Pages

Tuesday, July 14, 2015

‘Malaysian Malaysia’ Versus Keabsahan Ketuanan Melayu & Negara Islam


 Rizal Yaakob

‘Malaysian Malaysia,’ iaitu konsep yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum secara liberal, adalah diasaskan oleh PAP (People’s Action Party).


Sejak awal pengasasannya lagi, konsep tersebut telah mendapat tentangan hebat daripada pemimpin masyarakat Melayu. Konsep yang dimartabatkan oleh Lee Kuan Yew itu dianggap gagal untuk memahami bahawa dalam sebuah negara yang bersifat majmuk, semua kaum perlu hormat-menghormati antara satu sama lain bagi menjamin keamanan.

Mengapakah konsep ini yang diuar-uarkan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan mementingkan persamarataan hak itu ditolak oleh orang Melayu, malah, dianggap ancaman bersifat fundamental terhadap keabsahan politik Melayu?

Sekiranya suatu ketika dahulu tuntutan perlaksanaan ‘Malaysian Malaysia’ oleh Lee Kuan Yew dan cita-cita beliau untuk menjadi pemimpin Malaysia dianggap mengancam kepimpinan Tunku dan MCA (Malaya Chinese Association), namun senario politik pada hari ini telah berubah.

Apakah konsep ini tidak sehangat dahulu iaitu ketika Singapura masih dalam Malaysia di mana pemimpin dan majoriti penduduknya sukar untuk menerima pemerintahan Melayu?

Rentetan dari pemisahan Singapura dari Malaysia, perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ diwarisi pula oleh parti pembangkang iaitu Democratic Action Party (DAP).

Dalam konteks pergelutan kuasa politik terkini, parti tersebut dianggap antara parti pembangkang nombor satu di tanah air.

Kemenangannya di beberapa kawasan dalam Pilihanraya Sarawak 2006 membuktikan bahawa ia masih mendapat tempat di hati masyarakat.

Namun bagi parti United Malays National Organization (UMNO) dan sebilangan besar masyarakat Melayu, DAP seumpama ‘duri dalam daging’ yang sentiasa mempertikaikan keabsahan dan ketuanan politik mereka.

Konsep ‘MALAYSIAN MALAYSIA’
Konsep ini muncul sebagai manifesto perjuangan parti PAP pada waktu Malaysia menghadapi pelbagai bentuk krisis seperti Konfrontasi Indonesia, pemisahan Singapura dari Tanah Melayu dan konfl ik etnik antara Melayu dan Cina.

Pentadbiran Tunku Abdul Rahman melihat ideologi PAP ini sebagai berpotensi mendatangkan ancaman terhadap keselamatan di Malaysia.

Menurut Vasil, menerusi strategi ‘Malaysian Malaysia,’ PAP telah cuba untuk menguasai beberapa kumpulan berhaluan kiri, terutamanya masyarakat Cina.

Walau bagaimanapun, Lee Kuan Yew menyatakan idea ‘Malaysian Malaysia’ sebagai berikut:
Malaysia seharusnya menjadi sebuah masyarakat demokratik yang mana perbezaan pendapat yang sah sepatutnya dibenarkan dan mana-mana individu dan parti politik mempunyai kebebasan penuh untuk memujuk warganegaranya secara berperlembagaan dalam menerangkan sudut pandangan masing-masing.

Malaysia sebagai masyarakat berbilang kaum dan pelbagai kebudayaan mesti menunjukkan penghormatan dan toleransi terhadap kepelbagaian yang sah.

Malaysia adalah milik rakyat Malaysia secara menyeluruh dan bukan untuk mana-mana masyarakat atau kaum tertentu (Yew 1965).

Sebagai sebahagian daripada agenda ‘Malaysian Malaysia,’ Lee memulakan satu perjumpaan di Singapura pada 12 Februari 1965.

Pemimpin-pemimpin pembangkang Cina dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak menghadirinya.
Wakil dari Semenanjung ialah Lim Cheong Eu, bekas presiden MCA yang telah menjadi Setiausaha Agong United Democratic Party (UDP).

Wakil daripada Sarawak ialah Ong Kee Hui, pengerusi Sarawak United Peoples Action Party (SUPP).
Tujuan utama mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan strategi untuk menghadapi tekanan dari golongan yang mereka anggap sebagai pelampau Melayu dalam kerajaan Perikatan.

Wakil-wakil yang datang pada perjumpaan tersebut mencadangkan untuk mewujudkan Malaysian Solidarity Convention (MSC) (PREM 13/430 1965).

Kewujudan MSC bertolak dari idea ‘Malaysian Malaysia’ dan ia lebih mirip kepada satu bentuk pakatan politik.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ telah menjadi asas pendekatan pembangunan PAP di Singapura.
Bagi Lee, pendekatan ini akan akhirnya menghasilkan masyarakat yang dinamik dan negara yang progresif yang mendorong pertumbuhan ekonomi.

Konsep ini juga turut diperdebatkan sebelum Singapura berpisah dari Persekutuan Malaysia.
Pada perhimpunan MSC yang diadakan di Singapura pada 6 Jun 1965, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Toh Chin Chye, merangka agenda politik untuk gagasan ‘Malaysian Malaysia’ dengan kehadiran pemimpin-pemimpin daripada beberapa parti politik dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berucap bahawa konvensyen ini telah memulakan satu usaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum, untuk menyebarkan hak-hak asasi semua bangsa yang membentuk masyarakat berbilang kaum.
Tambahan pula, beliau menjelaskan yang perkara yang akan menyatukan semua bangsa ke dalam ‘Malaysian Malaysia’ lebih dari faktor bahasa ataupun tekanan dari luar (Yew 1998: 61).

Lee Kuan Yew turut menambah bahawa pengalaman menunjukkan di negara-negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk, masyarakat negara tersebut boleh bersatu jika satu kaum tidak bercita-cita menjadi ketua kaum lain tetapi beranggapan yang semua warganegara adalah sama tanpa mengira kaum.

Sebagai sebahagian daripada perancangan, usaha untuk mendapatkan sokongan dari negeri-negeri yang mungkin menyokong ‘Malaysian Malaysia’ seperti Singapura, Sabah, Sarawak dan mungkin juga Melaka dan Pulau Pinang (DEFE 25/179 1965).

