Pages

Wednesday, July 29, 2015

Bagaimana kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno?…

July 29, 2015 Berita Utama, Kolumnis, Utama 

…Dipecat sebagai ahli parti atau dinasihat letak jawatan

mt
isma-slv-front-55
Oleh Azri El

SEKALIPUN dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Timbalan Presiden Umno.

Malah, hari ini pun pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, beliau berkata, akan terus berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Umno.

Namun, selamatkan kedudukannya itu selepas beliau bukan lagi TPM?

Mengikut amalan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN), jawatan Perdana Menteri (PM) disandang oleh Presiden Umno, manakala TPM adalah untuk Timbalan Presiden Umno.

Namun kini, Muhyiddin bukan lagi TPM. Beliau baru sahaja ‘dipecat’ Datuk Seri Najib Razak semalam. Najib telah memberikan jawatan TPM kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menang jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan 2013 lalu dengan jumlah undi tertinggi iaitu daripada 185 bahagian.

Jika dibandingkan dengan tiga bekas TPM yang juga Timbalan Presiden Umno pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, kes kali ini mungkin menempa sejarah tersendiri, itupun jika Muhyiddin tidak meletak jawatan secara sukarela.

Pada era Tun Dr Mahathir dahulu, TPM yang juga Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam meletak jawatan TPM pada 1987, tetapi kekal sebagai Timbalan Presiden parti selama hampir setahun, sebelum tewas kepada Tun Ghafar Baba pada pemilihan parti.

Musa Hitam ketika itu bukan dipecat daripada jawatan TPM seperti yang berlaku kepada Muhyiddin, sebaliknya semua orang tahu tindakannya meletak jawatan adalah kerana memprotes pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi saingannya ketika itu.

Kemudian, Tun Ghafar Baba dilantik menjadi TPM pada 10 Mei 1986. Pada 1993 Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden dan TPM apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno dicabar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi kedua-duanya, Musa dan Ghafar, mereka meletak jawatan atau kalah dalam pemilihan. Namun, bagi kes Anwar ianya berbeza kerana beliau tidak meletak jawatan atau kalah dalam pemilihan, sebaliknya dipecat daripada jawatan TPM dan parti kerana tuduhan dan kesalahan jenayah yang sudah dibuktikan di mahkamah.

Berbeza dengan kes Muhyiddin apabila beliau dipecat daripada jawatan TPM. Lalu, apakah ‘komplot’ baru dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menyingkir beliau daripada jawatan Timbalan Presiden?
Perlu diingat bahawa, Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu sehingga 2018, iaitu kira-kira 18 bulan lagi.

Jika tiada sebarang tindakan ke atas Muhyiddin, bermakna beliau akan kekal menjadi pemimpin nombor dua parti itu sehingga pemilihan 2018, tanpa jawatan dalam Kabinet.

Namun persoalannya, sanggupkah Najib ‘menyimpan’ Muhyiddin untuk tempoh selama itu? Sanggupkah Najib ‘duduk sebelah’ Muhyiddin pada setiap kali mesyuarat parti itu? Persoalan lebih besar, sanggupkan Najib membiarkan Muhyiddin terus bergerak bebas menarik sokongan ketika bertemu akar umbi parti itu atas kapasiti Timbalan Presiden?

Najib ketika memberi alasan ‘pemecatan’ Muhyiddin semalam, berkata ianya dibuat bagi memastikan Kabinet mempunyai pasukan yang jitu dan beliau tidak mahu kepada individu yang menyatakan perbezaan pendapat dengannya di forum terbuka.

Melihat kepada alasan itu, penulis yakin, Najib tidak akan membiarkan Muhyiddin terus membuka mulut khususnya mempertikai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengannya.
Pemecatan Muhyiddin dari jawatan TPM hanya satu permulaan supaya Muhyiddin tidak lagi menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi rakyat menekan Najib. Namun, selagi Muhyiddin mempunyai akses kepada ahli-ahli Umno atas kapasiti Timbalan Presiden, maka Najib sudah tentu tidak akan membiarkannya.

tppa-kempen

Apa pilihan Najib ada?

Pada 3 September 1998, beberapa hari selepas Anwar dipecat daripada jawatan TPM, mesyuarat MT Umno yang berlangsung sehingga awal pagi memutuskan memecat keahlian Anwar daripada parti. Dengan pemecatan itu, jawatan Anwar sebagai Timbalan Presiden Umno gugur secara automatik.

Umum maklum, MT Umno akan bermesyuarat pada Jumaat, 31 Julai ini. Bagaimanapun penulis tidak berasakan Najib sanggup mengambil risiko untuk menggunakan kaedah sama seperti kes Anwar ke atas Muhyiddin. Pengumuman pemecatan semalam sudah cukup mencalarkan imej Najib.

Sekalipun terpaksa bertindak demikian, itu mungkin pilihan terakhir yang akan diambil Najib. Ada pilihan yang lebih lunak bagi Najib. Pilihan yang tidak akan menampakkan beliau ‘kejam’, terhadap Muhyiddin. Tindakan yang akan mengurangkan penentangan.

Tindakan itu adalah dengan memujuk Muhyiddin supaya meletak jawatan Timbalan Presiden secara terhormat pada mesyuarat MT Jumaat ini.

Melihat kepada ketenangan Muhyiddin, dan sikap ‘reda’ yang ditunjukkan beliau, penulis percaya, Muhyiddin juga tidak keberatan untuk berbuat demikian.

Apapun, nasib Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno hanya akan diketahui dalam dua hari sahaja lagi.
Namun, bukan nasib Muhyiddin sahaja. Juga sedang menanti tindakan adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendapat undi kedua tertinggi pada pemilihan 2013 dan mungkin juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga menteri besar. Kedua-dua mereka juga antara yang lantang mempersoal kepemimpinan Najib.

Apapun, kita tunggu langkah ‘Pahlawan Bugis’ itu seterusnya…

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/07/bagaimana-kedudukan-muhyiddin-sebagai-timbalan-presiden-umno/

No comments:

Post a Comment