September 11, 2011 at 10:21am
Rasulullah ﷺ,
para sahabat r.a, dan salafussoleh sangat mengambil berat persoalan
adab, kerana adab adalah sebahagian dari syariat, yang dengannya
terhasil kesejahteraan dunia dan akhirat. Jika kita menghalusi kehidupan
Nabi ﷺ dan para sahabatnya, akan terserlah watak-watak yang sempurna
akhlak dan adabnya.وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat agung.” (Al-Qalam:68:4)
Orang-orang cintakan Allah, pasti tidak akan mengambil dan mencontohi adab dan akhlak melainkan yang paling mulia, sebagaimana mereka tidak mengambil dari aqidah dan ibadah kecuali yang terbersih. Sudah tentu ianya ada pada diri Rasulullah ﷺ, teladan terbaik buat umatnya.
Adab-adab itu berperanan menyerlahkan keindahan dan kecantikan Islam, menambah kualiti sesuatu amalan.
Berkata Al-Imam Al-Qurafi dalam kitabnya " Al-Faroq", ketika beliau sedang berbicara tentang kedudukan adab berbanding amal, dan menjelaskan bahawa adab lebih didahulukan mengikut turutan: Ketahuilah bahawa Sesungguhnya sedikit daripada adab lebih baik dari banyaknya amalan, oleh kerana itu telah berkata Ruwaim seorang yang alim dan soleh kepada anaknya: Wahai anakku, jadikanlah amalanmu seperti garam, dan adabmu seperti tepung iaitu perbanyakkanlah beradab sehingga nisbahnya itu seperti banyaknya tepung daripada garam (dalam adunan), maka banyaknya adab dalam keadaan amal yang sedikit lebih baik daripada amal yang banyak tetapi kurang adabnya. [ dinaqalkan oleh Syeikh Abdul –Fattah Abu Ghuddah di dalam kitabnya 'min Adabi Alislam]
Rasulullah ﷺ sangat menggalakkan amalan ziarah-menziarahi, dan baginda mengajarkan kelebihan dan adab-adab untuk diikuti umatnya.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi ﷺ, bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya: "Ke mana engkau hendak pergi?" Orang itu menjawab: "Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi: "Adakah suatu kenikmatan yang hendak engkau peroleh dari saudaramu itu?" Ia menjawab: "Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah." Malaikat lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu, untuk memberitahumu, bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah." (Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang lain, dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah ﷺ bersabda: "Barangsiapa yang meninjau orang sakit atau berziarah kepada saudaranya kerana Allah, maka berserulah seseorang (malaikat) mengalu-alukan: "Engkau melakukan kebaikan dan baik pulalah perjalananmu, serta engkau dapat menduduki tempat dalam syurga." (HR Tirmizi)
Mari kita lihat, apakah adab-adab yang ditunjukkan Rasulullah ﷺ sewaktu berziarah ke rumah sahabat-sahabat.
“Bahawa Nabi ﷺ apabila datang ke sebuah rumah, baginda tidak menghadap ke arah pintu tetapi berdiri di tepi kanan atau kiri pintu. Jika diizinkan baginda masuk dan jika tidak baginda beredar.” [Sahih Adab al-Mufrad, no: 826]
Kita dilarang menghadap terus ke pintu ketika ziarah kerana dikhuatiri terpandang perkara-perkara aib di dalam rumah apabila pintu dibuka. Mungkin ada ahli-ahli keluarga tuan rumah yang belum sempat menutup aurat yang sempurna, atau ada anak-anak yang tidur di ruang tamu.
Ketika berziarah, berilah salam dan mintalah izin terlebih dahulu sebelum masuk ke rumah.
Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَدۡخُلُواْ بُيُوتًا غَيۡرَ بُيُوتِڪُمۡ حَتَّىٰ تَسۡتَأۡنِسُواْ وَتُسَلِّمُواْ عَلَىٰٓ أَهۡلِهَاۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَذَكَّرُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu). (An-Nur:24:27)
Jika tidak diizinkan, mungkin kerana tuan rumah tidak bersedia, atau sesuatu hal yang tidak sesuai, pulanglah dengan redha, jangan berkecil hati.
