pada 26-07-2015 04:07 Ditulis Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam ke
dalam permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Datuk Seri Anwar
Ibrahim, hanya akan merugikan agenda Islam, demikian menurut Presiden
Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut kata Abdullah, ianya lebih 'merugikan' apatah
lagi permuafakatan politik tersebut bakal dijalin dengan sebuah pakatan
yang tidak menjunjung kedaulatan Islam, merujuk kepada pakatan
pembangkang baru antara Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP dan PKR.
"Sepatutnya mereka kena buat perkiraan dengan betul-betul, dengan jujur
dan ikhlas.. sebab 'vehicle' pakatan rakyat itu tidak akan menjunjung
kedaulatan Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos.
Beliau dalam pada itu berkata, NGO Islam yang wujud di negara ini
seharusnya berperanan memperjuangkan agenda Islam, dimana keterlibatan
dalam bidang politik khususnya politik sekular secara tidak langsung
akan membelakangkan objektif utama penubuhan sesebuah NGO itu.
"NGO Islam ini sepatutnya dalam kotak perjuangan Islam yang akan
mengangkat agenda Islam.. Tapi bila masuk dalam kotak politik dia akan
dikalahkan perkiraan politik yang strateginya akan memenangkan politik,
yang kadang kala membelakangkan keutamaan kalau dilihat dari sudut
pandangan dakwah," ujarnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluahkan hasrat mahu
mewujudkan permuafakatan politik antara gerakan progresif dan NGO,
termasuk NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan
IKRAM.
Permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Anwar itu juga bakal
melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM,
IKRAM dan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang baru sahaja diwujudkan.
Namun Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, setakat ini pertubuhan
berkenaan mengambil sikap 'tunggu dan lihat' selain memaklumkan masih
belum menerima apa-apa perincian lagi daripada Ketua Umum PKR itu
berhubung perkara berkenaan.
Malah Abdullah turut melontarkan persoalan kepada NGO Islam yang
berkenaan mengenai sejauh mana keterlibatan mereka mampu memberi jaminan
bahawa agenda Islam serta mempertahankan kedaulatan agama dan kedudukan
bangsa Melayu, akan dapat dipertahankan.
"Ini kerana dalam perjuangan PKR, mereka mengangkat liberal demokrasi.
Dalam liberal demokrasi, mereka ketepikan agenda Islam dan apa-apa
agenda bangsa.
"Mereka kena jawab satu soalan..di mana agenda Islam secara jujur dalam
konteks keterlibatan itu, adakah ia akan dimartabatkan ataupun hilang
di celah perjuangan," soal Abdullah.
Sumber: http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmbZhjZw==
No comments:
Post a Comment