Pages

Monday, July 6, 2015

11 sebab TPPA mesti ditolak: Ketua Penerangan Isma

July 7, 2015

najib with obama tppa
 

11 sebab mengapa Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) mesti ditolak oleh rakyat Malaysia secara sepakat:

1. TPPA bakal memberikan layanan sama rata terhadap para pelabur syarikat gergasi antarabangsa dari negara seperti Amerika untuk membida projek kerajaan yang selama ini diberikan kepada syarikat bumiputera. Jika kerajaan memberi layanan istimewa kepada syarikat bumiputera, pelabur asing itu boleh menyaman dan mengheret kerajaan Malaysia ke tribunal antarabangsa.

Ini bermakna, hak istimewa Melayu dan bumiputera seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi terpakai dan dasar kerajaan untuk membangunkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera akan terbelenggu oleh kuasa syarikat gergasi antarabangsa asing yang mengawal melalui tribunal antarabangsa. Afrika Selatan telah berdepan dengan masalah ini dan terpaksa mengalah, apabila dasarnya yang mengutamakan rakyat kulit hitam (mirip DEB) telah dicabar di tribunal antarabangsa.

2. TPPA dijangka akan menghapuskan cukai import beras daripada Amerika, yang buat masa ini dikenakan sebanyak 40%. Apabila cukai ini dihapuskan, harga beras Amerika lebih murah daripada harga beras tempatan kerana subsidi tinggi yang diberikan kerajaan Amerika kepada syarikat pengeluar beras negaranya, menyebabkan harga berasnya tidak dapat ditandingi oleh harga beras negara kita.

Apabila ini terjadi, industri beras negara kita akan lumpuh, ribuan petani kehilangan sumber pendapatan, kita akan bergantung pada bekalan beras daripada Amerika yang merupakan pengeksport beras ketiga terbesar di dunia. Kesan akhir ialah keselamatan makanan negara terancam dan kedaulatan negara tergadai.

3. Piawaian HALAL Malaysia akan dikira sebagai “penghalang bukan cukai” yang menyekat perdagangan bebas. Piawaian sedia ada ini akan “ditundukkan” kepada piawaian Amalan Terbaik acuan Amerika yang dijadikan rujukan utama dalam rundingan perjanjian TPPA ini. Sudah tentu JAKIM tiada kuasa untuk memantau daging yang diproses di Amerika.


Lagikan syarikat dalam negara ada yang melanggar syarat yang ditetapkan, inikan pula syarikat di luar negara. Sijil HALAL Malaysia juga meliputi produk ubatan, kosmetik dan sebagainya, yang sudah tentu sukar untuk dipatuhi oleh syarikat luar. Ini semua bakal tergadai atas alasan perdagangan bebas.

4. Sebarang peraturan baru – selepas TPPA dimeterai – yang dikenakan ke atas produk atau aktiviti syarikat asing, yang didapati menyebabkan pencemaran alam sekitar atau memudaratkan kesihatan rakyat, akan dicabar di tribunal antarabangsa. Uruguay, Australia, Ecuador, Canada, Mexico adalah beberapa contoh negara yang sudah menjadi mangsa perjanjian perdagangan bebas dengan Amerika yang melibatkan berbillion dollar US di tribunal antarabangsa berkaitan isu ini.

5. Layanan sama rata terhadap pelabur daripada syarikat gergasi asing juga akan meletakkan tanah rizab Melayu dalam risiko tinggi. Halangan ke atas syarikat pelabur asing untuk memiliki tanah rizab ini untuk tujuan komersil akan dicabar di tribunal antarabangsa. Selain itu, tindakan “jenayah bangsa” yang mengalibabakan milikan tanah rizab akan semakin meluas melibatkan pelabur syarikat gergasi Amerika pula.

6. Filem-filem lucah dan ganas yang dihasilkan oleh pengeluar filem antarabangsa akan dipasarkan secara bebas di negara ini kerana penapisan filem dianggap suatu “halangan bukan cukai” yang dihapuskan dalam TPPA. Lembaga Penapisan Filem negara tidak lagi boleh menjalankan fungsinya dan rakyat negara ini akan terdedah kepada bahan tontonan yang semakin menjahanamkan moral dan nilai akhlak sebagai tambahan kepada masalah sosial sedia ada yang sudah kronik.

7. Harga ubat-ubatan akan meningkat antara 60% hingga 80% daripada harga sekarang, kerana TPPA akan mengetatkan lagi syarat untuk pembuatan ubat-ubatan generik yang selama ini membekalkan lebih 80% daripada ubat-ubatan yang diperlukan dengan harga yang murah.

