AMAN PALESTIN BERHAD (719871-K)
No. 1, Jalan 3/3B, Seksyen 3, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor.
Tel : 03-89267019 Fax : 03-89259963 E-mel : amanpalestin@yahoo.com
Firman Allah swt di dalam Al-Quran:
“Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah), kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.” (Surah Fatir: ayat 10)
Firman Allah lagi:
“Bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Al-Munafiqun: ayat 8)
Kekejaman Zionis Israel lebih 66 tahun bermula sejak tahun 1948 dengan membunuh berjuta-juta jiwa rakyat Palestin merupakan jenayah yang perlu dihentikan dan dihukum. Selama 66 tahun ini, dunia terus membisu dan membiarkan Zionis Israel melakukan jenayah pembunuhan, penjajahan dan penindasan ke atas rakyat Palestin.
David Ben-Gurion, Perdana Menteri Israel Pertama pernah berkata, “Kita mesti menggunakan keganasan, pembunuhan, ugutan, merampas tanah dan memutuskan semua perkhidmatan untuk masyarakat Arab untuk menyisihkan mereka dari Al-Khalil.”
Bukan itu sahaja, bahkan Zionis Israel, walau silih bertukar ganti pemimpin negara haram mereka, terus menghina setiap perjanjian dan ketetapan, namun dunia terus membisu. Zionis membina negara haram di atas bumi Palestin yang dirampas dengan membunuh penduduk-penduduk desa Palestin. Mereka merampas tanah ladang zaitun, merampas sumber bumi, merobohkan penempatan penduduk, menghalau orang-orang Palestin dari rumah mereka, menangkap sesiapa sahaja tanpa bicara, menyeksa dan mendera tahanan di dalam penjara. Namun, dunia terus membisu dan membiarkan.
Matlamat Zionis menginjak maruah rakyat Palestin melalui penindasan dan pembunuhan jiwa yang tidak berdosa serta menghina kecaman dunia dengan mengingkari semua ketetapan dan perjanjian hanya dapat dihentikan dengan bahasa kekerasan. Islam menuntut agar setiap jiwa yang bernyawa diberikan hak dan kemuliaannya sebagai manusia. Dan kemuncak kemuliaan adalah kemuliaan yang bersandarkan kepada Allah SWT semata-mata.
Perjuangan survival rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka yang sah terhadap tanah air dan memerdekakan negara dari cengkaman penjajah telah menyaksikan siri-siri kebangkitan ummah dan rakyat Palestin.
Bermula dengan perjuangan As-Syahid ‘Izzuddin Al-Qassam yang terkorban di tangan penjajah British pada tahun 1935. Beliau adalah lambang perjuangan dan jihad rakyat Palestin untuk tidak tunduk hina terhadap ancaman penjajah.
Pada Disember 1987, sempena tercetusnya Intifadhah Pertama, As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin mengisytiharkan penubuhan Pergerakan Perlawanan Islam (HAMAS) sebagai sebuah gerakan Islam yang menjadikan pembebasan tanah air melalui perlawanan bersenjata bagi rakyat Palestin.
Lima tahun selepas itu, HAMAS menubuhkan sayap bersenjatanya yang diberi nama Briged As-Syahid Izzuddin Al-Qassam. Kewujudan Briged Al-Qassam menjadi sinar harapan buat perjuangan rakyat Palestin untuk kembali ke tanah air yang dijajah. Sekaligus menjadi mimpi ngeri kepada Zionis Israel yang sewenang-wenangnya menindas rakyat Palestin selama berpuluh-puluh tahun lamanya.
Hari ini, wajah kebinatangan Zionis Israel sampai ke kemuncaknya. Dengan bantuan kuasa-kuasa besar dunia terutamanya Amerika Syarikat, dan bantuan persenjataan dari negara Ukraine, Bulgaria, Britain, Sepanyol, Jerman, Itali dan Republik Czech, Zionis Israel membunuh rakyat Palestin secara menggila. Dan seluruh dunia masih tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan jenayah kemanusiaan ini, apatah lagi mengheret Israel ke muka pengadilan.
Keganasan Zionis Israel ke atas Gaza selama 49 hari telah menyebabkan 2,121 rakyat Palestin dibunuh. 260 daripada angka tersebut adalah wanita dan 577 merupakan kanak-kanak. Manakala bilangan mangsa yang tercedera adalah 10,854, di mana 3,307 daripadanya adalah kanak-kanak dan 2,042 adalah wanita. 475,000 rakyat Gaza terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing. Sebanyak 10,700 rumah, 193 masjid, 194 pusat pendidikan dan 3,449 pusat perkhidmatan awam musnah sepenuhnya dalam serangan Zionis.
