Diceritakan
bahawa ada seorang murid yang telah tamat pengajian dengan seorang
guru. Maka sebelum ia berangkat pulang ke kampung halaman, si murid
meminta tawsiyah (pesanan) dari gurunya tentang bagaimana harus ia
lakukan ketika menghadapi godaan nafsu & syaitan.
Si guru
berfikir kemudian menjawab dengan memberikan sebuah perumpamaan. Dia
menjawab soalan muridnya itu dengan melontarkan soalan: "Anakku,
cuba bayangkan jika engkau diundang untuk bertamu di rumah seseorang.
Ketika engkau tiba di depan pintu rumahnya, kau mendapati ada seekor
anjing sedang menghalang engkau dari memasuki rumah itu. Katakan
kepadaku apa yang akan engkau perbuat dengan anjing itu pada ketika
itu?"
Jawab si murid: "Akan aku ambil batu dan lempar ke arah anjing itu agar aku mengusirnya".
Tanya gurunya lagi: "Tapi jika setelah itu, dia datang lagi di hadapan
pintu itu?" "Akan aku lempar lagi dengan batu yang kedua" jawabnya. Dan
setiap kali gurunya bertanya soalan itu, dia memberikan jawapan yang
sama.
Maka sang guru pun berkata: "Kalau begitu, engkau akan
menghabiskan masa dengan melempar batu dan anjing itu akan tetap kembali
lagi. Engkau akan tertinggal jamuan yang engkau diundang kepadanya oleh
si tuan rumah." Dengan kehairanan, muridnya pun bertanya: "Kalau
begitu, bagaimana yang harus aku lakukan pada menurutmu, wahai guruku?"
Dengan tenang si guru memberikan suatu penyelesaian yang tidak terfikir
oleh si murid tadi: "Bukankah anjing itu kepunyaan tuannya? Kenapa
tidak engkau memanggil si tuan rumah untuk mengusir anjingnya itu. Si
anjing pasti akan segera patuh kepada perintah tuannya tanpa perlu
engkau bersusah payah mengusirnya dengan daya usahamu".
Si
murid termenung sejenak memikirkan jawapan gurunya. Gurunya menerangkan:
"Begitulah hendaknya engkau ketika berhadapan dengan godaan nafsu dan
syaitan. Nafsu & syaitan itu adalah ibarat anjing tadi. Ketika
engkau sudah diundang untuk bertaubat kepada Allah, engkau akan
mendapatkan anjing syaitan dan nafsumu di depan pintu rahmat Tuhanmu.
Janganlah kau menghabiskan segenap tenaga untuk mengusir godaan-godaan
itu. Mohonlah kepada Allah Yang Maha Menciptakan syaitan dan nafsumu itu
agar diusir mereka, dan engkau akan dengan mudah dapat memasuki ke
pintu rahmat dan keampunan Allah dengan pertolongan Allah سبحانه وتعالى.
Itulah jawapanku bagi soalanmu tadi."
Terima kasih, Guru!
Cerita di atas ini dipetik dari pengajian ringkasan Kitab Ihya' yang
disampaikan oleh Tuan Guru kami, Al-Habib Umar Bin Hafiz (semoga kami
mendapat manfaat dengan ilmunya)
Benarlah ungkapan para Ulama:
لولا المربي ما عرفت ربي
Lau-lal mu-rab-bi ma 'a-raf-tu Rab-bi
Kalau tidak kerana guru yang mendidikku, nescaya tidak akan aku kenal Tuhanku!
Selamat beramal pada malam Pengampunan Maha Pengampun!
Sumber: facebook pondokhabib
Sumber: Facebook Layar minda
No comments:
Post a Comment