Bendera ISIL |
Nama
ISIS atau ISIL tetiba popular dan menjadi sebutan harian media apabila
mereka didakwa menakluk Mosul pada 10 Jun 2014. ISIL (Islamic State in
Iraq and Lavent) atau juga dikenali sebagai ISIS (Islamic State in Iraq
and Syria). Dua istilah ini terjadi apabila diterjemahkan dari nama
Arabnya “al-Dawlah al-Islāmīyah fī al-ʻIrāq wa-al-Shām”. Syams secara
mudahnya diterjemahkan kepada Syria tetapi secara sejarahnya meliputi
Syria, Jordan, Lebanon bahkan Palestin. Sebelum terbentuknya
Negara-negara tersebut selepas Perang Dunia Pertama, kawasan ini
dikenali sebagai Levant atau Mediterranean Timur.
Ia menjadi sangat menarik apabila
kumpulan ISIS yang dikatakan tidak lebih dari 1000 anggota mampu
menghalau keluar lebih 30,000 tentera Iraq yang dilatih oleh Amerika.
Bahkan tentera Iraq dikatakan lari lintang-pukang meninggalkan senjata
dan kenderaan tentera. Keanggotaan ISIS di seluruh Iraq pada akhir 2012
dianggarkan hanya 2500 orang.
Perkara ini menarik perhatian
Perdana Menteri DS Najib sendiri apabila dalam ucapan beliau sempena 20
tahun UMNO Bahagian Cheras meminta ahli UMNO mencontohi keberanian ISIS
“yang hanya 1300 orang berjaya mengalahkan 30,000 tentera Iraq, bahkan
general Iraq lari ikut tingkap di waktu malam”.
Lebih menghairankan, kumpulan ISIS
yang dikatakan sedikit itu terus mara dengan pantasnya menguasai utara
dan barat Iraq. Dalam masa seminggu mereka telah berada di sekitar
Baghdad, hampir 400 km dari Mosul. CNN pada 18 Jun 2014 melaporkan
pertempuran dengan ISIS berlaku di Baquba, 40 minit dari Baghdad.
Hampir semua media utama banyak
memberi liputan kepada kejayaan ISIS `menguasai’ bandar-bandar Iraq
diselang-seli dengan imej ISIs sebagai golongan pengganas yang kejam,
memotong kepala dan anggota badan, membunuh orang awam tanpa sebab serta
melaksanakan `undang-undang Islam yang ketat dan tidak
berperikemanusiaan’. Ringkasnya media menggambarkan bahawa Iraq kini
sedang diancam oleh segolongan pengganas yang jahat.
Namun media terlupa atau seolah-oleh
sengaja mengelak untuk menilai bagaimana mungkin ISIS mampu berbuat itu
semua, itu pun jika ia benar dilakukan oleh ISIS. Atau logikkah untuk
ISIS berbuat itu semua?
Media faham benar psikologi
masyarakat yang hanya mengambil tajuk besar (headlines) dan gambaran
umum yang disogokkan. Masyarakat tidak begitu memberi perhatian kepada
perkara detil.
Keadaan umat Islam diseluruh dunia
yang ditindas, dizalimi bahkan dibunuh tanpa ada pembela pula
menyebabkan wujudkan kekosongan dalam keberanian melawan musuh Islam.
Umat Islam ketandusan `hero’. Sebab itu bilamana ada saja sesiapa atau
segolongan yang berani melawan musuh Islam atas nama Islam, ramai umat
Islam dengan mudah menyokong mereka tanpa mengenali siapakah `hero’ itu
sebenarnya. Ini berlaku sejak kejayaan revolusi Iran. Iran tiba-tiba
menjadi kiblat pejuang Islam sehinggalah mereka kenal siapakah Syiah
sebenarnya. Begitu juga tidak kurang yang menyokong Saddam Hussin
melawan Amerika dalam Perang Iraq Pertama dan Kedua. Dia menjadi hero
kerana berani melawan Amerika walaupun dia sendiri seorang yang zalim
terhadap rakyatnya. Kini konflik di Iraq begitu teruk dan bercelaru
sehingga seolah-olah tiada harapan untuk umat Islam Iraq. Tiba-tiba nama
`ISIS’ keluar sebagai pembebas dari kerajaan Syiah Maliki. Ramai yang
terus menyokong tanpa mengenali siapakah ISIS.