Bulan Kemarahan Ummah
Aman Palestin Berhad, dengan kerjasama NGO-NGO Islam termasuk Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Majlis Perundingan Melayu (MPM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ikatan Pengamal Perubatan Dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Yayasan Ikhlas, Persatuan Tadika-tadika Islam Malaysia (PERTIM) dan Perodua Viva Club (VIVAC), menganjurkan ‘Bulan Kemarahan Ummah’ yang merupakan sebuah himpunan program yang disusun selama sebulan sebagai tanda solidariti umat Islam di Malaysia berkenaan krisis perang di Gaza dan menuntut pertanggungjawab ke atas Zionis Israel di atas kesemua jenayah perang yang dilakukan.
Bulan Kemarahan Ummah bertujuan untuk menzahirkan matlamat-matlamat tertentu agar dapat mengesani masyarakat antarabangsa untuk turut serta di dalam isu Gaza. Perkataan ‘Kemarahan’ yang digunakan membawa mesej kebangkitan rakyat Malaysia terhadap sifat kebinatangan Israel yang membunuh orang awam Palestin serta solidariti penuh bersama perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan dari penjajahan Zionis Israel.
Tuntutan-tuntutan ‘Bulan Kemarahan Ummah’ adalah:
1. Mendesak Rusia dan China untuk memberikan tekanan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselematan PBB untuk memberikan hak hidup merdeka dan menikmati hak semulajadi sebagai bangsa yang berdaulat kepada rakyat Palestin.
2. Mendesak PBB membuka pintu Rafah dan menjadikannya sebagai laluan antarabangsa.
3. Mendesak pengganas rejim Zionis Israel menghentikan pembunuhan yang mensasarkan orang awam sebagai mangsa perang dan mendesak kuasa-kuasa besar membawa Zionis Israel ke mahkamah antarabangsa sebagai penjenayah perang.
4. Memberikan tekanan kepada Emirat Arab Bersatu (UAE) untuk menghentikan sumbangan ke atas Israel dengan memboikot syarikat penerbangan Emirates Airline.
5. Mendesak semua negara Islam membuat tekanan terhadap Israel dengan memutuskan semua hubungan diplomatik, menghentikan hubungan dagangan syarikat Israel dan memboikot produk-produk yang menyumbang kepada Zionis Israel.
Di antara aktiviti-aktiviti yang telah disusun sepanjang ‘Bulan Kemarahan Ummah’ ini adalah:
1. Kempen Boikot Aman McDonalds.
2. Kempen Boikot Aman Starbuck
3. Kempen Boikot Aman HSBC
4. Busking Palestin
5. Rally Merdeka Palestin
6. Sejuta Petisyen ‘Million Souls Fight for Gaza’
7. ‘Toll2Gaza’
8. Dan lain-lain.
Acara Kemuncak: Himpunan Solidariti Ummah
Sebagai kemuncak kepada Bulan Kemarahan Ummah, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghadiri Himpunan Solidariti Ummah yang akan diadakan di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan pada hari Sabtu, 13 September 2014. Pihak penganjur mensasarkan penyertaan rakyat Malaysia dari semua peringkat dan latarbelakang masyarakat seramai 20 ribu orang.
Objektif Himpunan Solidariti Ummah adalah:
1) Menyatakan sokongan tak berbelah bahagi terhadap pejuang-pejuang Palestin yang dipimpin Briged Al-Qassam atas jasa besar mereka mempertahankan Gaza serta menzahirkan kecaman ke atas Zionis Israel atas kekejaman yang dilakukan di Gaza.
2) Memobilisasi seluruh masyarakat untuk bersama-sama dalam perjuangan pembebasan bumi Palestin, khususnya dalam usaha membina semula Gaza yang musnah teruk akibat peperangan pada kali ini.
3) Menyubur dan mengukuhkan cinta masyarakat terhadap perjuangan pembebasan Palestin.
Di antara tetamu-tetamu kehormat yang diundang untuk bersama-sama menghadiri acara ini adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia, dan tokoh HAMAS yang akan dimaklumkan kemudian.
Semoga matlamat-matlamat yang telah digariskan sepanjang kempen ini akan dapat dicapai dan kita berjaya menyampaikan mesej jelas kepada Zionis Israel bahawa rakyat Malaysia dan seluruh dunia tidak akan berdiam diri di atas jenayah-jenayah yang mereka lakukan.
Sekian, terima kasih.
Disediakan oleh,
Awang Suffian Awang Piut
Pengarah ‘Bulan Kemarahan Ummah’
Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd
Tarikh: 26 Ogos 2014, bersamaan, 30 Syawal 1435H
No comments:
Post a Comment