ALLAHUAKBAR - PADANG JARAK PADANG TERKUKUR (249 photos)
Apabila air surut, bumi Kelantan yang terlibat banjir dapat kita lihat amat teruk sekali kemusnahannya. Apabila diteliti secara meluas dan mendalam, mengambil kira luasnya daerah yang terlibat dan banyaknya jumlah kemusnahan, maka ia jelas lebih teruk dari Tsunami yang biasanya hanya memusnahkan kawasan beberapa KM dari pantai.
Terlalu banyak perkongsian penduduk yang rumahnya tidak pernah kena banjir turut mengalami kemusnahan total secara mendadak. Mereka tidak pernah sangka akan terkena kali ini. Tiada persiapan sempat dibuat melainkan terpaksa meninggalkan segalanya demi menyelamatkan nyawa. Pulangnya mereka hanya bertemankan airmata apabila melihat segalanya hilang dengan sekelip mata.
KESENGSARAAN YANG MEMUNCAK
Melihat kesengsaraan mangsa, khasnya warga tua yang tiada orang lelaki yang sihat tinggal bersamanya terlalu memilukan. Dipujuk untuk tinggalkan kampung dan menumpang di rumah sanak saudara mereka tidak mahu. Mereka sanggup mati di desa yang sudah jadi “padang jarak padang terkukur” itu juga. Masa redup mereka mula mengemas dengan terketar-ketar. Bila panas, mereka berteduh di bawah pokok. Lepas solat dan mengalas perut, dalam gelap malam mereka sambung lagi. Allahuakbar !!!
Ya .. Tahap kesengsaraan ini sudah sampai di kemuncaknya. Begitu ramai warga tua yang pasrah secara maksima. Kita yang sihat ini juga sudah tidak mampu memikir bagaimana kesan banjir itu mahu dibangun semula dengan tangan-tangan tua dan wanita yang lemah? Kalau dapat tempat berteduh pun bila nak cari keperluan harian untuk hidup? Mana perabut asasnya? Mana makanannya? Subhanallah…
Kisah pelajar universiti yang mengharungi hujan dengan motosikal pulang ke Kelantan sewaktu jalan terputus, hanya berbekalkan sekampit beras dan beberapa tin sardin untuk menyelamatkan neneknya yang kelaparan dan tidak mendapat bantuan amat memilukan hati. “Jika motor tak sampai kampung, berenang mengharung air pun dia sanggup demi nenek yang kelaparan sendirian”.
Berita kematian penunggang motosikal, juga seorang pelajar universiti dan rakannya seorang anak yatim piatu yang kemalangan sewaktu dalam perjalanan ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir juga amat menyentuh hati. Inilah semangat jihad rakyat marhaen yang sudah tidak tahan lagi melihat kesengsaraan saudara mereka di Kelantan.
Air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi ketika menerima kisah seperti ini. Dalam pada bantuan mencurah-curah sampai membukit, ada yang tergamak mengumpul puluhan malah ratusan kampit beras dan kemudian menjualnya. Mengapa? kerana tiada kordinasi. Yang berani malah mencuri isi kedai dan pasar raya beramai-ramai. Ironinya, ada warga tua yang tinggal sendiri dan terpinggir tidak terbela. Titi hanyut, jalan terputus dan tidak siapa tahu/peduli keberadaan mereka.
MARI GANTIKAN AIRMATA DENGAN PELUH DAN DANA
Kami mengikuti secara dekat perkembangan banjir ini hampir setiap jam sejak mula lagi. Melihat paras air dan derasnya arus itu dapat dibayangkan kemusnahan yang bakal berlaku dan apa yang amat perlu selepas air surut nanti. Pengalaman membantu mangsa Tsunami di Kedah dahulu seolah-olah bakal berulang. Apabila air surut, semua bayangan tadi benar-benar berlaku dan menjadi kenyataan.
Setiap gambar dan video, mahupun penceritaan sahabat di Kelantan, atau perkongsian dari group yang balik dari misi bantuan banjir mahupun dari rakan-rakan FB kami kumpulkan dan menganalisa dengan teliti. Setiap kali menerima maklumat, hati merintih, airmata tidak dapat dibendung.
Kami masih menangisi kesengsaraan saudara kita di sana saban hari. Namun ratap tangis itu tidak mampu meredakan kesengsaraan mereka tanpa diiringi dengan doa dan usaha gigih untuk membantu. Persiapkan mental, fizikal dan dana harus digembeling untuk mengatur misi bantuan kemanusiaan seterusnya.
