Pages

Friday, August 15, 2014

Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar menjawab soalan....

 
Seorang pelajar yang saya kasihi bertanyakan darihal kenyataan saya tentang ketidakwajaran pihak yang mempertahankan Perlembagaan dituduh rasis. Ini adalah jawapan saya:

Ucapan Ustaz Abdullah Zaik berhubung "Pendatang Cina" walaupun tidak disenangi ramai, sewajarnya dapat difahami dari mana datangnya. Ia merupakan rentetan peristiwa-peristiwa yang mempertikaikan hak-hak orang Melayu dan Islam seperti dijamin perlembagaan. Untuk tidak memanjangkan penulisan, saya hanya akan memetik beberapa peristiwa sekitar April-Mei 2014 yang melahirkan ucapan Ustaz Abdullah Zaik, walaupun banyak lagi peristiwa provokasi demi provokasi sebelum itu.

Pada 3 April 2014, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, melaporkan Kerajaan Kelantan akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke sidang parlimen yang terdekat bagi mendapatkan kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan itu mendapat reaksi positif dari banyak pihak sehingga pada 27 April 2014, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Umno ingin bekerjasama dengan Pas bagaimana untuk memberikan pemahaman kepada semua pihak tentang hudud. Bahkan, Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata pihaknya sedang giat melaksanakan program memberi penjelasan mengenai hukum hudud dalam usaha meningkatkan kefahaman kepada 240,000 ahlinya.

“Kami yakin keseluruhan ahli Umno akan memahaminya secara mendalam dalam tempoh terdekat memandangkan sambutan hangat pada majlis yang dianjurkan di peringkat bahagian,” katanya.

Apakah yang lebih menggembirakan bila umat Islam dari kedua-dua belah pihak dapat bersetuju untuk satu agenda yang sangat mulia, iaitu satu usaha kecil dalam bentuk permulaan (baby step) ke arah mendekatkan hukum syariah Islam di hati masyarakat? Lagipun, usaha kecil ini akan dimulakan di sebuah negeri dahulu, negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS lebih 20 tahun.

Bibit-bibit kerjasama ini ditentang keras oleh DAP, MCA dan GERAKAN. Walaupun saling tuduh menuduh siapa yang lebih keras penentangannya, ketiga-tiga komponen parti ini sepakat diperingkat PUSAT untuk menolak kerjasama ini yang hanya ingin dimulakan diperingkat Negeri Kelantan.

Pada 21 April 2014 Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng mengeluarkan Kenyataan Media bahawa DAP tidak sekali-kali akan menyokong pelaksanaan hudud dan menyelar PAS yang tidak mengikut konsensus Pakatan Rakyat.

Di pihak kerajaan, susulan kenyataan TPM, Wanita Gerakan antara yang terawal membantah apabila Ketua Wanitanya Datuk Tan Lian Hoe menuduh hudud membela perogol. Kenyataan beliau telah dibantah banyak pihak.

Pada 29 April 2014, Presiden GERAKAN Datuk Mah Siew Keong menyatakan hudud hanya akan memecah belahkan rakyat Malaysia dan tidak sesuai dilaksanakan di negara majmuk, manakala sebelum itu pada 24 April 2014, Ketua Pemudanya Tan Keng Liang telah bersumpah untuk menghalang secara undang-undang implementasi hudud.

Pada 3 Mei, presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai juga mengeluarkan kenyataan menolak hudud walaupun beliau maklum, kerajaan Barisan Nasional ketika itu telah pun berura-ura mengadakan jawatankuasa bersama dengan kerajaan Negeri Kelantan bagi menilai draf undang-undang tersebut.