Berbeza dengan PAP, kerajaan pimpinan UMNO menentang ‘Malaysian Malaysia’ dan cenderung untuk menegaskan pemilikan Melayu terhadap negara, pembaikan sosioekonomi orang Melayu dan hak keistemewaan untuk orang Melayu – semuanya boleh dirangkum dalam konsep Ketuanan Melayu, atau hegemoni Melayu di negara ini.

Hal ini bertolak dari kebimbangan UMNO dalam hubungannya dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu dan Singapura serta disebabkan juga oleh status sosioekonomi yang rendah di kalangan orang Melayu.
Ringkasnya, konsep Ketuanan Melayu adalah ‘anti-tesis’ kepada Malaysian Malaysia.

Ia menekankan tentang kedudukan orang Melayu dalam lingkungan politik yang perlu diperkuatkan untuk menghadapi ketidakseimbangan ekonomi dalam hubungannya dengan masyarakat bukan Melayu, terutamanya orang Cina yang pada umumnya dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai rakus dan tidak sensitif kepada budaya mereka.

Konsep Ketuanan Melayu ini terjelma dalam nada anti-Cina yang diapi-apikan oleh golongan ultra-Melayu pada penghujung tahun 1960-an yang sebahagian besarnya diarahkan kepada PAP dan Lee Kuan Yew.
Ia adalah tanda wujudnya sentimen politik dan perasaan tidak selamat masyarakat Melayu secara umum yang bertambah parah hasil daripada pengembangan penduduk Cina di Malaysia khususnya selepas percantuman dengan Singapura.

Ketidakselamatan dan perasaan rendah diri Melayu berbanding dengan kemewahan dan keagungan masyarakat Cina menjadi pokok pangkal perdebatan dan penolakan ‘Malaysian Malaysia’ (Milne 1967: 213).

‘Malaysian Malaysia’ juga boleh dikaitkan dengan PAP.

Adalah penting untuk ditegaskan bahawa aktiviti-aktiviti politik PAP yang radikal di Persekutuan Tanah Melayu adalah sebenarnya terbit atas dasar tidak puas hati dan tanggapan Singapura terhadap diskriminasi oleh orang Melayu terhadap minoriti Cina di Malaysia.

Ini telah memperkukuhkan keazaman Singapura untuk meneruskan dasar-dasar yang ofensif dan defensif untuk mengurangkan masalah diskriminasi tersebut.

Seiringan dengan isu ini, terdapat perbezaan pendekatan antara PAP dan parti Perikatan.
PAP percaya dengan usaha untuk membincangkan secara terbuka dan cuba menonjolkan kewujudan masalah-masalah bersifat perkauman. Ia mahu mengupas masalah tersebut dan menekankan keperluan untuk mengatasinya demi kelangsungan Malaysia.

Sebaliknya, parti Perikatan pula percaya adalah perlu sesebuah negara mempunyai keharmonian kaum. Ia khuatir pendedahan masalah berkaitan kaum secara terbuka akan hanya mendatangkan masalah.
Perbezaan dalam pendekatan ini barangkali disebabkan pertentangan pendapat dalam pembawaan politik masing-masing.

PAP adalah sebuah parti yang berpokokpangkalkan ideologi, manakala Perikatan mencurigai apa-apa bentuk ideologi (Milne 1966: 180; Sopiee 1974)

Sebagai parti berbilang kaum, PAP yang menganut fahaman Demokrat Sosialis percaya bahawa satu kupasan yang rasional berkenaan isu-isu perkauman tidak merbahaya.

Ia akhirnya akan mendorong kepada isu perkauman dianggap sebagai satu faktor kurang penting dalam politik, seterusnya menjadi landasan masyarakat yang berbeza kelas di Singapura dan Malaysia.

Parti Perikatan sebaliknya adalah gabungan parti politik yang terdiri daripada parti parti yang mewakili kaum-kaum tertentu dan sering kali menghadapi masalah dalaman parti. Ia merasakan pendedahan dan perbincangan berkenaan hal-hal perkauman hanya akan merosakkan perpaduan dalam gabungan parti tersebut.

Oleh itu, mengelakkan keganasan kaum di Malaysia menjadi teraju utama perjuangan parti Perikatan.
Hasil daripada kesedaran ini tidak hairanlah sarjana Barat seperti Tim Huxley mencadangkan bahawa strategi pertahanan Singapura adalah satu faktor menggalakkan pihak berkuasa Malaysia untuk menyekat perbincangan secara terbuka berkenaan kedudukan politik, ekonomi dan sosial masyarakat bukan Melayu di Malaysia (Huxley 1991: 210).

Penentangan Orang Melayu Yang Diterajui Umno
Pada masa konsep ‘Malaysian Malaysia’diterima oleh sebilangan masyarakat bukan Melayu, masyarakat Melayu cenderung untuk menolak konsep tersebut. Pemimpin UMNO menuduh Lee dan PAP mempersoalkan kedudukan istimewa dan kelebihan orang Melayu.

Sebenarnya, perasaan marah mereka timbul hasil daripada apa yang dianggap sebagai percubaan PAP untuk merampas penguasaan dan keabsahan politik Melayu.

Ia turut mendorong kewujudan unsur-unsur yang dianggap militan oleh orang Melayu di Singapura yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO seperti Syed Albar dan Syed Nasir dengan menjayakan perhimpunan-perhimpunan rakyat demi menentang PAP.

Secara tragik, perhimpunan-perhimpunan ini menyebabkan kekacauan di Singapura pada tahun 1964. Sehari sebelum kekacauan berlaku, Syed Albar berucap dalam sebuah perhimpunan Melayu dengan ucapan yang berapi-api dengan katanya:

Kita mempunyai kekuatan terakhir yang kita boleh bergantung. Kita adalah lemah di semua bidang. Kita adalah lemah dari segi ekonomi. Kita adalah lemah dalam bidang pendidikan.

Walau bagaimanapun,kita tetap memiliki senjata terakhir dan kekuatan yang kita boleh gunakan dengan mengenakan desakan terhadap pihak lain untuk mengenali kewujudan kita dan kehadiran kita di pulau Singapura ini.

Senjata ini adalah tidak lain dari perpaduan kita … dengan perpaduan ini kita akan menyelamatkan orang kita, kita akan memperbaiki diri kita. … jika perpaduan ini berterusan, dengan izin Tuhan, saya memberitahu anda semua, tidak ada kuasa di bumi ini yang boleh menginjakkan kita, tiada kuasa yang akan memandang rendah kita (Sopiee 1974).

