Pages

Saturday, August 16, 2014

Isu MB Selangor: Mempertegas wala’ sesama muslimin


August 9, 2014 Kolumnis 3


Kenyataan Biro Politik ISMA berhubung isu MB Selangor: Mempertegas wala’ sesama muslimin

Daripada keputusan PRU13 lalu jelas sebahagian besar orang Cina tidak berpihak kepada BN walaupun telah banyak kekayaan diperolehi mereka sejak merdeka. Ia bukan kerana mereka memilih Hudud yang diperjuangkan PAS. Ia kerana agenda DAP dan PR menyamaratakan semua agama dan bangsa di Malaysia adalah satu tawaran baik luar jangkaan untuk mereka sebagai kaum pendatang lagi bukan Islam. Perlembagaan di mana Islam agama negara dan menjamin keistimewaan bangsa Melayu (sebagai timbang balas memberi kerakyatan en-bloc kepada mereka) kini cuba dirubah.

Piagam NGO “Negara-Ku” juga disokong oleh Cina kerana piagamnya jelas menyebut “…mengakhir(tamat)kan jenama politik (berlandaskan) etno-agama …” (rujuk Piagam) yang selama ini diperjuangkan UMNO dan PAS (etnik Melayu dan agama Islam). Walau berbeza dalam beberapa pendekatan, UMNO dan PAS pada praktikalnya adalah mendokong Perlembagaan yang mengangkat kedudukan umat dan agama Islam sebagai agama Persekutuan atau agama Malaysia itu sendiri.

Realiti dan cabaran dekad ini telah jauh berbeza berbanding dekad-dekad lalu. UMNO mesti berubah. Ia memerlukan tahaluf baru dengan PAS untuk mendapat sokongan Melayu yang padu. PRU13 menunjukkan UMNO bukan lagi satu-satunya parti yang mewakili Melayu-Islam. Hari ini, PAS juga mewakili sebahagian umat Islam yang lain dengan nisbah yang besar. Strategi era Mahathir yang berseteru dengan PAS dan berusaha untuk mengalahmatikan mana-mana parti Melayu selain UMNO mesti dihentikan.

Pengundi Melayu hari ini jauh lebih dekat kepada kefahaman dan penghayatan Islam berbanding dulu. Kualiti Islam seperti ini serta cabaran hidup masa kini menyebabkan mereka membenci korupsi dan pengamalnya. Hari ini dunia maklumat telah terbuka. Strategi menguasai televisyen dan akhbar-akhbar perdana belum tentu boleh berjaya menyorokkan penyelewengan dan korupsi di kalangan individu atau parti pemerintah.

Perlembagaan dan undang-undang adalah dua yang berbeza tapi saling berkait rapat. Perlembagaan Malaysia telah menaskan kedudukan Islam pada tempatnya. Dalam masa yang sama korupsi dan sebahagian undang-undang negara yang belum Islamik tidak harus menjadi sebab untuk PAS memberi walak dan menguatkan golongan bukan Islam.

Isu Kalimah Allah, Kristianisasi, menyerah Sarawak kepada Kristian, seruan agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia (yang didominasi Islam-Melayu), memperjuangkan hak kebebasan LGBT (liwat dll), hak murtad, kesamarataan agama dan bangsa dll adalah bibit-bibit yang tidak boleh dipandang ringan, apatah lagi jika ia didokong oleh Barat dan Kuasa-kuasa Besar dengan moral dan material.

Ya, korupsi adalah kotor dan mesti dibanteras. Namun perjuangan Aqidah dan Kenegaraan (yang menjaga Aqidah berkenaan) tetap menduduki tempat pertama, asasi dan fundamental dalam mana-mana perjuangan para Rasul dan perjuangan kita sendiri selamanya.

Pakatan Rakyat kini menjadi tempat bersarang banyak perjuangan serong dan songsang yang disebut di atas, walau di kulitnya berslogankan “keadilan”. Terang lagi bersuluh, tuntutan-tuntutan Comango, Gereja, Kristianisasi, kalimat “Allah”, hak murtad, hak LGBT dan banyak lagi seumpamanya lebih disokong tokoh-tokoh Pakatan Rakyat berbanding Barisan Nasional.

PAS harus meletakkan siyasah syariyyahnya pada kaedahnya yang sebenar iaitu menjaga Agama (حفظ الدين) dan kemudiannya menjaga nyawa, kehormatan, keturunan dan harta. Isu korupsi harus ditangani, namun ia sekali-kali tidak menyebabkan kita menutup sebelah mata terhadap arus tsunami bahaya yang disebut di atas yang datang melanda Umat Islam di Malaysia hari ini.

