Pages

Friday, July 31, 2015

SAH! Serpihan pesawat ditemui milik Boeing 777

July 31, 2015 Berita Utama,

MH370 menggunakan Boeing 777. Hanya satu saja Boeing 777 yang dilaporkan hilang iaitu yang digunakan oleh MH370

boeing777
KUALA LUMPUR, Jumaat – Sah! Serpihan pada sayap pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion dua hari lalu adalah daripada komponen Boeing 777 dan mengaitkannya dengan MH370 kerana setakat ini ia adalah satu-satunya Boeing 777 yang dilaporkan hilang.

Pengesahan itu dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi dalam kenyataan hari ini berkata:

“Berdasarkan nombor siri pada komponen itu, mengesahkan serpihan itu adalah daripada pesawat Boeing 777. Maklumat ini daripada Penerbangan Malaysia. Mereka sudah beritahu saya.

“Saya percaya kita bergerak hampir menyelesaikan misteri MH370. Ini boleh menjadi bukti meyakinkan bahawa MH370 terhempas di Lautan Hindi”.

Komponen sayap atau flaperon sepanjang dua meter yang ditemui di pulau milik Perancis, Reunion, itu tercatat nombor 657-BB. Ia dihantar ke Perancis malam tadi untuk siasatan.

Nombor itu adalah sama dengan buku manual penyelenggaraan pesawat Boeing 777, lapor AirLive.net.

Setakat ini, hanya satu pesawat Boeing 777 dilaporkan terhempas di Hemisfera Selatan iaitu MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 selepas berlepas dari Kuala Lumpur untuk ke Beijing, China.

Abdul Aziz berkata, bagaimanapun pengesahan paling muktamad perlu datang daripada Boeing dan pengubahsuaian oleh syarikat itu terhadap flaperon berkenaan memudahkan ia dikenal pasti.

“Ada beberapa ubah suai pada bahagian dalaman flaperon itu. Hanya Boeing boleh mengesahkan (flaperon itu datang dari MH370). Ubah suai itu dilakukan Boeing.

“Hanya selepas mereka mengesahkan bahagian dalaman flaperon yang mereka ubah suai itu, barulah kita boleh yakin ia dari MH370,” katanya.

Abdul Aziz berkata pasukan penyiasat Malaysia sudah berada Paris dan akan ke Toulouse untuk membantu memeriksa serpihan.

Menurutnya, satu lagi pasukan Malaysia dalam perjalanan ke Reunion untuk memeriksa beg bagasi yang ditemui semalam atau apa saja serpihan dan barang lain ditemui. – Agensi

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/07/sah-serpihan-pesawat-ditemui-milik-boeing-777/

Wednesday, July 29, 2015

Bagaimana kedudukan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno?…

July 29, 2015 Berita Utama, Kolumnis, Utama 

…Dipecat sebagai ahli parti atau dinasihat letak jawatan

mt
isma-slv-front-55
Oleh Azri El

SEKALIPUN dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi Timbalan Presiden Umno.

Malah, hari ini pun pada sidang media di kediamannya di Bukit Damansara, beliau berkata, akan terus berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Umno.

Namun, selamatkan kedudukannya itu selepas beliau bukan lagi TPM?

Mengikut amalan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN), jawatan Perdana Menteri (PM) disandang oleh Presiden Umno, manakala TPM adalah untuk Timbalan Presiden Umno.

Namun kini, Muhyiddin bukan lagi TPM. Beliau baru sahaja ‘dipecat’ Datuk Seri Najib Razak semalam. Najib telah memberikan jawatan TPM kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menang jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan 2013 lalu dengan jumlah undi tertinggi iaitu daripada 185 bahagian.

Jika dibandingkan dengan tiga bekas TPM yang juga Timbalan Presiden Umno pada era Tun Dr Mahathir Mohamad, kes kali ini mungkin menempa sejarah tersendiri, itupun jika Muhyiddin tidak meletak jawatan secara sukarela.

Pada era Tun Dr Mahathir dahulu, TPM yang juga Timbalan Presiden Umno, Tun Musa Hitam meletak jawatan TPM pada 1987, tetapi kekal sebagai Timbalan Presiden parti selama hampir setahun, sebelum tewas kepada Tun Ghafar Baba pada pemilihan parti.

Musa Hitam ketika itu bukan dipecat daripada jawatan TPM seperti yang berlaku kepada Muhyiddin, sebaliknya semua orang tahu tindakannya meletak jawatan adalah kerana memprotes pelantikan Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi saingannya ketika itu.

Kemudian, Tun Ghafar Baba dilantik menjadi TPM pada 10 Mei 1986. Pada 1993 Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden dan TPM apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden Umno dicabar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi kedua-duanya, Musa dan Ghafar, mereka meletak jawatan atau kalah dalam pemilihan. Namun, bagi kes Anwar ianya berbeza kerana beliau tidak meletak jawatan atau kalah dalam pemilihan, sebaliknya dipecat daripada jawatan TPM dan parti kerana tuduhan dan kesalahan jenayah yang sudah dibuktikan di mahkamah.

Berbeza dengan kes Muhyiddin apabila beliau dipecat daripada jawatan TPM. Lalu, apakah ‘komplot’ baru dalam Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk menyingkir beliau daripada jawatan Timbalan Presiden?
Perlu diingat bahawa, Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu sehingga 2018, iaitu kira-kira 18 bulan lagi.

Jika tiada sebarang tindakan ke atas Muhyiddin, bermakna beliau akan kekal menjadi pemimpin nombor dua parti itu sehingga pemilihan 2018, tanpa jawatan dalam Kabinet.

Namun persoalannya, sanggupkah Najib ‘menyimpan’ Muhyiddin untuk tempoh selama itu? Sanggupkah Najib ‘duduk sebelah’ Muhyiddin pada setiap kali mesyuarat parti itu? Persoalan lebih besar, sanggupkan Najib membiarkan Muhyiddin terus bergerak bebas menarik sokongan ketika bertemu akar umbi parti itu atas kapasiti Timbalan Presiden?

Najib ketika memberi alasan ‘pemecatan’ Muhyiddin semalam, berkata ianya dibuat bagi memastikan Kabinet mempunyai pasukan yang jitu dan beliau tidak mahu kepada individu yang menyatakan perbezaan pendapat dengannya di forum terbuka.

Melihat kepada alasan itu, penulis yakin, Najib tidak akan membiarkan Muhyiddin terus membuka mulut khususnya mempertikai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengannya.
Pemecatan Muhyiddin dari jawatan TPM hanya satu permulaan supaya Muhyiddin tidak lagi menggunakan kedudukannya untuk mempengaruhi rakyat menekan Najib. Namun, selagi Muhyiddin mempunyai akses kepada ahli-ahli Umno atas kapasiti Timbalan Presiden, maka Najib sudah tentu tidak akan membiarkannya.

tppa-kempen

Apa pilihan Najib ada?

Pada 3 September 1998, beberapa hari selepas Anwar dipecat daripada jawatan TPM, mesyuarat MT Umno yang berlangsung sehingga awal pagi memutuskan memecat keahlian Anwar daripada parti. Dengan pemecatan itu, jawatan Anwar sebagai Timbalan Presiden Umno gugur secara automatik.

Umum maklum, MT Umno akan bermesyuarat pada Jumaat, 31 Julai ini. Bagaimanapun penulis tidak berasakan Najib sanggup mengambil risiko untuk menggunakan kaedah sama seperti kes Anwar ke atas Muhyiddin. Pengumuman pemecatan semalam sudah cukup mencalarkan imej Najib.

Sekalipun terpaksa bertindak demikian, itu mungkin pilihan terakhir yang akan diambil Najib. Ada pilihan yang lebih lunak bagi Najib. Pilihan yang tidak akan menampakkan beliau ‘kejam’, terhadap Muhyiddin. Tindakan yang akan mengurangkan penentangan.

Tindakan itu adalah dengan memujuk Muhyiddin supaya meletak jawatan Timbalan Presiden secara terhormat pada mesyuarat MT Jumaat ini.

Melihat kepada ketenangan Muhyiddin, dan sikap ‘reda’ yang ditunjukkan beliau, penulis percaya, Muhyiddin juga tidak keberatan untuk berbuat demikian.

Apapun, nasib Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno hanya akan diketahui dalam dua hari sahaja lagi.
Namun, bukan nasib Muhyiddin sahaja. Juga sedang menanti tindakan adalah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendapat undi kedua tertinggi pada pemilihan 2013 dan mungkin juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang juga menteri besar. Kedua-dua mereka juga antara yang lantang mempersoal kepemimpinan Najib.

Apapun, kita tunggu langkah ‘Pahlawan Bugis’ itu seterusnya…

Sumber: http://www.ismaweb.net/2015/07/bagaimana-kedudukan-muhyiddin-sebagai-timbalan-presiden-umno/

Monday, July 27, 2015

Keterlibatan NGO Islam dalam pakatan baru hanya rugikan agama


pada 26-07-2015 04:07 Ditulis Oleh Shuhaniza Said
Post Pic

SHAH ALAM: Keterlibatan badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan Islam ke dalam permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya akan merugikan agenda Islam, demikian menurut Presiden Ikatan Muslim Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abdul Rahman.
 
Mengulas lebih lanjut kata Abdullah, ianya lebih 'merugikan' apatah lagi permuafakatan politik tersebut bakal dijalin dengan  sebuah pakatan yang tidak menjunjung kedaulatan Islam, merujuk kepada pakatan pembangkang baru antara Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP dan PKR. 
 
"Sepatutnya mereka kena buat perkiraan dengan betul-betul, dengan jujur dan ikhlas.. sebab 'vehicle' pakatan rakyat itu tidak akan menjunjung kedaulatan Islam," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Beliau dalam pada itu berkata, NGO Islam yang wujud di negara ini seharusnya berperanan memperjuangkan agenda Islam, dimana keterlibatan dalam bidang politik khususnya politik sekular secara tidak langsung akan membelakangkan objektif utama penubuhan sesebuah NGO itu.    
 
"NGO Islam ini sepatutnya dalam kotak perjuangan Islam yang akan mengangkat agenda Islam.. Tapi bila masuk dalam kotak politik dia akan dikalahkan perkiraan politik yang strateginya akan memenangkan politik, yang kadang kala membelakangkan keutamaan kalau dilihat dari sudut pandangan dakwah," ujarnya. 
 
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluahkan hasrat mahu mewujudkan permuafakatan politik antara gerakan progresif dan NGO, termasuk NGO Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan IKRAM. 
 
Permuafakatan politik seperti yang dihasratkan Anwar itu juga bakal melibatkan semua gerakan progresif termasuk NGO seperti BERSIH, ABIM, IKRAM dan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang baru sahaja diwujudkan.
 