8. Dasar mengutamakan pekerja tempatan, seperti peraturan yang mewajibkan syarikat asing memberikan latihan dan memindahkan teknologi kepada anak tempatan, peraturan-peraturan yang melindungi pekerja tempatan dari sudut kesihatan, keselamatan, kebajikan dan gaji minima tidak lagi boleh dilaksanakan dalam TPPA.

Terpulang kepada syarikat pelabur asing untuk menetapkan piawaian mereka sendiri. Kesannya ialah kemasukan pekerja mahir dari negara luar seperti Amerika, tanpa mereka bertanggungjawab untuk melatih pekerja tempatan, dan lambakan buruh murah dari negara seperti Vietnam, Bangladesh dan sebagainya. Pekerja kita terpaksa bersaing dengan pekerja asing, secara sama rata.

9. TPPA sebenarnya adalah agenda Amerika untuk meluaskan kuasanya di sebelah Asia, bagi menyaingi negara China yang diramalkan akan menjadi kuasa besar beberapa tahun akan datang. Itulah sebabnya, hanya enam bab, daripada 29 bab dalam perjanjian TPPA benar-benar berkaitan dengan perdagangan. Selebihnya berkaitan kawalan polisi dan dasar yang memberikan cengkaman Amerika ke atas negara-negara yang terlibat.

Hakikatnya, Malaysia tidak perlu TPPA, kerana tanpa sebarang perjanjian perdagangan pun kita mempunyai lebihan dagangan sebanyak hampir satu billion dengan Amerika pada Mac 2015 sahaja. Manakala dari sudut lain, TPPA akan menyekat kebebasan dagangan kita dengan negara China –musuh politik, ekonomi dan ketenteraan Amerika- yang merupakan rakan dagangan terbesar kita hari ini dengan nilai dagangan sebanyak RM17.16 billion pada Mac 2015.

Hakikatnya, perjanjian ini juga sebenarnya hanya menguntungkan syarikat gergasi Amerika –yang dikuasai Yahudi- dan memangsakan rakyat awam Amerika sendiri. Itulah sebabnya ia turut ditolak oleh segelintir ahli politik Amerika yang masih berjiwa rakyat.

10. Realitinya, bangsa Melayu dan bumiputera tidak mampu bersaing dalam negara, inikan pula untuk bersaing dengan pedagang dan pelabur asing syarikat gergasi multinasional. Fakta menunjukkan bahawa hanya 8% bumiputera memegang jawatan pengurusan dalam sektor swasta, memiliki hanya 8.2% daripada syarikat-syarikat besar dan 25% daripada nilai hartanah di Malaysia. Realiti sepatutnya menafikan fantasi.

11. Kesemua hujah di atas tidak dapat ditolak atau disangkal dengan bukti yang kuat oleh pihak perunding yang dilantik kerajaan Malaysia. Ini disebabkan bukti yang mereka ada hanyalah teks rundingan atau deraf perjanjian yang sedang dibincangkan. Bagaimanapun, mereka tidak dapat menggunakannya kerana teks atau deraf itu adalah dokumen rahsia dan tidak boleh didedahkan kepada umum.

Hampir kesemua Ahli Parlimen, sama ada pihak kerajaan mahupun pembangkang, tidak mempunyai akses ke atas dokumen itu atau dalam bahasa mudahnya tidak pernah membaca dan mengetahui mengenainya. Selepas dokumen berkenaan terbocor, maka segala jangkaan tentang TPPA yang dibuat -berdasarkan perjanjian perdagangan negara lain dengan Amerika sebelum ini – ternyata benar belaka.

Rundingan TPPA telah berjalan bertahun-tahun secara rahsia. Pihak yang menderaf ialah kerajaan Amerika dengan nasihat langsung daripada lebih 600 syarikat gergasinya. Manakala beberapa orang bertuah di pihak kerajaan Malaysia yang terlibat secara langsung dan mengetahui butiran teks rundingan secara terperinci ialah Datuk Jayasiri A/L Jayasena selaku ketua perunding dan Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria selaku Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang di tangan merekalah terletaknya nasib kedaulatan tanahair kita.

Ustaz Mohd Hazizi bin Ab Rahman
Ketua Penerangan Isma

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/07/11-sebab-tppa-mesti-ditolak-ketua-penerangan-isma/

No comments:

Post a Comment