September 18, 2014 Berita Utama, Pendapat, Utama 0
Saya menulis artikel ini dengan niat untuk memperbetulkan salah faham oleh Wan Salman Wan Sallam yang pantas menyatakan pendirian tanpa benar-benar memahami isu yang berlaku dalam negara. (Sila rujuk tulisannya bertajuk ‘Kebergantungan Melayu hanyalah senjata politik’.)
Nasihat
saya kepada pemuda-pemuda seperti ini, usah terlalu terburu-buru dan
agar tidak mudah dipengaruhi golongan ahli politik, hiduplah dengan
prinsip dan agenda anda yang tersendiri.
Saya
sedikit bingung tentang apa yang dimaksudkan dengan golongan ultra
Melayu yang ditulis oleh saudara Wan Salman. Adakah mempertahankan
Perkara 153 dalam perlembagaan itu dikira Ultra Melayu? Jika begitu
maksudnya, maka ya ISMA adalah Ultra Melayu. Maka jika kita lihat
definisi tersebut daripada sifat yang berlawanan, maka golongan yang
menentang Perkara 153 adalah golongan anti-Melayu.
Tidak
sukar untuk kita melihat bagaimana pakatan yang dianggotai oleh PAS
hanya memberikan impak buruk bagi perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS
sejak sekian lama. Satu perkara yang amat kurang ditonjolkan oleh
pemimpin-pemimpin DAP ialah sikap toleransi dan menghormati pendirian
PAS; satu sikap yang sering mereka serukan kepada rakyat Malaysia.
Apabila majlis tertinggi PAS yakni Majlis Syura Ulamak menyatakan
pendirian yang tegas mengenai isu kalimah Allah, boleh pula mendiang
Karpal Singh membantah dan DAP mengajak PAS untuk berfikir semula
tentang pendirian tersebut. Tidakkah mereka faham bahawa Syura bukanlah
satu perbincangan kedai kopi bahkan ia merupakan perbincangan tertinggi
antara ulamak-ulamak yang mewakili prinsip-prinsip perjuangan Islam yang
dibawa oleh PAS?
Lebih
sedih lagi ialah apabila Allahyarham Harun Taib selaku Pengerusi Majlis
Ulamak PAS menyatakan cadangan untuk mengkaji semula tahaluf dalam
pakatan, beliau ditentang hebat oleh DAP hanya kerana mengeluarkan
cadangan untuk mengkaji semula pendirian, belum lagi mengeluarkan
sebarang keputusan untuk keluar. Hujah saya mudah, dalam hal yang tidak
menguntungkan DAP dan PKR, suara PAS disenyapkan.
Apa pula
bukti bahawa DAP tidak mahu merubah struktur asas perlembagaan dan
seterusnya merampas hak-hak Melayu dan Islam? Tidak perlu kita pergi
jauh, lihat sahaja pada polisi parti yang menyebut “penghapusan
pembahagian antara ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’ dan pelaksanaan
kesaksamaan etnik.”
Aneh
kerana saya pernah bertanya kepada Wan Salman mengenai pendapat beliau
mengenai polisi ini dan dahulunya beliau menyebut bahawa polisi ini
sememangnya menentang Perkara 153. Kini beliau hendak menyebut
seakan-akan DAP tidak mahu merosakkan struktur asas perlembagaan? Wahai
Wan Salman, jangan tergopoh-gopoh mengikuti jejak langkah ahli-ahli
politik yang sering bersikap ‘double standard’!
Apa yang
berlaku di Selangor bukanlah ‘kebetulan’. Kita tidak perlu berfikir jauh
untuk faham apa sebenarnya sedang berlaku. Saya selaku anak jati
Selangor beserta ramai lagi penduduk setempat sudah mual dengan
permainan politik di Selangor. Semenjak permulaan Langkah Kajang lagi
kita sudah melihat niat asal Pakatan Rakyat yang mahu mengganti Menteri
Besar yang baru. Saya sering terfikir, jikalau Lee Chin Cheh tidak
meletak jawatan di Kajang, siapa pula yang mahu dicalonkan oleh Pakatan
Rakyat untuk menjadi Menteri Besar ketika Tan Sri Khalid dijatuhkan?