Namun Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata, setakat ini pertubuhan berkenaan mengambil sikap 'tunggu dan lihat' selain memaklumkan masih belum menerima apa-apa perincian lagi daripada Ketua Umum PKR itu berhubung perkara berkenaan.
 
Malah Abdullah turut melontarkan persoalan kepada NGO Islam yang berkenaan mengenai sejauh mana keterlibatan mereka mampu memberi jaminan bahawa agenda Islam serta mempertahankan kedaulatan agama dan kedudukan bangsa Melayu, akan dapat dipertahankan.
 
"Ini kerana dalam perjuangan PKR, mereka mengangkat liberal demokrasi. Dalam liberal demokrasi, mereka ketepikan agenda Islam dan apa-apa agenda bangsa. 
 
"Mereka kena jawab satu soalan..di mana agenda Islam secara jujur dalam konteks keterlibatan itu, adakah ia akan dimartabatkan ataupun hilang di celah perjuangan," soal Abdullah.
 
Sumber:  http://antarapos.com/bm/index.php?q9nan56SpKPkoObnaNGXpVvZn7WmbZhjZw==

Wednesday, July 22, 2015

Helaian Al-Quran ‘tertua’ ada di Universiti Birmingham

July 22, 2015 Berita Dunia, Berita Utama #2

birmingham
 
UNITED KINGDOM, Rabu – Helaian Al-Quran yang disimpan di Universiti Birmingham dipercayai antara yang tertua di dunia.

Ujian radiokarbon pada manuskrip itu mendapati helaian itu berusia kira-kira 1,370 tahun, menjadikannya antara yang paling awal ditulis, lapor BBC.

Beberapa helai kitab suci umat Islam itu disimpan tanpa rekod di perpustakaan universiti itu sejak sekurun lalu.

Pakar manuskrip perpustakaan Britain, Dr Muhammad Isa Waley berkata, penemuan menarik ini akan menjadi berita gembira bagi umat Islam.

Manuskrip itu disimpan bersama koleksi buku dan dokumen Timur Tengah tanpa dikenalpasti sebagai sebahagian helaian Al-Quran tertua di dunia.

Penemuan ini bermula pabila seorang penyelidik PHD membuka helaian itu dan membuat ujian tarikh berdasarkan radiokarbon dan keputusannya agak mengejutkan.

Pengarah koleksi istimewa universiti, Susan Worral berkata, para penyelidik tidak menyangka ia begitu tua.
“Menyedari bahawa kami sebenarnya menyimpan helaian Al-Quran tertua di dunia adalah amat menyeronokkan,” katanya.

Ujian yang dikendalikan oleh Unit Radiokarbon Universiti Oxford mendapati, helaian itu adalah ayat-ayat Al-Quran yang ditulis di atas kulit kambing atau biri-biri, dan ia merupakan helaian tertua yang masih wujud.
Ujian mendapati 95% helaian itu datang daripada tahun sekitar 568 hingga 645 Masihi.

“Subjek ini boleh membawa kita ke tahun-tahun awal Islam diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW,” kata pensyarah universiti, Prof David Thomas.

“Berdasarkan sirah, Nabi Muhammad menerima Al-Quran sekitar tahun 610 hingga tahun 632, tahun kewafatannya.”

Prof Thomas juga berkata, berdasarkan tarikh-tarikh itu, berkemungkinan penulis helaian itu hidup sezaman dengan baginda SAW. – Agensi

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/07/helaian-al-quran-tertua-ada-di-universiti-birmingham/

Tuesday, July 14, 2015

‘Malaysian Malaysia’ Versus Keabsahan Ketuanan Melayu & Negara Islam


 Rizal Yaakob

‘Malaysian Malaysia,’ iaitu konsep yang memperjuangkan kesamarataan antara kaum secara liberal, adalah diasaskan oleh PAP (People’s Action Party).


Sejak awal pengasasannya lagi, konsep tersebut telah mendapat tentangan hebat daripada pemimpin masyarakat Melayu. Konsep yang dimartabatkan oleh Lee Kuan Yew itu dianggap gagal untuk memahami bahawa dalam sebuah negara yang bersifat majmuk, semua kaum perlu hormat-menghormati antara satu sama lain bagi menjamin keamanan.

Mengapakah konsep ini yang diuar-uarkan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan mementingkan persamarataan hak itu ditolak oleh orang Melayu, malah, dianggap ancaman bersifat fundamental terhadap keabsahan politik Melayu?

Sekiranya suatu ketika dahulu tuntutan perlaksanaan ‘Malaysian Malaysia’ oleh Lee Kuan Yew dan cita-cita beliau untuk menjadi pemimpin Malaysia dianggap mengancam kepimpinan Tunku dan MCA (Malaya Chinese Association), namun senario politik pada hari ini telah berubah.

Apakah konsep ini tidak sehangat dahulu iaitu ketika Singapura masih dalam Malaysia di mana pemimpin dan majoriti penduduknya sukar untuk menerima pemerintahan Melayu?

Rentetan dari pemisahan Singapura dari Malaysia, perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ diwarisi pula oleh parti pembangkang iaitu Democratic Action Party (DAP).

Dalam konteks pergelutan kuasa politik terkini, parti tersebut dianggap antara parti pembangkang nombor satu di tanah air.

Kemenangannya di beberapa kawasan dalam Pilihanraya Sarawak 2006 membuktikan bahawa ia masih mendapat tempat di hati masyarakat.

Namun bagi parti United Malays National Organization (UMNO) dan sebilangan besar masyarakat Melayu, DAP seumpama ‘duri dalam daging’ yang sentiasa mempertikaikan keabsahan dan ketuanan politik mereka.

Konsep ‘MALAYSIAN MALAYSIA’
Konsep ini muncul sebagai manifesto perjuangan parti PAP pada waktu Malaysia menghadapi pelbagai bentuk krisis seperti Konfrontasi Indonesia, pemisahan Singapura dari Tanah Melayu dan konfl ik etnik antara Melayu dan Cina.

Pentadbiran Tunku Abdul Rahman melihat ideologi PAP ini sebagai berpotensi mendatangkan ancaman terhadap keselamatan di Malaysia.

Menurut Vasil, menerusi strategi ‘Malaysian Malaysia,’ PAP telah cuba untuk menguasai beberapa kumpulan berhaluan kiri, terutamanya masyarakat Cina.

Walau bagaimanapun, Lee Kuan Yew menyatakan idea ‘Malaysian Malaysia’ sebagai berikut:
Malaysia seharusnya menjadi sebuah masyarakat demokratik yang mana perbezaan pendapat yang sah sepatutnya dibenarkan dan mana-mana individu dan parti politik mempunyai kebebasan penuh untuk memujuk warganegaranya secara berperlembagaan dalam menerangkan sudut pandangan masing-masing.

Malaysia sebagai masyarakat berbilang kaum dan pelbagai kebudayaan mesti menunjukkan penghormatan dan toleransi terhadap kepelbagaian yang sah.

Malaysia adalah milik rakyat Malaysia secara menyeluruh dan bukan untuk mana-mana masyarakat atau kaum tertentu (Yew 1965).

Sebagai sebahagian daripada agenda ‘Malaysian Malaysia,’ Lee memulakan satu perjumpaan di Singapura pada 12 Februari 1965.

Pemimpin-pemimpin pembangkang Cina dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak menghadirinya.
Wakil dari Semenanjung ialah Lim Cheong Eu, bekas presiden MCA yang telah menjadi Setiausaha Agong United Democratic Party (UDP).

Wakil daripada Sarawak ialah Ong Kee Hui, pengerusi Sarawak United Peoples Action Party (SUPP).
Tujuan utama mesyuarat tersebut adalah untuk membincangkan strategi untuk menghadapi tekanan dari golongan yang mereka anggap sebagai pelampau Melayu dalam kerajaan Perikatan.

Wakil-wakil yang datang pada perjumpaan tersebut mencadangkan untuk mewujudkan Malaysian Solidarity Convention (MSC) (PREM 13/430 1965).

Kewujudan MSC bertolak dari idea ‘Malaysian Malaysia’ dan ia lebih mirip kepada satu bentuk pakatan politik.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ telah menjadi asas pendekatan pembangunan PAP di Singapura.
Bagi Lee, pendekatan ini akan akhirnya menghasilkan masyarakat yang dinamik dan negara yang progresif yang mendorong pertumbuhan ekonomi.

Konsep ini juga turut diperdebatkan sebelum Singapura berpisah dari Persekutuan Malaysia.
Pada perhimpunan MSC yang diadakan di Singapura pada 6 Jun 1965, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Toh Chin Chye, merangka agenda politik untuk gagasan ‘Malaysian Malaysia’ dengan kehadiran pemimpin-pemimpin daripada beberapa parti politik dari Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Beliau berucap bahawa konvensyen ini telah memulakan satu usaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum, untuk menyebarkan hak-hak asasi semua bangsa yang membentuk masyarakat berbilang kaum.
Tambahan pula, beliau menjelaskan yang perkara yang akan menyatukan semua bangsa ke dalam ‘Malaysian Malaysia’ lebih dari faktor bahasa ataupun tekanan dari luar (Yew 1998: 61).

Lee Kuan Yew turut menambah bahawa pengalaman menunjukkan di negara-negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk, masyarakat negara tersebut boleh bersatu jika satu kaum tidak bercita-cita menjadi ketua kaum lain tetapi beranggapan yang semua warganegara adalah sama tanpa mengira kaum.

Sebagai sebahagian daripada perancangan, usaha untuk mendapatkan sokongan dari negeri-negeri yang mungkin menyokong ‘Malaysian Malaysia’ seperti Singapura, Sabah, Sarawak dan mungkin juga Melaka dan Pulau Pinang (DEFE 25/179 1965).

Berbeza dengan PAP, kerajaan pimpinan UMNO menentang ‘Malaysian Malaysia’ dan cenderung untuk menegaskan pemilikan Melayu terhadap negara, pembaikan sosioekonomi orang Melayu dan hak keistemewaan untuk orang Melayu – semuanya boleh dirangkum dalam konsep Ketuanan Melayu, atau hegemoni Melayu di negara ini.

Hal ini bertolak dari kebimbangan UMNO dalam hubungannya dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu dan Singapura serta disebabkan juga oleh status sosioekonomi yang rendah di kalangan orang Melayu.
Ringkasnya, konsep Ketuanan Melayu adalah ‘anti-tesis’ kepada Malaysian Malaysia.

Ia menekankan tentang kedudukan orang Melayu dalam lingkungan politik yang perlu diperkuatkan untuk menghadapi ketidakseimbangan ekonomi dalam hubungannya dengan masyarakat bukan Melayu, terutamanya orang Cina yang pada umumnya dianggap oleh masyarakat Melayu sebagai rakus dan tidak sensitif kepada budaya mereka.