[Sejarah ISIL]
Kebanyakkan analisa mengatakan ISIS
berasal dari kumpulan `al Qaeda in Iraq’ (aQI) yang ditubuhkan setelah
Amerika menakluk Iraq pada 2003. Diketuai oleh Abu Musab Al Zarqawi,
yang berasal dari Jordan, aQI mengambil pendekatan yang keras bahkan
kekadang menyalahi syara’ seperti membunuh secara kejam tanpa bicara
sesiapa yang disyaki menjadi tali-barut Amerika, cuba menggagalkan
bantuan kemanusiaan kepada rakyat Iraq dengan menculik dan membunuh
aktivis kemanusiaan serta melakukan serangan untuk melagakan Sunni dan
Syiah di Iraq. Fahaman mereka yang keras langsung menolak Syiah sebagai
kafir. Tindakan ekstrim ini menyebabkan mereka ditolak oleh rakyat Iraq
bahkan tidak dipersetujui oleh pimpinan Al Qaeda Global (aQG) termasuk
Osama bin Laden sendiri. Hubungan aQI dengan aQG mulai renggang dan
akhirnya diputuskan pada Februari 2014.
Abu Musab Al Zarqawi |
Zarqawi terbunuh dalam serangan udara Amerika pada Jun 2006 dan diganti oleh Abu Ayyub Al Masri yang kemudiannya menguna-pakai nama Islamic State of Iraq (ISI). Namun Abu Ayub pula terbunuh dalam operasi US-Iraq pada April 2010. Kepimpinan ISI diganti oleh Abu Bakar al Baghdadi yang kini menjadi ketua ISIS. Apabila krisis Syria bermula pada 2011 dan sempadan Syria-Iraq yang tidak terkawal akibat perang, ISI meluaskan cita-citanya ke Syria dan mula mengguna-pakai nama `Islamic State in Iraq and Syria’ (ISIS). Namun kemasukan ISIS ke Syria tidak dipersetujui oleh kumpulan Jabat An Nusra yang mewakili alQaeda Global di Syria. Kedegilan ISIS membawa kepada pertempuran antara kedua pihak dan menyebabkan ISIS semakin terasing di kalangan mujahidin Iraq dan Syria.
Abu Bakr Al-Baghdadi |
[Penentangan ISIL dengan pejuang Iraq dan Syria]
Perbuatan ISIL yang melakukan
pembunuhan kejam dan tanpa pengadilan telah ditentang oleh gerakan
pembebasan dan mujahidin Iraq yang lain seawal 2005. Anbar Salvation
Council (ASC) yang merupakan gabungan 30 qabilah Sunni di daerah Al
Anbar yang ditubuhkan pada tahun 2005 khusus untuk menentang keganasan
aQI, kumpulan asal ISIS, telah mengistiharkan penentangan secara terbuka
terhadap ISIS. Kerjasama antara tentera Amerika dan Iraq berjaya
menekan aQI untuk sementara waktu sehingga mereka bangkit semula pada
2012 apabila tentera Amerika mula meninggalkan Iraq.
