Pages

Sunday, January 11, 2015

Ringkasan Sari Berita 11 Jan 2015

oleh YKB

"Ringkas dan Cakna"

1. Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan di Pahang, Perak dan Kelantan mencatat penurunan dengan jumlah mangsa di Johor kekal 32 orang setakat petang ini.
2. Jabatan Kerja Raya negeri Terengganu membuat permohonan sebanyak RM231 juta daripada kerajaan pusat untuk kerja-kerja membaik pulih jalan yang rosak teruk akibat banjir yang melanda di negeri ini.
3. Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kesal dengan budaya hedonisme yang menular di kalangan muda-mudi seperti yang berlaku semasa konsert artis Korea di ibu negara semalam. Yang Di-Pertua ISMA Daerah Hulu Langat Mohd Noor Azib Asmangi meluahkan kekesalan dengan apa yang berlaku, seolah-olah sudah tiada jati diri di kalangan umat Islam di negara ini.
4. Tiga penjenayah dipercayai warga asing, ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan polis di Jalan Lasah, Sungai Siput awal pagi Ahad, kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam.
5. Sukarelawan I-Medik, Yayasan Ikhlas dan Briged Bakti Pembina masih bertungkus lumus menghulurkan bantuan untuk meringankan bebanan mangsa banjir di kawasan pendalaman Kelantan.
6. Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan RM32 juta bagi membantu mangsa banjir di negeri ini, bulan lepas.
7. Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA), Alifah Ting Abdullah telah menerima Anugerah Khas Saudara Baru pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Masjid Al-Ghazali Kepong anjuran Jabatan Agama Islam (JAWI) semalam.
8. Dengan kepakaran dan kreativitinya, seorang pensyarah Universiti Multimedia (MMU) menghasilkan khemah yang mudah dipasang dengan kos yang jauh lebih rendah untuk dijadikan kediaman sementara mangsa banjir.
9. Aman Palestin melaporkan musim sejuk luar biasa kini melanda Palestin dimana suhu di Gaza mencecah paras beku ditambah dengan bekalan elektrik yang kerap terputus menyukarkan lagi kehidupan rakyat di sana yang telah lama hidup dalam serba kekurangan.
10. Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mahu perbuatan melabelkan Islam ekstrem dan sederhana di negara ini dihentikan bagi mengelakkan ketegangan dan perkara tidak diingini.
11. Dua pemandu kereta maut manakala seorang lagi pemandu pacuan empat roda terselamat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Batu 5, Jalan Yong Peng-Parit Sulong, dekat Batu Pahat, Sabtu malam.
12. Prihatin dengan kesusahan hidup gelandangan, Kelab Proton Saga BLM (BLM) dengan kerjasama pengamal media Pulau Pinang hari ini menyediakan 500 bungkus makanan percuma khusus untuk golongan itu di bandar ini.
13. Dua pasangan kembar yang mendaftar masuk Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan Convent di Alor Setar hari ini ceria dan gembira memulakan hari pertama persekolahan dan tidak sabar untuk mengikuti sesi pembelajaran dengan guru baharu.
14. Anggota Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu berganding bahu melaksanakan pelbagai gerak kerja kemasyarakatan bagi mewujudkan keharmonian maksimum.
15. Sukarelawan dinasihatkan memakai sut lengkap ketika menjalankan kerja-kerja pembersihan pasca banjir.
16. Sudah tiba masanya usaha memupuk nilai murni rakyat Malaysia ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dinilai semula secara serius ekoran budaya keganasan yang kini semakin menular.
17. Sebanyak 110 buah sekolah rendah dan menengah di negeri ini mula mengguna pakai Sistem Pendidikan Abad 21, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Md Jais Sarday.
18. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membelanjakan RM800,000 untuk membeli 20 tangki penapis air jenis H2O R1 bagi kegunaan mangsa banjir di jajahan Gua Musang dan Kuala Krai.
19. Polis Kelantan menahan sepasang suami isteri berjawatan guru kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu berkaitan banjir melalui laman aplikasi WhatsApp.
20. Struktur Jambatan Kampung Baru di sini masih kukuh kerana penilaian yang dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati kerosakan hanya membabitkan jalan penghubung ke jambatan dan bukan strukturnya, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.
21. Polis menahan 24 lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen dalam lima serbuan di sekitar Daerah Timur Laut di sini awal hari ini.
22. Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi kemanusiaan 'Operasi Pasca Bencana Banjir' di Pantai Timur fasa empat dengan menggerakkan 90 lagi sukarelawan bagi membersihkan kawasan banjir di Kelantan.
23. Jumlah kerosakan ladang milik Felda di negeri-negeri yang dilanda banjir dianggarkan bernilai RM3 juta manakala kerosakan harta benda milik warganya ialah RM1.56 juta.
24. Kementerian Kesihatan bercadang membeli aset untuk memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dapat diberikan walaupun ketika menghadapi bencana seperti banjir besar baru-baru ini.

Sumber: FB.com/RingkasanBerita

No comments:

Post a Comment