Konsep Ketuanan Melayu ini terjelma dalam nada anti-Cina yang diapi-apikan oleh golongan ultra-Melayu pada penghujung tahun 1960-an yang sebahagian besarnya diarahkan kepada PAP dan Lee Kuan Yew.
Ia adalah tanda wujudnya sentimen politik dan perasaan tidak selamat masyarakat Melayu secara umum yang bertambah parah hasil daripada pengembangan penduduk Cina di Malaysia khususnya selepas percantuman dengan Singapura.

Ketidakselamatan dan perasaan rendah diri Melayu berbanding dengan kemewahan dan keagungan masyarakat Cina menjadi pokok pangkal perdebatan dan penolakan ‘Malaysian Malaysia’ (Milne 1967: 213).

‘Malaysian Malaysia’ juga boleh dikaitkan dengan PAP.

Adalah penting untuk ditegaskan bahawa aktiviti-aktiviti politik PAP yang radikal di Persekutuan Tanah Melayu adalah sebenarnya terbit atas dasar tidak puas hati dan tanggapan Singapura terhadap diskriminasi oleh orang Melayu terhadap minoriti Cina di Malaysia.

Ini telah memperkukuhkan keazaman Singapura untuk meneruskan dasar-dasar yang ofensif dan defensif untuk mengurangkan masalah diskriminasi tersebut.

Seiringan dengan isu ini, terdapat perbezaan pendekatan antara PAP dan parti Perikatan.
PAP percaya dengan usaha untuk membincangkan secara terbuka dan cuba menonjolkan kewujudan masalah-masalah bersifat perkauman. Ia mahu mengupas masalah tersebut dan menekankan keperluan untuk mengatasinya demi kelangsungan Malaysia.

Sebaliknya, parti Perikatan pula percaya adalah perlu sesebuah negara mempunyai keharmonian kaum. Ia khuatir pendedahan masalah berkaitan kaum secara terbuka akan hanya mendatangkan masalah.
Perbezaan dalam pendekatan ini barangkali disebabkan pertentangan pendapat dalam pembawaan politik masing-masing.

PAP adalah sebuah parti yang berpokokpangkalkan ideologi, manakala Perikatan mencurigai apa-apa bentuk ideologi (Milne 1966: 180; Sopiee 1974)

Sebagai parti berbilang kaum, PAP yang menganut fahaman Demokrat Sosialis percaya bahawa satu kupasan yang rasional berkenaan isu-isu perkauman tidak merbahaya.

Ia akhirnya akan mendorong kepada isu perkauman dianggap sebagai satu faktor kurang penting dalam politik, seterusnya menjadi landasan masyarakat yang berbeza kelas di Singapura dan Malaysia.

Parti Perikatan sebaliknya adalah gabungan parti politik yang terdiri daripada parti parti yang mewakili kaum-kaum tertentu dan sering kali menghadapi masalah dalaman parti. Ia merasakan pendedahan dan perbincangan berkenaan hal-hal perkauman hanya akan merosakkan perpaduan dalam gabungan parti tersebut.

Oleh itu, mengelakkan keganasan kaum di Malaysia menjadi teraju utama perjuangan parti Perikatan.
Hasil daripada kesedaran ini tidak hairanlah sarjana Barat seperti Tim Huxley mencadangkan bahawa strategi pertahanan Singapura adalah satu faktor menggalakkan pihak berkuasa Malaysia untuk menyekat perbincangan secara terbuka berkenaan kedudukan politik, ekonomi dan sosial masyarakat bukan Melayu di Malaysia (Huxley 1991: 210).

Penentangan Orang Melayu Yang Diterajui Umno
Pada masa konsep ‘Malaysian Malaysia’diterima oleh sebilangan masyarakat bukan Melayu, masyarakat Melayu cenderung untuk menolak konsep tersebut. Pemimpin UMNO menuduh Lee dan PAP mempersoalkan kedudukan istimewa dan kelebihan orang Melayu.

Sebenarnya, perasaan marah mereka timbul hasil daripada apa yang dianggap sebagai percubaan PAP untuk merampas penguasaan dan keabsahan politik Melayu.

Ia turut mendorong kewujudan unsur-unsur yang dianggap militan oleh orang Melayu di Singapura yang dipimpin oleh pemimpin-pemimpin UMNO seperti Syed Albar dan Syed Nasir dengan menjayakan perhimpunan-perhimpunan rakyat demi menentang PAP.

Secara tragik, perhimpunan-perhimpunan ini menyebabkan kekacauan di Singapura pada tahun 1964. Sehari sebelum kekacauan berlaku, Syed Albar berucap dalam sebuah perhimpunan Melayu dengan ucapan yang berapi-api dengan katanya:

Kita mempunyai kekuatan terakhir yang kita boleh bergantung. Kita adalah lemah di semua bidang. Kita adalah lemah dari segi ekonomi. Kita adalah lemah dalam bidang pendidikan.

Walau bagaimanapun,kita tetap memiliki senjata terakhir dan kekuatan yang kita boleh gunakan dengan mengenakan desakan terhadap pihak lain untuk mengenali kewujudan kita dan kehadiran kita di pulau Singapura ini.

Senjata ini adalah tidak lain dari perpaduan kita … dengan perpaduan ini kita akan menyelamatkan orang kita, kita akan memperbaiki diri kita. … jika perpaduan ini berterusan, dengan izin Tuhan, saya memberitahu anda semua, tidak ada kuasa di bumi ini yang boleh menginjakkan kita, tiada kuasa yang akan memandang rendah kita (Sopiee 1974).

Seiringan dengan pemisahan Singapura dan penubuhan MSC slogan, ‘Malaysian Malaysia’ terus berkumandang dan terus menganggu halwa telinga masyarakat Melayu.

Bagi parti Perikatan, slogan tersebut adalah secara kesimpulannya merupakan satu serangan ke atas hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan malahan Raja-raja Melayu (Parmer 1966: 114).

Lee dituduh bermain dengan perasaan perkauman untuk mencapai cita-cita politiknya yang tinggi.
Penubuhan MSC telah menduga kesabaran Perikatan kepada had yang tertinggi dan pemisahan antara dua buah negara telah dilihat sebagai satu penyelesaian yang berkesan dalam menghadapi konflik-konflik bersifat politik dan perkauman ini.

Dalam konteks ini, permintaan Singapura untuk mewujudkan satu masyarakat seimbang bertentangan dengan kepimpinan Malaysia yang pro Melayu.

Sebaliknya, Lee pula mencadangkan bahawa perbezaan utama antara PAP dan Perikatan bukan berkenaan objektif-objektif mereka, tetapi dalam konteks kecepatan untuk mencapai obejektif-objektif tersebut (Milne 1966: 184).

Penubuhan MSC dan agenda politiknya bertentangan dengan keinginan UMNO.
Tunku begitu sedih dan amat susah hati dengan pertemuan Lee di Singapura dengan kumpulan-kumpulan pembangkang dari Borneo dan Tanah Melayu semata-mata untuk mengutuk isu perkauman dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Timbalan Perdana Menteri, Razak pula merasakan yang Perikatan tidak harus menyerahkan kuasa keselamatan dalam negeri kepada Lee pada masa ia masih berunding dengan Tunku (PREM 13/4301965).
Parti PAS juga menggesa Tunku untuk mengambil tindakan keras terhadap Lee dan pengikutnya, sebagai contoh, dengan menahannya di bawah undang-undang Internal Security Act (ISA).

Tambahan pula, mereka merasakan apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, masyarakat Melayu telah dijanjikan oleh British dengan hak keistimewaan khas.

Apabila hak-hak mereka telah diancam, orang Melayu bertindak balas dengan kuat kerana khuatir akan berlakunya sekali lagi peristiwa Malayan Union.

Oleh itu, perjuangan Singapura membentuk satu masyarakat egalitarian tidak diterima baik oleh kaum Melayu.

Sebagai tambahan, ia ditolak kerana berpotensi untuk meruntuhkan sokongan politik untuk UMNO.
Ringkasnya, ‘Malaysian Malaysia’ dan MSC, yang berakar umbi dari semangat kebangsaan Singapura tidak diterima oleh pendokong semangat kebangsaan di Malaysia pada ketika itu.

Sepintas lalu, ideologi PAP, ‘Malaysian Malaysia,’ telah mengancam keabsahan politik elit pemerintah Melayu. Perbezaan idea-idea dan pendekatan-pendekatan berkenaan isu-isu bersifat perkauman dan politik mendorong ke arah konflik antara PAP dan perikatan.

‘Malaysian Malaysia’ Dan Keabsahan Politik Melayu
Memelihara kuasa politik yang sedia ada dianggap satu perkara penting untuk pemimpin Melayu di Malaysia.
Bagi mereka, ia bukan sahaja satu perkara perlambangan dan psikologi, tetapi juga satu perkara yang berkaitan dengan kelangsungan politik.

Perbezaan dalam semangat kebangsaan dan kepercayaan politik adalah tidak syak lagi sebab utama yang menyebabkan kegagalan penggabungan antara Singapura dan Malaysia.

Semangat kebangsaan rakyat Malaysia adalah berhaluan kanan, anti-Komunis dan kuat dipengaruhi sifat perkauman dan dengan jelas proMelayu, manakala Singapura telah berkembang menjadi negeri yang didominasi oleh orang Cina, kerajaan berhaluan kiri, bukan Komunis dan bukan perkauman secara luaran (Lau 1998: 9).

Perbezaan dalam semangat kebangsaan adalah punca faktor-faktor lain muncul seperti disebutkan di atas, yang kemudian menyebabkan pemisahan antara pulau dan tanah besar.

Dengan melihat sepintas lalu sejarah tanah air, semangat kebangsaan Malaysia dan Singapura telah mula mencari arah yang berlainan apabila Singapura pertamanya dipisahkan dari Tanah Melayu pada 1 April, 1946 untuk mewujudkan Malayan Union.

Walaupun pemisahan ini bukan ditakdirkan untuk terus kekal, ia mencipta logik yang tersendiri.
Tiga belas tahun berjauhan mengakibatkan pembezaan politik dan ideologi antara dua buah entiti ini.
Walaupun jika keduanya bersatu semula, perbezaan dalam semangat kebangsaan akan tetap kukuh.

Membawa kedua-duanya serentak bersama semangat kebangsaan masing-masing menyebabkan satu pertelingkahan tentang kepercayaan dan fahaman politik, menimbulkan syak wasangka dan salah faham antara parti pemerintah– PAP dan Perikatan – yang kemudiannya mengakibatkan pemisahan Singapura daripada Malaysia.

