Terlalu sukar untuk menganalisis tragedi berdarah 14 Ogos 2013 di Medan Raba’ah, begitu juga pembantaian rejim kudeta tentera kepada golongan Islamis dan pro Mursi di medan Nahdah dan Ramsis. Kekejaman tanpa perikemanusian dan bertindak ala kebinatangan hanya mampu dilakukan oleh insan yang bernama Sisi, lelaki tajaan USA dan mendapat dokongan pemerintah negara-negara teluk seperti Arab Saudi , Emiriah Arab Bersatu dan lain-lain. Keadaan ini ,sebenarnya pihak yang paling gembira dan bersorak ialah Zionisme Yahudi atau Israel.Termasuk juga emperialis barat iaitu USA dan koncu-koncunya. Sikap diam Barrack Obama, PBB yang bisu juga OIC yang hanya sekadar menonton dan melihat tragedy ini tanpa sebarang tindakan proaktif ditambah pula negara-negara umat islam yang bacul dan penakut.
Gerakan Islam perlu memahami senario ini dan membuat pembacaan yang cermat dari sudut masa depan gerakan islam dan hakikat pertembungan projek Islam dan projek Barat. Ia bukan sekadar episode pembunuhan berdarah yang menetaskan ratusan para Syuhadak tetapi bagaimana susur galur perjalanan gerakan Ikhwan selaku Kubro Harokah Islamiah di Mesir, fasa-fasa perjuangan, keteguhan mereka berpegang kepada asolatul manhaj dan penglibatan mereka di dalam amal sya’abi dan amal siyasi.
IM yang telah diasaskan oleh al-mursyid Imam Al-Bana telah menanamkan benih-benih dakwah dan mengembangkannya di fasa awal pengasasan IM dengan terlibat aktif di dalam amal umum sehingga pernah mencalunkan dirinya di dalam PRU namun manarik diri atas maslahah jamaah. Kemuncak perjuangan ini ialah pembunuhan ngeri dan tanpa belas kasihan pengasas gerakan ini. Bertitik tolak dari tragedi ini ikhwan ditangkap, diburu, dipenjara dan dirampas harta mereka serta diharamkan gerakan mereka. Namun panji perjuangan mereka diteruskan oleh para pemimpin dan masyayeikh seperti Hasan Hudhaibi , Umar Telmesani,Mohamad Hamid Abu Nasr, Mustafa Mashyur, Makmun Hudhaibi, Mehdi ‘Akif dan terkini Muhammad al-Badie’.
Siri-siri fitnah dan tohmahan terhadap IM telah bermula sejak zaman al-Bana. Peristiwa penangkapan beramai-ramai kader-kader IM ialah selepas tuduhan kepada Abdul Qadir Audah hakim perlembagaan Mesir yang merancang untuk membunuh presiden Gamal Abdul Nasir. Abdul Qadir Audah adalah orang yang merayu pihak demonstran yang berarak di jalan raya untuk bersurai setelah pintu tertutup bagi menyelesaikan perbalahan antara dua pihak yang berbalah akibat pergeseran politik antara Mejar Jeneral Muhammad Naquib dan Kolenal Gamal Abdul Nasir. Rampasan kuasa Gamal Abdul Nasir menyebabkan rakyat turut berdemonstrasi dan melakukan tunjuk perasaan. Namun populariti Abdul Qadir Audah mengancam kedudukan Gamal dan mengheret beliau ke tali gantung atas tuduhan untuk menggulingkan presiden.
Presiden yang pernah digulingkan , Hosni Mubarak pernah menyebut : “Ikhwan ada jalur sejarah gerakan teroris” kepada wartawan akhbar Jerman Der Spigel. Beliau merujuk peristiwa yang berlaku pada tahun 1954. Namun IM menafikannya dan mereka berpegang kepada manhaj mu’tadil di dalam proses taghyir iaitu berasaskan manhaj tarbiyah, tadarrruj dan musyarokah di dalam amal siasi.
Sekali lagi peristiwa 14 ogos ini menusuk kalbu. Ia mengulangi sejarah tahun 25 Februari 1954 iaitu ketika berlaku pergolakan politik antara Muhammad Naquib dan Kolenal Gamal Abdul Naser. Pihak yang merampas kuasa Sisiy dan rejim kudeta menggunakan kekerasan, keganasan, pembakaran, bedilan peluru untuk membunuh manusia. Mereka langsung tidak menghormati hak sebagai seorang manusia. Penangkapan demi penangkapan, pemenjaraan dan pemusnahan nyawa menjadi makanisma untuk membunuh jasad IM dan pimpinanannya, yang turut bersama mereka rakyat terbanyak. Ternyata kerajaan kudeta ini berani melakukan tindakan sadis ini disebabkan sokongan dan bantuan dari pihak USA dan Yahudi.
Apakah pengajaran yang dapat diambil dari tragedi di Mesir ini bagi gerakan Islam ?
