Monday, January 30, 2012
Wawancara dengan Risalah Al-Syariah (Bil. 7 – Muharram-Safar 1431H / Januari-Feb 2010M) Diterbitkan oleh Jabatan Al-Syariah, KIAS.
Di bawah ini adalah teks asal jawapan Abu Anas mengenai “Nasyid Komteporari: Antara Pro dan Kontra”.
Soalan Wawancara Risalah Al-Syariah bil. 7.
1. Manusia
memerlukan hiburan dalam kehidupan seharian. Namun dalam memilih
hiburan yang ada pada hari ini, manusia kerapkali terjerumus ke dalam
perkara-perkara yang haram. Hal ini termasuklah dalam memilih lagu-lagu
nasyid. Apakah dalil-dalil yang menyebut tentang hukum mendengar lagu
dalam Islam?
J: Islam
merupakan agama yang sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Tidak ada
satu pun dalam ajaran Islam yang bertentangan atau tidak sesuai untuk
dijadikan amalan dalam kehidupan kita.
Manusia
sebagai makhluk yang dianugerahkan Allah s.w.t dengan naluri kejiwaan
dan perasaan sememangnya memerlukan kepada sesuatu yang boleh memberi
ketenangan, kerehatan minda dan keseronokan. Sehubungan dengan itu,
hiburan melalui nyanyian telah menjadi salah satu medan atau platform
yang paling popular dalam memenuhi tuntutan tersebut.
Islam
sama sekali tidak mengharamkan hiburan, kerana ia merupakan salah satu
keperluan dalam diri manusia. Namun persoalannya apakah bentuk nyanyian
atau muzik yang menepati syariat Islam pada masa kini?
Mendengar
lagu nasyid tanpa disertakan dengan alat muzik adalah dibenarkan,
sebagaimana yang jelas dari nas-nas yang menunujukkan keharusannya,
telah sabit (sahih) bahawa Rasulullah saw dan para sahabat telah
mendengar nasyid dan syair ketika bermusafir juga ketika berada di
Madinah, ketika bekerja juga waktu rehat, samada secara perseorangan
seperti nasyid Hassan, ’Amir Al-Akwa’, Anjasyah dan Bilal ra, juga
secara beramai-ramai sebagaimana yang dikhabarkan oleh Anas ra dalam
peristiwa menggali parit (Khandaq).
Adapun mendengar lagu (nyanyian) yang disertakan dengan alat-alat muzik maka ulama’ berbeza pendapat tentangnya;
Jumhur (majoriti) ulama’ silam -termasuklah ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie- mengharamkannya dikecualikan duff (kompang).
Mereka berdalil antaranya;
1- Hadis Nabi s.a.w. yang diriwayat oleh Abu Malik Al-Asy’ari ra menegaskan; “Akan ada di kalangan umat-ku orang-orang yang akan menghalalkan penzinaan, sutera dan alat-alat bunyian (muzik)”. [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]
2- Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sebahagian
manusia dari umatku mereka meminum arak dengan memberinya nama yang
lain (yakni menukar namanya), kepala-kepala mereka dilalaikan oleh
bunyi-bunyian dan penyanyi-penyanyi wanita….” [Hadis Riwayat Ibnu Majah dari Abu Malik al-Asy’ari, dinilai sahih oleh Sheikh Al-Albani].
Hadis di atas menyentuh alat-alat muzik secara umumnya.
3- Hadis yang secara
khusus menyebut alat-alat muzik pula ialah; Imam Ahmad meriwayatkan
dari Abdullah bin Umar r.a. yang telah menceritakan bahawa “Rasulullah s.a.w. telah mengharamkan arak, judi, gendang, biola dan setiap yang mengkhayalkan adalah haram”. Dalam satu lafaz yang lain, Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas umatku arak, judi, tuak gandum, gendang dan biola”. [Riwayat Imam Ahmad].
4-
Selain dari dalil-dalil di atas, suasana juga menunjukkan bahawa orang
yang banyak mengguna dan mendengar alat-alat bunyian (muzik) ini telah
menjadi adat atau kebiasaan orang-orang fasik (yakni suka melakukan
maksiat dan tidak menjaga agama).
Pandangan Kedua:
Sebahagian
ulama’ mengharuskan alat-alat bunyian atau muzik dalam sebarang bentuk
dan bunyi selagi ia tidak bercampur dengan perlakuan-perlakuan yang
haram seperti minum arak, percampuran lelaki dan wanita,
nyanyian-nyanyian yang bercanggah dengan agama (spt. memuja wanita, yang
membangkitkan syahwat dsbnya) dan selagi tidak melalaikan ibadah dan
tanggungjawabnya.
