Pages

Saturday, October 26, 2013

Kenyataan Akhbar MuslimUPRo


25 Oktober 2013

Sesi Semakan Berkala Sejagat bagi Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia, Geneva, Switzerland pada 24 Oktober 2013

Sesi pusingan kedua tahun 2013 pembentangan laporan Semakan Berkala Sejagat (UPR) kepada kumpulan kerja UPR sesi ke 17 melibatkan giliran Malaysia telahpun selesai pada hari Khamis, 24 Oktober 2013 jam 6 petang (waktu Geneva). Semakan tersebut yang berlangsung selama tiga jam telah menyaksikan kehadiran ramai di kalangan 47 negara-negara yang menggangotai Majlis Hak Asasi Manusia (OHCHR) serta tidak kurang 50 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang lain. Sesi bagi giliran Malaysia tersebut telah dipengerusikan Naib Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, H.E. Ms. Iruthisham ADAM dari negara Maldives, manakala ketua perwakilan Malaysia telah diwakili Dato’ Ho May Hong, Timbalan Setiausaha Hal Ehwal Pelbagai Hala dan wakil-wakil dari pelbagai agensi dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

Buat pertama kali, pihak gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam dalam Proses UPR (MuslimUPRo) telah hadir sebagai pemerhati bagi pertubuhan masyarakat sivil (NGO) dan delegasi tersebut telah mendapat akreditasi untuk bersama-sama berada di dalam Dewan Plenari Majlis Hak Asasi Manusia bagi proses UPR tersebut. Seramai lima wakil pemerhati MuslimUPRo, diketuai Azril Mohd Amin beserta Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, Nasharudin Mat Isa, Abdul Rahim Sinwan dan Dr. Yusri Mohamad telah berada di sesi tersebut seawal jam 2 petang. Ini menzahirkan komitmen MuslimUPRo untuk meneliti setiap saranan atau tuntutan di dalam laporan stakeholder yang telah dikemukakan lebih awal serta respons dan persoalan-persoalan yang dikemukakan negara-negara anggota berkaitan rekod HAM Malaysia.

Deraf laporan bagi Malaysia akan hanya mula diedarkan pada hari Isnin, 28 Oktober 2013. Walaubagaimanapun berdasarkan pemerhatian delegasi MuslimUPRo sendiri, terdapat pelbagai isu yang tetap menjadi fokus kami khususnya yang berkaitan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Untuk rekod, MuslimUPRo telah menggariskan enam perkara utama yang menjadi keprihatinan kami di dalam laporan COMANGO yang membentuk sebahagian laporan stakeholder kepada proses UPR tersebut. Di dalam konteks ini, isu-isu utama yang berkaitan yang telah ditimbulkan semasa sesi UPR ialah mengenai hak kebebasan beragama dan hak bagi golongan LGBT.

Pihak MuslimUPRo akan mengemukakan analisis yang lebih mendalam sebaik mendapat salinan deraf laporan bagi Malaysia kelak. Walaubagaimanapun, pihak MuslimUPRo ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada delegasi kerajaan Malaysia di atas pembentangan yang adil dan mencakupi pelbagai isu yang dapat memberikan gambaran umum terhadap situasi hak asasi manusia di Malaysia. Perlu diingat bahawa proses UPR ini bukanlah suatu semakan teknikal. Tambahan pula, kedaulatan Malaysia merupakan asas yang kukuh untuk Malaysia melaksanakan hak memilih perkara-perkara bersesuaian dengan realiti sejarah, latarbelakang agama dan budaya setempat di dalam melaksanakan prinsip-prinsip dan tindakan hak asasi manusia.
Malaysia juga masih boleh menerokai ruang pembaikan yang luas bagi sesi UPR ketiga pada tahun 2017. Apa yang pasti ialah tidak semua hak-hak asasi yang didakwa sebagai standard sejagat boleh diterimapakai oleh sesebuah negara. Malaysia pada hakikatnya telah menzahirkan komitmen yang baik di dalam sesi UPR ini. Ini tergambar secara jelas apabila kebanyakan negara-negara di dalam proses UPR tersebut memperakui komitmen Malaysia di dalam mencapai taraf kehidupan dan jaminan hak asasi yang lebih baik mengikut acuan yang adil dan sewajarnya, sesuai dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan negara yang dihormati di kalangan negara-negara anggota ASEAN.

