Ketika kami hanya berjuang di papan kekunci, hadapan skrin hanya melalui kata-kata;
Kamu turun berjuang berhadapan peluru, bom dan gas pemedih mata.
Ketika kami sibuk membincangkan kualiti padang;
Kamu berhimpun menuntut keadilan dengan Al-Quran sebagai 'pedang'.
Ketika kami marah akan kecederaan Messi;
Kamu tercari-cari apa terjadi kepada Dr Morsi.
Ketika media dan peminat marah akan FC Barcelona;
Rakyat dan media kamu bersabung nyawa demi menyebarkan kebenaran di sana.
Ketika kami mempertahankan surau yang tiada jemaah;
Masjid kamu penuh, sehingga Medan dipenuhi khemah.
Ketika kami merobohkan surau kerana perbuatan khianat;
Masjid kamu musnah dibakar askar yang laknat.
Ketika isteri di sini dipukul hanya kerana suami yang bebal;
Anak isteri kamu di sana mati ditembak, dizalimi, diseksa dan digilis kereta kebal.
Ketika kami di sini berAidilfitri gah dan meriah;
Kamu di sana berdiri megah dan syahid di Medan Rabiatul Adawiyah.
Ketika kami di sini mempersoalkan ulama' bersunnah;
Kamu di sana menentang hujah ulama' yang punah.
Ketika Muslimah kami mempersoalkan tokoh ilmuwan Islam beristeri dua;
Muslimah kamu meyokong suami dan anak menuntut keadilan samada muda atau tua.
Ketika mufti kami baru mengeluarkan fatwa HARAM sertai pertandingan ratu cantik;
Ulama' kamu berfatwa mempertahankan dataran itu adalah wajib, lebih baik dari beri'tikaf di masjid tanpa pengaruh politik.
Ketika pemimpin kami bertweeter akan rumah terbuka;
Pemimpin kamu menyimpul kata, mengajak berjuang tanpa leka.
Ketika lebuhraya kami menjadi medan maut yang amat pahit;
Masjid, burung, udara dan segala-gala di Medan Rabiautul Adawiyah menjadi saksi syahid.
Ketika kami berjuang melalui facebook dan twitter dengan sambil lewa;
Kamu berjuang berhabis keringat, wang, makanan, dan nyawa.
Kamu menggunakan kesemua medium bagi menegakkan keamanan, menuntut keadilan pelbagai cara;
Sedangkan kami ingin menekan 'share' akan nukilan ini pun masih berkira-kira.
Namun, masih ada segelintir di kalangan kami yang sentiasa berdoa akan kemenangan kamu di sana; Walaupun amat sedikit, inilah sumbangan termampu kami bersama saudara seIslam yang tidak terlena.
Bersabarlah wahai para pejuang Islam, kerana bagi yang syahid syurgalah ganjarannya;
Manakala kami di sini masih tercari-cari akan jalannya.
Hasil Nukilan,
JAFNI JOHARI JIKEN
15 Ogos 2013 / 8 Syawal 1434
Kajang, Malaysia
No comments:
Post a Comment