Pada penghujung 2013, penduduk Al
Anbar terutama di Ramadi dan Falujjah telah mengadakan protes aman
terhadap kerajaan Iraq pimpinan Nuri al-Maliki yang dilihat menyebelahi
golongan Syiah dan menganak-tirikan golongan Sunni. Persetujuan akhirnya
dicapai untuk Tentera Iraq berundur dari Al Anbar dan menyerahkan kuasa
kepada polis tempatan. Sebaik tentera Iraq berundur, ISIS tiba-tiba
muncul mengambil kesempatan untuk menguasai Al-Anbar. Menurut pemimpin
ASC Sheikh Hameed al-Hayes, lebih 8000 keluarga terpaksa lari dari
Ramadi dan Falujjah akibat serangan ISIS.
aQI secara terbuka membunuh ulama’
Sunni yang berani mempersoalkan mereka. Antaranya Sheikh Hamza Abbas
Al-Issawi, Mufti dan Pengerusi Majlis Ulama Falujjah dibunuh oleh aQI
pada tahun 2005. Antara ulama’ lain yang menerima nasib yang sama adalah
Sheikh Abdul Aleem al Sa’di Mufti Ramadi, Sheikh Shawkat al-Sa’ab,
Sheikh Kamal al-Tikriti dan Sheikh Omar Sa’ed Horan. Seorang lagi ulama’
besar Iraq, Sheikh Mahdi al-Sumaidaie cedera parah dalam percubaan
membunuh beliau pada Ogos 2012. Mufti Besar Sunni Iraq, Sheikh Khaled
al-Mulla dalam wawancara al-Mayadeen TV pada 1 Julai 2014, dengan tegas
mendakwa aQI atau ISIS telah membunuh lebih 300 ulama’ Sunni.
Sheikh Khaled Al-Mulla |
Umumnya ISIS mempunyai hubungan
buruk dan ditentang oleh hampir ulama’, masyarakat dan semua kumpulan
pembebasan Iraq samada yang berasaskan Islam, syiah, sekular, kabilah
mahupun bekas anggota Baaths seperti Islamic Army of Iraq, HAMAS of
Iraq, Brigade Revolusi 1920, Jamaa Ansar al-Sunnah, Tentera Mujahiddin
dan Tentera al Mahdi.
Bukan sahaja di Iraq, ISIL juga
menimbulkan kemarahan kumpulan pejuang di Syria. Percubaan ISIS untuk
mengembangkan sayap ke Syria ditentang oleh semua kumpulan pejuang
Syria, samada yang berasaskan Islam mahupun secular. Pada awal tahun
2014, kumpulan pejuang Syria telah bergabung melawan ISIS menyebabkan
ISIS terpaksa berundur ke kubu kuat mereka di ar-Raqqah, utara Syria.
ISIS pernah mendakwa mereka telah
bergabung dengan Jabhat an-Nusra, kumpulan yang mewakili al Qaeda di
Syria. Namun dinafikan oleh Jabhat an Nusra. Dalam sepucuk surat yang
dikeluarkan oleh al Jazerra, pemimpin al Qaeda Ayman al Zahawiri cuba
mendamaikan antara 2 kumpulan itu tetapi tidak diendahkan oleh ISIS.
Akhirnya pada Februari 2014, aQG secara terbuka mengisytiharkan ISIS
bukan dari kalangan mereka. Ini berlaku hanya beberapa bulan sebelum
ISIS didakwa kononya mempunyai kekuatan yang berjaya menawan Mosul
sedangkan ISIS tinggal bersendirian.
Ayman al Zahawiri |
Situasi sebegini menimbulkan
tanda-tanya bagaimana ISIS yang dianggap `budak jahat’ dan disisih oleh
kumpulan pejuang Iraq dan Syria serta dibenci dan ditakuti oleh rakyat
Iraq, tiba-tiba mempunyai kekuatan untuk menakluk utara Iraq dan mara
dengan pantas ke Baghdad. Kejayaan seperti ini logiknya memerlukan
tentera yang ramai dan terlatih serta mendapat sokongan penduduk
tempatan.