Pertama : Dari Sudut Antarabangsa:
- Hakikat pertembungan ialah pertembungan antara projek Islam dan projek Barat yang didominasikan oleh Yahudi dan USA. Analisis ini diperkuatkan dengan kenyataan yang menyebut usaha campuratangan USA untuk menjatuhkan identiti Islam telah dimulakan sejak tahun 2008 melalui gerakan liberalis atas nama Alliance of Youth Movement aktivis gerakan Massa Mesir yang telah mengadakan pertemuan di New York. Agenda mereka ialah menggunakan media sosial seperti Youtube, Facebook, MTV, Google dan sebagainya menuntut pembaharuan dan kebebasan hak asasi. Tokoh yang ditonjolkan pula ialah Muhamad al-Baradie seorang anak didik USA dan pemegang amanah International Crisis Group dibawah tajaan kewangan oleh National Endownment for Democracy [NED].
- Zionis atau Israel tidak akan membenarkan mana-mana kerajaan atau pemerintah yang menggugat kepentingan Israel di Asia Barat. Kemenangan Mursi dan jalur Islamis pasca Arab Spring mengecewakan pihak Israel. Langkah terbaik menyekat dan memusnahkan kerajaan ini. Mesir adalah pusatnya kerana laluan ke Palestin adalah dari arah Mesir. Kerajaan Mursi yang pro Hamas menyukarkan Israel. Ini kerana sepanjang Presiden Mursi mengambil alih pasca revolusi selepas menang lebih 52 % sokongan , tiada pertemuan perjanjian damai dengan pihak Israel. Bahkan Mesir menjadi rumah penyelamat buat rakyat Palestin.
- USA terancam dan tergugat kepentingannya terutama melibatkan kepentingan ekonomi dan percaturannya di Asia Barat. Dasar lunak Mursi ke negara-negara timur untuk menjalankan pelaburan perniagaan menyebabkan masa depan ekonomi USA dan cengkamanya terhadap kekayaan Mesir lemah . Maka penggulingan dan rampasan kuasa serta penyembunyian Mursi menggembirakan pihak USA dan memberikan reputasi negative kepada IM. Sebenarnya USA takut dengan ideology perjuangan Islam yang dibawa IM akan memberikan kesan besar kepada negara bersekitaran.
- Kegagalan OIC dalam memberikan tekanan kepada regim kudeta tentera dan kelesuan suara umat Islam bersatu untuk menentang kekuatan mustakbirin USA dan Zionis. Hakikatnya umat Islam lemah dan pemimpin umat Islam menjadi boneka USA dan Yahudi.
- Revolusi pertama adalah revolusi menjatuhkan sistem tirani diktator tetapi kebangkitan kedua menentang regim tentera adalah ‘thaurah tamaiyuz’ untuk membezakan pejuang tulen dan pejuang palsu.
Kedua : Dari Sudut Serantau
- Negara-negara teluk seperti Arab Saudi mengisytiharkan sokongan kepada rejim kudeta kerana untuk memastikan kelangsungan system monarki beraja. Kebaculan kerajaan beraja teluk kerana perjuangan IM boleh mengancam kedudukan mereka dan membawa kebangkitan rakyat menolak sistem diktator beraja jika dibiarkan Mursi memerintah. Oleh sebab itu mereka memberikan sumbangan dana yang banyak kepada kerajaan kudeta.
- Amerika juga tidak mahu kepentingan mereka di negara-negara teluk terutama Negara-negara ini menjadi pengkalan tentera Amerika. Peristiwa Perang Teluk antara Iraq- Kuwait cukup menafsirkan agenda tersirat USA di rantau Asia Barat.
- Pengaruh pemikiran IM akan menjalar ke negara –negara teluk dan serantau dan ini menggugat status quo system yang sedia ada. Sejarah pernah menyatakan sesiapa yang menguasai Mesir bermakna ia menguasai kekuasaan dunia. Mesir berada di titik kekuasaan geopolitik dan geoekonomi dunia.
- Kerajaan kudeta tentera adalah kerajaan haram dan menjadi boneka Barat. Membenarkan terus kerajaan ini bermakna membenarkan imperialis barat campurtangan urusan Negara Mesir.
- Yahudi atas nama Israel merasa terancam kerana Mesir menjadi pintu masuk bantuan sokongan dan kewangan kepada pejuang Palestin. Jika berterusan menggugat kestabilan Israel. Penubuhan Israel sendiri untuk menyekat kebangkitan Islam di Asia Barat terutama Mesir yang menjadi ibu gerakan Islam.
- Mesir menuju ke zaman gelap dengan kembali mengekalkan semula penguasaan tentera. Penguasaan tentera ini disokong oleh anak-anak muda Tamarood, sekularis, liberalis yang dibelakang mereka adalah USA. Turut serta juga menjayakan agenda liberal sekular ini ialah puak Syiah atas nama perjuangan demokrasi dan hak asasi.
- Pengaruh tentera di dalam pentadbiran dan campurtangan pihak asing di dalam menentukan halatuju negara Mesir dan bukan rakyat Mesir yang menentukan negara mereka sendiri.
- Mesir berada di kedudukan strategik dunia dari sudut kepentingan geopolitik, geososial dan geoekonomi. Menguasai Mesir bermakna menguasai jajaran ekonomi dan politik 3 zon Afrika-Asia- Eropah.
