Pages

Sunday, August 4, 2013

Hidayah Sang Pemburu: Kisah Tangga

August 5, 2013 at 7:56am



Hamzah, nama lamanya Pakiak, seorang pemburu. Kebolehan beliau memburu amat dikagumi di pedalaman ini. Beliau mampu “memanggil” binatang buruan yang dikehendaki.

"Bagaimana kamu semua sebaik ini?" Tanya Encik Pakiak. Saya jawab, "Inilah Islam." Maka dia berkata, "Sayapun ingin jadi Islam."

Demikian sebahagian perbualan kami pada 28 Sept 2012, ketika Saudara Hamzah (Pakiak) sedang membina tangga di rumah saudara Anton di Kampung Kagasa, Nabawan.

Beliau tertarik memeluk Islam apabila mendapat tahu, kayu-kayu yang diguna membina tangga itu diusahakan oleh saudara-saudara Islam di Mukim Sepulut, walaupun agak jauh dan tidak begitu kenal antara mereka. Hanya kerana rasa bersaudara dalam Islam, mereka sanggup membantu.

Malam Jumaat, 7 Sept 2012, kami ziarahi keluarga Anton dan Rosneh di Kampung Kagasa, Nabawan. Kebetulan rumah mereka terletak dalam perjalanan kami menuju ke Sepulut.

Rumah Anton
Rumah Anton

Ketika kami ziarahi mereka mereka baru pulang dari hospital di Keningau. Anton mengidap sakit tulang belakang sementara isterinya Rosneh Osman baru menjalani pembedahan usus.

Masalah kesihatan yang ditanggung Anton menyebabkan beliau tidak mampu bekerja berat. Beliau selama ini mengambil upah membersih kebun atau tanah orang.

Keadaan rumah mereka amat menyedihkan.  Tangga rumah mereka yang sangat uzur dan reput, jika disentuh pasti luruh. Tidak dapat dibayangkan bagaimana mereka masuk ke rumah melalui tangga ini, lebih-lebih lagi dalam keadaa anak-anak mereka yang masih kecil dan masalah kesihatan mereka.

Kami perlu berhati-hati ketika memanjat sisa-sisa tepian tangga untuk naik ke rumah. Mereka menyambut baik walaupun pertama kali bertemu.

Hal kesusahan hidup pasangan ini saya ketahui dari adik mereka yang belajar di SMK Nabawan. Walau hari sudah gelap, kami berusaha untuk singgah ke sini, menghulurkan bantuan mana yang patut.

Setelah ziarah sebentar, bertanya khabar serta menyampaikan sedikit makanan dan wang, kami bergegas ke Sepulut. Di sana ada seorang sedang menanti untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Oleh kerana ketibaan kami agak lewat malam itu, saudara-saudara di Sepulut bertanya, kerana lama mereka menunggu. Saya jelaskan keadaan serta menunjukkan gambar keluarga Anton dan keadaan rumah mereka.

Walaupun tidak saling mengenali, atas rasa tanggungjawab sesama Islam, mereka berjanji akan mengusahakan kayu untuk mengganti tangga rumah Anton.

Bukan sahaja kayu, malah zink dan paku juga dihantar sama ke rumah Anton. Kini hanya perlukan seorang tukang.
Pemandu kami, Wasli @ Stanley, mencadangkan agar bapa saudaranya, Pakiak sebagai tukang. Saya bersetuju.

Membina Tangga
Membina Tangga

Dengan upah RM150, Pakiak memulakan kerja-kerja dibantu  isterinya.

Beliau kehairanan apabila melihat kayu-kayu yang telah sedia digunakan untuk membuat tangga.

“Dari mana kayu-kayu ini? Tanya Pakiak.

“Kayu ini dari saudara muslim di Sepulut.” Jawab saya.

Beliau terkedu apabila diberitahu oleh isteri Anton bahawa mereka tidak saling mengenali.

Begitulah, walaupun saudara-saudara kita di Sepulut kebanyakannya baru memeluk Islam, tetapi iman dan rasa persaudaraan Islam mereka subur. Mereka membantu menyediakan kayu untuk menggantikan tangga rumah saudara Islam mereka yang telah rosak, walaupun mereka dari kampung yang berjauhan.

Pakiak tersentuh…hatinya mula terbuka. Hidayah mula tiba.

"Bagaimana kamu semua sebaik ini?" Tanya Encik Pakiak.

Saya jawab, "Inilah Islam."

Maka dia berkata, "Sayapun ingin jadi Islam."

Itulah yang mendorong beliau mengucap dua kalimah syahadah di Kampung Padang pada 9 Feb lalu. Beliau insan ke 160 memeluk Islam sepanjang misi dakwah ini. Alhamdulillah.

Pakiak Mengucap dua kalimah syahadah
Pakiak Mengucap dua kalimah syahadah

Isteri Pakiak memeluk Islam
Isteri Pakiak memeluk Islam


Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya." (HR. Muslim)

Kerana itu kasih sayang amat berkait rapat dengan iman. benarlah sabda Nabi, "Tidak beriman seorang muslim itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai buat dirinya" (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Rentetan
Rentetan
Tangga baharu
Tangga baharu





محمد فضلي بن يوسف
05 Ogos 2013
Link terus ke FB ini: http://facebook.com/mfadli11

No comments:

Post a Comment