Seiringan dengan pemisahan Singapura dan penubuhan MSC slogan, ‘Malaysian Malaysia’ terus berkumandang dan terus menganggu halwa telinga masyarakat Melayu.

Bagi parti Perikatan, slogan tersebut adalah secara kesimpulannya merupakan satu serangan ke atas hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan malahan Raja-raja Melayu (Parmer 1966: 114).

Lee dituduh bermain dengan perasaan perkauman untuk mencapai cita-cita politiknya yang tinggi.
Penubuhan MSC telah menduga kesabaran Perikatan kepada had yang tertinggi dan pemisahan antara dua buah negara telah dilihat sebagai satu penyelesaian yang berkesan dalam menghadapi konflik-konflik bersifat politik dan perkauman ini.

Dalam konteks ini, permintaan Singapura untuk mewujudkan satu masyarakat seimbang bertentangan dengan kepimpinan Malaysia yang pro Melayu.

Sebaliknya, Lee pula mencadangkan bahawa perbezaan utama antara PAP dan Perikatan bukan berkenaan objektif-objektif mereka, tetapi dalam konteks kecepatan untuk mencapai obejektif-objektif tersebut (Milne 1966: 184).

Penubuhan MSC dan agenda politiknya bertentangan dengan keinginan UMNO.
Tunku begitu sedih dan amat susah hati dengan pertemuan Lee di Singapura dengan kumpulan-kumpulan pembangkang dari Borneo dan Tanah Melayu semata-mata untuk mengutuk isu perkauman dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Timbalan Perdana Menteri, Razak pula merasakan yang Perikatan tidak harus menyerahkan kuasa keselamatan dalam negeri kepada Lee pada masa ia masih berunding dengan Tunku (PREM 13/4301965).
Parti PAS juga menggesa Tunku untuk mengambil tindakan keras terhadap Lee dan pengikutnya, sebagai contoh, dengan menahannya di bawah undang-undang Internal Security Act (ISA).

Tambahan pula, mereka merasakan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, masyarakat Melayu telah dijanjikan oleh British dengan hak keistimewaan khas.

Apabila hak-hak mereka telah diancam, orang Melayu bertindak balas dengan kuat kerana khuatir akan berlakunya sekali lagi peristiwa Malayan Union.

Oleh itu, perjuangan Singapura membentuk satu masyarakat egalitarian tidak diterima baik oleh kaum Melayu.

Sebagai tambahan, ia ditolak kerana berpotensi untuk meruntuhkan sokongan politik untuk UMNO.
Ringkasnya, ‘Malaysian Malaysia’ dan MSC, yang berakar umbi dari semangat kebangsaan Singapura tidak diterima oleh pendokong semangat kebangsaan di Malaysia pada ketika itu.

Sepintas lalu, ideologi PAP, ‘Malaysian Malaysia,’ telah mengancam keabsahan politik elit pemerintah Melayu. Perbezaan idea-idea dan pendekatan-pendekatan berkenaan isu-isu bersifat perkauman dan politik mendorong ke arah konflik antara PAP dan perikatan.

‘Malaysian Malaysia’ Dan Keabsahan Politik Melayu
Memelihara kuasa politik yang sedia ada dianggap satu perkara penting untuk pemimpin Melayu di Malaysia.
Bagi mereka, ia bukan sahaja satu perkara perlambangan dan psikologi, tetapi juga satu perkara yang berkaitan dengan kelangsungan politik.

Perbezaan dalam semangat kebangsaan dan kepercayaan politik adalah tidak syak lagi sebab utama yang menyebabkan kegagalan penggabungan antara Singapura dan Malaysia.

Semangat kebangsaan rakyat Malaysia adalah berhaluan kanan, anti-Komunis dan kuat dipengaruhi sifat perkauman dan dengan jelas proMelayu, manakala Singapura telah berkembang menjadi negeri yang didominasi oleh orang Cina, kerajaan berhaluan kiri, bukan Komunis dan bukan perkauman secara luaran (Lau 1998: 9).

Perbezaan dalam semangat kebangsaan adalah punca faktor-faktor lain muncul seperti disebutkan di atas, yang kemudian menyebabkan pemisahan antara pulau dan tanah besar.

Dengan melihat sepintas lalu sejarah tanah air, semangat kebangsaan Malaysia dan Singapura telah mula mencari arah yang berlainan apabila Singapura pertamanya dipisahkan dari Tanah Melayu pada 1 April, 1946 untuk mewujudkan Malayan Union.

Walaupun pemisahan ini bukan ditakdirkan untuk terus kekal, ia mencipta logik yang tersendiri.
Tiga belas tahun berjauhan mengakibatkan pembezaan politik dan ideologi antara dua buah entiti ini.
Walaupun jika keduanya bersatu semula, perbezaan dalam semangat kebangsaan akan tetap kukuh.

Membawa kedua-duanya serentak bersama semangat kebangsaan masing-masing menyebabkan satu pertelingkahan tentang kepercayaan dan fahaman politik, menimbulkan syak wasangka dan salah faham antara parti pemerintah– PAP dan Perikatan – yang kemudiannya mengakibatkan pemisahan Singapura daripada Malaysia.

Pemisahan antara Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sejak 1946 menghasilkan segelintir pemimpin Melayu yang agak taksub dengan idea ‘Malaysian Malaysia.’ Sikap pemimpin Melayu Singapura agak berbelah bahagi dalam isu ini. Abdul Rahim Ishak, satu antara dua menteri-menteri Melayu dari Singapura berbeza pendapat dengan Tunku dan menyokong Lee.

Beliau menegaskan bahawa PAP hanya mengancam perikatan dan bukan Malaysia.
Beliau menambah bahawa kepercayaan Lee telah didasarkan kepada sosialisme dan persamaan, yang mungkin meningkatkan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu dan Lee percaya dengan hak istimewa Melayu (Parliamentary debate 1965: 625).

Rahim Ishak juga merasakan yang Perikatan menjadikan isu tersebut sebagai sebahagian dari hal keselamatan – untuk menghadapi ancaman PAP dengan berkata bahawa hak-hak orang Melayu telah dicabar oleh PAP (Parliamentary debate 1965: 631).

Menurut Albert Lau, orang Melayu sebenarnya belum bersedia untuk berkongsi atau melepaskan kuasa politik kepada parti yang berbilang kaum dan parti sosialis yang didominasi Cina seperti PAP.
Dalam konteks ini, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa politik Malaysia dan semangat kebangsaan pada masa itu adalah dengan secara tersendiri bersifat pro-Melayu dan Malaysia tidak bersedia untuk bergabung dengan semangat kebangsaan Singapura.

Apa yang selalunya timbul sebagai kesedaran sejarah orang Melayu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu dan masyarakat bukan Melayu diterima serta diberikan hak-hak kewarganegaraan atas syarat-syarat yang dikenakan oleh orang Melayu (Lau 1998: 280).

Orang Melayu percaya bahawa, sebagai Bumiputra di Malaysia, adalah wajar mereka menuntut hak keistimewaan.

Sebaliknya, PAP pula percaya dengan satu bentuk masyarakat egalitarian dan menggunakan konsep ini dalam kempen-kempen politik.

Konsep ini secara umumnya ditujukan untuk bukan Melayu dan kepada orang-orang Melayu ia dianggap sebagai satu bentuk ancaman.

Keagresifan kempen PAP semasa pilihan raya persekutuan 1964 dan ketidakpekaannya kepada masyarakat Melayu telah mengakibatkan PAP dilihat bukan sahaja sebagai musuh politik, tetapi juga sebagai musuh kaum Melayu.

Apa yang menjadi satu pertandingan politik berubah menjadi sesuatu yang merbahaya dan bersifat perkauman (Sopiee 1974: 193). Semangat kebangsaan Pro-Melayu dan semangat kebangsaan ‘egalitarian’ Singapura bertentangan antara satu sama lain dan mengakibatkan perpecahan dan kebencian terhadap PAP.

Bagi Tunku, apa yang menyebabkan kerisauan adalah isu perkauman yang dibawa oleh Lee Kuan Yew.
Beliau menolak ‘Malaysian Malaysia’ kerana konsep itu mencadangkan bahawa Malaysia yang diperintah oleh rejim tunku adalah buruk dan bahawa semua keistemewaan dan kelebihan di Malaysia telah diberikan untuk satu kaum sahaja, sementara bangsa-bangsa lain dihalang mendapat kedudukan yang dalam masyarakat (Parliamentary debate 1965: 1461).

Masyarakat Melayu juga dikatakan belum pernah merasa selesa dengan masyarakat Cina. Mereka membayangkan masyarakat Cina sebagai orang asing di Tanah Melayu yang cenderung untuk bekerjasama dengan pergerakan komunis.

Kebimbangan terhadap orang Cina telah menjadi sebahagian dari ciri psikologikal Melayu dan perasaan anti Cina telah tertanam sekian lama dalam semangat kebangsaan pan Malaysia (Ahmad 1985: 91).
Oleh itu, agenda politik PAP sering disifatkan sebagai satu ancaman terhadap hak-hak orang Melayu dan kedaulatannya.

Tunku sendiri sebenarnya tidak pernah mahu Singapura wujud dalam Malaysia, terutamanya disebabkan oleh majoriti penduduk Cina di Singapura serta pengaruh komunis di pulau tersebut.
Menurut Milne, Tunku terpaksa membawa masuk Singapura kerana mahukan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Singapura pula akan menjadi sebuah ‘negara asing,’ secara politik dipisahkan dari Malaysia.
Setelah Sabah dan Sarawak menganggotai Malaysia, Tunku mencari masa dan alasan yang sesuai untuk mengusir Singapura.

Kegopohan PAP dan campur tangannya dalam politik persekutuan, dasar PAP memperjuangkan hak-hak kesamaan dengan membangkitkan ketidaksefahaman antara Melayu dan Cina, memberi alasan kepada Tunku untuk bertindak (Milne 1966: 179).

Dalam konteks ini, semangat kebangsaan pro-Melayu, ancaman dari semangat kebangsaan Singapura, serta ancaman keselamatan dari komunis, adalah alasan kukuh yang membawa kepada kegagalan penggabungan Singapura-Malaysia.

Mungkin ini merupakan sebab-sebab utama mengapa beberapa pemimpin pembangkang menerima keputusan itu apabila ia ditimbulkan dalam parlimen.

Lim Chong Eu dari parti UDP menjelaskan: ‘Jika sekira idea kerajaan yang cuba memisahkan Singapura daripada Malaysia akan mengurangkan ketegangan Sino-Malaysia, ia akan membawa kebahagiaan lebih besar dan lebih banyak kemakmuran untuk Malaysia, maka saya akan menimbangkan dengan serius untuk menyokong usul tersebut’ (Parliamentary debate 1965: 1505).

Adalah perlu difikirkan bahawa Tunku dan Lee, sebagai dua individu yang berlawanan aliran politik dan mempunyai idea-idea politik yang berbeza, berada di kedudukan yang bertentangan antara satu sama lain.
Tunku melihat Lee sebagai seorang pemimpin muda yang terburu-buru dengan pandangan-pandangan yang berterus terang dan sikap tidak menghormati kaum Melayu konservatif.

Pertikaian antara dua orang pemimpin tersebut semakin buruk apabila Lee telah dianggap menjalankan ‘dasar luar’nya sendiri dalam mendapatkan sokongan antarabangsa untuk menentang Kuala Lumpur (Ahmad 1985: 94).

Tambahan pula, hakikat yang Lee adalah Perdana Menteri Singapura menyebabkan orang-orang luar menganggapnya sebagai mempunyai kuasa yang sama dengan Perdana Menteri Pusat, yang mungkin telah menggalakkan Lee sendiri untuk menyukai pandangan itu dan menimbulkan kemarahan Tunku (Milne 1966: 176).

Perikatan juga peka kepada laporan-laporan akhbar luar negara yang mencela Tunku kerana tidak ‘memberikan orang Cina satu layanan yang saksama’ (Sopiee 1974: 195).

Keadaan menjadi lebih teruk dengan campurtangan Menteri-menteri British dan Australia yang cuba untuk mendesak pemimpin-pemimpin Melayu agar membawa PAP ke dalam kerajaan demi untuk ‘meningkatkan kuasa politik Cina di Malaysia’ (Ahmad 1985: 91).

Kesemua ini mencetuskan ancaman bukan sahaja terhadap Tunku tetapi terhadap hegemoni politik Melayu.
Pemimpin-pemimpin Perikatan, terutamanya Tunku, mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Lee ada di sebalik semua masalah-masalah yang memaksa Perikatan dan menyebabkan konflik dengan PAP.