Pemisahan antara Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu sejak 1946 menghasilkan segelintir pemimpin Melayu yang agak taksub dengan idea ‘Malaysian Malaysia.’ Sikap pemimpin Melayu Singapura agak berbelah bahagi dalam isu ini. Abdul Rahim Ishak, satu antara dua menteri-menteri Melayu dari Singapura berbeza pendapat dengan Tunku dan menyokong Lee.

Beliau menegaskan bahawa PAP hanya mengancam perikatan dan bukan Malaysia.
Beliau menambah bahawa kepercayaan Lee telah didasarkan kepada sosialisme dan persamaan, yang mungkin meningkatkan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu dan Lee percaya dengan hak istimewa Melayu (Parliamentary debate 1965: 625).

Rahim Ishak juga merasakan yang Perikatan menjadikan isu tersebut sebagai sebahagian dari hal keselamatan – untuk menghadapi ancaman PAP dengan berkata bahawa hak-hak orang Melayu telah dicabar oleh PAP (Parliamentary debate 1965: 631).

Menurut Albert Lau, orang Melayu sebenarnya belum bersedia untuk berkongsi atau melepaskan kuasa politik kepada parti yang berbilang kaum dan parti sosialis yang didominasi Cina seperti PAP.
Dalam konteks ini, adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa politik Malaysia dan semangat kebangsaan pada masa itu adalah dengan secara tersendiri bersifat pro-Melayu dan Malaysia tidak bersedia untuk bergabung dengan semangat kebangsaan Singapura.

Apa yang selalunya timbul sebagai kesedaran sejarah orang Melayu bahawa Tanah Melayu adalah negeri Melayu dan masyarakat bukan Melayu diterima serta diberikan hak-hak kewarganegaraan atas syarat-syarat yang dikenakan oleh orang Melayu (Lau 1998: 280).

Orang Melayu percaya bahawa, sebagai Bumiputra di Malaysia, adalah wajar mereka menuntut hak keistimewaan.

Sebaliknya, PAP pula percaya dengan satu bentuk masyarakat egalitarian dan menggunakan konsep ini dalam kempen-kempen politik.

Konsep ini secara umumnya ditujukan untuk bukan Melayu dan kepada orang-orang Melayu ia dianggap sebagai satu bentuk ancaman.

Keagresifan kempen PAP semasa pilihan raya persekutuan 1964 dan ketidakpekaannya kepada masyarakat Melayu telah mengakibatkan PAP dilihat bukan sahaja sebagai musuh politik, tetapi juga sebagai musuh kaum Melayu.

Apa yang menjadi satu pertandingan politik berubah menjadi sesuatu yang merbahaya dan bersifat perkauman (Sopiee 1974: 193). Semangat kebangsaan Pro-Melayu dan semangat kebangsaan ‘egalitarian’ Singapura bertentangan antara satu sama lain dan mengakibatkan perpecahan dan kebencian terhadap PAP.

Bagi Tunku, apa yang menyebabkan kerisauan adalah isu perkauman yang dibawa oleh Lee Kuan Yew.
Beliau menolak ‘Malaysian Malaysia’ kerana konsep itu mencadangkan bahawa Malaysia yang diperintah oleh rejim tunku adalah buruk dan bahawa semua keistemewaan dan kelebihan di Malaysia telah diberikan untuk satu kaum sahaja, sementara bangsa-bangsa lain dihalang mendapat kedudukan yang dalam masyarakat (Parliamentary debate 1965: 1461).

Masyarakat Melayu juga dikatakan belum pernah merasa selesa dengan masyarakat Cina. Mereka membayangkan masyarakat Cina sebagai orang asing di Tanah Melayu yang cenderung untuk bekerjasama dengan pergerakan komunis.

Kebimbangan terhadap orang Cina telah menjadi sebahagian dari ciri psikologikal Melayu dan perasaan anti Cina telah tertanam sekian lama dalam semangat kebangsaan pan Malaysia (Ahmad 1985: 91).
Oleh itu, agenda politik PAP sering disifatkan sebagai satu ancaman terhadap hak-hak orang Melayu dan kedaulatannya.

Tunku sendiri sebenarnya tidak pernah mahu Singapura wujud dalam Malaysia, terutamanya disebabkan oleh majoriti penduduk Cina di Singapura serta pengaruh komunis di pulau tersebut.
Menurut Milne, Tunku terpaksa membawa masuk Singapura kerana mahukan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

Singapura pula akan menjadi sebuah ‘negara asing,’ secara politik dipisahkan dari Malaysia.
Setelah Sabah dan Sarawak menganggotai Malaysia, Tunku mencari masa dan alasan yang sesuai untuk mengusir Singapura.

Kegopohan PAP dan campur tangannya dalam politik persekutuan, dasar PAP memperjuangkan hak-hak kesamaan dengan membangkitkan ketidaksefahaman antara Melayu dan Cina, memberi alasan kepada Tunku untuk bertindak (Milne 1966: 179).

Dalam konteks ini, semangat kebangsaan pro-Melayu, ancaman dari semangat kebangsaan Singapura, serta ancaman keselamatan dari komunis, adalah alasan kukuh yang membawa kepada kegagalan penggabungan Singapura-Malaysia.

Mungkin ini merupakan sebab-sebab utama mengapa beberapa pemimpin pembangkang menerima keputusan itu apabila ia ditimbulkan dalam parlimen.

Lim Chong Eu dari parti UDP menjelaskan: ‘Jika sekira idea kerajaan yang cuba memisahkan Singapura daripada Malaysia akan mengurangkan ketegangan Sino-Malaysia, ia akan membawa kebahagiaan lebih besar dan lebih banyak kemakmuran untuk Malaysia, maka saya akan menimbangkan dengan serius untuk menyokong usul tersebut’ (Parliamentary debate 1965: 1505).

Adalah perlu difikirkan bahawa Tunku dan Lee, sebagai dua individu yang berlawanan aliran politik dan mempunyai idea-idea politik yang berbeza, berada di kedudukan yang bertentangan antara satu sama lain.
Tunku melihat Lee sebagai seorang pemimpin muda yang terburu-buru dengan pandangan-pandangan yang berterus terang dan sikap tidak menghormati kaum Melayu konservatif.

Pertikaian antara dua orang pemimpin tersebut semakin buruk apabila Lee telah dianggap menjalankan ‘dasar luar’nya sendiri dalam mendapatkan sokongan antarabangsa untuk menentang Kuala Lumpur (Ahmad 1985: 94).

Tambahan pula, hakikat yang Lee adalah Perdana Menteri Singapura menyebabkan orang-orang luar menganggapnya sebagai mempunyai kuasa yang sama dengan Perdana Menteri Pusat, yang mungkin telah menggalakkan Lee sendiri untuk menyukai pandangan itu dan menimbulkan kemarahan Tunku (Milne 1966: 176).

Perikatan juga peka kepada laporan-laporan akhbar luar negara yang mencela Tunku kerana tidak ‘memberikan orang Cina satu layanan yang saksama’ (Sopiee 1974: 195).

Keadaan menjadi lebih teruk dengan campurtangan Menteri-menteri British dan Australia yang cuba untuk mendesak pemimpin-pemimpin Melayu agar membawa PAP ke dalam kerajaan demi untuk ‘meningkatkan kuasa politik Cina di Malaysia’ (Ahmad 1985: 91).

Kesemua ini mencetuskan ancaman bukan sahaja terhadap Tunku tetapi terhadap hegemoni politik Melayu.
Pemimpin-pemimpin Perikatan, terutamanya Tunku, mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Lee ada di sebalik semua masalah-masalah yang memaksa Perikatan dan menyebabkan konflik dengan PAP.

Kesangsian ini menambahkan bahang dalam hubungan yang rapuh antara Tunku dan Lee.
Adalah penting di sini untuk menyedari bahawa kedua-dua mereka adalah tokoh-tokoh utama kepimpinan rakyat Malaysia dan Singapura.

Prasangka mereka dan salah persepsi terhadap satu sama lain dan ketidakupayaan untuk bekerjasama di atas satu landasan yang mesra membayangkan ketidakupayaan Malaysia dan Singapura untuk berdamai dan ini merupakan pemangkin ke arah pemisahan seperti dicatatkan dalam dokumen British- pemisahan Singapura adalah satu kejayaan dalam kepimpinan politik tetapi kegagalan dalam kenegarawanan politik – ‘the separation of Singapore was a triumph of political leadership but a failure of political statesmanship’ (PREM 13/589 1965).

Sebagai tambahan, Perikatan turut berasa sangsi terhadap agenda ‘Malaysian Malaysia.’
Seperti dicatatkan oleh Tan Toh Hong dalam Parlimen, masalah paling besar adalah persoalan kelangsungan negara dalam menghadapi pencerobohan luar dan anasir subversif dalam negara.

Oleh itu, agenda Lee yang membesarkan isu masyarakat Cina Malaysia atau Melayu Malaysia pada waktu krisis, beliau sebenarnya menutup perhatian rakyat terhadap isu utama dan hanya menyumbang kepada usaha dan matlamat Sukarno (Parliamentary debate 1965: 603).

Berkaitan dengan isu keselamatan negara, tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin Singapura untuk membantu Indonesia semasa konfrontasi dilihat sebagai tidak nasionalistik.
Seperti yang dilaporkan oleh pihak British, Lee memberitahu Pesuruhjaya Tinggi dengan keyakinan yang tinggi yang beliau telah menerima pengaman (peace feelers) dari Indonesia.

Lee berkata bahawa beliau baru mengetahui tentang pengaman tersebut dan berharap yang Pesuruhjaya Tinggi Britain tersebut tidak memberitahu mana-mana rakan-rakan sekerja dalam Komanwel.
Indonesia pula bersedia untuk menghantar utusan ke Singapura secara rahsia untuk menemuinya.
Ini menyebabkan Lee merasa sulit.

Jika beliau menolak, Indonesia akan membocorkan rahsia tersebut kepada pedagang Cina di Singapura yang sentiasa tamak, gelojoh, berpandangan singkat dan hanya mahu meraih keuntungan dalam perdagangan dengan Indonesia.

Lee sedar akan bahaya pertemuan dengan pengaman Indonesia terhadap keselamatan peribadinya dan terhadap hubungannya dengan Malaysia.

Namun, beliau lebih tertarik dengan idea unduk mengadakan dialog antara dirinya dan Indonesia (PREM 13/589 1965).

Di sini nampak permainan politik Lee yang bersikap ‘talam dua muka.’
Hal ini diakui sendiri oleh pihak British yang merasakan bahawa adalah kurang bijak untuk Lee untuk membuat sesuatu yang akan menyusahkan hati Tunku (PREM 13/589 1965).
Menyedari sikap Lee, Tunku sememangnya tidak gembira dengan tindakan Lee.

Sekali lagi Tunku turut kecewa dengan kontroversi perdagangan tukar barang antara Singapura dengan Indonesia (FO 371/181).

