Abdullah Zaik Abdul Rahman
  •  Abdullah Zaik Abdul Rahman

SHAH ALAM – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) akan memberikan maklum balas berhubung tuntutan Datin Paduka Marina Mahathir supaya pertubuhan dan pemegang jawatan tertinggi pertubuhan itu menarik balik tuduhan ke atasnya berhubung isu tuntutan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango).

Presiden Isma,  Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, pihaknya akan memberi kenyataan rasmi berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH, Isma akan beri maklum balas yang munasabah. Pengerusi Biro Politik dan Gerakan Massa Isma, Aminuddin Yahya akan membuat kenyataan kepada media.

“Saya tidak mahu mendahului beliau dan ketetapan yang telah dicapai,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Marina yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sisters in Islam (SIS) membuat tuntutan itu hari ini selepas mendakwa Isma menuduhnya sebagai 'dalang' di sebalik tuntutan Comango.

http://www.sinarharian.com.my/marina-mahu-isma-tarik-balik-kenyataan-1.219773

Selain menarik balik kenyataan itu, Marina turut menuntut Isma menarik balik tuduhan sama dari semua media massa dan media online mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dengan serta-merta.

Pada 8 November, Isma dilaporkan telah mengedarkan 70,000 risalah di masjid-masjid di seluruh negara yang mendakwa Marina sebagai salah seorang 'dalang' di belakang gabungan NGO yang dikenali sebagai Comango.

Menurut Isma, risalah-risalah itu bertujuan menjelaskan kepada seluruh umat Islam bahawa tuntutan Comango telah mengancam kedudukan Islam di Malaysia yang didalangi tokoh-tokoh liberal dan 54 NGO anti Islam.

Isma mendakwa, antara dalang dalam isu Comango ini ialah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan; Pengerusi Eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran; Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez; Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Cynthia Gabriel dan termasuk Marina sendiri.