Kesangsian ini menambahkan bahang dalam hubungan yang rapuh antara Tunku dan Lee.
Adalah penting di sini untuk menyedari bahawa kedua-dua mereka adalah tokoh-tokoh utama kepimpinan rakyat Malaysia dan Singapura.

Prasangka mereka dan salah persepsi terhadap satu sama lain dan ketidakupayaan untuk bekerjasama di atas satu landasan yang mesra membayangkan ketidakupayaan Malaysia dan Singapura untuk berdamai dan ini merupakan pemangkin ke arah pemisahan seperti dicatatkan dalam dokumen British- pemisahan Singapura adalah satu kejayaan dalam kepimpinan politik tetapi kegagalan dalam kenegarawanan politik – ‘the separation of Singapore was a triumph of political leadership but a failure of political statesmanship’ (PREM 13/589 1965).

Sebagai tambahan, Perikatan turut berasa sangsi terhadap agenda ‘Malaysian Malaysia.’
Seperti dicatatkan oleh Tan Toh Hong dalam Parlimen, masalah paling besar adalah persoalan kelangsungan negara dalam menghadapi pencerobohan luar dan anasir subversif dalam negara.

Oleh itu, agenda Lee yang membesarkan isu masyarakat Cina Malaysia atau Melayu Malaysia pada waktu krisis, beliau sebenarnya menutup perhatian rakyat terhadap isu utama dan hanya menyumbang kepada usaha dan matlamat Sukarno (Parliamentary debate 1965: 603).

Berkaitan dengan isu keselamatan negara, tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Singapura untuk membantu Indonesia semasa konfrontasi dilihat sebagai tidak nasionalistik.
Seperti yang dilaporkan oleh pihak British, Lee memberitahu Pesuruhjaya Tinggi dengan keyakinan yang tinggi yang beliau telah menerima pengaman (peace feelers) dari Indonesia.

Lee berkata bahawa beliau baru mengetahui tentang pengaman tersebut dan berharap yang Pesuruhjaya Tinggi Britain tersebut tidak memberitahu mana-mana rakan-rakan sekerja dalam Komanwel.
Indonesia pula bersedia untuk menghantar utusan ke Singapura secara rahsia untuk menemuinya.
Ini menyebabkan Lee merasa sulit.

Jika beliau menolak, Indonesia akan membocorkan rahsia tersebut kepada pedagang Cina di Singapura yang sentiasa tamak, gelojoh, berpandangan singkat dan hanya mahu meraih keuntungan dalam perdagangan dengan Indonesia.

Lee sedar akan bahaya pertemuan dengan pengaman Indonesia terhadap keselamatan peribadinya dan terhadap hubungannya dengan Malaysia.

Namun, beliau lebih tertarik dengan idea unduk mengadakan dialog antara dirinya dan Indonesia (PREM 13/589 1965).

Di sini nampak permainan politik Lee yang bersikap ‘talam dua muka.’
Hal ini diakui sendiri oleh pihak British yang merasakan bahawa adalah kurang bijak untuk Lee untuk membuat sesuatu yang akan menyusahkan hati Tunku (PREM 13/589 1965).
Menyedari sikap Lee, Tunku sememangnya tidak gembira dengan tindakan Lee.

Sekali lagi Tunku turut kecewa dengan kontroversi perdagangan tukar barang antara Singapura dengan Indonesia (FO 371/181).

Beliau menjelaskan cadangan Singapura untuk membenarkan perdagangan tukar barang Indonesia di pulau Senang, di luar Pulau Singapura akan memberikan implikasi terhadap pertahanan dan keselamatan serantau (FO 371/181 1965).

Pada bulan Jun, 1965, laporan-laporan yang kurang menyenangkan datang dari Pesuruhjaya Tinggi British berkenaan hubungan antara Lee dan pembangkang politik yang beliau kelolakan, dan kerajaan Tunku di Kuala Lumpur.

Ketegangan meningkat ke tahap yang merbahaya. Di sini nampak seperti suatu risiko yang serius Malaysia akan menjadi lemah secara keseluruhan (DEFE 25/179 1965).

Ketegangan ini juga telah ditunjukkan dalam satu ucapan yang provokatif dalam parlimen Malaysia (DEFE 25/179 1965: Parliamentary debate 1965: 1515-1530).

Di parlimen, Razak menyatakan yang Lee bukanlah ancaman serius terhadap parti Perikatan, apatah lagi terhadap kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Razak meneruskan bahawa Lee telah membuktikan wujud rancangan tersembunyi dan berbahaya iaitu ‘Malaysian Malaysia’ dan kenyataan yang beliau akan memusnahkan Malaysia dan tunduk kepada Sukarno.

Ucapan Razak mendapat respon yang hebat dari Lee. Lee cuba berucap panjang lebar untuk menyangkal dakwaan Razak.

Dalam hal ini, walaupun Speker Parlimen membuat keputusan pada 1 Jun yang Lee akan diberikan peluang bercakap untuk kali kedua dalam sebuah perdebatan dalam ucapan agung, apabila parlimen bersambung pada 3 Jun, Speker telah memerintahkan bahawa hanya Razak boleh berucap dalam parlimen tersebut (DEFE 25/179 1965).

Isu Negara Islam, Malaysian Malaysia Dan Politik Melayu
Sebagai pengganti PAP, Parti Tindakan Demokratik atau Democratic Action Party (DAP) kemudiannya didaftarkan di Malaysia.

Parti tersebut mendokong prinsip ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh PAP.
Pada akhir tahun-tahun 1960-an, DAP sering kali mencetuskan isu perhubungan etnik di Malaysia yang menyebabkan kemarahan masyarakat Cina dan Melayu.

Namun, perlu diakui bukan DAP sahaja yang terlibat pada masalah-masalah berkaitan etnik.
Laporan Kerajaan menekankan masalah berterusan Komunis sebagai satu faktor penting yang membawa kepada krisis tersebut.

Laporan itu turut mengakui kemunculan semula perjuangan politik Parti Komunis Malaysia (PKM).
Ini diterangkan dengan memberi beberapa contoh tertentu.

