July 14, 2015 Berita Utama #2, Pendapat, Utama 0
1. Saya
mengucapkan takziah kepada keluarga Cikgu Ghazi atas pemergian anak
perempuannya, Dr Nor Afifah yang telibat kemalangan dalam perjalanan
pulang daripada bertugas di Hopital Sungai Buloh pada 8 Julai 2015 yang
lalu. Keluarga Cikgu Ghazi tidak asing bagi warga MRSM Taiping kelas
2002-2003. Semoga Allah kurniakan kesabaran dan kekuatan hati bagi
menghadapi ujian ini.
2. Saya
dapat menghayati kepayahan kerja seorang doktor kerana isteri saya juga
seorang pegawai perubatan sakit puan. Tempoh kerja yang panjang,
kadangkala lokasi kerja yang jauh serta makan minum yang tidak menentu
di tempat kerja. Bukan kerja biasa, tetapi itulah cabarannya dalam
memikul tanggungjawab mereka. Tahniah buat para pengamal perubatan,
bermula dengan para doktor hinggalah kepada MA, jururawat dan semuanya.
3. Oktober
2014, satu keratan berita memetik kenyataan wakil Kementerian sebagai
berkata tidak ada isu tentang doktor tidak cukup rehat. Namun pada Julai
2015, kemalangan menimpa seorang doktor yang mungkin sahaja mengalami
fatigue akibat tempoh bekerja terlalu lama. Nampaknya isu sebenar masih
berlangsung dan penyelesaian tidak diambil, kerana ia bukan isu langsung
pada pandangan kementerian.
4.
Mengikut sistem di Malaysia, doktor yang perlu oncall umumnya akan masuk
kerja 8 pagi Isnin dan pulang Selasa 5 petang. Tidur atau tidak pada
malamnya bergantung pada kesibukannya. Secara keseluruhan, doktor itu
akan bekerja selama 33 jam. Bukan luar biasa jika
doktor itu tidak dapat tidur dan sangat sedikit makan sepanjang tempoh
kerjanya. Luar biasa paksaannya. Mengikut pengalaman saya sepanjang
perkhidmatan isteri saya, sebulan, seorang doktor boleh oncall antara 4-6 kali sebulan. Mengambil kira jumlah jam kerja purata sebulan dengan 5 kali oncall, seorang doktor akan bekerja sebanyak 293 jam sebulan dengan tidak mengambil oncall pada hujung minggu i.e. hujung minggu cuti Sabtu dan Ahad.
5. Dengan
tempoh kerja oncall yang panjang dalam jangka pendek akan menyebabkan
fatigue fizikal dan dalam jangka masa sebulan, boleh menyebabkan tekanan
perasaan. Dan perlu difahami, ia tidak ditanggung hanya oleh doktor,
tetapi keluarga si doktor.
6.
Mengikut had masa kerja yang diamalkan Australia dan UK, di situ ada
ketetapan untuk pekerjaan dalam bidang kritikal seperti doktor untuk
bekerja 48 jam seminggu secara purata bagi tempoh 6 minggu. Ini bererti, bagi 6 minggu, jumlah masa bekerja mestilah tidak lebih dari 288 jam.
Dengan itu, doktor mungkin perlu berkhidmat sehingga lebih 48 jam pada
minggu pertama, kemudian kurang 48 jam pada minggu lain. Bandingkan
jumlah masa kerja bagi 4 minggu doktor di negara kita. Perinciannya
boleh dilihat pada pautan di bawah, mungkin ada perincian lain yang
lebih baik yang dapat dibuat.
7.
Ketetapan had yang diletak pastinya bagi membela para pekerja agar tidak
dizalimi. Dan pastinya ia dapat menambah kualiti kerja para doktor dan
seterusnya memberi impak positif kepada kualiti perkhidmatan perubatan
buat pesakit. Ia juga mampu menyediakan worklife balance buat doktor.
Kita tidak perlu membandingkan terlalu jauh dan terperinci kerana di
situ ada beza yang pelbagai dalam banyak sudut antara Malaysia,
Australia dan UK. Tetapi cukup kita ambil ia sebagai rujukan bahawa
sistem pengurusan masa kerja itu wujud dan relevan bagi kapasiti
manusia.