Ataupun mungkin Tan Sri Khalid tidak akan ditolak PKR jika Wan Azizah
tidak memenangi kerusi Kajang? Jikalau benar, maka jelas niat
menjatuhkan Tan Sri Khalid bukanlah untuk membanteras korupsi akan
tetapi untuk kepentingan politik mereka semata-mata. Ini jauh daripada
etika politik yang saya fahami!
Amatlah
sedih kerana isu-isu korupsi yang dibentangkan untuk menjustifikasikan
Langkah Kajang disorok di bawah permaidani. Dipaparkan pula Tan Sri
Khalid Ibrahim sebagai calon Menteri Besar yang bebas korupsi dan tidak
sampai setahun selepas itu, sudah mula memburuk-burukkan beliau dan
membangkitkan kes-kes yang kontroversi. Saya cukup tertarik dengan
ucapan Dato Seri Haji Hadi Awang yang menyebut tentang jawapan lengkap
yang diberikan kepada pimpinan Pakatan Rakyat mengenai kes-kes yang
dibangkitkan. Jikalau telah dapat penjelasan yang lengkap kepada kes-kes
korupsi tersebut, maka tiada alasan lagilah untuk mengganti Menteri
Besar yang baru. Bukankah begitu?
Jikalau
anda benar-benar mahu memerangi korupsi, maka ayuhlah kita tanyakan
kepada kedua-dua parti Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional, mengapakah
kalian masih tidak mahu mengambil ‘political financing initiative’
yang dicadangkan oleh pihak kerajaan? Saya berpandangan mereka masih
takut untuk mendedahkan sumber-sumber kewangan yang masuk daripada kroni
kedua-dua belah pihak. Ya, saya berani mengatakan bahawa kedua-dua
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sama sahaja gelagat dalam bab rasuah
dan kronisme. Kalau benar salah satu daripada dua parti ini bebas
rasuah, maka mengapa takut untuk mengambil ‘political financing initiative’
untuk membuktikan ketelusan parti anda? Saya daripada ISMA menyatakan
bahawa kami menolak politik rasuah tanpa memilih mana-mana blok politik.
Kepada saudara Wan Salman, harap ini dapat menambah bukti bahawa kami
memang bukan tali barut UMNO dan seruan kesepakatan kami tidak terhad
kepada satu-satu blok parti. Yang salah tetap salah.
Satu lagi
putar belit yang dikeluarkan oleh ahli politik pakatan ialah dengan
mengatakan bahawa pencalonan melebihi satu nama bukanlah satu kebiasaan
sedangkan pada tahun 2008, PKR dan DAP mencalonkan Jamaluddin Mohd Radzi
dan Ngeh Koo Ham sebagai Menteri Besar Perak. Ini juga satu lagi bukti
PAS sering ditolak tepi oleh rakan-rakan pakatan. Kalau tidak kerana
kebijaksanaan Raja Nazrin Shah (kini Sultan Nazrin Shah), seorang
graduan Oxford University dan mempunyai Phd dalam politik dan
pentadbiran awam daripada Harvard University, sudah tentu Datuk Seri
Nizar Jamaluddin daripada PAS tidak akan diangkat menjadi Menteri Besar
pada awalnya. DAP sekali lagi menunjukkan sikap hilangnya kesetiaan
mereka terhadap institusi raja apabila Lim Kit Siang mengajak ahlinya
untuk memboikot upacara mengangkat sumpah. Sudah tentu isu tersebut
dengan mudahnya diselesaikan apabila Lim Kit Siang meminta maaf atas
alasan, tersilap kata. Apakan daya, mereka membuat ‘silap’ yang sama dan
sekali lagi meminta maaf kepada institusi raja pada isu pelantikan
Menteri Besar Selangor.
Wahai
mereka yang ‘memperjuangkan’ prinsip Rukunegara, di manakah anda ketika
golongan ahli politik mempersendakan prinsip ‘kesetiaan terhadap raja
dan negara’?