Lebih menghairankan, ISIS yang
kononnya ingin menegakkan Islam dan mendirikan Khilafah sering bertindak
jauh luar dibatas-batas Islam dan kemanusiaan. Mana mungkin seorang
yang ikhlas ingin melaksanakan Islam terpesong begitu jauh membunuh
sewenang-wenangnya dan dengan cara yang kejam. Mana mungkin seorang
pejuang Islam berakhlak seperti mereka. Perbuatan mereka bukan saja jauh
dari sifat Islam bahkan memberi gambaran yang amat buruk kepada Islam
dan pejuang-pejuang Islam.
Kalau begitu apakah niat mereka
sebenarnya? Kenapa meraka menggunakan label Islam? Apakah yang mereka
ingin capai? Atau siapakah ISIS sebenarnya?
[Siapakah ISIS sebenarnya?]
Tidakkah kita pelik apabila
mengentahui kerajaan Basyar membeli bekalan eletrik daripada stesyen
janakuasa yang dikendalikan ISIS ? Dengan wang itulah antara sumber ISIS
untuk membiayai kegiatannya. Bukankah sepatutnya ISIS berperang dengan
kerajaan Basyar jika benar mereka pejuang Islam dan membela rakyat?
Akhbar New York Times (NYT) pada 11 Jun 2014 melaporkan ISIS terus
mengeluarkan minyak dari telaga minyak yang mereka kuasai di timur
Syria. Mereka juga menjual kembali eletrik kepada kerajaan Basyar dari
stesyen janakuasa yang mereka tawan. Dalam laporan yang sama NYT juga
memetik Sheikh Hasan, pemimpin Free Syria Army sebagai berkata “anggota
mereka (ISIS) dibayar lebih tinggi, lebih terlatih bahkan persenjataan
mereka lebih baik dari tentera Syria dan Iraq.” NYT terus melaporkan
bahawa ISIS mengelak dari bertempur dengan tentera Basyar dan tentera
Basyar seolah-olah sengaja membiarkan kumpulan ini dalam masa yang sama
menumpukan peperangan terhadap kumpulan mujahiddin yang lain.
Ketua Biro politik Ikhwanul Muslimun
Syria, Hassan Hasyimi dalam temubual dengan akhbar dalam talian
al-Monitor pada 12 June 2014 mendakwa mereka mempunyai banyak bukti
bahawa ISIS di Syria didokong oleh pihak keselamatan Syria dan Iran.
Bahkan ISIS jarang bertempur dengan tentera Syria telah lebih banyak
berperang dengan kumpulan mujahiddin yang lain. “Kami mengenali mereka.
Mereka yang selama ini berada didalam tentera Syria tiba-tiba menyimpan
janggut yang panjang dan menjadi ahli ISIS atau al-Nusra.” Kata Hassan.
Yang pastinya bagi beliau “ …. apa yang mereka lakukan tiada
kena-mengena dengan Islam, dari segi perbuatannya, ideologinya dan
pemikiran mereka.”
Inikah Islam yang dibawa aQI / ISIS …….
Rekod penglibatan ISIS dalam
keganasan sangat panjang. Bermula dari alQaeda in Iraq, kemudiannya
Islamic State of Iraq dan seterusnya menjadi Islamic State in Iraq and
Levant, sikap melampau ISIS dan keganasan mereka semakin jauh dari
Islam. Samada dalam bentuk pengeboman kereta ditempat awam, pembunuhan
tokoh dan ulama’, penculikan wanita dan aktivis kemanusiaan, hukuman
tanpa bicara, pembunuhan kejam dengan memeotong kepala dan menembak
mangsa yang tidak berdaya – senarai kekejaman mereka hampir tiada
penghujung.
Pada 25 Oktober 2009, pengeboman di
Baghdad membunuh 155 nyawa dan mencederakan lebih 720 orang. Pada 8
Disember sekali lagi Baghdad dibom membunuh 127 nyawa dan mencederakan
448 orang. ISIS, atau ketika itu ISI, mengaku bertanggungjawab.
