December 10, 2010 at 3:30pm
Semenjak dulu, inilah faktor yang membawa kepada bantuan Allah SWT di dalam segala usaha ikhtiar umat Islam. Terutamanya di kalangan para sahabat. Allah SWT buka pintu hati manusia sehingga mudah menerima kebenaran, mudah menerima Islam, mudah dalam perjuangan, Allah SWT buka laluan kepada perkembangan Islam yang pesat. Allah buka laluan dengan didatangkan para pendokong yang berkemampuan membangunkan umat. Allah SWT buka pintu kebaikan seluas-luasnya. Allah SWT datangkan rasa berani yang luarbiasa kepada umat Islam dan rasa ketakutan yang amat sangat kepada para penentang. Biarpun Rasulullah SAW sendiri hingga patah giginya, dibaling batu hingga berdarah, namun ada saja jalan keluar yang Allah berikan sehingga 23 tahun berjaya menguasai Jazirah Arab.
Di zaman tabiin di mana golongan taqwa masih ramai dari tahap pemimpin hingga rakyat biasa, maka Allah SWT buka pula pintu ilmu pengetahuan dalam bidang kehidupan. Baghdad sebelum diranapkan oleh kaum Monggol merupakan tempat terkumpulnya kitab para ulama yang terlalu banyak. Ketika Barat melalui "Dark-Ages", Islam pula sedang pesat berkembang dengan berbagai penemuan baru dalam ilmu pengetahuan. Padamnya "Dark Ages" Barat bermula bila mereka mempraktikkan berbagai ilmu yang diperolehi hasil dari penjaiahan ke wilayah Islam terutamanya Sepanyol.
Hasil bantuan Allah SWT sangat mengkagumkan dunia hingga segala kemajuan teknologi hari ini bertitik tolak dari penemuan berbagai ilmu oleh para ulama dan saintis Islam, tetapi itu semua telah berlalu, telah menjadi bukti dan fakta sejarah. Telah berlalu satu zaman di mana umatnya asyik dengan Allah SWT dan merindui akhirat. Berlalu juga satu zaman yang telah Allah SWT curahkan segala-galanya kerana kebanyakan umatnya bertaqwa. Kini cuma ada zaman di mana umat Islam silau dengan pantulan cahaya Barat yang bukan cahaya hakiki. Cahaya yang sebenar adalah dari matahari. Mengapa perlu silau dengan hanya pantulan cahaya itu sedangkan cahaya matahari tidak pernah padam. Ini kerana umat Islam sudah tidak bertaqwa.
Bila tidak bertaqwa, hati menjadi lemah dan mudah menyerah kepada keadaan lantas melupai Allah SWT. Hati tidak bergantung kepada Allah lantas Allah SWT melupainya. Sepertimana tiada satu kuasa yang boleh menahan apabila Allah SWT kehendaki umat Islam berjaya, begitu jugalah tidak berdaya sebarang kuasa untuk menebus kekalahan dan kehinaan apabila Allah SWT kehendaki berlaku kepada umat Islam.
Kedudukan taqwa memang penting bagi umat Islam. Sebab itu ia menjadi rukun khutbah. Setiap minggu peringatan taqwa dilaungkan oleh khatib kepada umat Islam di seluruh dunia. Namun kepentingan taqwa itu nampaknya bukan sahaia tidak dihayati malah kurang difahami pengertiannya oleh umat Islam. Pengertian yang tidak pernah ditinggalkan dan diulang-ulang setiap Jumaat hanyalah "Dengan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan."
Oleh kerana pengertian ini tidak mengandungi roh atau tidak membangkitkan pengertian yang mendalam, maka jadilah ianya sesuatu yang hambar dan tidak bermanfaat. Sedangkan pengertian taqwa lebih dari itu.
Pengertian Taqwa
Taqwa berasal dari perkataan Waqa yang bermaksud pelihara. Orang yang bertaqwa ialah orang yang sangat memelihara hati (roh) dengan rasa kehambaan yang sangat mendalam dan rasa berTuhan yang sangat tinggi. Gabungan rasa kehambaan dan rasa berTuhan itu sekaligus mendorong ia agar sangat memelihara syariat, berakhlak dan beradab dalam segala urusan. Sehingga perkara yang seni-seni dalam kehidupan pun sangat dipelihara.
Apabila terlalu sangat memelihara rasa kehambaan dan rasa berTuhan, sekaligus memelihara pula urusan kehidupan dengan bersyariat, berakhlak dan beradab sopan, maka menjadikan dia sebagai "orang Allah SWT". Maka Allah SWT pula memelihara, membela dan menjaganya dalam segala urusan. Kerana berada di dalam pemeliharaan Allah SWT yang Maha Sempuna itulah maka kehidupan orang bertaqwa kelihatan luar dari kebiasaan orang lain, seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini berdasarkan dalam banyak firman Allah SWT.
Untuk mudah difaham, ikuti kisah ini:
Suatu hari, Saidina Umar Al-Khattab pernah bertanya kepada Ka’ab bin Malik:“Wahai Ka’ab, apakah makna taqwa?” “Apakah kau pernah melalui satu jalan penuh dengan duri wahai Umar?”
“Ya,”
“Maka apakah yang kau lakukan?”
“Aku sinsing kain jubahku, dan berjalan dengan berhati-hati, agar jubahku tidak tercarik dek duri, dan kakiku tidak perpijak dengannya”
“Itulah taqwa”
Ya, taqwa itu melaksanakan segala perkara dengan penuh berhati-hati dan teliti, sentiasa mengawasi dan memelihara hukum Allah.
bersambung...
Tajuk seterusnya: TAQWA 4: Asas dan Ciri-Ciri Taqwa
Rujuk kepada: http://facebook.com/mfadli11
No comments:
Post a Comment