Untuk tujuan ini, maka seluruh kemampuan dana, juga lebih dari 20 kenderaan dan jentera kepunyaan kami yang diperlukan insyaAllah akan berangkat ke Kelantan bersama sekitar 200 tenaga kerja RPWP dan sukarelawan esok (6 Januari). InsyaAllah kami akan berkampung memerah keringat sekitar seminggu di sana.
BANTUAN YANG BUKAN SEKADAR ‘REACH’ TATAPI ‘ENGAGED’
Kami beritahu semua sukarelawan yang akan ikut serta agar bersiap untuk merasai kesengsaraan saudara kita di sana. Toleransi sepanjang perjalanan harus diutamakan walaupun kita ramai dan pakai ‘beacon light’. Jangan sekali-kali menidakkan hak pengguna jalanraya. Jauh sekali membunyikan hon atau siren yang mengganggu penduduk sepanjang jalan sepertimana yang banyak berlaku berdasarkan perkongsian banyak pihak yang pulang dari sana.
Kita ke sana bukan sekadar seronok-seronok berkonvoi ramai-ramai, pakai beacon light dan siren, memenuhi jalan dengan ‘menghalau’ kenderaan lain di jalan yang sempit dan rosak itu. Bukan sekadar bawa stok barangan, serah pada mangsa sambil selfie dan tinggalkan mereka. Bukan juga sekadar kutip dana, beli beras berlori-lori, tampal sticker gambar pemimpin dan parti, upah transpot untuk hantar ke sana dan longgok di tepi jalan. Lepas itu pemandu lori pulang dan tuntut kos transpot. Bukan juga sekadar melawat mangsa, pegang anak dan usap kepala sambil bergambar depan pemberita dan balik semula.
Kami nasihatkan semua yang terlibat agar banyakkan bersabar. Siap untuk memerah keringat dan tulang empat kerat. Siap untuk bekerja 14-20 jam sehari. Bakinya untuk bersilaturrahim dan memberi motivasi, bermalam dengan cahaya lilin, dengan gigitan nyamuk dan kedinginan malam bersama mangsa banjir jika terpaksa. Makan juga harus ala kadar sahaja kerana kita bukan wisata di sana.
Seminggu di sana harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meninggalkan hasil kerja yang wajar. Misi ini harus diatur dengan teratur. Sekitar 200 sukarelawan harus dipecah-pecahkan untuk melawat, bertakruf, memberi motivasi dan mengenalpasti apa yang benar-benar mereka perlukan. Segala maklumat termasuk rakaman gambar dan video perlu dikumpul untuk dianalisa keperluan mereka. Kemudian kita dapatkan apa yang perlu dan datang semula dengan bantuan yang tepat termasuk keperluan barang, sedikit dana dan tenaga kerja.
DOA KAMI
Kita amat bersyukur sekali melihat limpahan bantuan banjir di Kelantan. Bekalan makanan dan pakaian terpakai bertimbun-timbun. Miskin kaya mengumpul biaya dan berkonvoi mengirim bantuan ke sana. Ada yang guna lori dan helikopter, ada yang naik 4x4, van dan kereta, malah ada yang naik motosikal dengan sekampit beras, kicap dan sardin sampai ada yang kemalangan dan meningal dunia.
Masih ada selerakah untuk tidur lena dan makan sedap-sedap melihat kemusnahan yang berlaku? Bayangkan jika itu rumah kita atau ibubapa kita. Apa perasaan melihat kemusnahan itu? Apa kemampuan kita dan bilakah akan dapat kita pulihkan? Dari mana mahu dapat dana dan tenaga?
Itulah yang kami rasakan saat ini. Lebih seminggu kami hentikan sumber daya manusia dan aset RPWP untuk urusan sendiri bagi mempersiapkan misi bantuan ini. Anak-anak pun ikut sekali menunjukkan keprihatinan. Sedikit sebanyak dana yang kami kumpul untuk pembinaan kompleks RPWP, juga Sekolah Tahfiz Intergerasi Akademi Insan Prihatin (AIP) melalui Wakaf Enterprise dan sumbangan masyarakat juga telah disalurkan untuk misi ini SEMAKSIMA MUNGKIN.
KAMI BERDOA KEPADA ALLAH AGAR CORETAN INI MAMPU MENJENTIK HATI-HATI INSAN BUDIMAN.
Kami ada jentera yang amat diperlukan bagi misi ini (MOFFET MOUNTY FORKLIFT), namun tidak mampu kami bawa kerana ketiadaan loader. Kami juga amat memerlukan BACKHOE untuk memaksimakan hasil kerja. Dengan jentera itu mungkin kepakaran dan tenaga kami boleh memaksimakan bantuan kemanusiaan selama seminggu di sana.