Melihat realiti di atas, jelas bukan DAP yang boleh diharap untuk maslahat Islam dan umatnya. Agenda kesamarataan mutlak pada agama dan bangsa yang diperjuangkan DAP telah dan akan sentiasa bertembung dengan agenda Islam yang mesti diletak tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya (يعلو ولا يعلى عليه). DAP konsisten dan tidak akan merubah agendanya. Penentangannya terhadap penegakan negara Islam dan Syariat Islam bukan lagi rahsia, malah dinyatakan secara terbuka oleh mereka tanpa menghiraukan perasaan umat Melayu-Islam yang mencintai agama dan negara mereka.

PAS harus menginsafi bahawa harapan mendokong agama, nyawa, keturunan, kehormatan dan harta umat Islam adalah terletak kepada seluruh pengundi Melayu-Islam di Malaysia itu sendiri melalui satu binaan yang kukuh, sebahagian menguatkan sebahagian yang lain (Hadis). Ia tidak datang dari dokongan orang lain. Jika mungkin tampak seperti orang lain mendokong, itu hanyalah langkah taktikal dan strategi sementara demi ke arah mencapai suatu yang lain yang akan memudharatkan umat dan negara Islam.

Masih ramai dalam masyarakat Melayu yang bernaung di bawah UMNO untuk menjaga kedudukan Agama Islam dan hak-hak istimewa bangsa Melayu. UMNO juga membuktikan harapan itu dalam isu Comango, kalimah “Allah”, murtad, Sabah dan Sarawak dipimpin orang Islam dsb. Melayu-Islam di kem UMNO boleh merasakan ancaman dan bahayanya agenda Cina, Kristianisasi dan kuasa asing yang bersarang di dalam Pakatan Rakyat.

UMNO mesti menghentikan strategi ingin meng”KO”kan PAS. PAS mesti menghentikan seruan slogan “ABU” (Asal Bukan Umno). Hakikatnya kedua-dua UMNO dan PAS memiliki pendokong-pendokong yang seagama dan kedua-dua UMNO dan PAS juga sedang berhadapan dengan tsunami bahaya yang sama, arusnya mensasarkan mangsa yang sama iaitu umat Melayu-Islam di Malaysia.

Memang ada kisah-kisah pahit lalu yang menyebabkan ada hati yang tercalar pada hari ini. Tapi mungkin dari kisah itu juga menyebabkan banyak hakikat dan kejayaan lain menanti di hadapan. Selepas kalah dalam Perang Uhud, para Sahabat ra mengambil pengajaran dan tidak kalah lagi di medan-medan tempur selepas itu.

Kemelut isu jawatan menteri besar Selangor yang disandang Tan Sri Khalid Ibrahim ini telah menyingkapkan hakikat-hakikat yang kami perkatakan di atas. Ia juga boleh merapatkan jurang di antara pimpinan dan pengikut berbagai kem Melayu-Islam di Tanah Melayu bertuah ini. Di samping isu ini menguji keutuhan PAS dengan agenda asalnya menenegakkan Syariat Islam, ia turut memaparkan siapakah sebenarnya yang bekerja ke arah matlamat yang lain seperti liberal, plural, penolakan agama sebagai asas perlembagaan dan perjuangan dsb.

PAS hari ini masih belum terlambat untuk melakukan re-alignment perjalanannya. Maslahah umat Islam yang lebih besar adalah lebih utama diperjuangkan berbanding berjuang untuk mengalahkan UMNO. Kita percaya melalui kejelasan agenda perjuangan dan sokongan akar umbi dalam masyarakat, PAS bukan budak suruhan mana-mana parti lain. PAS tidak perlu takut dakwaan ia akan kalah teruk jika tidak bersama DAP untuk mendapat undi Cina. Kemenangan itu adalah dari Allah, bukan dari manusia.

UMNO dan PAS mesti bersepakat bersama-sama dan sebagai satu tubuh memenangi hati dan dokongan parti-parti dan para pengundi Islam terlebih dahulu sebagai asas. Merekalah rumpun bangsa yang mendokong agenda aqidah dan negara Islam, berbanding parti dan kalangan pengundi bukan-Islam yang telah dan sering berterus terang menolak penegakan syariat dan negara Islam.

UMNO dan PAS tidak harus menunggu masa lebih lama dari sekarang untuk duduk bersama dan bersepakat dalam agenda-agenda yang menguntungkan agama dan umat Islam.
لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۖ وَمَنْ يَفْعَلْ ذَٰلِكَ فَلَيْسَ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ إِلَّا أَنْ تَتَّقُوا مِنْهُمْ تُقَاةً ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَإِلَى اللَّهِ الْمَصِيرُ
“Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali” (Ali Imran : 28).

Ketua Penerangan Biro Politik ISMA
Ustaz Abdul Halim Abdullah

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2014/08/isu-mb-selangor-mempertegas-wala-sesama-muslimin/

No comments:

Post a Comment