Wan Salman
kelihatan seperti kurang faham akan slogan ‘Undilah Calon Muslim
Berwibawa’ yang dikeluarkan oleh kempen Arus Baru sejak setahun yang
lalu, satu seruan ke arah politik baru yang berprinsip, beragenda dan
merentas kepentingan dan assobiyyah blok parti. Di dalam penulisan
beliau, Wan Salman menyebut tentang kepentingan Ultra Melayu untuk
mengundi PAS demi mengalahkan UMNO kerana PAS yang disayangi Ultra
Melayu sedang bergelut dengan kezaliman. Jawapan saya kepada hujah ini
amatlah mudah, seruan ‘Undilah Calon Muslim Berwibawa’ tidak lain dan
tidak bukan memegang prinsip bahawa untuk memartabatkan Islam dalam
perundangan dan politik negara, rakyat haruslah mengundi calon Muslim
yang paling berwibawa untuk menegakkan Islam tanpa mengira parti. Maka
secara tidak langsung jelaslah bahawa jikalau ramai calon Muslim di
dalam PAS yang lebih berwibawa daripada UMNO, maka sokonglah calon-calon
tersebut. Tetapi berlaku adillah jika UMNO juga mengeluarkan
calon-calon muslim yang berwibawa juga! Arus Baru menolak sebarang
pemikiran sempit yang memperjuangkan kepentingan parti berbanding
kepentingan agenda menegakkan Islam.
Perlulah
difahami bahawa perjuangan mempertahankan perlembagaan untuk menegakkan
Islam bukanlah satu perjuangan yang rasis. Sepertimana Hassan Al-Banna
memperjuangkan kesatuan bangsa Arab untuk menegakkan Islam, begitu
jugalah ISMA memperjuangkan kesatuan bangsa Melayu yang tidak hanya
terhad kepada batasan geografi Malaysia, akan tetapi meluas sehingga
seluruh Nusantara. Sepertimana definisi Arab yang dimaksudkan ialah
seorang Muslim yang berbahasa Arab, sebegitu juga definisi Melayu yang
tertakluk dalam perlembagaan yakni seorang Muslim yang mampu berbahasa
Melayu, tambahan mengamalkan adat-adat Melayu yang melambangkan identiti
asal tanah ini.
Tidak dapat tidak, hujah ‘Melayu untuk Barisan Nasional’ dan ‘Bukan Melayu untuk Pakatan Rakyat’ adalah
hujah yang sempit dan simplistik dan saya yakin para pembaca juga tidak
bersetuju dengan hujah tersebut. Melayu harus faham tentang kepentingan
mereka untuk bersepakat tanpa mengenal blok politik. Kesepakatan
tersebut haruslah menjurus kepada pelantikan ahli parlimen yang akan
mengekalkan dan menambahbaik struktur perundangan negara yang meletakkan
Islam pada tempat yang tinggi dan sekaligus meletakkan kita dalam
posisi yang akan memudahkan kita memperbaiki sebarang kekurangan dan
kelemahan agensi-agensi agama Islam yang sedia ada. Parti mana yang
lebih mengambil berat tentang penegakan Islam dan mempunyai calon-calon
Muslim yang berwibawa, maka parti itulah yang selayaknya memenangi
majoriti.
Saya harap saudara Wan Salman mula melihat dunia politik keluar daripada kerangka ‘Asal Bukan UMNO’ kerana
perjuangan tersebut adalah perjuangan yang terlalu bersifat assobiyyah
dan tertutup. Sepertimana yang diperjuangkan oleh pertubuhan anda,
‘Ukhuwwah Teras Kegemilangan’. Tidak dapat tidak, ukhuwwah tidak harus
disempitkan hanya kepada sesebuah parti kerana Ukhuwwah yang asli ialah
ukhuwwah islamiyyah. Akhir kata, ingin saya mengingatkan pembaca akan
ayat-ayat berikut yang menerangkan tentang kepentingan kesepakatan
Melayu yang merentas parti dan bukan semata-mata merupakan senjata
politik oleh blok-blok tertentu:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara.” (Al Hujurat: 10)
“Seorang
mukmin terhadap mukmin lainnya adalah laksana bangunan yang saling
menguatkan bagian satu dengan bagian yang lainnya.” (HR. Bukhari dan
Muslim)
“Dan janganlah kalian berbantah-bantah, yang menyebabkan kalian gagal dan hilang kekuatan.” (Al Anfal: 46)
“Dan
berpeganglah kamu sekalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah kamu
bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu
dahulu (masa Jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan
hati-hatimu, dan dengan nikmat Allah-lah kamu menjadi orang-orang yang
bersaudara.” (Ali Imran: 103)
Yusri Jamaluddin
MSc Business Analytics ’15, New York
MSc Business Analytics ’15, New York
Sumber: http://www.ismaweb.net/2014/09/melayu-bukan-senjata-politik-yusri-jamaluddin/
No comments:
Post a Comment