ISIS juga tidak teragak-agak untuk
membunuh sesiapa saja, termasuk ulama’, yang menentang mereka. ISIS
dipercayai terlibat dalam serangan bom chlorine pada March 2007 yang
membunuh 8 dan ratusan cedera di Fallujah dan Ramadi dimana pemimpin
tempatannya menentang aQI. Sebulan sebelumnya satu letupan bom
berhampiran sebiah masjid di Fallujah telah membunuh 35 orang. Imam di
masjid tersebut diketahui menentang ISIL. ISIL juga didakwa membunuh
pemimpin kumpulan mujahiddin lain yang mereka. Mereka juga dipercayai
terlibat dalam serangan bom sebuah masjid di Baaquba yang membunuh 28
orang termasuk pemimpim kumpulan Hamas of Iraq dan 1920 Brigades. ISIL
juga cuba melagakan antara golongan Sunni dan Syiah dengan menyerang
tempat suci golongan Syiah.
Sebaik mengisytiharkan `Khilafah
Islam’, satu sumber yang dipetik dari media Turki memetik seorag wakil
ISIS, Abu Turab al Mugaddasi mengatakan mereka akan menakluk Arab Saudi
dan akan memusnahkan Kaabah. Ini kerana mereka mendakwa umat Islam pergi
ke Mekah untuk menyembah batu, bukannya Allah. Tidak sampai seminggu
mendirikan `daulah’ mereka telah memusnahkan sekurang-kurangnya 4 maqam
ulama’ Sunni yang didakwa sebagai sumber khurafat serta 6 masjid Syiah.
ISIS juga dalam tempuh peperangan
terbaru ini dilaporkan telah mengeluarkan `fatwa’ meminta semua keluarga
menyerahkan anak perempuan mereka kepada anggota ISIS untuk memberi
khidmat sex. Arahan ini didapati didalam risalah-risalah yang ditemui di
di Mosul dan Tikrit.
Kalau bukan ISIS, siapa kuasai utara Iraq sebenarnya ……
Pertubuhan Ulama Iraq (Association fo Muslim Scholars of Iraq – AMSI)
dalam kenyataannya bertarikh 9 Julai 2014 mengambarkan kemenangan di
Mosul adalah hasil dari kebangkitan rakyat dari pelbagai kumpulan
penentang. Kemenangan tidak langsung ditujukan kepada ISIS sepertimana
yang digembar-gemburkan oleh media antarabangsa. Dalam kenyataan
tersebut juga AMSI mengingatkan pejuang pembebasan Iraq untuk
mengutamakan kemaafan daripada membalas dendam dan menjaga kemuliaan
darah orang yang tidak berdosa. Sikap ini jelas bertentangan dengan
amalan ISIS yang telalu mudah menjatuhkan hukuman mati kepada semua yang
dilihat menentang mereka.
Sekali lagi dalam kenyataan mereka
pada 12 Jun 2014, walaupun tidak menyebut nama ISIS, AMSI secara lebih
jelas menyatakan kemenangan terbaru ini adalah hasil pengorbanan seluruh
rakyat Iraq dan tidak ada satu pihak yang boleh mendakwa ia adalah
kemenangan mereka walau begitu yang cuba digambarkan oleh media
antarabangsa.
Struan Stevenson |
Persoalannya ….
Struan
Stevenson, Presiden Delegasi Parlimen Eropah untuk Hubungan dengan Iraq
menulis pada 16 Julai, 6 hari selepas kejatuhan Mosul “ Maliki dan
penaungnya di Tehran mendakwa bahawa daerah-daerah Iraq telah jatuh
ketangan pengganas ekstrim ISIS. Tetapi dakwaan ini adalah melucuka dan
tidak masuk akal. Pembebasan 100,000 km persegi (¾ dari keluasan
Semenanjung Malaysia) jajahan Iraq dengan yang diduduki beberapa juta
rakyat dalam masa beberapa hari tidak mungkin dilakukan oleh kumpulan
ekstrimis yang terpencil dengan tidak lebih beberapa ribu atau hanya
beberapa ratus anggota ….. pelbagai petanda menunjukkan qabilah-qabilah
Arab dan penduduk tempatan telah bangkit dengan kemarahan menentang
Maliki.”
