Pages

Tuesday, October 22, 2013

KEPENTINGAN PENGUASAAN ISLAM DALAM PERTEMBUNGAN TAMADUN


Nota disedia dan disampaikan oleh
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden 1 ISMA
di HIMPUNAN MAHASISWA 2013 ANJURAN PEMBINA
19 Oktober 2013, UPM

1. Nas-nas daripada al-Quran dan Hadis menunjukkan dengan jelas bahawa umat Islam dilahirkan oleh Allah untuk memimpin dunia dan memakmurkannya dengan syariat Allah.

2. Petunjuk dari Sirah menunjukkan bagaimana Rasulullah s.a.w. mendidik para sahabat r.a. untuk berjiwa besar, kental dan mempunyai cita-cita yang cukup jauh. Dijanjikan kejatuhan Tamadun Farsi ketika dalam perjalanan hijrah yang getir dan dijanjikan kejatuhan ibu negara Rom (Constantinople) ketika diancam serangan peperangan dari dalam dan luar Madinah.

3. Dunia berada dalam keadaan parah sebelum Islam masuk ke dalam pertarungan merebut kuasa dunia. Tamadun-tamadun sedia ada yang bersaing sesama mereka, hanya bersaing untuk mengukuhkan kekuasaan politik tanpa membangunkan nilai-nilai kemuliaan manusia. Apa yang disebut sebagai hasil dan produk tamadun hanyalah alat untuk pengukuhan kuasa yang membawa kepada kezaliman dan penindasan. Sistem yang terpakai di dalam masyarakat terlalu keji untuk digunapakai oleh manusia; ini boleh dilihat samada pada negara yang dikuasai oleh Rom atau Farsi atau di benua India, China dan Semenanjung Tanah Arab.

4. Apabila Islam datang, ia membawa konsep imarah untuk menggantikan tamadun sedia ada. Bukanlah satu yang sukar untuk dibuktikan betapa amannya dunia ketika Islam menjadi pentadbir. Inti pati ajaran Islam itu sendiri menjadi unsur utama yang membawa keamanan, kemakmuran dan pembangunan itu. Semua yang bergelar manusia mendapat manfaat; muslim atau non muslim.

5. Tetapi kuasa dunia bukanlah satu warisan abadi umat Islam semata-mata mereka Islam. Kecuaian menjauhkan kita dari kuasa dunia lalu satu demi satu negara Islam jatuh terjajah sehinggalah akhirnya kejatuhan rasmi Khilafah pada 1924 yang lepas. Kehilangan kuasa politik besar itu adalah simbol kepada ketidakmampuan umat Islam masuk ke pertarungan tamadun lagi.

6. Apa yang berlaku kepada dunia selepas itu? Dunia kembali kepada keadaan seperti zaman persaingan tamadun-tamadun bukan Islam. Tiada lagi nilai pada akhlak dan kemanusiaan. Apa juga agama terperosok jauh ke dalam. Hawa nafsu dan kehendak manusia menjadi rujukan tertinggi. Ketamakan manusia tidak lagi terkawal. Krisis demi krisis dijangka akan terus berlaku bukan hanya kepada umat Islam tetapi kepada manusia seluruhnya.

7. Di sudut lain, bagaimana pula nasibnya umat Islam? Negara mereka dipecah-pecah. Harta mereka dirampas. Maruah mereka dipermainkan. Mereka diperbodohkan dan dijauhkan dari sejarah kegemilangan mereka sendiri.

8. Apa yang berlaku pada hari ini sebenarnya adalah titik menjunam graf Islam itu masih berterusan. Walau pun nampak di pandangan mata kasar Islam itu bangkit di sana sini, tetapi pada lakaran besar, garis itu masih lagi jatuh menjunam dek serangan bertubi-tubi dari pihak musuh yang masih tidak serik.

