SYUKUR alhamdulillah. Apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sebuah Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir di antara Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat, sesungguhnya ia adalah sebuah berita yang dinanti-nantikan.
Nampaknya, jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas (Pusat) Bencana Banjir Negeri Kelantan adalah permulaan kepada suatu persefahaman yang lebih jitu dan bermakna.
Kedua-duanya orang Kelantan. Mereka tentunya dapat menjiwai denyut nadi seluruh rakyat negeri yang mahukan bantuan segera kepada mangsa banjir. Seperti yang disarankan oleh TPM, langkah jangka pendek kerajaan ialah untuk memberi bantuan ihsan kepada mangsa banjir. Mereka sudah lama tidak bekerja, tidak ada pendapatan.
Justeru, mereka perlu dibantu segera agar dapat memulakan kehidupan.
Jabatan Kebajikan Masyarakat diberi tugas untuk menyediakan keperluan asas makanan seperti beras, susu dan gula untuk seisi rumah. Semua mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah atau rosak teruk perlu disediakan tempat berlindung buat sementara waktu sehingga rumah kekal dapat disiapkan.
Kediaman yang paling asas ialah khemah, rumah kedai atau bangunan kerajaan yang tidak digunakan sebagai penempatan sementara sehingga rumah yang hilang itu diganti baharu. Langkah seterusnya ialah proses pembersihan kawasan yang dilanda banjir termasuk rumah penduduk dan kemudahan awam seperti sekolah, masjid, dewan orang ramai dan pasar awam.
Selepas selesai pasca banjir itu, kerajaan akan memfokuskan kepada langkah-langkah jangka panjang menangani banjir seperti mendalamkan sungai.
Penerbit akhbar Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub ternyata begitu gembira apabila mendapat tahu mengenai perkembangan ini. Katanya, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Kelantan telah memulakan inisiatif pertama di jalan yang betul. Ia langkah yang bagus dan boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi lagi.
Mungkin doa rakyat mahu melihat kedua-dua pihak ini bersatu mula termakbul bagi memulihkan semula kehidupan rakyat di negeri yang terjejas teruk akibat banjir.
Minggu lalu, Datuk Hussamuddin secara solo telah memulakan sebuah gesaan dengan lantang akan perlunya Pas Kelantan dan Umno Kelantan mengenepikan kepentingan politik masing-masing bagi mewujudkan sebuah kerajaan campuran.
Hasrat untuk melihat kedua-dua pihak bersatu itu juga adalah harapan yang telah dibisikkan oleh ramai individu yang terdiri daripada bekas pegawai kerajaan, usahawan, tokoh pendidikan serta rakyat Kelantan kepadanya.
Mereka penat berdepan dengan pertelingkahan politik di antara Pas-Umno yang hampir menjangkau ke setengah abad sedangkan mereka mengimpikan Kelantan dengan gelaran serambi Mekah, dapat berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri maju yang lain.
Semua ini boleh menjadi realiti seandainya para pemimpin politik kedua-dua parti boleh duduk semeja, berbincang dan bermesyuarah hingga tertubuhnya sebuah kerajaan campuran di negeri itu.
Cadangan ini adalah sebuah cadangan yang praktikal, bukannya politikal. Malah, ia logikal. Namun, bagi yang punyai banyak perkiraan, ia bukannya langkah yang mereka rasa boleh dilakukan secara serta-merta.
Bagaimana pun, yang penting ia sudah bermula. Jawatankuasa Bersama Menangani Pasca Banjir yang dianggotai oleh Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat adalah fasa penyesuaian.
Bersatu adalah langkah mulia. Ia adalah tindakan terpuji yang dianjurkan agama. Ia boleh menyelesaikan banyak masalah prasangka, dendam kesumat mahupun khianat. Semua masalah itu hanya terbit di fikiran akibat hati yang keruh.
Sebaliknya, apabila dua pihak dapat bersatu, secara fiziknya, ia melahirkan kepadatan dan ketumpatan. Ini akan memercikan tenaga kekuatan. Apabila bergerak dalam kesatuan, hayunan langkah sederap kaki akan menggegar bumi. Suara yang bersatu akan bergemuruh ke angkasa. Ia akan melahirkan semangat kebersamaan yang akan mengatasi elemen negatif yang mengkeladak fikiran.
Pemimpin politik adalah mereka yang berkuasa di dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Mereka dipilih rakyat. Dan rakyat masih mahu mengkedepankan mereka agar terus memimpin mereka. Ini adalah amanah.
Justeru, mereka tidak boleh mengenepikan harapan rakyat. Jangan abaikan harapan ini kerana apabila rakyat mula tidak mengharap lagi, mereka tidak akan peduli kepada pemimpin politik. Ini akan merugikan semua pihak.
Apabila pemimpin tiada pengikut, mereka akan rebah. Sebaliknya apabila rakyat tiada pemimpin, keadaan akan menjadi pecah belah.
Renungkan segala saranan Rasulullah SAW mengenai pentingnya bersatu.
Rujuklah semua seruan ALLAH SWT yang memerintahkan manusia agar bersatu.
Tiada sesiapa pun yang patut menyanggah. Tiada sesiapa pun yang perlu takut tertipu.
Ia perintah dari Al-Khalik. Dan, Dia sentiasa memerhati. Apakah kita tergamak berpaling dari perintah itu?
Semoga senyum dan salam akan mengakhirkan segala sengketa lama.
Layari http://www.maafcakap. blogspot.com untuk membaca artikelartikel sebelum ini.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/bersatulah-rakyat-malaysia-bantu-mangsa-banjir-1.348081
No comments:
Post a Comment