Di antara mereka ialah sahabat Nabi s.a.w. Abdullah bin Jaafar dan Abdullah bin az-Zubair ra,
Imam Malik, Towus, Sa’ad bin Ibrahim az-Zuhri (seorang Tabi’in),
Abdul-‘Aziz bin Salamah al-Majisyun, Imam Abu Bakar Ibnu Al-‘Arabi, Imam
Ibnu Hazm dan sebagainya.
Hujah mereka ialah; tidak ada dalil yang benar-benar terang dan nyata yang menyebutkan pengharaman alat-alat bunyian atau muzik tersebut.
Jika
ada sekalipun, umpamanya hadis riwayat Imam Bukhari di atas (yang
dikemukakan oleh jumhur tadi)!!, ia kerana bercampur dengan arak, zina
atau sebagainya yang jelas dilarang, bukan semata-mata kerana alat
bunyian/muzik.
Maka
jika alat-alat bunyian/muzik tersebut bebas dari unsur-unsur haram
tersebut, maka ia kembali kepada hukum asalnya iaitu harus. Sekalipun
banyak hadis yang dikemukakan oleh ulama’-ulama’ yang berhujjah melarang
alat-alat bunyian, namun hadis-hadis tersebut tidak sunyi dari
kecacatan. Ia berlegar antara dhaif atau maudhu’ (palsu)
dan tidak harus dijadikan hujjah terutama untuk mengharamkan sesuatu di
mana telah disepakati ulama’ bahawa pengharaman mesti berdasarkan dalil
yang soheh.
Sebagai contohnya, hadis riwayat Imam Ahmad di atas; di dalam sanadnya (yakni rangkaian periwayatnya) terdapat seorang bernama Al-Walid bin ‘Abadah di mana ia adalah majhul (tidak dikenali).
Berkata
Imam Ibnu Hazm; “Tidak ada sebarang hadis yang soheh yang mengharamkan
nyanyian dan alat-alat bunyian. Semuanya adalah maudhu’ (hadis-hadis
palsu)”.
Ramai
ulama’ semasa hari ini cenderung kepada pandangan kedua di atas, yakni;
muzik adalah harus selagi tidak bercampur dengan perkara-perkara haram
dan tidak melalaikan dari ibadah dan tanggungjawab. Begitu juga hukumnya
dengan nyanyian yang hari ini tidak dapat dipisahkan dengan muzik. Di
antara mereka ialah Dr. Yusuf al-Qaradhawi (rujuk kitab beliau; al-Halal
Wa al-Haram Fil-Islam), Syeikh Muhamad al-Ghazali dan Mufti Mesir
sekarang ini Dr. Ali Jum’ah (lihat buku Himpunan Fatwanya bertajuk;
al-Kalimu at-Thayyib; Fatawa ‘Asyriyyah, hlm. 452).
Perhatian;
Sebagai
penuntut ilmu yang cintakan kebenaran, kita tidak sepatutnya berdiam
diri apabila hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dipertikaikan
kesahihanya, sedangkan ramai ulama’ tampil menjelaskan keraguan serta
mempertahankan kesahihannya.
[Antaranya; Dr Abdul Aziz Marzuq At-Turaifi;
حكم الغناء:
تلخيص ميسر لمحاضرة الشيخ الطريفي عن الغناء
Sebuah tesis MA (2006) di Universiti Baghdad dalam bidang Hadis [Darjat: Mumtaz];
أحاديث المعازف والغناء – دراسة حديثية نقدية
Oleh: Mohd Ab. Karim Ab. Rahman.
Demikian
juga apa yang diriwayatkan bahawa sebahagian sahabat mempunyai hamba
yang bermain dengan alat muzik, riwayat tersebut adalah ”batil’.
2. Apakah pula yang menjadi penentu kepada hukum lagu ataupun nasyid? Adakah pada liriknya, rentaknya ataupun situasi penyampaiannya?
Ketiga-tiganya sekali, lagu, lirik dan situasi..
Sebagaimana
yang kita sebutkan di atas tadi bahawa tidak ada ulama’ yang
mengharuskan nyanyian secara mutlaknya. Keharusan nyanyian adalah
bersyarat. Secara ringkas, syarat-syarat utama yang telah ditetapkan
ulama’ bagi nyanyian yang diharuskan ialah;
1.