9. Islam sudah hilang satu persatu tanahnya. Kemudian ia hilang kuasa politiknya. Kekuatan ketenteraannya sudah lemah dan tidak lagi berdaya untuk menyerang. Kuasa ekonominya juga sudah hancur. Undang-undangnya sudah bertukar kepada yang lain. Kepakaran bukan lagi milik Islam sekarang ini setelah ia dirampas oleh Barat. Sistem sosial sudah bertukar. Baki yang tinggal iaitu keperibadian muslim itu pula diserang tanpa henti sekarang ini. Itulah yang menjadi sasaran rapat musuh Islam sekarang.

10. Apa yang sesuai untuk digambarkan sekarang adalah Islam berada pada tahap bertahan dan belum lagi mampu untuk muncul sebagai pesaing tamadun. Serangan terhadap Islam tertumpu sekarang ini pada penghapusan identiti Islam; rujukan hidup, cara fikir, budaya dan tingkah laku melalui satu proses normalisasi yang halus dan licik.

11. Kajian terbaru Barat menyimpulkan bahawa survival mereka banyak bergantung kepada tabiat pertembungan baru di fasa mendatang. Islam itu sendiri telah dilabelkan sebagai ancaman dan proses pencairan Islam adalah senjata terbaik pada mereka di fasa ini. Mereka tidak lagi takut kepada pengganas Islam tetapi kepada Islam itu sendiri.

12. Untuk menjayakan pencairan Islam dan proses normalisasi, nilai-nilai global yang sebenarnya adalah nilai-nilai Barat mula dipaksakan ke atas masyarakat Islam secara beransur-ansur. Mereka menaja kelahiran ‘muslim moderate’ yang berfikir dengan neraca mereka untuk menjaja idea tersebut. Islam disolek dengan solekan baru lalu mengelabukan wajah sebenarnya. Mempamerkan wajah sebenar Islam akan dianggap sebagai penyelewengan dari Islam. Hak-hak muslim yang termaktub di dalam perlembagaan akan menjadi suatu yang sumbang dan aneh dengan nilai global itu.

13. Di masa yang sama, kuasa-kuasa baru muncul di saki baki negara Islam ini. Syiah dan Kristian; saling lengkap melengkapi untuk merampas bila yang sesuai baki kuasa politik muslim yang sebenarnya amat rapuh. Sebarang usaha dari umat Islam untuk mengukuh dan mempertahan kedudukan Islam akan dianggap sebagai melawan arus.

14. Memahami tabiat sebenar kedudukan umat Islam dan kedudukan yang ingin dicapai amat penting bagi kita. Sebahagian umat Islam telah tertipu dengan apa yang disebut sebagai pencapaian Islam sedang hakikatnya adalah Islam berundur ke belakang. Sebahagian pula telah dijinakkan lalu tidak lagi ‘bernafsu’ untuk merebut kepimpinan dunia.

15. Apa pula peranan yang boleh dimainkan oleh belia-belia Islam? Belia perlu memahami tabiat Islam; falsafahnya dan ciri-cirinya. Belia juga perlu meneliti sejarah Islam melihat bagaimana Islam memunculkan diri sebagai kuasa dunia dan memberi kemakmuran kepada dunia. Belia perlu peka dengan persekitaran yang berlaku dan mengambil tahu segala perancangan musuh yang licik. Belia perlu berjiwa besar dan memandang diri sebagai penyelamat kepada dunia. Belia perlu terlibat aktif di dalam dakwah Islam.

16. Masa depan semestinya untuk Islam. Itu janji Yang Maha Esa dan tidak ada sesiapa yang mampu mengubahnya. Tetapi pilihan di tangan kita untuk sama-sama memperoleh kemuliaan buat diri apabila terlibat dalam melakar masa depan Islam itu. Berdiam diri hanya merugikan diri sendiri kerana Allah pasti memilih generasi lain yang lebih baik dari kita. Pilihan di tangan kita. Jadilah manusia pelakar sejarah dan bersamalah merebut kepimpinan dunia.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment