Pages

Sunday, July 12, 2015

Kes Plaza Low Yat: ‘Pergaduhan’ dalam media sosial lebih panas

July 13, 2015 

gaduh-bt-bintang-2
Oleh Razali bin Zakaria

KUALA LUMPUR, Isnin – Keadaan di Plaza Low Yat di Bukit Bintang sejak semalam dan malam tadi agak tegang, namun polis berkata pergaduhan yang tercetus bukan membabitkan isu perkauman, tetapi akibat rasa tidak puas hati.

Dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan lewat di luar plaza berkenaan malam tadi beberapa orang dilaporkan cedera.

Pergaduhan itu dipercayai tercetus akibat rasa tidak puas hati apabila ada peniaga peralatan telekomunikasi di plaza berkenaan semalam, dikatakan menipu seorang remaja kononnya telefon bimbit yang dibelinya adalah original.

Namun, selepas diperiksa kemudiannya remaja berkenaan mendapati telefon bimbit itu adalah tiruan dan kembali ke kedai terbabit untuk menuntut semula wangnya. Akibatnya berlaku pertengkaran, sebelum remaja itu mengambil telefon bimbit original dan meninggalkan tempat itu.

Peniaga terbabit bagaimanapun menjerit menuduh remaja itu mencuri, sebelum dia bersama beberapa peniaga lain dengan bantuan pengawal keselamatan menangkap remaja itu. Ada dakwaan mengatakan remaja itu juga dipukul sebelum diserahkan kepada polis.

Polis bagaimanapun dikatakan membebaskan remaja berkenaan selepas dia menunjukkan bukti resit belian. Remaja terbabit kemudian dikatakan pergi semula bersama tujuh rakannya di kedai telefon bimbit itu dan merosakkan beberapa peralatan.

gaduh-by-bintang-4

Polis bagaimanapun, bertindak menangkap beberapa pihak yang terbabit dalam serangan itu.
Bagaimanapun, seawal jam 8 malam tadi ratusan orang mula membanjiri kawasan depan plaza terbabit kerana tidak puas hati terhadap peniaga berkenaan.

Perang mulut dilaporkan berlaku antara dua kumpulan sebelum pergaduhan tercetus.
Ketua Polis Negara ,Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis telah mengambil tindakan terhadap dua kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan itu.

Beliau menafikan dakwaan dalam media sosial bahawa pergaduhan itu tercetus akibat isu perkauman, sebaliknya hanya melibatkan pergaduhan dua pihak.

“PDRMsia telah tangkap sebahagian mereka yang terlibat bergaduh semalam dan sedang kesan yang lain. Biar polis ambil tindakan,” katanya melalui akaun Twitter beliau semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajudin Md Isa ketika ditemui pemberita malam tadi berkata, polis menahan tiga lagi individu erusia 22 hingga 25 tahun di plaza berkenaan.

Beliau berkata, mereka ditahan selepas cuba melakukan provokasi dalam perhimpunan di luar plaza berkenaan.

Tinjauan Ismaweb.net tengah malam tadi di kawasan berkenaan mendapati keadaan kembali tenang dengan polis turut mengadakan sekatan dan pemeriksaan terhadap orang awam. Puluhan anggota polis sebelum itu berkumpul bagi mengawal keadaan tegang yang berlaku.
 
Sementara itu, isu pergaduhan berkenaan menjadi ‘panas’ dalam media sosial sehingga lewat malam tadi, apabila ramai nitizen memuat naik gambar dan video yang didakwa pergaduhan di plaza berkenaan.

Ismaweb mendapati ulasan-ulasan yang diberikan dalam media sosial terbabit juga sesetengahnya boleh mencetuskan isu perkauman, apabila masing-masing membuat tuduhan.

Selain itu, ada juga yang memuat naik video yang menunjukkan ‘peniaga’ di Plaza Low Yat itu kononnya memiliki senjata seperti parang dan besi untuk mengawal keadaan.

Nitizen turut mengkritik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) kerana gagal mengambil tindakan terhadap peniaga di Plaza Low Yat yang didakwa menjual banyak barang tiruan, terutama telefon bimbit.

 gaduh-by-bintang-3


 Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/07/kes-plaza-low-yat-pergaduhan-dalam-media-sosial-lebih-panas/

No comments:

Post a Comment