Pages

Sunday, July 7, 2013

Kisah Benar! Apabila Pemotong Kayu Diberi Hidayah Allah

Hidayah itu milik Allah, dan Allah boleh memberi hidayah kepada siapa yang dikehendakiNya. Untuk artikel kali ini, Melayukini.net berbesar hati untuk berkongsi satu kisah tentang seorang lelaki yang dahulunya bernama Joseph yang telah memeluk agama Islam. Kerjanya bukan di bandar, tetapi di dalam hutan mencari kayu dijadikan bahan binaan. Bukan sekadar itu sahaja, dirinya juga terpaksa meredah hutan belantara bagi mendapatkan kayu yang sesuai. Bagaimana lelaki ini masuk Islam, ikuti kisah benar di bawah ini.

Pembinaan masjid di Kampung Padang akan bermula. Keputusan telah dibuat, kami akan membina masjid bermodalkan  tulang empat kerat, secara bergotong royong. Material utamanya adalah kayu yang akan ditebang dan dibelah sendiri dari hutan-hutan sekitar Sepulut. Tenaga kerja untuk proses menyediakan kayu mula dibentuk, terbahagi kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan tiga atau empat orang pemotong kayu. Jelas, kami kekurangan tenaga. Saudara baru yang Islam yang mampu memotong kayu tidak ramai.
kayu
Membelah kayu

Saudara Tasip Mesi mencadangkan Joseph Bin Siuh, seorang Kristian, menyertai pasukannya yang kekurangan tenaga kerja. Joseph memang dikenali penduduk tempatan sebagai memiliki kepakaran menebang dan membelah kayu. Beliau mampu membelah kayu menggunakan mesin gergaji (chainsaw) menggunakan sebelah tangan sahaja. Hasilnya amat baik, lurus, sepertimana kayu yang dibelah di kilang.

Pada mulanya, saya berbelah bagi untuk membenarkan seorang yang belum Islam untuk turut serta dalam proses pembinaan masjid, kerana syarat yang saya tetapkan sebelum ini, semua yang terlibat dalam pembinaan ini mestilah Islam. Selain itu mestilah solat setiap waktu walaupun ketika berada di dalam hutan.
Setelah solat istikharah, saya benarkan permintaan Saudara Tasip membawa Joseph menyertai pasukannya. Walaupun Joseph belum Islam, saya nampak potensinya untuk memeluk Islam, maka saya izinkan beliau di dalam pasukan itu, sedang ketika itu saya belum mengenalinya secara dekat.

Hampir sebulan mereka berulang alik ke hutan berhampiran Kampung Nantayap, Sepulut, yang  dimiliki Encik Daimit. Beliau membenarkan kami mengambil kayu-kayu di sana untuk membina masjid secara percuma. Sepanjang di hutan, kadangkala mereka terpaksa bermalam di sana. Sebagaimana pesanan saya, setiap waktu saudara-saudara kita yang gigih itu melaksanakan kewajipan solat lima waktu. Mereka akan azan, diikuti solat berjemaah, walaupun kebanyakannya belum pandai solat. 

Melihat kesungguhan saudara Islam bersusah payah solat di hutan, Joseph mula berminat dengan Islam. Dia mula merasai kebenaran Islam, namun dipendam sahaja di dalam hatinya.
Awal Disember 2011, timbunan kayu-kayu yang telah siap dibentuk mengikut saiz telah terkumpul banyak, sementara Joseph dan pasukannya terus menggesek (membelah) kayu yang lain. Kayu-kayu yang telah siap perlu diangkut segera keluar hutan. Agak jauh, kira-kira 2 kilometer melalui celah pokok besar dengan jalan berbukit bukau.

4 Disember 2012, penduduk Islam Sepulut bergotong royong mengangkut kayu dibawa keluar dari dalam hutan. Seperti biasa, kami akan solat di hutan. Ketika saya dan saudara Islam bersolat Dhuha, beralas daun kayu, beliau duduk berhampiran, memerhati. Hatinya semakin terasa keindahan Islam.
Selama ini, beliau belum pernah melihat umat Islam yang bersungguh-sungguh mengamal agamanya. Beliau pernah mengejek umat Islam kerana tidak mempunyai masjid, sedang orang Kristian punya banyak gereja. Tapi kali ini lain…dilihatnya ramai yang bersungguh-sungguh solat, juga bersemangat berusaha membina masjid sendiri.
“Inilah kebenaran!” Detik hatinya.