Beliau menjelaskan cadangan Singapura untuk membenarkan perdagangan tukar barang Indonesia di pulau Senang, di luar Pulau Singapura akan memberikan implikasi terhadap pertahanan dan keselamatan serantau (FO 371/181 1965).

Pada bulan Jun, 1965, laporan-laporan yang kurang menyenangkan datang dari Pesuruhjaya Tinggi British berkenaan hubungan antara Lee dan pembangkang politik yang beliau kelolakan, dan kerajaan Tunku di Kuala Lumpur.

Ketegangan meningkat ke tahap yang merbahaya. Di sini nampak seperti suatu risiko yang serius Malaysia akan menjadi lemah secara keseluruhan (DEFE 25/179 1965).

Ketegangan ini juga telah ditunjukkan dalam satu ucapan yang provokatif dalam parlimen Malaysia (DEFE 25/179 1965: Parliamentary debate 1965: 1515-1530).

Di parlimen, Razak menyatakan yang Lee bukanlah ancaman serius terhadap parti Perikatan, apatah lagi terhadap kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, Razak meneruskan bahawa Lee telah membuktikan wujud rancangan tersembunyi dan berbahaya iaitu ‘Malaysian Malaysia’ dan kenyataan yang beliau akan memusnahkan Malaysia dan tunduk kepada Sukarno.

Ucapan Razak mendapat respon yang hebat dari Lee. Lee cuba berucap panjang lebar untuk menyangkal dakwaan Razak.

Dalam hal ini, walaupun Speker Parlimen membuat keputusan pada 1 Jun yang Lee akan diberikan peluang bercakap untuk kali kedua dalam sebuah perdebatan dalam ucapan agung, apabila parlimen bersambung pada 3 Jun, Speker telah memerintahkan bahawa hanya Razak boleh berucap dalam parlimen tersebut (DEFE 25/179 1965).

Isu Negara Islam, Malaysian Malaysia Dan Politik Melayu
Sebagai pengganti PAP, Parti Tindakan Demokratik atau Democratic Action Party (DAP) kemudiannya didaftarkan di Malaysia.

Parti tersebut mendokong prinsip ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan oleh PAP.
Pada akhir tahun-tahun 1960-an, DAP sering kali mencetuskan isu perhubungan etnik di Malaysia yang menyebabkan kemarahan masyarakat Cina dan Melayu.

Namun, perlu diakui bukan DAP sahaja yang terlibat pada masalah-masalah berkaitan etnik.
Laporan Kerajaan menekankan masalah berterusan Komunis sebagai satu faktor penting yang membawa kepada krisis tersebut.

Laporan itu turut mengakui kemunculan semula perjuangan politik Parti Komunis Malaysia (PKM).
Ini diterangkan dengan memberi beberapa contoh tertentu.

Pertama, pada tahun 1967 apabila matawang Ringgit mengalami penyusutan nilai, ejen-ejen PKM mengeksploitasi isu tersebut untuk tujuan propaganda. Mereka menjalankan demonstrasi haram dan membangkitkan perasaan tidak puas hati masyarakat.

Kedua, pada pertengahan tahun 1968, tiga belas orang pengkhianat rakyat Malaysia- dua orang Melayu dan sebelas Cina dihukum mati di bawah akta yang melibatkan penderhakaan mereka sepanjang era Konfrontasi Indonesia.
Ejen-ejen PKM mencetuskan kempen propaganda yang hukuman itu bersifat pilih kasih dan kesebelas orang Cina dihukum secara terpilih dan tidak berperikemanusiaan.                                                    

Ketiga, pada 24 April, 1969, lebih kurang dua minggu sebelum Pilihan Raya Umum, seorang pekerja parti UMNO di Pulau Pinang telah dibunuh oleh anasir-anasir subversif.

Unsur-unsur ini didalangi oleh ejen PKM bertujuan untuk memulaukan Pilihan Raya Umum (Laporan Kerajaan Kejadian 13 Mei 1969).

Selepas kejadian rusuhan kaum pada tahun 1969, kerajaan mula mengenakan dasar yang lebih ‘pro-Melayu,’ terutama dalam sektor ekonomi.

Dasar Ekonomi Baru dibentuk dengan tujuan menjamin penguasaan Melayu dalam sfera yang pada asalnya hanya menguntungkan masyarakat Cina.

Ini mengakibatkan kewujudan program-program tindakan yang mengiakan kuasa politik Melayu, sebagai terkandung dalam DEB yang cuba untuk meningkatkan kedudukan orang-orang Melayu dengan memberi layanan istimewa dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan akses mereka kepada pemilikan aset.

Dengan DEB, orang Melayu menjadi satu kategori etnik yang penting, yang diperbadankan dan adalah kritikal dalam agihan faedah-faedah pembangunan khususnya untuk masyarakat termiskin.
Senario inilah yang menjadi agenda utama DAP dan ‘Malaysian Malaysia.’

DAP mengecam DEB dari awal hingga akhir pelaksanaannya.

Dalam konteks politik kontemporari, selain isu DEB, isu negara Islam hangat diperkatakan.
DAP menentang konsep negara Islam secara terang-terangan – baik konsep negara Islam yang datang dari UMNO ataupun Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Dalam memepertahankan pendiriannya, DAP memetik sumber dari The Star, 13 Februari 1983:

Kuala Lumpur, Selasa – Bekas Perdana Menteri Tun Hussein Onn telah menyokong pandangan Tunku Abdul Rahman bahawa Malaysia sepatutnya tidak dijadikan sebuah negara Islam.

Tunku telah berucap pada sambutan hari jadinya yang ke-80, bahawa Malaysia sepatutnya tidak dijadikan sebuah negara Islam kerana negara tersebut mempunyai penduduk berbilang kaum dengan pelbagai kepercayaan (The Star 1983).

Pemimpin DAP, Lim Kit Siang dilaporkan berkata : “Saya meminta semua pemimpin Barisan Nasional, sama ada UMNO, MCA, Gerakan, MIC, SUPP atau PBS untuk mengingati dan patuh dengan kehendak Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pada tahun 1983 yang tidak mahu menukar Malaysia menjadi sebuah negara Islam” (Pamplet DAP 2002).

DAP memberikan kenyataan “Tidak Bagi 911, Tidak Bagi 929, Betul Untuk 1957”.
DAP turut mendakwa bahawa kempen bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi Malaysia bukan negara Islam tidak bersifat anti-Melayu atau anti-Islam.

Kenyataan pemimpin PAP atas dasar ‘Malaysian Malaysia,’ kemudiannya ‘Malaysia First’ memberi implikasi terhadap politik Melayu.

Sejarah menunjukkan agama Islam bukan setakat anutan kaum Melayu yang kemudiannya menjadi agama resmi negara.

Namun apa yang lebih penting ialah Islam mampu mencorakkan sistem Kerajaan Melayu tradisional sebelum sistem itu diganti dengan pentadbiran kolonial.

Sistem politik tradisional Melayu meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran dan pemerintahan, pengagihan kuasa dan juga pembentukan negeri-negeri Melayu.

Secara tidak langsung bentuk sistem politik yang kuat mendokong ajaran Islam ini telah sebati dengan jiwa dan jati diri Melayu dahulu dan kini.

Walaupun isu negara Islam bukanlah baru dan telah dipopularkan dan dimulakan oleh PAS pada waktu era Tunku namun PAP tidak menentang konsep itu secara menonjol seperti yang dilakukan oleh DAP.

Kini, penentangan terhadap isu negara Islam atau plot ‘929’ sepertimana yang dilaung-laungkan oleh DAP, secara tidak langsung menggugat keabsahan politik Melayu yang selama ini tidak pernah lari dari satu bentuk ‘imagined community’ yang bercirikan kewujudan negara Islam.

Dalam konteks sini, kewujudan negara Islam juga boleh diertikan sebagai revivalisme keagungan Empayar Melayu Melaka ataupun sistem politik Melayu tradisional.

Inilah yang sebenarnya menjadi kebimbangan DAP. Kebimbangan itu boleh jadi dicetuskan oleh salah pengertian mereka terhadap konsep sebenar negara Islam ataupun kesedaran mereka akan kesan kewujudan negara Islam akan memperkukuhkan hegemoni Melayu dalam politik tanah air.

Serangan terhadap konsep negara Islam bukan setakat terhadap UMNO tetapi juga PAS dan sebilangan besar pengikut Parti Keadilan yang majoritinya Melayu.

Mungkin konsep negara Islam UMNO dan PAS agak jelas. Tetapi bagi Parti Keadilan adalah sebaliknya.
Ramlah Adam menjelaskan bahawa bagi Parti Keadilan pula, sikapnya menegakkan keadilan tidak dapat dianggap sebagai parti untuk orang Melayu sahaja.

Ia lebih sesuai dilihat sebagai parti untuk rakyat Malaysia yang terdiri daripada berbilang kaum dan ini mirip kepada perjuangan ‘Malaysian Malaysia,’ dokongan DAP (Utusan Melayu 2000).

Dalam usaha menolak konsep negara Islam, DAP telah bukan sahaja keluar dari pakatan parti Keadilan tetapi sebenarnya telah membiarkan parti tersebut yang mempunyai jumlah pengikut Melayu yang ramai seperti PAS.

DAP bagaimanapun bimbang yang parti Keadilan telah mengambil satu sikap yang akan menggalakkan PAS untuk tetap dengan konsep negara Islamnya dan pelaksanaan hukum hudud.

DAP sebaliknya mendesak agar satu pertimbangan semula yang serius diambil terhadap pelaksanaan matlamat-matlamat ini dalam realiti masyarakat majmuk di Malaysia dan mengambil kira latar belakang bersejarah perjanjian 1957 (Sidang Media oleh Lim Kit Siang).

Oleh kerana sikap parti Keadilan yang tidak dapat mencapai satu keputusan umum berkenaan isu negara Islam, DAP memutuskan untuk menarik diri dari pakatan Barisan Alternatif.
Ini juga hasil daripada perbezaan pendapat yang tidak mungkin dapat diselesaikan dengan PAS berkenaan isu negara Islam serta isu pembentangan deraf cadangan Undang-undang Hudud dan Qisas oleh kerajaan Negari Terengganu.

Isu-isu tersebut dianggap oleh DAP sepenuhnya melemahkan Manifesto bersama Barisan Alternatif tahun 1999 “Ke Arah Satu Masyarakat Yang Adil” (Ucapan Lim Kit Siang 2002).