VICE
News pula memetik temubual seorang penduduk, Sahib, 60, yang menafikan
ISIS berada di Mosul. “Rakyat Iraq sendiri yang menguasai bandar ini,
mereka yang menghalau keluar tentera Maliki …… Saya tidak melihat
seorang orang asing pun, hanya orang Iraq. Ini adalah kebangkitan
melawan kezaliman presiden (Maliki). Rakyat sudah bosan dengan beliau
dan mereka tidak dapat bersabar lagi.”
Liputan berita oleh media utama
seperti CNN, BBC dan alJazeera melaporkan dari wilayah yang dibebaskan
seperti Nineveh dan Salahaddin, menunjukkan tidak berlakunya sebarang
kekacauan dan pencerobohan hak terhadap penduduk tempatan. Keadaan ini
berbeza jika dikuasai oleh kumpulan ektrimis yang selalunya melakukan
pelbagai kekacauan dan ugutan.
[Apakah agenda mereka ?]
Sebab media antarabangsa cuba
menggambarkan kemenangan ini adalah kemenangan satu puak yang esktrim
(ISIS) adalah jelas; untuk menimbulkan kemarahan dunia kepada revolusi
rakyat dan cuba merencatkannya. Apabila dunia melihat kebangkitan rakyat
Iraq sebagai pengganas dan ektrimis, maka mudah saja untuk kuasa luar
campur tangan dan membantu kerajaan Maliki menekan kebangkitan rakyat.
Amerika dan Rusia telah menghantar kapal terbang pejuang untuk membantu
tentera Maliki. Tentera elit Iran pula dilaporkan telah memasuki Iraq
untuk sama-sama menyekat kebangkitan rakyat. Kerajaan Maliki cuba
menggambarkan semua keganasan dan kezaliman berpunca dari ISIS dan semua
umat Sunni adalah ISIS. Masyarakat dunia tidak akan membantah kerana
mereka dilihat sebagai menentang kumpulan pengganas dan ektrimis.
Struan Stevenson juga melaporkan “
…. dakwaan ini bukanlah kerana salah-faham bahkan jelas mempunyai niat
yang jahat. Atas nama menentang keganasan, Maliki dan regim Iran cuba
membuat alasan untuk campurtangan Tentera al Quds dari Iran dan
penaklukan Iraq oleh tentera Pengawal Republikan Iran. Pada masa yang
sama mereka mahukan campurtangan tentera Amerika menyebelahi Maliki.”
Pada 12 Jun, Wall Street Jounal
melaporkan 3 batalions tentera elit al Quds telah dihantar membantu
tentera Iraq. Satu battalion telah telah menyertai pertempuran bersama
tentera Iraq dan membantu menawan semula sebahagian besar bandar Tikrit
pada hari Khamis. Manakala 2 batalion lagi ditugaskan mempertahankan
Baghdad dan tempat suci Syiah di Karbala dan Najaf.
[Pengisytiharan Khilafah Islam]
ISIS berterusan melakukan perkara
yang pelik dan tidak dapat diterima oleh umat Islam umumnya. Pada 29
Julai 2014 bersempena 1 Ramadhan 1435, ISIS telah mengisytiharkan
berdirinya Khilafah Islam di kawasan yang dikuasai mereka dari timur
Syria hingga ke utara Iraq. Namum sebahagian besar kawasan ini adalah
padang-pasir dan tidak berpenghuni. Pemimpin ISIS, Abu Bakar Al-Baghdadi
dilantik sebagai `khalifah’ mereka. Mereka juga mengeluarkan fatwa
mewajibkan seluruh umat Islam di dunia melafazkan bai’ah (taat setia)
kepada mereka. Pengistiharan kahlifah ini juga bererti semua jamaah
Islam dan kumpulan mujahiddin hendaklah dibubarkan kerana semua umat
Islam mesti berada dibawa satu khalifah.