Hendaklah apa yang diperkatakan di dalam nyanyian itu (yakni lirik atau
senikatanya) menepati ajaran Islam dan adab-adab Islam.
2.
Cara nyanyian itu dipersembahkan juga penting untuk diperhatikan.
Adakalanya senikata lagu tidak bercanggah dengan Islam, tetapi gaya
penyanyi mempersembahkan nyanyian menimbul ghairah orang yang melihatnya
atau membangkitkan nafsu mereka –seperti penyanyi perempuan yang tidak
menutup aurat dan dengan suara menggoda-, maka nyanyian sebegitu adalah
diharamkan walaupun senikatanya baik.
3.
Tidak berlebihan hingga melalaikan dari kewajipan hidup yang sebenar
dan lebih utama, seperti mengabaikan solat, tugas seharian lantaran
mengikuti program / konsert yang di anjurkan.
3. Kita melihat terdapat banyak khilaf mengenai garis panduan alat muzik yang diberikan oleh ilmuwan Islam. Ada yang mengatakan gitar dibolehkan. Bagaimana pula dengan penggunaan biola, piano dan drum? Apakah garis panduan bagi alat muzik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di dalam Islam?
Terdapat hadis-hadis yang menyebut beberapa jenis alat yang diharamkan, seperti hadis riwayat Imam Ahmad di atas.
Menurut
mazhab Syafi’ie; “Diharamkan mengguna dan mendengar alat-alat bunyian
seperti biola, gambus, shonji (iaitu dua piring tembaga yang dilagakan
keduanya untuk menghasilkan bunyi), gendang, serunai, dan sebagainya.
Setiap alat muzik yang bertali adalah haram tanpa khilaf. Diharuskan
duff bagi majlis kenduri kahwin, berkhatan atau sebagainya. Nyanyian
jika tanpa alat bunyian, hukumnya makruh dan jika disertai alat-alat
bunyian, hukumnya adalah haram”. (Lihat Mughni al-Muhtaj, Kitab
asy-Syahadat).
Walaupun ada ulama’ mengharuskan penggunaan alat-alat muzik, tetapi meninggalkannya adalah lebih selamat.
4. Merujuk
kepada pandangan Dr. Yusuf al-Qardhawi, penggunaan alat muzik
dibolehkan bagi tujuan untuk berdakwah. Di Negara kita pula, nasyid
sekarang sudah dijadikan satu industri yang mana para penasyid
diletakkan sebaris dengan para penyanyi yang lain, serta diberikan
anugerah dalam majlis-majlis yang turut dipenuhi dengan
persembahan-persembahan yang tiada khilaf tentang keharamannya, seperti
Majlis Anugerah Industri Muzik dan lain-lain. Adakah alasan berdakwah
kepada para artis boleh diterima apabila menuntut para penasyid kita
menghadiri majlis-majlis seperti ini?
Menghadiri majlis sedemikian menjadikan kita mengiktiraf perbuatan
tersebut, sedangkan telah ada larangan daripada meramaikan golongan yang
tidak baik, terdapatkan juga larangan menyerupai orang kafir atau
fasiq, seperti hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Ibnu Omar ra
dengan sanad yang sahih;
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
maksudnya: ”Sesiapa yang menyerupai (gaya – tingkah laku) sesuatu kaum maka dia termasuk dari kumpulan tersebut”.
Alasan
nak berdakwah, apa bukti kejayaan orang yang telah melakukannya, tapi
sebaliknya ada, penasyid pula terikut2 dengan pakaian dan gaya mereka.
5. Dalam
industri nasyid sekarang juga, kita melihat irama nasyid kebanyakannya
diketengahkan dengan nada yang mendayu-dayu ataupun terlalu rancak
seperti irama rap dan hip hop. Ini adalah sangat berbeza dengan tujuan
nasyid zaman awal Islam yang menjadi peniup semangat jihad. Apa komen
Dr? Bagaimanakah kita dapat kembalikan nasyid kepada tujuannya yang asal?
Memang nasyid kontemporari hari ini sudah hilang arah...
Perkembangan
yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya.
Bukan sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid
melalui penjualan album, malah kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin
berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di sekitar hala tuju dan
masa depan nasyid di negara kita.