Pertama, pada tahun 1967 apabila matawang Ringgit mengalami penyusutan nilai, ejen-ejen PKM mengeksploitasi isu tersebut untuk tujuan propaganda. Mereka menjalankan demonstrasi haram dan membangkitkan perasaan tidak puas hati masyarakat.

Kedua, pada pertengahan tahun 1968, tiga belas orang pengkhianat rakyat Malaysia- dua orang Melayu dan sebelas Cina dihukum mati di bawah akta yang melibatkan penderhakaan mereka sepanjang era Konfrontasi Indonesia.
Ejen-ejen PKM mencetuskan kempen propaganda yang hukuman itu bersifat pilih kasih dan kesebelas orang Cina dihukum secara terpilih dan tidak berperikemanusiaan.                                                    

Ketiga, pada 24 April, 1969, lebih kurang dua minggu sebelum Pilihan Raya Umum, seorang pekerja parti UMNO di Pulau Pinang telah dibunuh oleh anasir-anasir subversif.

Unsur-unsur ini didalangi oleh ejen PKM bertujuan untuk memulaukan Pilihan Raya Umum (Laporan Kerajaan Kejadian 13 Mei 1969).

Selepas kejadian rusuhan kaum pada tahun 1969, kerajaan mula mengenakan dasar yang lebih ‘pro-Melayu,’ terutama dalam sektor ekonomi.

Dasar Ekonomi Baru dibentuk dengan tujuan menjamin penguasaan Melayu dalam sfera yang pada asalnya hanya menguntungkan masyarakat Cina.

Ini mengakibatkan kewujudan program-program tindakan yang mengiakan kuasa politik Melayu, sebagai terkandung dalam DEB yang cuba untuk meningkatkan kedudukan orang-orang Melayu dengan memberi layanan istimewa dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan akses mereka kepada pemilikan aset.

Dengan DEB, orang Melayu menjadi satu kategori etnik yang penting, yang diperbadankan dan adalah kritikal dalam agihan faedah-faedah pembangunan khususnya untuk masyarakat termiskin.
Senario inilah yang menjadi agenda utama DAP dan ‘Malaysian Malaysia.’

DAP mengecam DEB dari awal hingga akhir pelaksanaannya.

Dalam konteks politik kontemporari, selain isu DEB, isu negara Islam hangat diperkatakan.
DAP menentang konsep negara Islam secara terang-terangan – baik konsep negara Islam yang datang dari UMNO ataupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dalam memepertahankan pendiriannya, DAP memetik sumber dari The Star, 13 Februari 1983:

Kuala Lumpur, Selasa – Bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn telah menyokong pandangan Tunku Abdul Rahman bahawa Malaysia sepatutnya tidak dijadikan sebuah negara Islam.

Tunku telah berucap pada sambutan hari jadinya yang ke-80, bahawa Malaysia sepatutnya tidak dijadikan sebuah negara Islam kerana negara tersebut mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan (The Star 1983).

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata : “Saya meminta semua pemimpin Barisan Nasional, sama ada UMNO, MCA, Gerakan, MIC, SUPP atau PBS untuk mengingati dan patuh dengan kehendak Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1983 yang tidak mahu menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam” (Pamplet DAP 2002).

DAP memberikan kenyataan “Tidak Bagi 911, Tidak Bagi 929, Betul Untuk 1957”.
DAP turut mendakwa bahawa kempen bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi Malaysia bukan negara Islam tidak bersifat anti-Melayu atau anti-Islam.

Kenyataan pemimpin PAP atas dasar ‘Malaysian Malaysia,’ kemudiannya ‘Malaysia First’ memberi implikasi terhadap politik Melayu.

Sejarah menunjukkan agama Islam bukan setakat anutan kaum Melayu yang kemudiannya menjadi agama resmi negara.

Namun apa yang lebih penting ialah Islam mampu mencorakkan sistem Kerajaan Melayu tradisional sebelum sistem itu diganti dengan pentadbiran kolonial.

Sistem politik tradisional Melayu meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan pemerintahan, pengagihan kuasa dan juga pembentukan negeri-negeri Melayu.

Secara tidak langsung bentuk sistem politik yang kuat mendokong ajaran Islam ini telah sebati dengan jiwa dan jati diri Melayu dahulu dan kini.

Walaupun isu negara Islam bukanlah baru dan telah dipopularkan dan dimulakan oleh PAS pada waktu era Tunku namun PAP tidak menentang konsep itu secara menonjol seperti yang dilakukan oleh DAP.

Kini, penentangan terhadap isu negara Islam atau plot ‘929’ sepertimana yang dilaung-laungkan oleh DAP, secara tidak langsung menggugat keabsahan politik Melayu yang selama ini tidak pernah lari dari satu bentuk ‘imagined community’ yang bercirikan kewujudan negara Islam.

Dalam konteks sini, kewujudan negara Islam juga boleh diertikan sebagai revivalisme keagungan Empayar Melayu Melaka ataupun sistem politik Melayu tradisional.

Inilah yang sebenarnya menjadi kebimbangan DAP. Kebimbangan itu boleh jadi dicetuskan oleh salah pengertian mereka terhadap konsep sebenar negara Islam ataupun kesedaran mereka akan kesan kewujudan negara Islam akan memperkukuhkan hegemoni Melayu dalam politik tanah air.

Serangan terhadap konsep negara Islam bukan setakat terhadap UMNO tetapi juga PAS dan sebilangan besar pengikut Parti Keadilan yang majoritinya Melayu.

Mungkin konsep negara Islam UMNO dan PAS agak jelas. Tetapi bagi Parti Keadilan adalah sebaliknya.
Ramlah Adam menjelaskan bahawa bagi Parti Keadilan pula, sikapnya menegakkan keadilan tidak dapat dianggap sebagai parti untuk orang Melayu sahaja.

Ia lebih sesuai dilihat sebagai parti untuk rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan ini mirip kepada perjuangan ‘Malaysian Malaysia,’ dokongan DAP (Utusan Melayu 2000).

Dalam usaha menolak konsep negara Islam, DAP telah bukan sahaja keluar dari pakatan parti Keadilan tetapi sebenarnya telah membiarkan parti tersebut yang mempunyai jumlah pengikut Melayu yang ramai seperti PAS.

DAP bagaimanapun bimbang yang parti Keadilan telah mengambil satu sikap yang akan menggalakkan PAS untuk tetap dengan konsep negara Islamnya dan pelaksanaan hukum hudud.