فَإِن لَّمۡ تَجِدُواْ فِيهَآ أَحَدً۬ا فَلَا تَدۡخُلُوهَا حَتَّىٰ يُؤۡذَنَ لَكُمۡۖ وَإِن قِيلَ لَكُمُ ٱرۡجِعُواْ فَٱرۡجِعُواْۖ هُوَ أَزۡكَىٰ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ عَلِيمٌ۬
"Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin dan jika dikatakan kepada kamu "baliklah", maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan." (An-Nur:24:28)
Ketika minta izin berziarah, sama ada memberi salam dari luar rumah, atau melalui telefon, SMS (yang tuan rumah belum save nombor anda) dan sebagainya, kenalkan diri. Jika tuan rumah tanya, "Siapa tu?", kenalkan diri dengan menyebut nama, sekadar jangan jawab, "Saya ni..." tetapi jawablah (sebagai contoh), "Saya Ahmad, anak Pak Long."
Pernah seorang sahabat bernama Jabir pernah menziarahi Rasulullah ﷺ. Baginda bertanya: “Siapa itu?” Jabir menjawab: “Saya.” Baginda membalas dengan nada yang tidak senang: “Saya...saya?” [Sahih al-Bukhari, no: 6250] (kerana tidak diperjelaskan siapakah "saya" itu.
Lihatlah contoh seorang wanita muslimah yang datang ke rumah Rasulullah ﷺ, memperkenalkan dirinya sebagai Zainab. Rasulullah ﷺ bertanya: “Zainab yang mana? (di waktu itu ramai yang bernama Zainab)” Perempuan itu menjawab: “Zainab isteri Ibn Mas‘ud.” Lalu baginda mengizinkan dia masuk. [Sahih al-Bukhari, no: 1462]
Carilah waktu yang sesuai untuk berziarah. Terdapat larangan Allah berziarah dalam 3 waktu, iaitu sebelum Subuh, waktu rehat tengahari dan selepas waktu Isyak (terkecuali jika memang dijemput tuan rumah di waktu itu).
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِيَسۡتَـٔۡذِنكُمُ ٱلَّذِينَ مَلَكَتۡ أَيۡمَـٰنُكُمۡ وَٱلَّذِينَ لَمۡ يَبۡلُغُواْ ٱلۡحُلُمَ مِنكُمۡ ثَلَـٰثَ مَرَّٲتٍ۬ۚ مِّن قَبۡلِ صَلَوٰةِ ٱلۡفَجۡرِ وَحِينَ تَضَعُونَ ثِيَابَكُم مِّنَ ٱلظَّهِيرَةِ وَمِنۢ بَعۡدِ صَلَوٰةِ ٱلۡعِشَآءِۚ ثَلَـٰثُ عَوۡرَٲتٍ۬ لَّكُمۡۚ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum solat Subuh dan ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak; itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). (An-Nur:24:58)
Ziarah di tiga waktu itu dilarang kerana mengganggu ketenangan dan waktu rehat tuan rumah, itulah yang disebut sebagai waktu-waktu aurat. Bukan manusia saja ada aurat, waktupun ada auratnya.
Aisyah r.ha berkata: “Jarang sekali hari di mana Rasulullah ﷺ mendatangi suatu rumah kecuali beliau mengunjungi rumah Abu Bakar di waktu pagi dan petang. Dan ketika beliau telah diperintahkan untuk hijrah menuju Madinah, tidaklah suatu yangmenghairankan kami, selain beliau mendatangi kami di waktu zuhur. Lalu Abu Bakar memberitahu kepada kami, beliau mengatakan: Tidaklah Nabi ﷺ mendatangi kami pada waktu ini kecuali kerana suatu yang penting telah terjadi …“ (HR Al-Bukhari)
Batasan waktu ini tidak termasuk jika kita dijemput oleh tuan rumah untuk rumah terbuka, majlis walimah atau lain-lain kenduri, atau dijemput atas sesuatu urusan. Ini kerana tuan rumah sudah benar-benar bersedia di waktu itu.