- Islam dan Jahiliyah , al-Haq dan kebatilan pasti akan bertembung kerana itu sunnah perjuangan. Pertembungan Islam dan jahiliyah bukan sekadar pertembungan fikroh seperti aliran Islam dan aliran liberalis tetapi sampai ke tahap pengorbanan jiwa.
- Gerakan Islam perlu sedar bahawa pentas demokrasi hanya wasilah menyampaikan fikroh dan dakwah. Ia bukan matlamat perjuangan, ini kerana jika kemenangan islam mengancam status quo jahiliyah, maka tiada lagi bahasa demokrasi. Demokrasi akan diperkosa serta menjadi senjata tajam untuk menghapuskan kekuasaan islam.
- Gerakan Islam adalah gerakan berfasa-fasa dan bermanhaj. Ia akan melalui saat-saat ujian kerana jalan dakwah bukan jalan yang dihampiri permaidani indah tetapi penuh duri. Ujian yang dilalui oleh pejuang islam di Mesir adalah siri penyaringan dan pemilihan untuk memilih para syuhadak fi toriq dakwah.
- Manhaj perjuangan Islam adalah manhaj yang tulen, manhaj yang dilalui oleh para Rasul dan para sahabat r.a. Ia adalah manhaj yang berbeza dengan manhaj perubahan yang lain, mesti ada tamaiyuz dari sudut fikroh, harokah dan jalan amal untuk melakukan taghyir.
- Gerakan islam perlu menguasai dua qaedah untuk memimpin perubahan iaitu menguasai qaedah sulbah [strategi vertikal-kualiti ] dan menguasai qaedah sya’biyah [ strategi horizontal-kuantiti]. Gerakan islam wajib memantapkan kekuatan dalaman dengan pengukuhan tarbiyah dan pembinaan kader di samping melebarkan penguasaan di dalam masyarakat dengan amal-amal umum, amal kemasyarakatan, penguasaan institusi dan sebagainya. Perlu perkuatkan tanzim dengan takween dan perkuatkan amal dengan tajmik yang menambah sokongan massa.
- Gerakan Islam perlu kuasai 4 pengupayaan di dalam menguasai massa iaitu :
- Kemampuan menguasai kaedah bermasyarakat.
- Kemampuan menguasai kaedah bergerak.
- Kemampuan menguasai kaedah berfikir.
- Kemampuan menguasai kaedah berpolitik.
- Gerakan Islam perlu keluar dari fasa eksklusif kepada fasa inklusif dari sudut amal dakwah. Eksklusif dari sudut pembinaan kelompok teras tetapi inklusif dari sudut amal tajmik. Membiarkan berterusan bergerak secara eksklusif dan secara bawah tanah akan mengundang fitnah dan memberikan reputasi buruk dari pandangan massa.
- Gerakan Islam perlu menjaga thawabit manhaj perjuangan walaupun ditekan tetapi anjal di dalam kaedah dan strategi perjuangan.
- Penyediaan rijal yang berkualiti dengan tarbiyah yang mendalam akan melahirkan pelapis dakwah dan harokah. Mata rantai dakwah tidak terputus dengan bilangan rijal yang bertambah. Rijal akan menjadi banteng perjuangan melawan raksasa kezaliman.
- Kesatuan gerakan-gerakan Islam dari bekerja secara mahalli [lokal] kepada bekerja secara tandhim alami bagi mendepani kekuatan musuh yang bersifat antarabangsa.
- Merangka strategi dan seni berinteraksi dengan waqi berdasarkan pengalaman gerakan Islam yang berbeza-beza mengikut situasi. Gerakan perlu memiliki fiqh syarie diiringi dengan fiqh waqi agar ijtihad yang diambil menepati masa dan realiti. Pengalaman di Tunesia, pengalaman di Mesir atau pengalaman di Turki adalah khazanah bernilai dalam menambahkan pengkayaan kamus perjuangan gerakan Islam di dalam memimpin perjuangan li tamkin dinillah. Gerakan Islam perlu menyusun atur strategi dan halatuju dan membuat retrospeksi terhadap fasa-fasa yang dilalui.
Renungilah kata-kata Abdul Qadir Audah yang menjadi korban rejim Gamal abdul Naser ketika gawatnya situasi pergolakan pemerintahan masa itu. Katanya :
“Darahku akan melaknat tuan-tuan! Sedikitpun aku tidak ragu dan tidak bimbang, apakah aku mati di tempat tidur ataukah akan mati di medan perang, aku mati di tahanan ataukah aku mati dalam kebebasan, sebab aku akan bertemu dengan Tuhanku.”.
Islam akan mengharungi pertarungan yang cukup dahsyat dan mencabar. Namun di pusingan akhir obor Islam pasti akan menang.
“ Dan Allah pasti akan menolong orang –orang yang menolong untuk memenangkan agamanya..”
Ustaz Mohd Azizee Hasan
AJK Biro Tarbiyah ISMA Pusat
No comments:
Post a Comment