• muktamar pas
 
KUALA LUMPUR - Kedudukan Mohamad Sabu sebagai penyandang Timbalan Presiden Pas tidak lagi boleh dianggap selesa apabila jawatan nombor dua itu kini mendapat tentangan daripada Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Asmuni Awi hari ini dalam satu sidang medianya di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
 
Selain itu, bagi jawatan naib presiden  menyaksikan pertembungan lima penjuru antara tiga penyandang asal, Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
 
Manakala dua pencabar baru iaitu Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan bekas Ketua Pemuda Pas, Datuk Abu Bakar Chik kini masuk gelanggang.
 
Di samping itu, seramai 61 orang akan bertanding untuk kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat.
 
Sementara itu, bagi jawatan Ketua Dewan Ulama Pas, penyandangnya, Datuk Harun Taib mengekalkan kedudukannya apabila diumumkan menang tanpa bertanding setelah jawatankuasa pemilihan menerima satu pencalonan sahaja.
 
Keputusan sama turut disahkan bagi jawatan Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Ulama menang tanpa bertanding, masing-masing digalas oleh Datuk Ahmad Yaakob dan Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
 
Bagi jawatan Ketua Pemuda Pas pula, akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Zulhazmi Sharif, Suhaizan Kaiat dan Kamarulzaman Muhammad selepas penyandangnya, Nasrudin Hassan Tantawi tidak mempertahankan jawatan itu.
 
Manakala jawatan Timbalan Ketua Pemudanya pula, menjadi rebutan antara anak Presiden Pas, Mohd Khalil Abdul Hadi dan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob setelah penyandangnya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menolak dicalonkan semula.
 
Naib Ketua Pemudanya pula menerima dua pencalonan dan seramai 26 orang pula akan merebut 12 jawatan AJK Pemuda yang ditawarkan kali ini.
 
Bagi jawatan Ketua Muslimat Pas pula, penyandangnya Siti Zailah Mohd Yusof akan dicabar Nuridah Salleh selepas dua lagi nama menarik diri.
 
Manakala penyandang Timbalan Ketua Muslimat Pas, Dr Siti Mariah Mahmud turut dicabar oleh Dr Najihatussalehah Ahmad pada pemilihan kali ini.
 
Seramai 23 orang pula akan berebut 12 kerusi AJK Muslimat Pas bagi sesi 2013-2015.
 
Sumber:  http://www.sinarharian.com.my/politik/satu-lawan-satu-mat-sabu-dicabar-mohd-amar-1.219195