MuslimUPRo ingin secara khusus mengucapkan tahniah kepada wakil dari Jabatan Peguam Negara yang telah menerangkan secara jelas, padat dan berhemah berkaitan kontroversi isu kalimah Allah yang telah diputuskan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober 2013. Pembentangan yang sederhana tetapi jitu tersebut telah menyatakan alasan-alasan penghakiman Mahkamah Rayuan yang perlu dihormati kesemua pihak berkepentingan atas prinsip bahawa Malaysia, sepertimana negara-negara berdaulat yang lain, mempunyai mekanisme kehakiman tersendiri yang perlu dihormati. Tahniah juga kepada wakil dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang telah mengemukakan pembentangan yang baik, khususnya berhubung penegasan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan serta keunikan sistem pentadbiran kehakiman Islam yang berjalan selari dengan sistem sivil.

Kebanyakan isu utama yang ditimbulkan negara-negara anggota ialah berkaitan tuntutan agar Malaysia menandatangani International Covenant of Civil and Political Rights. Aspek ini menjadi antara keprihatinan utama MuslimUPRo. Artikel 18 ICCPR adalah berkaitan kebebasan beragama dan perlu dibaca dengan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang menakrifkan kebebasan beragama termasuk kebebasan untuk meninggalkan agama seseorang. Tidak kurang 10 negara telah menyatakan saranan untuk Malaysia menandatangani ICCPR. Negara-negara seperti Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland, Sierra Leonne, Slovakia dan Palestin kesemuanya telah menuntut Malaysia menandatangani ICCPR. Manakala negara Iran secara khususnya telah mencadangkan agar Malaysia menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti. Adalah jelas bahawa ini merupakan bahasa diplomasi Iran bagi mengizinkan penganut agama Syiah menyebarkan fahaman mereka kepada masyarakat awam.

Beberapa negara juga telah menyarankan agar Malaysia melaksanakan penundaan (moratorium) terhadap hukuman mati mandatori di dalam undang-undang negara. Negara-negara yang menyarankan hal tersebut termasuklah Sweden, Ukraine, Jerman, Switzerland, Bulgaria dan Sepanyol.

Selain itu, isu LGBT juga terus mendapat perhatian negara-negara anggota dalam saranan kepada Malaysia. Negara-negara seperti Austria, Belgium, Perancis, Jerman, Belanda dan Croatia telah mengemukakan saranan supaya Malaysia menghapuskan undang-undang berkaitan jenayah liwat sebagai saluran menjamin kebebasan hak-hak golongan LGBT. Jika diteliti, ternyata trend saranan sebegini adalah konsisten dengan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan NGO pro hak LGBT di Malaysia dan di beberapa negara lain.

Melihat pada saranan yang meluas untuk menekan Malaysia menandatangani ICCPR dan menghalalkan hak-hak LGBT, maka adalah tidak benar seperti dakwaan media pro pembangkang yang memutarbelit fakta bahawa isu-isu tersebut tidak relevan dan tidak disebut secara meluas di sesi UPR. Malah, MuslimUPRo tetap menegaskan bahawa laporan COMANGO yang dikemukakan sebagai sebahagian asas yang menjadi laporan stakeholder kepada sesi UPR adalah tidak bertanggungjawab kerana mengemukakan tuntutan-tuntutan yang tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Jika isu-isu tersebut tidak menjadi masalah besar di sesi UPR tersebut, masakan COMANGO bersikap defensif serta mengadu kepada Majlis Hak Asasi Manusia bahawa kononnya mereka ditekan dari apabila mengemukakan hak-hak yang didakwa sebagai tidak munasabah.

MuslimUPRo ingin menegaskan komitmen kami di dalam mempertahankan kedaulatan Islam sebagai agama persekutuan, serta kemahuan kami untuk melihat hak asasi manusia yang munasabah dan mempunyai asas keabsahan (legitimate basis) dilaksanakan secara bijaksana oleh Malaysia menurut ruang lingkup perlembagaan persekutuan. Hal ini juga perlu melihat pada Perisytiharan dan Program Tindakan Vienna 1993 yang menitikberatkan perhatian terhadap realiti budaya, agama dan sejarah sesebuah negara di dalam melaksanakan prinsip-prinsip dan tindakan hak asasi manusia. Malah, hakikat bahawa Malaysia adalah sebuah negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dihormati tidak memungkinkan perlaksanaan hak asasi manusia secara total dan semberono.

AZRIL MOHD AMIN
Ketua Delegasi MuslimUPRo


Sumber: Fb Melayu Sepakat Islam Berdaulat.

No comments:

Post a Comment