Banyak sekali benda berat yang perlu diangkat, selut yang perlu dikaut, perigi yang perlu digali, tanah yang perlu diratakan dan sebagainya. Biar kami bersengkang mata, berpanas dan berselut tidak mengapa. Banyak sekali selut dalam rumah dan sisa-sisa perabut yang perlu dicuci, termasuklah alat letrik yang mungkin masih boleh diguna dan dibaiki dengan sedikit kepakaran kami. Untuk menggantikan ‘semua’ yang musnah hampir mustahil bagi kami.
Kami menyeru dan berdoa. Jika anda kenal mana-mana syarikat pengangkut yang ada ‘SELF LOADER’ yang sudi membantu mengangkut jentera itu untuk kami guna di sana dan hantar balik ke Kajang sesudah itu amat kami syukuri. Bukan untuk kepentingan kami, tetapi untuk sedikit jariah kita kepada mangsa yang jauh lebih sengsara di sana.
Kami juga perlu sebanyak mungkin peralatan kerja dan bahan mencuci. Apa yang bakal kami pijak di bawah selut itu tidak dapat dilihat. Mungkin ada paku, pecahan kaca atau duri. Kerana itu kami perlu banyak but getah yang ada lapik besi. Kami perlu banyak zink, papan, plywood, paku, kayu 1x2, 2x3, dan tiang 3x3 atau 4x4 untuk membina rumah orang-orang tua yang tidak terbela di sana SEBANYAK MUNGKIN DENGAN KUDERAT YANG ADA.
JIKA anda hanya terbaca seruan ini selepas kami berangkat ke sana, sila hubungi seorang dua murobbi yang tinggal untuk membantu uruskan penghantaran segera ke sana. Kumpulkanlah apa sahaja sisa zing, papan, tikar getah, kanvas, atau apa sahaja yang ada di rumah anda dan masih boleh diguna untuk dikirim ke sana.
Salurkanlah sedikit dana atau bahan binaan jika kita mungkin sedang membina rumah kedua kerana mereka tiada tempat berteduh. Berikanlah mereka canopy perkelahan atau yang anda guna memayungi kereta agar dapat memayungi mereka, insan macam kita juga.
Jika anda tidak punya semua itu, boleh juga hulurkan sumbangan dana semampunya (“PRIHATIN SERVICES”, MBB: 562021607398 atau “PER KEB RMH PENGASIH WARGA PRIHATIN 2012”, MBB: 562021611721).
InsyaAllah dengan bantuan penduduk setempat, telah kami kenalpasti beberapa pembekal yang sudah mula beroperasi untuk kami dapatkan bekalan mengikut jumlah dana yang terkumpul dan sesuai dengan keperluan mereka.
Yang berhajat boleh hubungi Mak Long Werda 013-5858789, Ustaz Hamzah 013-5858779 ATAU mana-mana urusetia kami di MENU ALAMAT web kami. Maklumat lanjut misi bantuan ini juga ada di link berikut.
http://prihatin.net.my/v3/2014/12/31/gambaran-kemusnahan-pasca-banjir/
http://prihatin.net.my/v3/2014/12/29/misi-bantuan-kemanusiaan-warga-prihatin/
KESIMPULAN
Alhamdulillah misi bantuan kecemasan waktu banjir telah berlalu. Kita bersyukur dengan kemurahan hati rakyat Malaysia. Kini masuk FASA KEDUA yang lebih berat, itulah misi bantuan kemanusiaan untuk membina semula kehidupan mangsa. Ini jauh lebih kritikal. Banyak memakan masa, menelan belanja dan tenaga. Kemusnahan yang berlaku boleh sahaja membuatkan mangsa yang lemah jatuh sakit atau gila kerana tekanan perasaan dan kelumpuhan ekonomi.
Kita perlukan ENGAGEMENT, bukan sekadar REACH dalam misi bantuan pasca banjir ini. Perlu berkampung, berbual mesra dan tunjukkan simpati kita dengan dana, barang dan tumpahan peluh di hadapan mata mereka. Kita kenalpasti dan bantu kesesakan mereka secara spesifik agar pulangnya kita dapat memberikan sedikit kelegaan tetapi berpanjangan. Luahan simpati dan linangan airmata sudah tidak bermakna lagi buat mangsa yang sedang sengsara.
Ya Allah, bukakanlah mata hati hamba-hambamu untuk membantu kami yang sedang berusaha membantu mangsa banjir yang sedang sengsara. Selamatkanlah perjalanan kami semua. Berilah kami kekuatan semangat dan tenaga, tidak mudah lemah dan putus asa. Sesungguhnya kami bertawakal dan berserah diri pada Mu, wahai yang Maha Esa..
ALLAHUMMA AMIIN
Sumber: Fb Warga Prihatin
308 SharesLike · · Share
No comments:
Post a Comment