Pages

Thursday, January 29, 2015

Siapa ekstremis sebenar?


1. Apabila kita membaca sejarah parti-parti politik di Malaysia, kita akan dapati DAP sebenarnya adalah parti yang paling konsisten perjuangannya di dalam sejarah Malaysia. Sejak pendaftarannya secara rasmi pada 18 Mac 1966, DAP telah pun memperjuangkan konsep “Malaysian Malaysia” ketika PAS tegas memperjuangkan nasib bangsa Melayu yang terancam akibat "pencairan" jati diri Melayu oleh UMNO melalui “tahaluf siyasi” Barisan Nasional. Tahaluf siyasi tersebut sedikit demi sedikit telah cuba meleraikan kesebatian bangsa Melayu dan ajaran Islam, melenyapkan tulisan jawi dengan pewartaan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi, hilangnya penggunaan nama persekutuan tanah Melayu dan pelbagai bentuk "pengkhianatan" kepada bangsa ini. 

2. UMNO walaubagaimanapun mengemukakan hujah bahawa toleransi sebegini adalah perlu untuk memastikan semua rakyat di negara ini terus hidup aman damai dan bersama-sama mengecapi hasil daripada kemakmuran negara. Hakikatnya, PAS pada waktu tersebut umpama singa yang garang dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Islam sehingga pihak kawan dan lawan mengiktiraf Allahyarham Dr Burhanuddin Helmy, Yang Dipertua PAS ketiga yang dianggap radikal dan pernah ditahan British ketika Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950 sebagai Bapa Kebangsaan Melayu.

3. Begitulah sejarah. Pertembungan PAS dan UMNO pada waktu tersebut yang saling berlumba memperjuangkan nasib Melayu dianggap arus perdana manakala perjuangan DAP yang mahukan kesamarataan tanpa mengira kedudukan bumiputera dianggap ekstrimis.

4. Datang tahun 70an dan awal 80an. Pertembungan terus berlaku dalam bentuk idealisme dan aktivisme masyarakat. Di mata PAS, UMNO sebagai parti nasionalisme Melayu hanya melaungkan sebegitu gah perjuangan membela orang Melayu tetapi sebenarnya adalah gunting dalam lipatan yang meruntuhkan budaya dan pegangan Islam orang Melayu secara halus dan terancang. Islam semakin dipisahkan daripada kehidupan bangsa Melayu dalam sektor pendidikan, perundangan, pembangunan ekonomi serta pelbagai lagi. UMNO dianggap sekular dan gagal mengembalikan Islam kepada orang Melayu serta tidak mampu membela nasib orang Melayu. Oleh sebab itu pimpinan PAS menolak konsep nasionalisme secara mutlak tanpa meletakkan batasan bagaimanakah bentuk nasionalisme yang diterima dalam Islam.

5. Namun, UMNO menentang stigma tersebut apabila Tun Dr Mahathir Mohamad membawa masuk seorang anak muda yang berketrampilan sebagai tokoh Islam, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengimbangi tuduhan sekularisme terhadap UMNO. Sejak kemasukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO, gandingan beliau bersama Tun Dr Mahathir Mohammad telah memperkenalkan konsep Islamisasi dan Dasar Penerapan Nilai Islam sebagai salah satu dasar pentadbiran negara pada tahun 1985. DAP terus konsisten membangkang usaha Islamisasi di dalam dasar pentadbiran negara ini kerana DAP tegar dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berasaskan sistem demokratik sosialis.

6. Begitulah sejarah. Pertembungan PAS dan UMNO pada waktu tersebut yang saling berlumba memperjuangkan agenda Islam kepada bangsa Melayu dianggap arus perdana manakala perjuangan DAP yang konsisten menolak sebarang agenda Islamisasi dianggap ekstrimis.

7. Tahun 1998 telah mengubah landskap politik negara. Tindakan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim tanpa perbicaraan yang adil dan memalukan keluarga beliau secara terbuka telah membangkitkan kemarahan umat Islam di Malaysia. Peristiwa tersebut terpahat di dalam ingatan generasi muda yang mahukan keadilan ditegakkan. Peristiwa tersebut menjadi titik tolak kemeluatan bangsa Melayu dengan pemerintahan UMNO. Segala kebobrokan dan salah laku kerajaan mula ditimbulkan sedikit demi sedikit dan UMNO sedar bahawa undi daripada bangsa Melayu semakin pudar. November 1999, buat pertama kali dalam sejarah ketika Pilihan Raya Umum Ke-10, PAS dan rakan dalam Barisan Alternatif mendapat undi majoriti bangsa Melayu setinggi 54%. UMNO di Semenanjung Malaysia diselamatkan oleh undi bangsa Cina dan India yang tidak bersedia mencabar status quo bangsa Melayu ketika itu sehinggakan Lim Kit Siang dan Karpal Singh sendiri tewas di kawasan mereka.

