar Islam
yang diredhai oleh Allah SWT, jadi tidak mungkin mereka akan dikalahkan oleh
mana-mana pihak khususnya tentera Mongol yang merupakan suatu bangsa yang
seolah-olah tidak wujud dalam peta dunia. Perasaan berasa selesa dan tidak rasa
terancam inilah menyebabkan mereka kalah.
Hulaghu Khan menyeksa Khalifah ketika itu
sebelum dibunuh
katanya “Tengok cara bukan Islam perintah,
berapa banyak duit diberi untuk bangunkan Islam”
Bahkan lebih
mengejutkan lagi, penyakit “naïf” ini sampai ke tahap adanya dikalangan pimpinan
umat Islam ketika itu yang bekerjasama dengan Mongol dalam menjatuhkan Khilafah
Abasiyah. Perkara yang sepatutnya dirasakan sebagai suatu ancaman menjadi
sebaliknya, mereka rasakan ianya sebagai suatu peluang lalu bekerjasama dengan
musuh, mereka lupa siapa musuh dan siapa kawan. Akhrinya mereka hanya menyedari
hal ini apabila mereka turut dibunuh setelah selesai diperkudakan oleh Mongol.
“Badaruddin Lu’lu’ (Gabenor Islam di Mosul) tidak cukup hanya dengan tidak
ambil kisah tentang hal Mongol, bahkan menghantar tenteranya untuk bersama-sama
Mongol untuk menjatuhkan Abasiyah dengan slogan “Membebaskan tanah air daripada
kekejaman Abasiyah”
Umat Islam ketika itu terpaksa membayar bayaran yang
tersangat mahal akibat penyakit kenaifan yang melanda semua kelompok ketika itu,
samada pemimpin atau pon rakyat. Para sejarahwan menganggarkan bilangan mereka
yang terkorban di Baghdad lebih daripada sejuta nyawa umat Islam. Kenaifan ini
turut menyebabkan runtuhnya sebuh tamadun yang hebat. Khalifah ketika itu juga
dibunuh dalam bentuk yang sangat hina iaitu dengan digulung di dalam permaidani
Istana lalu dipijak beramai-ramai.
katanya “Kitakan penduduk majoriti
mana mungkin diorang boleh buat apa-apa”
Penyakit naïf ini bukan
melanda sekali sahaja dalam sejarah umat Islam, penyakit ini juga menjadi
penyebab utama kepada runtuhnya Kerajaan Islam di Andalus. Kisah kenaifan ketika
jatuhnya benteng terakhir Andalus iaitu Granada adalah sebuah kisah yang
sepatutnya kita sentiasa jadikannya sebagai pedoman.
Rampasan kuasa oleh Abu
Abdullah bin Abi Hasan terhadap bapanya dengan kerjasama Kristien Eropah pada
hakikatnya sudah cukup untuk mengajar kita supaya berhenti daripada bersikap
naïf terhadap musuh. Kata-kata ibunya saat Abu Abdullah bin Abi Hasan menangis
akibat telah ditikam belakang oleh musuh yang disangka sebagai rakan hendaklah
kita jadikan sebagai peringatan:
ابك اليوم بكاء النساء على ملك لم تحفظه حفظ
الرجال
“Kamu jangan menangis seperti seorang wanita
untuk apa yang kamu tidak dapat membela sebagai seorang
lelaki.”
katanya “Mana ada Melayu dan Islam terancam”
Kini serangan dalam bentuk ini kembali dilakukan oleh musuh khususnya di
Malaysia, seruan-seruan naïf yang menyebut Islam dan Melayu tidak terancam
semakin kuat dilaungkan. Lebih mengejutkan adakalanya seruan ini lahir daripada
mereka yang secara jelas sedang menyerang kedua tiang utama tersebut di dalam
Negara ini. Juga lebih memalukan apabila seruan tersebut lahir daripada mereka
yang mengaku sebagai pejuang Islam namun buta dalam memahami waqi’ apa yang
sedang berlaku disekeliling mereka.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya memahami
apa yang sedang berlaku hari ini berdasarkan kepada realiti sekeliling, bukanlah
berdasarkan kepada apa yang orang lain kata. Berhentilah berfikir seolah-olah
hanya kita yang berperancangan sedangkan musuh tidak!
Hakikatnya mereka
beperancangan, mereka berstrategi, mereka tersusun bahkan berorganisasi. Apa
yang berlaku di Malaysia daripada isu IFC, isu kalimah Allah, isu Mahkamah
Syariah, isu memperlekeh hak keistimewaan orang Melayu, isu LGBT, isu Comango
dan pelbagai isu lagi kesemuanya adalah di bawah perancangan yang tersusun
dengan rapi. Ia tidak berlaku secara tiba-tiba, berhentilah daripada bersikap
naïf dalam memahami waqi’ dan dalam mengenali musuh.
Lihatlah akan hakikat
kesungguhan musuh yang tak pernah penat dan lelah dalam usaha memadamkan cahaya
Allah SWT ini! Lihatlah dengan sedar suasana satu demi satu jiwa umat Islam yang
sedang dibunuh di serata dunia setiap hari! Lihatlah kesemua perkara ini dengan
cahaya hati supaya akhirnya kita sedar akan betapa benarnya petunjuk wahyu yang
Allah SWT ajarkan pada kita supaya dijadikan prinsip perjuangan kita:
وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡيَہُودُ وَلَا
ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَہُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ
ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَٮِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِى جَآءَكَ مِنَ
ٱلۡعِلۡمِۙ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِىٍّ۬ وَلَا نَصِيرٍ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak
sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau
menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka):
“Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi
sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya
(wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah
engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi
pertolongan kepadamu. (Al-Baqarah: 120)
Berhentilah bermimpi, hiduplah
dengan realiti.
No comments:
Post a Comment