Sebaik
sahaja keluar daripada kereta setelah meletakkannya di lot parkir
universiti, saya disapa dengan ucapan salam serta sekuntum senyuman oleh
seorang anak muda. Menerima sapaan ikhlas seumpama ini hampir menjadi
rutin sebelum memulakan jadual harian kerja setiap pagi sejak 6 bulan
yang lalu dengan kehadiran tukang kebun yang istimewa ini. Apa tidaknya, beliau sentiasa memulakan tugasnya
membersihkan laman universiti setiap awal pagi dan sentiasa ceria dalam
bekerjaya. Belum sempat saya memulakan salam, beliau lebih pantas
mendahuluinya dengan senyuman manis yang terserlah keikhlasannya.
Terdetik di dalam diri keinginan untuk berkenalan
lebih lanjut dengannya tetapi tidak berpeluang. Di permulaan Ramadhan
hari ini, saya ke surau lebih awal dengan hasrat untuk meluangkan
sedikit masa untuk membaca al Qur’an di bulan mulia ini. Sebaik sampai ke surau, saya dapati sepasang
selipar di situ dan kedengaran bunyi air bagaikan seseorang yang sedang
berwuduk. Tanggapan saya benar, apabila saya dapati anak muda yang ingin
saya temui ini sedang bersiap-siap untuk bersolat.
Seusai mengimami solat zuhur, saya mendekati beliau
yang sedang tekun bertadabbur. Saya mengambil keputusan untuk
berkenalan lanjut dengannya.
Dr Z : Assalamu’alaikum. Apa khabar?
MA : Wa’alaikum salam. Khabar baik tuan.
Dr Z : Siapa nama ya?
MA : Nama saya Muhamad Adnan Bin Muhamad Sadiq.
Dr Z : Berapa umur sekarang?
MA : Sekarang saya 27 tahun.
Dr Z : Asal daripada Dakka ke?
(Saya cuba meneka kerana tidak tahu banyak mengenai
bandar-bandar di Bangladesh jika dibandingkan dengan lokasi di Mesir,
Jordan dan Arab Saudi yang kerap saya kunjungi)
MA : Bukan, kampung saya lebih kurang 2 jam naik kereta dari Dakka.
Dr Z : Sudah berapa lama bekerja di Malaysia?
MA : Saya sudah 7 tahun bekerja di Malaysia, di IMU ini baru setengah tahun.
Dr Z : Bila mahu kahwin? (saya cuba mengusiknya)
MA : Saya belum fikir pasal kahwin tuan.
Dr Z : Berapa dapat sebulan gaji di sini?
(saya tak tahu pendapatannya kerana dia diambil bekerja di IMU (tempat saya bekerja) melalui agensi)
MA : Alhamdulillah, di sini saya dapat RM 750 sebulan.
Dr Z : Boleh cukup ke sara hidup dengan RM 750 sebulan.
MA : Ini
cukup-cukup sahaja. RM 180 untuk sewa rumah. Lain-lain untuk makan, bil
letrik dan telefon ( dia menyewa sebuah rumah kayu yang kecil di
Seremban). Sebelah petang dan hujung minggu, saya akan potong rumput di
rumah orang di sekitar Seremban. Satu rumah dapat RM 40-50 dan satu
bulan saya boleh dapat antara RM 800-1000.00.
Dr Z : Berapa banyak hantar duit ke Bangladesh setiap bulan?
MA : Semua duit potong rumput saya akan simpan dan kirim ke Bangladesh, lebih kurang RM 800-1000 setiap bulan.
Dr Z : Buat apa dengan duit kiriman tu?
MA : Bantu
ayah-emak saya yang sudah tua dan saya juga minta mereka belikan tanah
di sana. Alhamdulillah, saya sudah ada sawah padi di Bangladesh dan
sekarang saya upahkan orang kampung saya untuk tanam padi.
Dr Z : Subhanallah. Hebatlah kamu Adnan….Saya berbangga dengan kamu.
MA : Alhamdulillah, syukur kerana Allah beri saya rezeki di Malaysia.
Dr Z : (sambil
membelek naskhah al Quran yang dipegang sejak tadi, saya dengan sengaja
ingin menguji tahap kemampuannya membaca al Quran). Boleh ajarkan saya
al Qur’an?
MA : Insya allah boleh (sambil tersenyum).
Dr Z : Kamu hafaz 30 juzuk al Qur’an ke?
MA : Alhamdulillah…sejak saya kecil. Kira-kira 3-4 tahun semasa bersekolah rendah, saya dapat menghafaz 30 juzuk al Quran.
Dr Z : Subhanallah…(saya mengetap bibir kerana rasa malu bercampur kagum dengan si anak muda tukangkebun dari Bangladesh ini).
Dr Z : Ok Adnan, saya nak masuk semula ke pejabat. Lain kali kita boleh berbual-bual lagi.
MA : Baik tuan. Ramadhan kareem… dia beredar dengan senyuman.
Di
dalam hati, tersemat rasa kepuasan yang tidak berbelah bagi kerana
dapat bertemu dengan anak muda yang kelihatan ‘biasa’ dan mungkin
dipandang ‘lekeh’ oleh orang ramai. ‘Hanya seorang tukang kebun’,
‘Bangladesh’ pulak tu….
Siapa dia dan siapa kita di sisi Allah swt….?
Sumber: http://zainurrashid.com
blog Peduli Ummah
No comments:
Post a Comment