Suatu
masa nasyid dilihat sebagai suatu bentuk seni yang mempunyai
identitinya yang tersendiri. Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen
Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan kombinasi yang indah serta
menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana lagu-lagu
Islam di Turki, negara Arab dan Pakistan memakai pakaian budaya
tempatan, begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai
identiti dan membentuk cara yang tersendiri.
Selepas
menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke
dalam pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan
nasyid menampilkan rentak, lirik dan persembahan yang dekat dengan
kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang lazimnya dikaitkan
dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan “nasyid
kontemporari” yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.
Hujjahnya ialah ingin mencari mencari kelainan.
Perubahan
yang sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah
soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu
dipertaruhkan di pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru
dan unik, demi untuk menggarap perhatian pendengar dan seterusnya
diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang memberangsangkan.
Untuk
mencapai matlamat tersebut senikata yang diucapkan menjadi janggal
dengan irama, contohnya apabila menyebut asma’ Allah serta sifat-Nya,
atau Rasulullah saw serta selawat ke atasnya demikian juga dengan zikir.
Semuanya kadangkala menjadikan telinga orang yang beriman sakit, kerana
bimbang berlaku kesalahan dalam sudut aqidah.
Selain itu nasyid telah menjadi terlalu komersial....
6. Tidak
kurang juga kita melihat di kalangan wanita Islam yang semakin
menonjolkan diri dalam bidang nasyid di khalayak ramai. Apakah ianya
dibenarkan dalam Islam hanya dengan memakai pakaian yang menutup aurat?
Bagaimanakah sebenarnya kedudukan suara wanita dalam Islam?
Pakaian sebahagian ahli nasyid bahkan penceramah wanita tidak memenuhi etika berpakain.. OLeh itu, pakaian artis khususnya wanita perlu diberi nafas baru. Islam
menerima perkembangan fesyen dan perhiasan, asalkan tidak melanggar
batasan syarak. Imej yang agak seksi dan menggoda tidak mencerminkan
anutan agama Islam dan budaya ketimuran. Soal aurat dalam Islam tidak
ada kompromi, bagi mengharuskan nyanyian, persembahan atau ceramah,
kewajipan menutup aurat adalah penting. Begitu juga persembahan dan
pergaulan antara artis lelaki dan wanita perlu ada batasan. Sebarang
bentuk sentuhan, pelukan dan geselan perlu dielakkan.
Aspek
persekitaran juga menjadi kayu pengukur bagi mengharuskan sesuatu
persembahan atau konsert. Kedudukan penonton yang diasingkan antara
lelaki dan wanita serta yang berkeluarga adalah sangat baik dan
bertepatan dengan budaya Islam.
Ini
dapat membantu mengelakkan berlakunya sebarang bentuk maksiat serta
pergaulan bebas sewaktu konsert berlangsung. Keadaan bersesak-sesak dan
melompat menari antara lelaki dan wanita adalah salah di sisi agama.
Kesesuaian waktu dan kemudahan tempat juga penting supaya penonton tidak mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap tiang agama.
Berkait
dengan hukum nyanyian bersama wanita, Islam telah meletakkan disiplin
yang jelas tanpa wujudnya sebarang bentuk diskriminasi dan penindasan
terhadap kaum wanita. Bagi mengelakkan sebarang fitnah yang berunsurkan
pandangan yang bersyahwat dari golongan kaum lelaki dan memperagakan
tubuh badan dari golongan kaum wanita, mengalun-alunkan suara (iaitu
cara selayaknya sebagai penyanyi) dan seumpamanya, Islam melarang dan
tidak membenarkan lelaki berduet bersama wanita dalam persembahan
nyanyian. Ia bersalahan dengan adab Islam yang disebut di dalam Al-Quran
Al-Karim iaitu firman Allah (s.w.t):
{قُلْ
لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ
ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ
لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ
بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا
لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ
أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ
بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ
مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الإرْبَةِ
مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ
النِّسَاءِ وَلا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ
مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَا
الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ }
Yang
bermaksud: “Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah
mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian
itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman:
"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah
mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari
padanya…”. [Surah An-Nuur: 30-31]
Dan
sabda Nabi (s.a.w) yang bermaksud: “Wahai Ali! Jangan kamu iringi
pandangan pertamamu dengan pandangan kedua, sesungguhnya bagi kamu
pandangan pertama tapi tidak pada pandangan kedua”.
