Pages

Thursday, November 14, 2013

Aspirasi Hijrah – Tarbiyah: Rahsia Kejayaan Umat

November 7, 2013 Tarbiyyah 0

Sempena sambutan Maal Hijrah ini, umat Islam di seluruh dunia sekali lagi diperingatkan tentang sejarah agung di dalam sirah Rasul junjungan kita, iaitu peristiwa hijrah.

Peristiwa hijrah berlaku selepas 13 tahun Rasulullah s.a.w terpaksa menghadapi pelbagai rintangan dan susah payah perjuangan dakwah baginda di Mekah. Bermula daripada dakwah secara rahsia, kepada dakwah secara terang-terangan, pelbagai onak dan duri terpaksa dihadapi oleh bukan sahaja Rasulullah s.a.w, malah juga pengikut-pengikut Rasulullah s.a.w. Ada yang dipukul, ada yang dibakar di atas api, ada yang dijemur ditengah panas mentari, malah ada juga yang dibunuh. Semua ini terpaksa dihadapi oleh Rasulullah dan para sahabat r.a dengan sabar.

Perintah hijrah datang hanya selepas 13 tahun Rasulullah dan para sahabat r.a terpaksa menghadapi segala kesulitan, kesakitan, pemboikotan, malah ada yang hilang nyawa. Bukan kerana Allah tidak sayangkan kepada umat Islam pada ketika itu, tetapi di sebalik semua ujian tersebut ada rahsia tarbiah agung daripada Allah yang Maha Mengetahui.

Allah boleh dan mampu untuk memenangkan umat Islam seawal tahun pertama kerasulan, semudah “kun fayakun” (jadi, maka jadilah). Namun, kejayaan tidak semudah itu diperoleh di dalam gengaman tanpa di sana ada perjuangan dan pengorbanan. Sehingga tidak terbukti sifat sabar, maka kemenangan adalah jauh. 

Hadis Rasulullah s.a.w ini membenarkan:
Maksudnya: “Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat r.ha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban. Maka kami bertanya: Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita? Maka berkata Rasulullah SAW: Sesungguhnya orang – orang sebelum kamu, ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya, kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya, namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.
Demi Allah. Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana’a ke Hadhramaut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang tidak bersabar.  (Riwayat Bukhari)

Perjuangan dan pengorbanan, itulah tonggak tarbiah yang telah membentuk generasi sahabat r.a menjadi generasi yang sangat unik, sehingga kita tidak lagi menjumpai generasi sebegini di zaman muktahir ini. Namun, hijrah itu sendiri memerlukan perjuangan dan pengorbanan. Rasulullah dan sahabat r.a terpaksa meninggalkan rumah dan segala harta kepunyaan, malah ada yang terpaksa meninggalkan anak-anak dan isteri, hanya semata-mata untuk memenuhi tuntutan agama Islam yang lebih mereka kasihi melebihi segala-galanya yang mereka ada. Siapakah pada hari ini yang sanggup meninggalkan segala keselesaan dan harta yang dipunyainya, dan keluar berhijrah berjalan kaki sejauh hampir 500 kilometer di tengah panas mentari padang pasir?

Sekiranya bukanlah kerana tarbiyah Rasulullah s.a.w yang begitu teliti dan taujihat (perangsang semangat) yang berterusan ke atas para sahabat r.a beserta keyakinan yang teguh kepada janji-janji Allah s.w.t yang pasti, nescaya peristiwa hijrah 1435 tahun yang lalu ini tidak berlaku. Namun, perancangan Allah itu melangkaui segala perancangan manusia.

Jangan kita lupa peringatan Allah s.w.t ini:
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. (QS. Al Baqarah : 214)

Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. ( QS. Al Baqarah : 155 )
Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk surga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orangyang berjihad di antaramu dan belum nyata orang-orang yang sabar. (QS. Ali Imran : 142)

Ujian terhadap umat Islam pada hari ini tidak kurang hebatnya berbanding ujian yang diterima oleh generasi salafus soleh suatu ketika dahulu. Daripada ujian ini, bukan sahaja ianya telah melahirkan insan-insan yang mampu menggegarkan tamadun Rom dan Parsi, malah mereka adalah insan-insan yang telah diredhai Allah dunia dan akhirat, dan syurga telah dijanjikan kepada mereka hatta sebelum mereka kembali menemui Allah lagi.

Aspirasi peristiwa hijrah 1435 tahun yang lampau, tidak hanya terbuku dalam lembaran sejarah pendidikan Islam sahaja, malah ianya perlu diterapkan kedalam setiap hati umat Islam dan ianya perlu ditanam dalam setiap impian dan cita-cita anak-anak umat Islam, biar mereka membesar dalam aspirasi perjuangan dan pengorbanan, sehingga mereka tidak pernah kenal erti lemah dan berputus asa.

Hanya dengan tarbiyah sahaja, erti sebenar sebuah perjuangan dan pengorbanan dapat dibentuk. Tiada cara lain yang lebih efektif dalam pembentukan nilai dan jati diri ini. Rasulullah s.a.w dahulunya sentiasa bersama dengan para sahabat r.a dalam setiap situasi kesusahan dan kesenangan, memberi taujihat bermotivasi sehingga akhirnya melahirkan satu umat yang teguh keyakinan mereka terhadap agama samawi yang baru berputik ketika itu, kuat keazaman untuk memartabatkan agama Islam yang hakiki walaupun dihujani dengan pelbagai cubaan dan dugaan, jiwa yang tidak pernah takut kepada ancaman manusia dan mereka tidak pernah disentuh rasa putus asa walaupun sedikit.

Inilah tarbiyah Islam yang dapat kita pelajari daripada peristiwa hijrah ini. Walaupun ianya berlaku hampir 1435 tahun yang lepas, namun nilai agung daripadanya amat kita perlukan bagi mengubah nasib umat pada hari ini. Lemahnya umat Islam pada hari ni kerana lemahnya persiapan kita dan jauhnya kita daripada tarbiah Islam.

Disediakan oleh:
Dr Shaiful Aizad Shafie, MBBS (Monash)
Ketua Unit Tarbyiah,
ISMA New South Wales, Australia

No comments:

Post a Comment