Sesudah diizinkan masuk ke rumah, selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadis Nabi ﷺ, “Tidak ada dua orang muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah”. (HR al Barra’ )
Namun awaslah, janganlah bersalaman dengan lelaki atau yang bukan mahram.
Jagalah adab-adab di dalam rumah. Jaga syariat, jaga pergaulan, jaga pandangan. Janganlah buat macam rumah sendiri, atau harta-harta dalam rumah itu macam milik sendiri.
Duduklah di mana tuan rumah suruh duduk. Sebaik-baiknya duduklah menghadap keluar pintu, bukan berhadapan dengan bilik atau bahagian dapur, yang boleh nampak keadaan dalam rumah dan ahli keluarganya.
"...dan tidaklah seorang lelaki menjadi imam bagi lelaki yang lain diwilayahnya, dan tidak pula duduk dalam rumahnya di atas tikramahnya (permaidani)." demikian menurut Imam An Nawawi dalam Syarah Muslim.
Maksudnya, jika kita pergi ke rumah orang, bila waktu solat, dahulukan tuan rumah untuk jadi imam, dan jangan duduk di tempat yang biasa diduduki oleh tuan rumah, kecuali dengan izinnya.
Kadang-kadang kita pergi ke masjid atau surau di kawasan lain, janganlah pandai-pandai jadi imam di situ, tanpa izin imam yang bertugas di tempat itu, begitu adabnya, kecuali diminta pemimpin dan penduduk setempat untuk menjadi imam.
Jika tuan rumah ada kerusi yang khusus, umpama kita berziarah ke rumah raja, mana boleh duduk atas takhta yang dikhaskan untuk raja. (kecuali diizinkannya). Mungkin juga tuan rumah seorang yang duduk di kerusi roda, janganlah pula biarkan anak-anak yang ikut kita "mencuba" kerusi roda tanpa kebenaran pemiliknya.
Ketika berbual, berbicaralah dengan baik, dengan tujuan bersilaturrahim dan kasih sayang. Elakkan berselisih faham kerana isu politik, atau lain-lain isu. Lebih-lebih lagi elakkan mengumpat atau bercakap lucah. Cari topik yang baik, yang menambah iman dan ilmu, mendatangkan persefahaman antara kita dan tuan rumah.
Ketika tuan rumah bercakap, lebih-lebih lagi jika yang kita ziarahi itu sahabat yang berilmu, atau guru kita, atau lebih tua dari kita, dengarlah percakapannya, jangan dipotong, atau diubah topik. Janganlah ketika tuan guru cerita tentang kebaikan puasa 6 syawal, kita ubah jadi cerita harga ayam dah mahal lepas raya...
Kadangkala kita berziarah ke rumah kawan-kawan yang kurang mengamalkan syariat. Kita berziarah, sebenarnya kita juga berdakwah, tunjukkan contoh yang baik. Saya biasa berziarah ke rumah yang saya tahu dia tidak solat, sengaja saya bawa anak-anak sekali, bila masuk waktu solat, kami minta izin tuan rumah untuk solat di rumahnya. Alhamdulillah dia izinkan. Kita minta dia jadi imam (kerana itu adabnya, seperti keterangan sebelum ini), sudah tentu dia tidak mahu dan suruh kita jadi imam. Secara tidak langsung, tuan rumah akan ikut solat sama. Alhamdulillah, selepas itu dia minta ajarkan solat, dan dia bersolat hingga kini. jadi, tunjukkan contoh kepadanya.