DAP sebaliknya mendesak agar satu pertimbangan semula yang serius diambil terhadap pelaksanaan matlamat-matlamat ini dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan mengambil kira latar belakang bersejarah perjanjian 1957 (Sidang Media oleh Lim Kit Siang).

Oleh kerana sikap parti Keadilan yang tidak dapat mencapai satu keputusan umum berkenaan isu negara Islam, DAP memutuskan untuk menarik diri dari pakatan Barisan Alternatif.
Ini juga hasil daripada perbezaan pendapat yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan PAS berkenaan isu negara Islam serta isu pembentangan deraf cadangan Undang-undang Hudud dan Qisas oleh kerajaan Negari Terengganu.

Isu-isu tersebut dianggap oleh DAP sepenuhnya melemahkan Manifesto bersama Barisan Alternatif tahun 1999 “Ke Arah Satu Masyarakat Yang Adil” (Ucapan Lim Kit Siang 2002).

Dalam hal ini, Parti-parti Barisan Alternatif mengaku dan menerima hakikat bahawa terdapat perbedaan matlamat dan ideologi antara parti-parti komponen Barisan Alternatif khususnya dalam isu negara Islam.
Sumber ini didapati dari Pendirian Bersama Parti-Parti Barisan Alternatif Negeri Perak untuk dimajukan kepada Pimpinan Parti-Parti Barisan Alternatif Kebangsaan

Isu negara Islam juga dilihat sebagai satu usaha menarik masyarakat agar menyokong pemimpin-pemimpin tertentu. Ia juga menjadi alternatif kepada gagasan ‘Malaysian Malaysia.’
Najib Tun Razak misalnya telah mengeluarkan perisytiharan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi negara Islam.
Ini berlaku pada waktu beliau menghadapi tentangan-tentangan peribadi dan politik.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga turut membuat perisytiharan “929” bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam pada 29 september 2001.

Ia dilakukan lebih kepada stratergi menghadapi PAS dan pilihanraya.
Seiringan dengan isu negara Islam, Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin menyatakan larangan dalam membincangkan isu-isu sensitif berkenaan agama.

Larangan ini samalah seperti larangan terhadap perbincangan terbuka Hak-hak Kewarganegaraan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuaan, kedudukan Bahasa kebangsaan di bawah artikel 152, hak istemewa orang Melayu di bawah artikel 153 dan status Raja-raja Melayu di bawah artikel 181 (Utusan Malaysia 2006).

Rentetan dari pelbagai hal yang sensitif, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar pebincangan isu sensitif agama diberhentikan (Utusan Malaysia 2006).

Perdana Menteri pula telah membentuk satu memorandum yang ditandatangani oleh sembilan orang Menteri bukan Islam untuk membentuk satu kajian semula undang-undang yang melibatkan hak-hak bukan Islam, (Ucapan Lim Kit Siang di Parlimen 2006).

Perkara ini mendapat reaksi yang kurang baik dari DAP. Mereka mengkritik tindakan Perdana Menteri tersebut.

Selain itu, DAP turut mengaitkan tindakan pemimpin Melayu menolak forum Artikel 11 yang berkaitan dengan usaha membentuk forum antara agama, sebagai tidak munasabah.

Arahan telah dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat untuk memberhentikan serta-merta semua forum Artikel 11 mengenai kebebasan agama, atas alasan ia menyebabkan ketegangan dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Menurut DAP Majlis Perundingan agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikhism mencadangkan satu pindaan kepada Artikel 121 (1A) bagi memulihkan keagungan perlembagaan dan kuasa-kuasa kehakiman Mahkamah Tinggi.

DAP mendakwa usaha ini seharusnya diberikan pertimbangan serius, kerana ia bukan bermaksud untuk menarik apa-apa hak-hak daripada mana-mana agama tetapi untuk memulihkan kewujudan pelbagai agama di negara ini sebelum pindaan perlembagaan pada tahun 1988.

DAP turut mendakwa arahan menarik balik forum itu sebagai kurang bijak dan patut ditarik balik kerana tiga sebab utama.

Pertama, ia berkaitan objektif Artikel 11 Perlembagaan yang mendukung kebebasan beragama dengan kontoversi mewujudkan Suruhanjaya Antara Kepercayaan agama sebagai inisiatif.

Seiringan dengan kehendak Artikel 11 aktiviti-aktivitinya tertumpu kepada pada menjamin hak-hak warganegara di bawah undang-undang tertinggi dan bukan bertujuan untuk menghidupkan semula inisiatif untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Antara Kepercayaan Agama.

Kedua, usaha menarik balik forum itu bersifat tidak sihat dan merbahaya terhadap usaha yang yang aman, demokratik dan tanpa menggunakan kekerasan, ia menindas hak-hak perlembagaan dan memomokkan prinsip-prinsip Rukunegara.

Ketiga, arahan itu bersifat sembarangan dan tidak dibuat secara perundingan dan tanpa rujukan, atau persetujuan dengan parti-parti komponen Barisan Nasional lain (Kenyataan Media Lim Kit Siang 2007).
Ancaman DAP melalui konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang kemudiannya ‘Malaysia First’ terhadap isu negara Islam mendapat reaksi yang pelbagai dari pelbagai lapisan masyarakat Melayu.

Namun satu perkara penting yang wujud dalam pemikiran politik Melayu ialah usaha untuk memikirkan masa depan dan keselamatan politik (political security) mereka.

Masyarakat Melayu sering melihat politik Melayu secara perbandingan dengan Melayu di negara lain khususnya di Singapura.

Redhuan Taib seorang penulis bebas di ruangan internet, misalnya, memberi contoh nasib Melayu di Singapura.

Beliau menulis bahawa dalam Kabinet Kerajaan Singapura terdapat dua puluh orang menteri.
Orang Melayu 14 peratus dari jumlah penduduk hanya diwakili oleh seorang Menteri Melayu, Dr Yaacob Ibrahim yang bertanggungjawab mengenai Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air dan juga merangkap Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam.

Masyarakat Cina 76 peratus dari penduduk Singapura mempunyai enam belas orang Menteri.
Manakala, masyarakat India 10 peratus, mempunyai tiga orang Menteri. Seorang darinya, Profesor S Jayakumar adalah seorang Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Undang-Undang.