Pada 5 Mei, memandangkan hubungan kerjasama PAS Kelantan –UMNO semakin erat, akhbar Malaysiakini melaporkan kebimbangan beberapa pihak tentang kerjasama ini yang kononnya mempunyai agenda sulit yang lain, sehingga terpaksa dinafikan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mengatakan tindakan PAS berkompromi dengan Umno tidak lebih untuk merealisasikan perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) yang tertangguh selama 20 tahun lalu. Laporan sebegini pada hemat saya cuba mensabotaj usaha mulia dan menanam prasangka oleh pihak yang tidak senang melihat umat Islam bersatu. Langkah ini juga sangat jijik kerana ia seolah-olah mengingatkan umat Islam, blok kepartian itu lebih penting didahulukan daripada bersepakat untuk perkara yang diredhai Allah.

Inilah latar belakang kenyataan Ustaz Abdullah Zaik, memandangkan komponen-komponen parti kaum Cina dari kedua-dua blok politik menentang usaha permulaan mengkaji undang-undang hudud, yang sudah tentu akan disusuli dengan penerangan dan pendidikan. Penentangan ini adalah bercanggah dengan semangat artikel 3 Perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan, dan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi negeri kuasa menjalankan hukum syariah. Walaupun mungkin terdapat lagi beberapa halangan kecil dari sudut pentafsiran undang-undang, namun usaha ini tidak wajar ditolak begitu sahaja.

Kesemua pimpinan parti-parti berasaskan kaum ini rata-rata sudah masak dengan budaya dan adat resam Melayu Islam di Malaysia, juga senario politik. Mereka bukanlah tidak faham. Cubaan memperkenalkan hudud bukan baru pertama kali dilakukan. Kali terakhir ialah pada tahun 2010, cuma ketika itu kehendak ini hanya dari kerajaan Negeri. Kini, ketika pelawaan kerajaan negeri bersambut oleh Kerajaan Persekutuan, bantahan ini semakin ketara dan lebih lantang.

ISMA sekadar mengingatkan Artikel 3, yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan 1957, sebagai tolak ansur Raja-raja Melayu dengan pihak penjajah British ke atas prinsip Jus Soli, iaitu pemberian kerakyatan kepada kaum Cina dan India yang dibawa datang ke Malaysia pada tahun 1946 secara borong (tanpa regulasi pemberian kerakyatan biasa seperti yang kita maklumi sekarang iaitu tempoh tinggal yang munasabah dan fasih ber Bahasa Melayu). Ada laporan yang menyatakan, komposisi Melayu dengan kaum Cina dan India yang dibawa oleh British pada itu akan berubah secara signifikan iaitu hanya 49 % kaum Melayu dan selebihnya mereka yang dibawa masuk, Wallahu a’lam. Walaupun telah ada kaum Cina dan India yang telah menetap kerana datang terlebih dahulu melalui jalan perdagangan, namun ia tidak seramai dengan kemasukan tahun 1946-1947 (setelah British mengambil alih Tanah Melayu dari Jepun).

Inilah latar belakang, provokasi demi provokasi yang tidak disebut, sebaliknya usaha “demonization” ke atas ISMA dilakukan secara terancang, agar masyarakat melupakan provokasi asal. Tidak ada sehari yang berlalu, melainkan portal-portal berbahasa Inggeris ini cuba melabelkan ISMA sebagai rasis, sedangkan penentangan ke atas Perlembagaan dan sebarang usaha menolak memartabatkan hukum Islam diperkecilkan media.

Itulah maksud saya, dan saya memberi contoh yang lebih jelas iaitu dokumen yang dikatakan oleh saudara Harris Ibrahim yang disediakan oleh Hindraf tetapi dimuatkan oleh mendiang Karpal Singh, tanpa sebarang ‘caption’ dalam FB beliau 48 jam sebelum Pilihanraya ke 13, yang ada menyebut artikel 153 sebagai “root of racism” untuk dipersembahkan ke khalayak Ministry of Foreign Affairs, USA. Maka, apakah sebenarnya definasi rasisma?





























Sumber:  fb Prof Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar 

No comments:

Post a Comment