Sebenarnya ini bukan perkara baru di
Iraq. Pada tahun 2007, Abu Musab al Zarqawi, bekas pemimpin aQI yang
ketika itu memimpin gerakan ‘Tauhid dan Jihad di Mesopotamia’ telah
pernah mengisytiharkan penubuhan Negara Islam di Iraq.
Negara Islam memang menjadi idaman
setiap muslim dan gerakan Islam. Tetapi pengisyiharan Negara Islam oleh
kumpulan yang membawa imej penganas, pembunuh dan mempunyai rekod
kemanusiaan yang buruk – hanya merosakkan agenda Negara Islam.
Pengisytiharan ini juga tidak
membawa apa-apa kebaikan dan tidak menyelesaikan sebarang masalah umat
Islam bahkan masyarakat dunia kini melihat Islam melalui kacamata
`Negara Islam’ yang kasar, ekstrim, tanpa undang-undang dan tidak
berperikemanusiaan. Perbuatan ini hanya memberi keuntungan dan menjadi
hujah kepada mereka yang menentang Islam.
Persatuan Ulama Sedunia
(International Union of Muslim Scholars - IUMS) yang dipengerusikan oleh
Sheikh Yusuf Qardawi dalam kenyataan pada 4 Julai 2014 menolak
pengistiharan tersebut sebagai tidak sah, tidak realistik dan tiada
sandaran hukum Islam. IUMS memberi amaran perbuatan ini hanya memberi
keuntungan kepada musuh Islam di Iraq dan Syria. Khilafah Islam berdiri
atas dasar persepakatan ummah bukan hanya dengan pengisytiharan golongan
tertentu. ISIS juga dikecam kenara cuba merampas kejayan kebangkitan
rakyat Iraq dengan mendakwa kemenangan milik mereka.
Persatuan Ulama’ Iraq (Association
of Muslim Scholars in Iraq - AMSI) pula dalam kenyataan No 1003
bertarikh 1 Julai 2014 berkata, dalam keadaan Iraq sekarang, pengumuman
seperti itu tidak memberi kebaikkan kepada Iraq dan perpaduan rakyatnya.
Bahkan perbuatan seperti itu boleh dianggap cuba memecah-belahkan Iraq
dan kepentingan rakyat.
Sheikh Abbas Shuman, seorang ulama
al Azhar berkata “mereka yang bercakap tentang penubuhan Negara Islam
itu sebenarnya pengganas. Khilafah Islam tidak ditegakkan secara
paksaan. Menakluk sebuah negara dan membunuh separuh penduduknya …… ini
bukan Negara Islam. Ini adalah keganasan.”
Pengisytiharan itu juga ditolak oleh
pelbagai kumpulan mujahidin di Syria. Abu Maria al-Qahtani yang menjadi
rujukan Jabat an Nusra dalam perundangan Islam mencatatkan didalam
Twitternya tindakan ISIS adalah “semangat yang keterlaluan” dan “musibah
kepada ummah”. Bahkan golongan salafi seperti gerakan Salafi Lebanon
juga menolaknya. Pemimpin gerakan tersebut, Daii Islam al Shahhal
berkata “Kami pun mahukan negara Islam, itu adalah asas kefahaman kami.
Tetapi Negara Islam mesti tertegak atas beberapa kriteria dan kriteria
tersebut belum dipenuhi.” Manakala Jamaah Islamiyah Lebanon mengecam
pengumuman tersebut menganggapnya terkeluar dari landasan Islam. Bagi
mereka ISIS merosakkan Islam dan dikeji oleh penduduk di Timur Tengah.