“Barang siapa yang memulakan dalam Islam satu amalan yang baik lalu perkara itu diikuti (oleh orang lain) sesudahnya, maka dituliskan (ganjaran pahala) untuknya sama seperti ganjaran pahala orang yang melakukannya tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun.” (HR Muslim)
Bila tuan rumah hidangkan makanan, makanlah dengan beradab, jangan gelojoh. Mulakan mengambil yang dekat. Jika makanan itu kurang sesuai dengan selera kita, janganlah komen yang bukan-bukan, makan jika suka, tinggalkan jika tidak suka, jangan sekali-kali menghina makanan. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa,Rasulullah ﷺ tidak pernah menghina makanan. Jika baginda menggemari sesuatu, dia akan memakannya dan jika tidak suka, dia akan meninggalkannya. (HR Muslim)
Sebagai tetamu, makruh mencadangkan makanan yang ingin dimakan kepada tuan rumah. Contoh, saya ingin ke rumah seorang kawan di Negeri Sembilan, saya beritahu dalam telefon, "Tuan haji, den nak makan masak lomak cili api ikan sembilang salai..." Ini menyusahkan tuan rumah untuk menyediakannya. Kalau dia offer..lain cerita..alhamdulillah.
Di musim raya ini, perlulah ingatkan anak-anak, berziarah bukan kerana hendakkan duit raya. Kalau diberi, terimalah dengan syukur, walaupun jumlahnya kecil. Jika tidak diberi pun tidak mengapa, kerana bukan itu tujuan berziarah.
Sebagai tuan rumah pula, layanlah tetamu sebaik mungkin hingga mereka berpuas hati. Selalulah ingat pesanan Rasulullah ﷺ, "Apabila masuk tetamu pada satu keluarga (rumah), maka dimurahkan Allah rezeki keluarga itu, dan apabila tetamu itu keluar, maka Allah mengampuni dosa-dosa keluarga itu." [HR. Dailami dan Anas]
Jika tetamu datang ke rumah, dalam keadaan kita sedang berpuasa sunat, eloklah berbuka. Berpuasa itu sunat sedang melayan tetamu itu wajib, maka utamakanlah yang wajib. Itu jugalah sikap para sahabat apabila sahabat mereka yang lain berkunjung ke rumah, dan perbuatan ini dipersetujui oleh Rasulullah ﷺ.
Dari Abu Juhaifah iaitu Wahab bin Abdullah r.a., katanya: "Nabi ﷺ mempersaudarakan antara Salman dan Abuddarda' (keduanya disuruh berjanji untuk berlaku sebagai saudara.)"
Salman pada suatu ketika berziarah ke rumah Abuddarda', ia melihat Ummud Darda' (isteri Abuddarda'), mengenakan pakaian yang serba kusut, yakni tidak berhias sama sekali, Salman bertanya padanya: "Mengapa saudari berkeadaan sedemikian ini?" Wanita itu menjawab: "Saudaramu yaitu Abuddarda' itu sudah tidak ada hajatnya lagi pada keduniaan - maksudnya: Sudah meninggalkan keduniaan, baik terhadap wanita atau lain-lain. Ia berpuasa pada siang harinya dan terus bersembah - yang pada malam harinya."
Abuddarda' lalu datang, kemudian ia membuatkan makanan untuk Salman. Setelah selesai Abuddarda' berkata kepada Salman:
"Makanlah, kerana saya berpuasa." Salman menjawab: "Saya tidak akan suka makan, sehingga engkaupun suka pula makan." Lalu Abuddarda' makan.
Setelah malam tiba, Abuddarda' mulai bangun. Salman berkata kepadanya: "Tidurlah!" Ia tidur lagi. Tidak lama kemudian bangun lagi dan Salman berkata pula: "Tidurlah!" Kemudian setelah tiba akhir malam, Salman lalu berkata pada Abuddarda': "Bangunlah sekarang!"
Keduanya terus bersembahyang. Selanjutnya Salman lalu berkata: "Sesungguhnya untuk Tuhanmu itu ada hak atas dirimu, untuk dirimu sendiri juga ada hak atasmu, untuk keluargamupun ada hak atasmu. Maka berikanlah kepada setiap yang berhak itu akan haknya masing-masing."
Abuddarda' - paginya - mendatangi Nabi ﷺ kemudian menyebutkan peristiwa semalam itu, lalu Nabi ﷺ bersabda: "Salman benar ucapannya." (Riwayat Bukhari)
Dari status Mohd Fadli Yusof 10 September 2011, 7:54am
محمد فضلي بن يوسف
13 Syawal 1432H
11 September 2011
No comments:
Post a Comment