Menurut Taib, nyata sekali orang Melayu di Singapura sudah hilang dan tiada political leverage mereka.
Dalam konteks politik Melayu di Malaysia, Taib turut membincangkan mengenai perjanjian sosial atau ‘social contract ‘antara kaum yang berlaku pada tahun 1955 menjelang Tanah Melayu menuju ke arah kemerdekaan.

Melalui kontrak sosial inilah orang Melayu telah bertolak ansur dan bersedia memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Dan sebagai balasannya orang bukan Melayu yang menguasai bidang ekonomi berjanji akan membantu orang Melayu meningkatkan kedudukkan ekonomi mereka supaya setanding dengan bukan Melayu.
Taib seterusnya menyatakan: “Perlu dingat bahawa sebelumnya semasa orang Melayu menentang konsep Malayan Union yang dicadangkan oleh British apabila mereka kembali semula ke Tanah Melayu, orang Melayu tidak bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum pendatang” (Taib : agendadaily.com).

Sememangnya politik Melayu itu mengambil kira perkembangan zaman dan kedinamikan perubahan semasa.
Isu negara Islam mungkin tidak diutamakan tetapi bukan bermakna tidak penting dalam era Tunku.
PAS sendiri telah memperjuangkan isu tersebut sejak awal kemunculannya.

Namun dalam era awal pembinaan bangsa, isu negara Islam tidak sepenting isu-isu keselamatan dan perpaduan yang wujud ketika itu. Namun era selepasnya seperti sewaktu pentadbiran Razak, telah muncul kelompong-kelompok tertentu yang berusaha menegakkan negara Islam.

Pada era Mahathir dan Abdullah Badawi, isu tersebut menjadi wacana politik yang penting seiringan dengan isu-isu semasa nasional dan global.

Perubahan tentang keutamaan terhadap sesuatu isu politik, termasuk isu negara Islam ini mungkin telah dibincangkan oleh ramai penulis.

Dalam The Asian Renaissance, dalam membincangkan isu hudud di Asia, Anwar menyatakan:
True, Southeast Asian Muslims are not without their share of problems. But what differentiates them from their brethren in other parts of the world is their sense of priorities.”
Jelasnya, apa yang membezakan pendekatan masyarakat Islam di Malaysia dengan negara lain ialah keutamaan-keutamaan terhadap sesuatu isu.

Penutup
Secara ringkas, selain daripada masalah berkaitan etnik dan perbezaan dalam kepercayaan politik, isu agama juga relevan dalam politik Melayu kontemporari.

Ini selari dengan sifat politik itu sendiri yang sentiasa memberi keutamaan kepada sesuatu isu berdasarkan suasana semasa.

Pada asasnya pemikiran yang berasaskan kepada keselamatan politik adalah sebab utama kenapa konsep ‘Malaysian Malaysia’ dilihat sebagai satu ancaman dalam politik Melayu suatu ketika dahulu.
Pada awal kelahiran konsep ini, isu-isu seperti kesamaan hak sosial diperdebatkan.

Namun akhir-akhir ini ia turut mengusulkan satu bentuk kesamaan hak dalam konteks beragama.
Perkara tersebut sekiranya dilihat dari kaca mata keadilan sosial sememangnya mampu mengundang pelbagai soalan.

Namun sejarah perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ telah diwarnai dengah pelbagai rencah kehidupan politik yang menyukarkan masyarakat Melayu menerima konsep tersebut.

Tambahan lagi, perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ ataupun ‘Malaysia First’ telah pergi jauh dari batas persoalan etnik dan telah merangkumi isu agama yang begitu sensitif kepada umat Melayu.

Sememangnya wujud perselisihan pendapat tentang isu negara Islam antara UMNO dan PAS.
Namun, kedua-dua politik Melayu ini tidak mungkin akan rela sekiranya agama yang dianuti oleh pengikut-pengikut mereka direndahkan martabatnya.

Seiringan dengan itu, kesedaran politik Melayu mungkin akan muncul dalam bentuk memikirkan semula sejarah keagungan sistem politik tradisional Melayu yang berkembang sebelum sistem politik moden ala penjajahan diperkenalkan di Tanah Melayu.

Agama telah menjadi asas kepada keutuhan sistem politik tersebut yang mampu bukan sahaja membentuk pentadbiran tetapi budaya dan nilai politik masyarakat Melayu.

Akhirnya, isu perbandingan antara Singapura dan Malaysia dalam konteks perkembangan idea “Malaysian Malaysia’ dan politik Melayu masih berterusan baik di kalangan akademik, pemimpin politik dan rakyat.
Kedua negara mempunyai sejarah lampau yang mencorakkan politik kontemporari.

Bibliografi
Yew, L.K., Some Problems in Tanah Melayu (Singapore: Ministry of Culture,1964); Yew, L.K., The Battle for a Malaysian Malaysia (Singapore: Ministry of Culture and Communications, 1965).
PREM 13/430, Head to Commonwealth Relations Offi ce, 4 March, 1965.
Lee Kuan Yew. The Singapore Story: Memoirs of Lee (Singapore: Times Editions,1998), p. 616.

DEFE 25/179, Kuala Lumpur to Commonwealth Relations Offi ce. No. 961, 1 June, 1965
Milne, R.S., Government and Politics in Malaysia (Boston: Houghton Miffl in Company, 1967), p. 213
R.S. Milne, ‘Singapore’s Exit from Malaysia: The Consequences of Ambiguity,’ Asian Survey, 6, (3 March 1966), p.180; Noordin Sopiee. From Tanah Melayun Union to Singapore Separation, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Tanah Melayu, 1974.Noordin Soipee 1974, Chapter 7)
Huxley, T., ‘Singapore and Malaysia: A Precarious Balance’ in Pacifi c Review 4, no. 3 (1991), p. 210.
Sopiee, M.N., From Tanah Melayun Union to Singapore Separation (Kuala Lumpur: University of Tanah Melayu Press, 1974), Chapter 7
Parmer, J.N., ‘Malaysia 1965: Challenging the Terms of 1957,’ Asian Survey, 6, (2 February 1966), p.114.

Milne, R.S. ‘Singapore’s Exit from Malaysia: The Consequences of Ambiguity’ in Asian Survey, 6, (3 March 1966), p.184
PREM 13/430, Head to Commonwealth Relations Offi ce, 4 March, 1965.
Lau, A., A Moment of Anguish: Singapore in Malaysia and the Politics of Disengagement (Singapore: Times Academic Press, 1998)

No comments:

Post a Comment