Sehingga artikel ini ditulis,
alQaeda Global (aQG) masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan terhadap
pengisytiharan ISIS, namun ia tentunya sukar diterima oleh aQG kerana
ia bererti pemimpin aQG Ayman al Zawahiri pula terpaksa memberi
taat-setia kepada ISIS.
[Kesimpulan]
Dalam meneliti fakta-fakta yang
berlaku di Iraq dan Syria serta sebagai panduan memahami pergolakan
Irqa-Syria dimasa akan datang, kita boleh mengambil beberapa kesimpulan :
1. ISIS mempunyai asal-usul dari
al Qaeda in Iraq (aQI). Walaupun alQaeda sendiri sudah dianggap pelampau
dan ekstrim, ISIS telah menjadi lebih ekstrim hinggakan alQaeda sendiri
menjauhkab diri dari mereka.
2. Selain nama yang bersandar
Islam, ISIS tidak menunjuk sebarang karakter perjuangan Islam dari segi
akhlak, kefahaman, pendekatan syariat, kasih-sayang, adab di medan
perang, teliti dalam menghukum dan sebagainya.
3. Penonjolan ISIS sebagai
kumpulan yang terlampau ekstrim, hanya memberi keburukan kepada Islam
amnya dan kepada perjuangan membebaskan Syria dan Iraq khususnya.
4. Strategi ISIS hanya memberi
keuntungan kepada musuh Islam di Syria dan Iraq. Imej militan ekstrim
ISIS menjadi alasan untuk campurtangan kuasa asing seperti Amerika dan
Rusia bahkan Iran dalam urusan Syria dan Iraq. Beralasankan menentang
pengganas, mereka memasuki Iraq dan Syria; tetapi yang ditentang bukan
pengganas bahkan revolusi rakyat.
5. ISIS ditolak oleh semua pihak, samada yang sepatutnya menjadi kawan apalagi lawan. Samada golongan Islam mahupun secular.
6. Kejayaan yg dinisbahkan kpd
ISIS yang berlaku secara tiba-tiba dan begitu cepat menimbulkan pelbagai
tanda-tanya; apakah kejayaan itu betul milik ISIS ataukah mereka memang
sengaja diberi ‘laluan’ oleh pihak tertentu dan berkepentingan.
7. Kejayaan membebaskan utara dan
barat Iraq terutama daerah Sunni Ninawa dan al Anbar bukan milik ISIS
bahkan hasil kebangkitan rakyat Iraq terharap kerajaan Syiah Nuri
Maliki. Protes besar-besaran terharap kerajaan Maliki telah bermula
sejak akhir 2013 bukannya bermula dengan penaklukan Mosul pada Jun 2014.
8. Dakwaan bahawa ISIS ciptaan
pihak luar yang sengaja ingin memburukkan Islam dan perjuangan rakyat
atau sekurang-kurangnya telah diresapi oleh anasir jahat sukar ditolak
kerana tindakan ISIS hanya merugikan Islam dan menguntungkan musuh
Islam.
Ar. Hj. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf
Jkuasa Pembelaan Ummah
Pertubuhan IKRAM Negeri Selangor
----------------------------------------
Mohon sebarkan artikel ini sebanyak mungkin. Ramai sudah salah faham mengenai isu ini. Jalankan tanggungjawab anda. Pastikan sahabat-sahabat anda tidak tertipu dengan kebangkitan Islam palsu ini. Sebarkan!
----------------------------------------
Mohon sebarkan artikel ini sebanyak mungkin. Ramai sudah salah faham mengenai isu ini. Jalankan tanggungjawab anda. Pastikan sahabat-sahabat anda tidak tertipu dengan kebangkitan Islam palsu ini. Sebarkan!
Sumber: http://www.viraliyat.com/2014/07/wajah-sebenar-isis-terbongkar-rupanya.html#
No comments:
Post a Comment