Pages

Monday, January 12, 2015

Produk kejayaan agenda liberal

January 12, 2015 Kolumnis, Ustaz Zamri bin Hashim, Utama 0

Malaysia masih belum reda daripada musibah banjir, tiba-tiba timbul gadis-gadis muslimah yang tenggelam dan hanyut dengan gelombang K-Pop selepas Gangnam Style. Mereka rela diperlakukan dengan kelakuan yang tidak boleh diterima sama sekali oleh Islam dan budaya timur.

Sesungguhnya tragedi ini telah membuktikan arus ganas liberalisme yang menjadikan kehendak manusia menjadi fokus utama penganut aliran ini walaupun meruntuhkan nilai-nilai agama dan budaya.

Apa juga agensi yang ditubuhkan untuk menguatkuasakan undang-undang yang menghadkan kehendak individu akan dikritik dengan hebat.

JAKIM telah mengeluarkan satu Garis Panduan Hiburan Dalam Islam semenjak tahun 2007, tetapi arus liberalisme ini menganggap garis panduan ini tidak berhak menghadkan kebebasan individu bahkan sebelum tragedi ini berlaku, JAKIM dituduh melalui khutbah-khutbahnya menganjurkan fahaman ekstremisme.

Plot cerita ini akan berterusan dengan penampilan barisan peguam-peguam pejuang hak asasi (dibaca pejuang nafsu) manusia jika ada apa-apa tindakan terhadap individu mahupun syarikat yang terbabit.

Kepada anak-anak gadis muslimah yang terlibat, kembalilah kepada Allah dan sesali perbuatan lampau dan nekad untuk tidak mengulanginya. Jangan jadikan perbuatan kalian menjadi fitnah kepada rakan-rakan muslimah lain yang bertudung. Sesungguhnya wanita yang bertudung sepatutnya menjaga maruahnya.

Kepada ibu bapa awasilah anak-anak daripada teruja dengan budaya K-Pop ini. Ambillah budaya positif orang Korea seperti rajin bekerja dan sayangkan identiti. Tolak budaya yang negatif dan bercanggah dengan Islam.

Kepada kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan, budaya Bollywood mahupun Hollywood ataupun budaya hiburan import dari Korea ini membawa pakej yang berbahaya kepada jati diri umat Islam jika tidak dikawal selia dengan baik. Kalau budaya Bollywood membawa fahaman pluralisme agama maka K-Pop membawa sekali fahaman liberalisme dan Kristianisasi.

Kajian rambang yang dilakukan oleh A. Karim Omar mendapati hampir 80% artis K-Pop beragama Kristian. Selebihnya terdiri daripada golongan atheis, Buddha dan kepercayaan animisme. Kebanjiran filem Korea di stesen tv di Malaysia juga menyumbang kegilaan remaja wanita kepada artis-artis ini.

Sahibus Samahah Ustaz Haji Zamri Hashim
YDP ISMA Ipoh
Timbalan Mufti Perak

No comments:

Post a Comment