Dalam hal ini, Parti-parti Barisan Alternatif mengaku dan menerima hakikat bahawa terdapat perbedaan matlamat dan ideologi antara parti-parti komponen Barisan Alternatif khususnya dalam isu negara Islam.
Sumber ini didapati dari Pendirian Bersama Parti-Parti Barisan Alternatif Negeri Perak untuk dimajukan kepada Pimpinan Parti-Parti Barisan Alternatif Kebangsaan

Isu negara Islam juga dilihat sebagai satu usaha menarik masyarakat agar menyokong pemimpin-pemimpin tertentu. Ia juga menjadi alternatif kepada gagasan ‘Malaysian Malaysia.’
Najib Tun Razak misalnya telah mengeluarkan perisytiharan bahawa Malaysia bukan negara sekular tetapi negara Islam.
Ini berlaku pada waktu beliau menghadapi tentangan-tentangan peribadi dan politik.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga turut membuat perisytiharan “929” bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam pada 29 september 2001.

Ia dilakukan lebih kepada stratergi menghadapi PAS dan pilihanraya.
Seiringan dengan isu negara Islam, Ketua Pemuda UMNO, Hishamuddin menyatakan larangan dalam membincangkan isu-isu sensitif berkenaan agama.

Larangan ini samalah seperti larangan terhadap perbincangan terbuka Hak-hak Kewarganegaraan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuaan, kedudukan Bahasa kebangsaan di bawah artikel 152, hak istemewa orang Melayu di bawah artikel 153 dan status Raja-raja Melayu di bawah artikel 181 (Utusan Malaysia 2006).

Rentetan dari pelbagai hal yang sensitif, Kabinet Malaysia telah mengarahkan agar pebincangan isu sensitif agama diberhentikan (Utusan Malaysia 2006).

Perdana Menteri pula telah membentuk satu memorandum yang ditandatangani oleh sembilan orang Menteri bukan Islam untuk membentuk satu kajian semula undang-undang yang melibatkan hak-hak bukan Islam, (Ucapan Lim Kit Siang di Parlimen 2006).

Perkara ini mendapat reaksi yang kurang baik dari DAP. Mereka mengkritik tindakan Perdana Menteri tersebut.

Selain itu, DAP turut mengaitkan tindakan pemimpin Melayu menolak forum Artikel 11 yang berkaitan dengan usaha membentuk forum antara agama, sebagai tidak munasabah.

Arahan telah dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat untuk memberhentikan serta-merta semua forum Artikel 11 mengenai kebebasan agama, atas alasan ia menyebabkan ketegangan dalam masyarakat berbilang agama di Malaysia.

Menurut DAP Majlis Perundingan agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikhism mencadangkan satu pindaan kepada Artikel 121 (1A) bagi memulihkan keagungan perlembagaan dan kuasa-kuasa kehakiman Mahkamah Tinggi.

DAP mendakwa usaha ini seharusnya diberikan pertimbangan serius, kerana ia bukan bermaksud untuk menarik apa-apa hak-hak daripada mana-mana agama tetapi untuk memulihkan kewujudan pelbagai agama di negara ini sebelum pindaan perlembagaan pada tahun 1988.

DAP turut mendakwa arahan menarik balik forum itu sebagai kurang bijak dan patut ditarik balik kerana tiga sebab utama.

Pertama, ia berkaitan objektif Artikel 11 Perlembagaan yang mendukung kebebasan beragama dengan kontoversi mewujudkan Suruhanjaya Antara Kepercayaan agama sebagai inisiatif.

Seiringan dengan kehendak Artikel 11 aktiviti-aktivitinya tertumpu kepada pada menjamin hak-hak warganegara di bawah undang-undang tertinggi dan bukan bertujuan untuk menghidupkan semula inisiatif untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Antara Kepercayaan Agama.

Kedua, usaha menarik balik forum itu bersifat tidak sihat dan merbahaya terhadap usaha yang yang aman, demokratik dan tanpa menggunakan kekerasan, ia menindas hak-hak perlembagaan dan memomokkan prinsip-prinsip Rukunegara.

Ketiga, arahan itu bersifat sembarangan dan tidak dibuat secara perundingan dan tanpa rujukan, atau persetujuan dengan parti-parti komponen Barisan Nasional lain (Kenyataan Media Lim Kit Siang 2007).
Ancaman DAP melalui konsep ‘Malaysian Malaysia’ yang kemudiannya ‘Malaysia First’ terhadap isu negara Islam mendapat reaksi yang pelbagai dari pelbagai lapisan masyarakat Melayu.

Namun satu perkara penting yang wujud dalam pemikiran politik Melayu ialah usaha untuk memikirkan masa depan dan keselamatan politik (political security) mereka.

Masyarakat Melayu sering melihat politik Melayu secara perbandingan dengan Melayu di negara lain khususnya di Singapura.

Redhuan Taib seorang penulis bebas di ruangan internet, misalnya, memberi contoh nasib Melayu di Singapura.

Beliau menulis bahawa dalam Kabinet Kerajaan Singapura terdapat dua puluh orang menteri.
Orang Melayu 14 peratus dari jumlah penduduk hanya diwakili oleh seorang Menteri Melayu, Dr Yaacob Ibrahim yang bertanggungjawab mengenai Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Air dan juga merangkap Menteri Hal Ehwal Masyarakat Islam.

Masyarakat Cina 76 peratus dari penduduk Singapura mempunyai enam belas orang Menteri.
Manakala, masyarakat India 10 peratus, mempunyai tiga orang Menteri. Seorang darinya, Profesor S Jayakumar adalah seorang Timbalan
Perdana Menteri merangkap Menteri Undang-Undang.

Menurut Taib, nyata sekali orang Melayu di Singapura sudah hilang dan tiada political leverage mereka.
Dalam konteks politik Melayu di Malaysia, Taib turut membincangkan mengenai perjanjian sosial atau ‘social contract ‘antara kaum yang berlaku pada tahun 1955 menjelang Tanah Melayu menuju ke arah kemerdekaan.

Melalui kontrak sosial inilah orang Melayu telah bertolak ansur dan bersedia memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Dan sebagai balasannya orang bukan Melayu yang menguasai bidang ekonomi berjanji akan membantu orang Melayu meningkatkan kedudukkan ekonomi mereka supaya setanding dengan bukan Melayu.
Taib seterusnya menyatakan: “Perlu dingat bahawa sebelumnya semasa orang Melayu menentang konsep Malayan Union yang dicadangkan oleh British apabila mereka kembali semula ke Tanah Melayu, orang Melayu tidak bersetuju memberikan kerakyatan kepada kaum pendatang” (Taib : agendadaily.com).

Sememangnya politik Melayu itu mengambil kira perkembangan zaman dan kedinamikan perubahan semasa.
Isu negara Islam mungkin tidak diutamakan tetapi bukan bermakna tidak penting dalam era Tunku.
PAS sendiri telah memperjuangkan isu tersebut sejak awal kemunculannya.

Namun dalam era awal pembinaan bangsa, isu negara Islam tidak sepenting isu-isu keselamatan dan perpaduan yang wujud ketika itu. Namun era selepasnya seperti sewaktu pentadbiran Razak, telah muncul kelompong-kelompok tertentu yang berusaha menegakkan negara Islam.

Pada era Mahathir dan Abdullah Badawi, isu tersebut menjadi wacana politik yang penting seiringan dengan isu-isu semasa nasional dan global.

Perubahan tentang keutamaan terhadap sesuatu isu politik, termasuk isu negara Islam ini mungkin telah dibincangkan oleh ramai penulis.

Dalam The Asian Renaissance, dalam membincangkan isu hudud di Asia, Anwar menyatakan:
True, Southeast Asian Muslims are not without their share of problems. But what differentiates them from their brethren in other parts of the world is their sense of priorities.”
Jelasnya, apa yang membezakan pendekatan masyarakat Islam di Malaysia dengan negara lain ialah keutamaan-keutamaan terhadap sesuatu isu.

Penutup
Secara ringkas, selain daripada masalah berkaitan etnik dan perbezaan dalam kepercayaan politik, isu agama juga relevan dalam politik Melayu kontemporari.

Ini selari dengan sifat politik itu sendiri yang sentiasa memberi keutamaan kepada sesuatu isu berdasarkan suasana semasa.

Pada asasnya pemikiran yang berasaskan kepada keselamatan politik adalah sebab utama kenapa konsep ‘Malaysian Malaysia’ dilihat sebagai satu ancaman dalam politik Melayu suatu ketika dahulu.
Pada awal kelahiran konsep ini, isu-isu seperti kesamaan hak sosial diperdebatkan.

Namun akhir-akhir ini ia turut mengusulkan satu bentuk kesamaan hak dalam konteks beragama.
Perkara tersebut sekiranya dilihat dari kaca mata keadilan sosial sememangnya mampu mengundang pelbagai soalan.

Namun sejarah perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ telah diwarnai dengah pelbagai rencah kehidupan politik yang menyukarkan masyarakat Melayu menerima konsep tersebut.

Tambahan lagi, perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ ataupun ‘Malaysia First’ telah pergi jauh dari batas persoalan etnik dan telah merangkumi isu agama yang begitu sensitif kepada umat Melayu.

Sememangnya wujud perselisihan pendapat tentang isu negara Islam antara UMNO dan PAS.
Namun, kedua-dua politik Melayu ini tidak mungkin akan rela sekiranya agama yang dianuti oleh pengikut-pengikut mereka direndahkan martabatnya.

Seiringan dengan itu, kesedaran politik Melayu mungkin akan muncul dalam bentuk memikirkan semula sejarah keagungan sistem politik tradisional Melayu yang berkembang sebelum sistem politik moden ala penjajahan diperkenalkan di Tanah Melayu.

Agama telah menjadi asas kepada keutuhan sistem politik tersebut yang mampu bukan sahaja membentuk pentadbiran tetapi budaya dan nilai politik masyarakat Melayu.

Akhirnya, isu perbandingan antara Singapura dan Malaysia dalam konteks perkembangan idea “Malaysian Malaysia’ dan politik Melayu masih berterusan baik di kalangan akademik, pemimpin politik dan rakyat.
Kedua negara mempunyai sejarah lampau yang mencorakkan politik kontemporari.

Bibliografi
Yew, L.K., Some Problems in Tanah Melayu (Singapore: Ministry of Culture,1964); Yew, L.K., The Battle for a Malaysian Malaysia (Singapore: Ministry of Culture and Communications, 1965).
PREM 13/430, Head to Commonwealth Relations Offi ce, 4 March, 1965.
Lee Kuan Yew. The Singapore Story: Memoirs of Lee (Singapore: Times Editions,1998), p. 616.