8. Kini timbul pula kenyataan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
bahawa doktor tersebut telah berehat sebelum pulang. Mungkin sahaja
kemalangan itu disebabkan kecuaian pemanduan doktor tersebut. Saya harap
kita tidak kiasu ingin menyelamatkan diri sendiri dengan mencari alasan
bagi kes ini sahaja tanpa mengambil kira kes-kes lain yang disebabkan
fatigue ini, yang tidak diviralkan oleh media. Punca kepada kemalangan
dan mungkin juga keretakan rumah tangga dan children deprivement kerana
kesibukan ibu bapa bekerja dalam tempoh tak masuk akal masih tidak dapat
diselesaikan.
9. Di situ
juga ada segelintir yang mendabik dada “Zaman kami dahulu lebih teruk
dari ini.” Saya hanya mampu doakan anda buka mata, dan majulah ke
hadapan. Buangkan smartphone anda dan jinjinglah telefon dial putar ke
mana-mana.
10. Bahkan
kita juga maklum gaji para doktor tidaklah tinggi mana, jika dibanding
dengan kos sara hidup sekarang. Tetapi isu ini tidak timbul daripada
para doktor yang berjuang demi khidmat kepada masyarakat. Ada yang
mengomel, tetapi mereka masih mampu mengurusnya. Mereka redah dengan
kereta nasional, bukan dengan kereta sehebat Volvo, kerana kekuatan
ekonomi semasa mendesak mereka merancang perbelanjaan mengikut
kemampuan. Jangan pula ada yang memberi komen menuding kepada Proton
atau Perodua dalam kes ini.
11.
Pengalaman isteri saya berkhidmat sebagai HO di Australia selama
setahun, saya cungkil bagaimana pengurusan hospital yang baik membantu
doktor menyediakan perkhidmatan yang baik buat pesakit. Pembahagian
kerja yang sistematik dan mengikut jawatan spesifik melancarkan kerja
dan mengurangkan beban bagi kelompok-kelompok tertentu. Sebagai contoh,
di hospital isteri saya, ada medical clerk yang kerjanya memindahkan
dapatan doktor ketika ward round ke dalam sistem. MA mereka pula akan
menguruskan permintaan blood test, x-ray dan sebagainya. Doktor hanya
membuat request dan menganalisa dapatan. Mungkin pengamalan ini baik
untuk kita contohi dan perkemaskan.
BACA: On call, shift membebankan, beri tekanan kepada doktor: Wanita Isma
12. Tidak
kurang juga komen sesetengah warga FB yang menyarankan para doktor yang
postcall untuk tidur dahulu di hospital sebelum bertolak pulang.
Defensive driving, bagi sesetengah orang. Tetapi anda bayangkan setelah
33 jam bekerja, tidur yang akan anda jengah tidak akan berlangsung
selama 2 – 3 jam. Ia akan terus berlarut ke 6 – 8 jam. Setelah post call
jam 5 petang, anda tidur di hopital antara 6-8 jam, bermakna anda akan
bangun untuk pulang pada jam 11 atau 12 malam. Hanya untuk hadir kembali
ke hospital jam 8 pagi esoknya. Renungkan. Kerinduan ibu atau ayah
kepada anak-anak. Pesakit di hospital ditatang, keluarga di rumah
ditinggalkan. Ia tidak adil bagi mereka. Jangan persoal medical
practitioner oath yang mereka ambil.
13. Saya
berharap pihak KKM dapat melihat isu kerja lebih daripada kemampuan ini
dengan serius dan dapat kita elak lagi daripada berlaku insiden yang
serupa. Mereka berkhidmat untuk kita dan kita sediakan suasana yang
kondusif untuk mereka berkhidmat. Kita perlu hargai doktor, fahami isu
keletihan mereka dan berubah kepada yang lebih baik; segera.
Mohd Shahril Atiqi Mohamed Sharip
Suami doktor, ahli Kelab Zaujati Tobibatun (KZT)
Suami doktor, ahli Kelab Zaujati Tobibatun (KZT)
Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/07/doktor-keletihan-dan-perubahan/
No comments:
Post a Comment