Kayu-kayu yang telah dibawa keluar dari hutan, diangkut mengguna lori ke Kampung Padang, tempat masjid bakal dibina. Sekali lagi penduduk Islam memerah tenaga mengangkut kayu satu demi satu ke tapak pembinaan di seberang melalui jambatan gantung sepanjang 400 meter. Joseph datang bersama isterinya ke Kampung Padang untuk membantu mengangkut kayu-kayu ke seberang, di tapak masjid. Satu pemandangan yang sangat menarik hatinya, seluruh umat Islam di sana, termasuk nenek dan cucu, membantu mengangkat kayu. Ketika itu keinginannya tidak dapat ditahan lagi. Hiba hatinya melihat suasana itu. Itulah suasana Islam yang indah, bertolong bantu dan bersatu.
kayu2
Penduduk muslim mengangkut kayu melalui jambatan gantung.
Beliau lantas bertemu dengan Saudara Jamuddin Lorrie (Najmuddin) selaku wakil saya di Sepulut bagi menguruskan hal ehwal umat Islam.

“Saya mahu Islam,” Katanya dengan yakin.
Alhamdulillah, pintu hatinya telah terbuka untuk Islam.
Ketika itu kami berada di Pagalungan, kawasan yang lauh di pedalaman, perlu menaiki perahu satu jam, kemudian melalui jalan lori balak satu jam lagi, baru tiba di Kampung Padang.
Satu panggilan telefon dari saudara Jamuddin Lorrie benar-benar menggetarkan jiwa. “Ustaz, pulang segera, si Joseph dan isterinya mahu memeluk Islam.”

Bagi saya, panggilan itu seumpama panggilan kecemasan. Seorang yang telah bersedia memeluk Islam perlu diajar mengikrar dua kalimah syahadah dengan segera. Kami bergegas pulang, sedang Joseph terus menanti hingga malam. Ketika kami tiba, Joseph telah pulang ke rumahnya…tidak sempat bertemu.
Keesokan paginya, Joseph hadir semula ke Kampung Padang, lantas mengucap dua kalimah syahadah di hadapan saya bersama puluhan saudara Islam yang lain, dari Kuala Lumpur, Labuan, Kota Kinabalu dan Kedah.
kayu3
Joseph mengucap dua Kalimah Syahadah, kini Muhammad Yusuf
Antara kata-kata Joseph sejurus memeluk Islam, “Perasaan saya sangat gembira. Walaupun saya baru masuk Islam tapi saya boleh faham. Keluarga dan anak-anak saya, sudah ada yang memeluk Islam sebelum ini. Sekarang saya sudah memeluk Islam dan akan bersungguh-sungguh untuk belajar tentang Islam, sehingga saya boleh solat sendiri.” Isteri dan anak-anaknya pula mengucap syahadah beberapa hari kemudian. Allahuakbar! Kini dia Muhammad Yusuf. Alhamdulillah. 

Satu hari, ketika bersiap untuk solat Subuh, kira-kira jam 4 pagi, saya melihat beberapa sosok melintasi jambatan gantung menuju ke Masjid As-Syahadah di Kampung Padang. Dalam keadaan yang samar hampir fajar itu, saya bertanya, “ Siapa?”
Satu suara menjawab, “Saya, Muhammad Yusuf!”

Setiap Subuh, Muhammad Yusuflah antara yang terawal datang solat berjemaah, menaiki motosikal bersama isterinya, merempuh kegelapan, melalui jalan-jalan tanah berbukit yang licin, merentas jambatan gantung, menuju masjid yang dipenuhi cahaya iman. Subhanallah!

Sumber:  http://melayukini.net/2013/07/kisah-benar-apabila-pemotong-kayu-diberi-hidayah-allah/

Sila cari: Mohd Fadli Yusof di facebook

No comments:

Post a Comment