DEFE 25/179, Kuala Lumpur to Commonwealth Relations Offi ce. No. 961, 1 June, 1965
Milne, R.S., Government and Politics in Malaysia (Boston: Houghton Miffl in Company, 1967), p. 213
R.S. Milne, ‘Singapore’s Exit from Malaysia: The Consequences of Ambiguity,’ Asian Survey, 6, (3 March 1966), p.180; Noordin Sopiee. From Tanah Melayun Union to Singapore Separation, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Tanah Melayu, 1974.Noordin Soipee 1974, Chapter 7)
Huxley, T., ‘Singapore and Malaysia: A Precarious Balance’ in Pacifi c Review 4, no. 3 (1991), p. 210.
Sopiee, M.N., From Tanah Melayun Union to Singapore Separation (Kuala Lumpur: University of Tanah Melayu Press, 1974), Chapter 7
Parmer, J.N., ‘Malaysia 1965: Challenging the Terms of 1957,’ Asian Survey, 6, (2 February 1966), p.114.

Milne, R.S. ‘Singapore’s Exit from Malaysia: The Consequences of Ambiguity’ in Asian Survey, 6, (3 March 1966), p.184
PREM 13/430, Head to Commonwealth Relations Offi ce, 4 March, 1965.
Lau, A., A Moment of Anguish: Singapore in Malaysia and the Politics of Disengagement (Singapore: Times Academic Press, 1998)

Suatu Analisa: Fahami Mengapa China Menzalimi Muslim Uighur

Sumber minyak di Xinjiang (Sumber: The Economist)

1) Xinjiang kaya dengan sumber minyak.
 
Penemuan minyak di Xinjiang telah menarik perhatian seluruh dunia dan delegasi ke Xinjiang. Beijing pula bimbang sekiranya pengaruhnya ke atas Xinijang akan hilang maka China telah merancang untuk membangunkan Xinjiang sebagai penghubung dengan Asia Tengah, rancangan ini termasuklah meningkatkan migrasi etnik Han; etnik majoriti di China ke Xinjiang.

Pelbagai perancangan telah dilakukan termasuklah (1990) mencipta Zon Ekonomi Khas, memberi subsidi kepada para petani kapas tempatan dan merombak semula sisitem cukai. Xinjiang (Ogos 1991) melancarkan Projek Tarim Basin untuk meningkatkan hasil pertanian. Kemudian, Beijing melabur dalam infrastruktur Xinjiang, projek pembangunan besar-besaran seperti Lebuhraya Tarim Desert dan landasan kereta api ke barat Xinjiang. Projek ini dibina untuk ‘’mengikat’’ Xinjiang dengan Republik Rakyat China.

Kemudian, Xinjiang telah dibina sebuah penempatan pertanian; Bintuan (1954) melalui Pasukan Penghasilan dan Pembangunan Xinjiang (XPCC) yang bertujuan untuk membina dan menjaga sempadan China, mempunyai organisasi keselamatan tersendiri; pasukan polis bersenjata dan tentera, dan mampu menarik pekerja asing secara konsisten. Hasilnya, Xinjiang mula dikawal rapi oleh XPCC. Kemudian, Beijing mula memperkenalkan Xinjiang kepada seluruh dunia dengan kempen ‘’ ’Open up the West’’ dan ‘’Go West’’ melalui sebuah polisi pada tahun 2000.

Pada tahun 2010, Parti Komunis China bertemu untuk membincangkan pembangunan ekonomi Xinjiang dan menetapkan pelan lima tahun untuk meningkatkan pembangunan dan kestabilan berpanjangan. Tetapi hakikatnya pelan itu bertujuan untuk menghapuskan populasi etnik Muslim Uighur.

2) Potensi ekonomi wilayah Xinjiang

Pelan pembersihan etnik Uighur dapat dilihat apabila semakin bertambah peluang pekerjaan di Xinjiang, semakin ramai pekerja asing ke Xinjiang, di mana majoritinya terdiri daripada etnik Han dan meningkat dari 6.7% (1949) ke 40% (2008). Malah migrasi etnik Han disokong oleh kerajaan China dengan memberi insentif kepada sesiapa sahaja dari setiap pelosok negaranya yang berpindah ke Xinjiang atas alasan untuk merekrut tenaga kemahiran dan meningkatkan kestabilan.

Bukan itu sahaja, peluang pekerjaan banyak diberi kepada etnik Han berbanding Muslim Uighur oleh kebanyakan syarikat swasta dan kerajaan. Ditambah pula dengan etnik Han yang berkecenderungan untuk lebih kaya berbanding Uighur apabila ekonomi Xinjiang dimonopoli oleh Han manakala Uighur hanya bergantung kepada jualan karpet dan permaidani. Bukan itu sahaja, pelan diteruskan dengan pemusnahan kota Kashgar; terletak di Jalan Sutera yang banyak menyimpan sejarah dan kebudayaan etnik Uighur atas alasan langkah berjaga bagi menghadapi gempa bumi.

Parti Komunis berkata polisi yang dikenakan ke atas Xinjiang bertujuan untuk membangunkan ekonomi bukan perubahan demografi namun, dengan kebanjiran etnik Han ke Xinjiang, Muslim Uighur turut menghadapi kekangan sumber air bersih dan tanah subur untuk minuman, pertanian dan pengairan.
Kemuncak kepada ketegangan etnik ini berlaku apabila rusuhan dahsyat berlaku pada Julai 2009 antara komuniti Han dan Uighur serta polis di ibu kota Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR), Urumqi yang berpunca daripada bantahan terhadap pembunuhan dua orang Muslim Uighur di selatan wilayah Guandong. Hampir 200 orang terbunuh, 1600 orang cedera dan 718 orang ditahan oleh polis. Sejak itu, beberapa siri rusuhan telah berlaku dan menjadikan Xinjiang wilayah yang paling tidak stabil di China.

3) Islam di Xinjiang mengancam kerajaan China

Muslim di Xinjiang menjadi ancaman
Muslim di Xinjiang menjadi ancaman

Di Xinjiang, amalan keagamaan dilihat sebagai sebahagian daripada kebudayaan-etnik yang membezakan Uighur dengan Han. China pula mempunyai visi untuk menyatukan etnik dan mahu menghapuskan segala halangan dalam mempercepatkan proses asimilasi.

Parti Komunis China mempercayai bahawa setiap rakyatnya mestilah setia kepada China terlebih dahulu manakala etnik atau agama di kedudukan kedua. Sebarang idea yang mengancam untuk menggulingkan pemerintahan ini sama ada pemisahan secara terang-terangan atau sekadar menguatkan etnik atau identiti agama, merupakan sasaran untuk menjatuhkan parti tersebut.

Dalam Perkara 36 dalam perlembagaan China,’’ “Tidak ada yang boleh menggunakan agama untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam, merosakkan kesihatan rakyat atau mengganggu sistem pendidikan di negeri ini.” Ditambah pula dengan amaran bahawa badan-badan agama dan urusan tidak tertakhluk kepada mana-mana dominasi asing. Bermakna segala perkara yang melibatkan agama tertakhluk di bawah pemerintahan China.

Manakala Perkara 1 mengatakan sistem sosialis adalah sistem asas Republik Rakyat China. Gangguan terhadap sistem sosialis oleh mana-mana organisasi atau individu adalah dilarang. Inilah hujah yang digunakan oleh parti ini dalam setiap ‘’tindakan keras’’ yang dilakukannya ke atas Muslim Uighur.

Kesimpulan
Muslim Uighur telah banyak menderita atas tindakan China yang menekan sehinggakan banyak rakyatnya yang berpindah ke luar negara seperti di Turki, Arab, Kanada, Amerika Syarikat dan lain-lain. Jika keadaan ini berterusan tanpa ada jalan penyelesaian, China akan menguasai keseluruhan Timur Turkistan, muslim Uighur akan berterusan menjadi pelarian dan Islam juga akan sentiasa terancam serta bakal terhapus dari bumi Timur Turkistan.

Nurul Fitrah Abdullah
Sumber: CFR, The Diplomat, al-Jazeera, BBC

"Dapatkah kulihat bangsa ku mulia kembali?" - Tun Mahathir

Haider Yutim, Astro Awani | Diterbitkan pada: Julai 14, 2015 13:51 MYT

"Dapatkah kulihat bangsa ku mulia kembali?" - Tun Mahathir
 
Dr Mahathir berkata tindakan pemimpin yang semakin tamak menjadi punca politik yang suatu ketika dahulu 'politik yang menyelamat', kini bertukar kepada 'politik yang menghancur'.
 
KUALA LUMPUR: Kedudukan politik yang dikuasai bangsa Melayu di Malaysia sejak merdeka, kini dilihat faktor yang menghancurkan bangsa itu sendiri, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya tindakan pemimpin yang semakin tamak menjadi punca politik yang suatu ketika dahulu 'politik yang menyelamat', kini bertukar kepada 'politik yang menghancur'.

"Politik yang menyelamat menjadi politik yang menghancur, pemimpin semakin tamak untuk tempat dan kedudukan tinggi. Perbuatan yang haram dihalalkan.. Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia," tulis beliau dalam sebuah puisi di blognya, chedet.cc.

Katanya, bangsa Melayu yang pernah dilihat sebagai bangsa yang gah selepas bangkit dari jajahan British, kini telah menjadi lemah semula akibat pemimpin Melayu yang telah menggadaikan maruah dan bangsa demi kesenangan sendiri.

Katanya, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir beliau mahu melihat bangsa Melayu gah, bermaruah dan mulia kembali seperti dahulu.

Dr Mahathir telah mengarang sebuah puisi sempena hari jadi beliau yang ke-90 pada 10 Julai lalu di laman blog tersebut bertajuk 'Malaysia Tanahair-Ku'.

Beliau sering dilihat lantang mengkritik kepimpinan negara selepas persaraannya, termasuk mengutarakan kritikan terhadap pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir yang sebelum ini menaruh harapan tinggi kepada negara termasuk mencetuskan idea Wawasan 2020, kini dilihat hampa apabila wawasan yang diilhamkannya itu dirasakannya tidak mungkin tercapai jika diukur pencapaian ekonomi Malaysia pada masa ini.