8. Majoriti bangsa Melayu seakan-akan memberi isyarat sudah bersedia untuk memberi peluang kepada PAS untuk menggantikan kepemimpinan UMNO melalui konsep keadilan negara Islam. Perikatan Barisan Alternatif mulai regang kerana keengganan PAS menarik matlamatnya menjadikan Malaysia sebuah negara Islam. Dominasi PAS di dalam kerjasama politik ini tidak disenangi DAP yang merasakan bahawa hasil kerjasama tersebut menyebabkan DAP semakin hilang sokongan daripada bangsa lain lantas pada 21 September 2001, DAP mengumumkan pengundurannya dari Barisan Alternatif. Dalam usaha menarik semula sokongan umat Islam, Tun Dr Mahathir Mohammad mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam ketika konvensyen parti Gerakan pada 29 September 2001. Tun Abdullah selepas pengunduran Tun Dr Mahathir Mohammad pula memperkenalkan konsep Islam Hadhari dengan tujuan untuk memperkukuhkan kedudukan UMNO sebagai parti pemerintah yang mempunyai agenda Islam.

9. Begitulah sejarah. Pertembungan PAS dan UMNO pada waktu tersebut yang saling berlumba memperjuangkan agenda Islam dianggap arus perdana manakala perjuangan DAP yang konsisten menentang pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam dan memulakan penentangan deklarasi 929 Tun Dr Mahathir itulah yang dianggap ekstrimis.

10. Tahun 2008 telah mengubah landskap politik negara sekali lagi. Pada hari ini, kesan kekalahan besar BN pada tahun tersebut dan PRU13 berikutnya menjadikan parti pemerintah UMNO dan parti PAS seakan-akan hilang hala tuju. Kedua-dua parti tidak mahu lagi secara terbuka memperjuangkan isu Melayu dan agenda Islam. Kalau boleh, label Islam dibuang kerana anggapan mereka label tidak penting dan isilah yang lebih penting. Secara mendadak, tiada lagi suara yang mahu mempertahankan Islam seperti suatu masa dahulu tetapi sebaliknya imej Islam yang manja dan lunak semakin diserlahkan. Suara yang cuba mempertahankan kesebatian Melayu dan Islam diperlecehkan dan dianggap rasis.

Idea “Malaysian Malaysia” yang suatu masa dahulu tidak mendapat tempat di kalangan pemuda pemudi Islam semakin menjadi daya tarikan. Konsep Malaysia sebagai sebuah negara Islam tidak lagi dipertahankan malah legasi Tun Dr Mahathir ini diperkecilkan. Usaha menjadikan pembelajaran subjek tamadun Islam dianggap usaha yang berat sebelah dan tidak adil. Sesiapa yang cuba menyebut mengusahakan ke arah persepakatan Melayu dianggap rasis manakala yang ingin mendaulatkan Islam dikatakan ekstrimis.

11. Pada hari ini, pertembungan PAS dan UMNO membawa kepada suasana perlumbaan memperjuangkan kesamarataan semua bangsa di Malaysia tanpa mengambil kira kedudukan bumiputera dan kelebihan agama Islam sebagai agama persekutuan di dalam negara. Nada dua parti politik ini kini berubah dari suatu masa dahulu dan tidak berbeza dengan tuntutan perjuangan DAP yang suatu masa dulu dianggap ekstrimis.

12. Tiada lagi suara parti politik yang berani memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Tiada lagi suara NGO yang mahu mengangkat kedudukan bahasa Melayu. Tiada lagi suara arus perdana yang mahu Melayu kembali kepada Islam. Manakala ISMA yang memperjuangkan persepakatan dan permuafakatan bangsa Melayu untuk mendaulatkan agama Islam dilihat sebagai ekstrimis. ISMA yang memperjuangkan agar agenda Islam diteruskan dalam dasar pentadbiran negara dilabel sebagai ketinggalan zaman. ISMA yang menggesa agar institusi agama Islam diperbaiki dan institusi kesultanan diperkukuhkan dicop sebagai berpemikiran jumud dan pemecah perpaduan negara.

13. Jika kita merenung kembali semua ini dan kita melihat dari perspektif sejarah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan kesinambungan perjuangan Melayu dan Islam, siapakah sebenarnya yang ekstrimis? Siapakah sebenarnya pelampau? Siapakah sebenarnya yang konsisten memusuhi sebarang usaha mendaulatkan Islam?

14. Mungkin jika ada perkara baik yang kita harus pelajari dari DAP adalah ketabahan mereka memperjuangkan agenda negara demokratik sosialis. Kita sebagai umat Islam seharusnya lebih tabah, tegas dan berani dalam memperjuangkan agenda negara Islam di tanahair tercinta ini. Apabila kita terus berusaha mendaulatkan Islam dan memurnikan ajaran Islam di dalam amalan seharian dan pentadbiran negara, barulah kita dapat mencapai impian sebuah negara yang diucapkan ketika Pemasyhuran Kemerdekaan pada tahun 1957 “dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

15. Terpulang kepada pembaca untuk menilai.

Abu Ameen

Sumber: Fb Arus Baru.

No comments:

Post a Comment