Nyanyian yang dipersembahkan oleh wanita dikhalayak ramai adalah suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Al-Quran Al-Karim menyatakan arahan Allah (s.w.t):
{َا
نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ
اتَّقَيْتُنَّ فَلا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي
قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلا مَعْرُوفًا}
Yang
maksudnya: “…Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga
berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya…”. [Surah Al-Ahzab
: 32]
Wanita
hanya dibenarkan mempersembahkan nyanyian atau nasyid hanya untuk
kalangan mereka sahaja dan tidak boleh dihadapan khalayak lelaki.
7. Dengan
perkembangan nasyid yang begitu pesat sekarang, sejauh mana Dr. melihat
nasyid ini dapat memberi kesan dalam berdakwah kepada golongan muda,
ataupun mencetuskan kesedaran dan keinsafan serta dijadikan satu
alternatif hiburan kepada golongan ini?
Nasyid sebagai alat bukan matlamat…
Jika
nasyid didefiniskan sebagai jalan dakwah, maka ia sangat bergantung
kepada faktor manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna
dakwah adalah gambaran seorang Da’ie terhadap apa yang beliau sendiri
faham tentang mesej agamanya.
Jika
nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik
dan lagu, tetapi ia sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui
keperibadian penyampainya.
Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan gaya
rap dan rock, latar belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi
sebahagian daripada penilaian masyarakat tentang sejauh mana relevannya
dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.
Nasyid
adalah wasilah, maka ianya tidak sesuai disemua tempat dan waktu. Bagi
golongan yang sentiasa hidup dengan alunan muzik, maka kita kemukakan
nasyid sebagai alternative atau badil kepada muzik kegemarannya.
Tapi
bagi muda mudi / pelajar aliran agama rasanya tidak perlu kita
terikut-ikut dengan rentak golongan ini, lebih-lebih lagi pelajar aliran
tahfiz, tumpukan kepada hafazan, kajian mendalam tentang hukum hakam
adalah menjadi keutamaan sebagai seorang da’ie yang akan mengepalai
masyarakat –dengan izin Allah- di masa depan.
Kata Abdullah bin Mas’ud ra:
( الغناء ينبت النفاق في القلب كما بنبت الماء البقل ).
Maksudnya: “Nyanyian itu menumbuhkan sifat munafiq di dalam hati, seperti air menumbuhkan sayuran” [HR Al-Baihaqi]
Ramai
golongan muda mendengar lagu dari pagi ke malam, tapi tidak ramai yang
menghabiskan masanya dengan alquran, ini kadangkala membuatkan kita
terfikir kepada ayat yang dijadikan hujjah oleh ulama’ yang tidak
membenarkan nyanyian.
Firman Allah yang bermaksud; “Dan ada di antara manusia orang yang membeli Lahwal-Hadith
(cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan) untuk menyesatkan (dirinya
dan orang ramai) dari agama Allah tanpa sebarang ilmu/pengetahuan dan ia
menjadikan ayat-ayat Allah sebagai bahan ejekan. Mereka itu bagi mereka
azab yang menghinakan”. (Surah Luqman, ayat 6).
Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a.; maksud lahwal-Hadith dalam ayat di atas ialah nyanyian. Berkata Imam Hasan al-Basri; ayat di atas diturunkan kepada nyanyian dan alat-alat bunyian. Ada ulama’ berpendapat; lahwal-hadith itu ialah penyanyi-penyanyi dari kalangan jariyah (hamba perempuan).
Semoga
perbincangan kita ini membuka pandangan untuk mengkaji dan berfikir
tentang hukum Islam mengenai hiburan, bukan hanya setakat berselindung
disebalik beberapa nama ulama’ besar untuk menghalalkan apa yang nafsu
bersetuju dengannya, tanpa mengambil kira pandangan lain yang
bertentangan serta sandaran dalil-dalilnya.
Sekian,
Abu Anas, Sg Durian.
1.50am 22 Safar 1430H.
Rujukan:
الحلال والحرام للقرضاوي
حكم ممارسة الفن لصالح أحمد الغزالي.
الرد على القرضاوي والجديعي للشيخ عبد الله رمضان موسى
حكم الغناء لفضيلة الشيخ عبد العزيز بن مرزوق الطريفي
Sumber: http://abuanasmadani.blogspot.com/2012/01/nasyid-komteporari-antara-pro-dan.html
===============================================
Wawancara di atas dipaparkan sebagai reaksi kepada : http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/23682-ada-ahli-pas-terkejut-konsert-gig-green-zone
No comments:
Post a Comment