Berikut adalah nukilan penuh puisi tersebut:

MALAYSIA TANAHAIR -KU

Negara-ku Malaysia, Tanahair-ku, Tanah di mana sembilan puluh tahun dahulu

Darah tumpah dan aku dilahir
Di lahir sebagai anak bangsa yang dijajah
Aku membesar mempertuankan orang asing
Terhina dan dihina
Bangsa yang serba kekurangan
Tinggal dipondok berbumbung atap nipah
Berdinding, berlantai kayu
Namun aku lebih bahagia dari ramai bangsaku
Mereka tinggal di pondok robek, tiris apabila hujan
Tanpa pili air tanpa lampu letrik
Anak mereka berkaki ayam, berkudis
Demam panas dan kadang-kadang meninggal
Aku survive, aku ke sekolah, aku ke universiti
Nasib aku lebih baik
Allah Subhanahu Wataala kesian kepada aku
Setelah dijajah oleh satu bangsa, dijajah pula oleh dua bangsa lagi

Aku bertanya akan bangsaku selalunya dijajah orangkah?
Alhamdullilah, berkat kesedaran, berkat perjuangan, berkat perpaduan

Bangsaku dibebas, merdeka
Apakah merdeka hanya bermakna tidak dijajah orang
Apakah merdeka bermakna terus merana
Tidak, tidak, tidak
Merdeka bermakna kemajuan
Kemajuan sehingga berdiri sama tinggi
Duduk sama rendah dengan bekas penjajah dan bangsa lain
Bahkan mungkin lebih tinggi
Politik yang menyelamat dahulu
Terus membela bangsa
Negara dibangun, bangsa dibangun, agama di muliakan
Kemudian…
Malang dan sedih,
Bangsa yang berjiwa kental, bersemangat besi
Diserang oleh nafsu dan perasaan tamak
Aku dapat apa dari kemerdekaan tanya mereka?
Mana bahagian aku?
Dan semangat pun menjadi luntur, tidak terdaya mengawal nafsu

Apa makna senang jika untuk mendapat sesuatu begitu susah
Dan nafsu dan perasaan tamak pun di peralat dan disogok oleh orang-orang politik dan orang kaya

Bangsa yang merdeka
Bangsa yang mulia
Sekarang sanggup menjual hak yang sedikit
Hak memilih, hak mengundi
Untuk mendapat kesenangan tanpa usaha, kesenangan yang sedikit

Maruah dijual
Bangsa dijual
Tanahair dijual
Segalanya dijual
Untuk nikmat yang tidak kekal, nikmat yang sementara yang sedikit sahaja

Politik yang menyelamat
Menjadi politik yang menghancur
Pemimpin semakin tamak
Untuk tempat dan kedudukan tinggi
Perbuatan yang haram dihalalkan
Nama Allah diperalatkan, dijual untuk nikmat yang sementara di dunia

Akan kembalikah bangsaku
Menjadi bangsa yang dijajah, dihina dan diperhambakan
Wahai bangsaku
Begitu mudahkah kamu lupa
Aku akan pergi tidak lama lagi
Dapatkah aku pejam mata dan hembus nafas terakhir
Kerana bangsaku
Negaraku
Masih mulia
Masih bermaruah
Masih dipandang tinggi
Atau mataku terbeliak
Nafasku tersesak, terhenti, kerana segala yang diperjuangkan luput ditelan nafsu

Ya Allah lindungilah bangsaku
Sedarkanlah mereka
Sedarkan mereka bahawa Engkau tidak akan mengubah nasib bangsa

Melainkan bangsa itu sendiri cuba mengubahnya
Mengubah sendiri, membendung nafsu
Kerana Allah
Kerana agama
Kerana bangsa
Kerana negara
Biarlah aku pergi
Mata terpejam rapat
Nafas perlahan berhenti…


DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

Monday, July 13, 2015

Doktor, keletihan dan perubahan

July 14, 2015 Berita Utama #2, Pendapat, Utama 0

Sekadar gambar hiasan
Sekadar gambar hiasan

1. Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Cikgu Ghazi atas pemergian anak perempuannya, Dr Nor Afifah yang telibat kemalangan dalam perjalanan pulang daripada bertugas di Hopital Sungai Buloh pada 8 Julai 2015 yang lalu. Keluarga Cikgu Ghazi tidak asing bagi warga MRSM Taiping kelas 2002-2003. Semoga Allah kurniakan kesabaran dan kekuatan hati bagi menghadapi ujian ini.

2. Saya dapat menghayati kepayahan kerja seorang doktor kerana isteri saya juga seorang pegawai perubatan sakit puan. Tempoh kerja yang panjang, kadangkala lokasi kerja yang jauh serta makan minum yang tidak menentu di tempat kerja. Bukan kerja biasa, tetapi itulah cabarannya dalam memikul tanggungjawab mereka. Tahniah buat para pengamal perubatan, bermula dengan para doktor hinggalah kepada MA, jururawat dan semuanya.

3. Oktober 2014, satu keratan berita memetik kenyataan wakil Kementerian sebagai berkata tidak ada isu tentang doktor tidak cukup rehat. Namun pada Julai 2015, kemalangan menimpa seorang doktor yang mungkin sahaja mengalami fatigue akibat tempoh bekerja terlalu lama. Nampaknya isu sebenar masih berlangsung dan penyelesaian tidak diambil, kerana ia bukan isu langsung pada pandangan kementerian.

Kereta doktor muda maut


4. Mengikut sistem di Malaysia, doktor yang perlu oncall umumnya akan masuk kerja 8 pagi Isnin dan pulang Selasa 5 petang. Tidur atau tidak pada malamnya bergantung pada kesibukannya. Secara keseluruhan, doktor itu akan bekerja selama 33 jam. Bukan luar biasa jika doktor itu tidak dapat tidur dan sangat sedikit makan sepanjang tempoh kerjanya. Luar biasa paksaannya. Mengikut pengalaman saya sepanjang perkhidmatan isteri saya, sebulan, seorang doktor boleh oncall antara 4-6 kali sebulan. Mengambil kira jumlah jam kerja purata sebulan dengan 5 kali oncall, seorang doktor akan bekerja sebanyak 293 jam sebulan dengan tidak mengambil oncall pada hujung minggu i.e. hujung minggu cuti Sabtu dan Ahad.

5. Dengan tempoh kerja oncall yang panjang dalam jangka pendek akan menyebabkan fatigue fizikal dan dalam jangka masa sebulan, boleh menyebabkan tekanan perasaan. Dan perlu difahami, ia tidak ditanggung hanya oleh doktor, tetapi keluarga si doktor.

6. Mengikut had masa kerja yang diamalkan Australia dan UK, di situ ada ketetapan untuk pekerjaan dalam bidang kritikal seperti doktor untuk bekerja 48 jam seminggu secara purata bagi tempoh 6 minggu. Ini bererti, bagi 6 minggu, jumlah masa bekerja mestilah tidak lebih dari 288 jam. Dengan itu, doktor mungkin perlu berkhidmat sehingga lebih 48 jam pada minggu pertama, kemudian kurang 48 jam pada minggu lain. Bandingkan jumlah masa kerja bagi 4 minggu doktor di negara kita. Perinciannya boleh dilihat pada pautan di bawah, mungkin ada perincian lain yang lebih baik yang dapat dibuat.


7. Ketetapan had yang diletak pastinya bagi membela para pekerja agar tidak dizalimi. Dan pastinya ia dapat menambah kualiti kerja para doktor dan seterusnya memberi impak positif kepada kualiti perkhidmatan perubatan buat pesakit. Ia juga mampu menyediakan worklife balance buat doktor. Kita tidak perlu membandingkan terlalu jauh dan terperinci kerana di situ ada beza yang pelbagai dalam banyak sudut antara Malaysia, Australia dan UK. Tetapi cukup kita ambil ia sebagai rujukan bahawa sistem pengurusan masa kerja itu wujud dan relevan bagi kapasiti manusia.

8. Kini timbul pula kenyataan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa doktor tersebut telah berehat sebelum pulang. Mungkin sahaja kemalangan itu disebabkan kecuaian pemanduan doktor tersebut. Saya harap kita tidak kiasu ingin menyelamatkan diri sendiri dengan mencari alasan bagi kes ini sahaja tanpa mengambil kira kes-kes lain yang disebabkan fatigue ini, yang tidak diviralkan oleh media. Punca kepada kemalangan dan mungkin juga keretakan rumah tangga dan children deprivement kerana kesibukan ibu bapa bekerja dalam tempoh tak masuk akal masih tidak dapat diselesaikan.


9. Di situ juga ada segelintir yang mendabik dada “Zaman kami dahulu lebih teruk dari ini.” Saya hanya mampu doakan anda buka mata, dan majulah ke hadapan. Buangkan smartphone anda dan jinjinglah telefon dial putar ke mana-mana.

10. Bahkan kita juga maklum gaji para doktor tidaklah tinggi mana, jika dibanding dengan kos sara hidup sekarang. Tetapi isu ini tidak timbul daripada para doktor yang berjuang demi khidmat kepada masyarakat. Ada yang mengomel, tetapi mereka masih mampu mengurusnya. Mereka redah dengan kereta nasional, bukan dengan kereta sehebat Volvo, kerana kekuatan ekonomi semasa mendesak mereka merancang perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan pula ada yang memberi komen menuding kepada Proton atau Perodua dalam kes ini.

11. Pengalaman isteri saya berkhidmat sebagai HO di Australia selama setahun, saya cungkil bagaimana pengurusan hospital yang baik membantu doktor menyediakan perkhidmatan yang baik buat pesakit. Pembahagian kerja yang sistematik dan mengikut jawatan spesifik melancarkan kerja dan mengurangkan beban bagi kelompok-kelompok tertentu. Sebagai contoh, di hospital isteri saya, ada medical clerk yang kerjanya memindahkan dapatan doktor ketika ward round ke dalam sistem. MA mereka pula akan menguruskan permintaan blood test, x-ray dan sebagainya. Doktor hanya membuat request dan menganalisa dapatan. Mungkin pengamalan ini baik untuk kita contohi dan perkemaskan.

BACA: On call, shift membebankan, beri tekanan kepada doktor: Wanita Isma

12. Tidak kurang juga komen sesetengah warga FB yang menyarankan para doktor yang postcall untuk tidur dahulu di hospital sebelum bertolak pulang. Defensive driving, bagi sesetengah orang. Tetapi anda bayangkan setelah 33 jam bekerja, tidur yang akan anda jengah tidak akan berlangsung selama 2 – 3 jam. Ia akan terus berlarut ke 6 – 8 jam. Setelah post call jam 5 petang, anda tidur di hopital antara 6-8 jam, bermakna anda akan bangun untuk pulang pada jam 11 atau 12 malam. Hanya untuk hadir kembali ke hospital jam 8 pagi esoknya. Renungkan. Kerinduan ibu atau ayah kepada anak-anak. Pesakit di hospital ditatang, keluarga di rumah ditinggalkan. Ia tidak adil bagi mereka. Jangan persoal medical practitioner oath yang mereka ambil.

13. Saya berharap pihak KKM dapat melihat isu kerja lebih daripada kemampuan ini dengan serius dan dapat kita elak lagi daripada berlaku insiden yang serupa. Mereka berkhidmat untuk kita dan kita sediakan suasana yang kondusif untuk mereka berkhidmat. Kita perlu hargai doktor, fahami isu keletihan mereka dan berubah kepada yang lebih baik; segera.

Mohd Shahril Atiqi Mohamed Sharip
Suami doktor, ahli Kelab Zaujati Tobibatun (KZT)

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/07/doktor-keletihan-dan-perubahan/