Pilihlah
pemimpin yang takut dengan Allah, yang minta dibantu untuk menegakkan
kebenaran dan minta ditegur kalau dia bersalah. Ia tidak menyebut
jasanya dan tidak banyak membuat janji-janji manis. (Status Mohd Fadli Yusof - February 23 at 1:57am)
Memimpin bukan berbuat jasa, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab.
Jika ditanya
"Siapa mahu jadi pemimpin?"
Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi
buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi
pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan,
permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya
perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh
menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.
Realiti
ini sedang berlaku di seluruh dunia. Perebutan untuk menjadi pemimpin
itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu
ambisious kerana melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan
diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya
upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan
keistimewaan yang dikecapi selama ini.
Biarpun banyak
seruan dan peringatan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu
sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana
terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang
tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau.
Cuba
bayangkan kalau berlaku di sebuah negara yang pemimpinnya boleh memiliki
tanah 1000 hektar dalam tempoh pengurusan hanya dua hari sahaja. Cuba
kira pula bagaimana pemimpin di sebuah negara yang para menterinya
mendapat habuan 2% setiap kali kontrak kementerian bernilai berbilion
ringgit ditandatangani. Begitu juga berlaku di sebuah negara yang lahir
ramai
"millionaire by-night" yakni dalam satu jamuan malam secara ringkas berjaya memperolehi kawasan balak dengan mudah.
Keistimewaan
duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha
keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat
peluang lain di antaranya ialah populariti, meningkatkan
'self esteem' dan pengaruh.
Jika
tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau
keistimewaan mungkin ramai yang tidak cicir air liur, tidak ghairah,
tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan
hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang
masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.
Di
sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memandang dengan
penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh
tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat
kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu.
Kepimpinan
juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan.
Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang
memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan
masak dengan selok belok peranan kepimpinan.
Terlalu
luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang
yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat
dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada
para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.
Kata
Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar
tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa
banyak kerosakan kepada umat.
Aku
juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana
orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara
teratur dan sempurna."
Bersandarkan
kepada intipati pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa
mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua perkara
pokok. Pertama; ketaqwaan, kedua; kepintaran.
Jika
pemimpin itu bertaqwa, segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh
Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana
dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut
kehendak Allah SWT dan RasulNya.
Pemimpin bertaqwa
apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil
Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana
pihak.
Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini,
dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di
dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang
mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.
Pemimpin
bertaqwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana
yang haram itu berdosa dan yang makruh itu dibenci oleh Allah SWT. Orang
bertaqwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah
perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau
berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab
yang lama di Akhirat nanti.
Pemimpin bertaqwa adalah
seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam
hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan
manusia.
Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka
kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia
sedang melakukan kerja kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau
dengan kata lain tidak ada nilai bagi orang yang membuat kerja Allah SWT
tetapi jauh dari Allah SWT.
Kecacatan dalam urusan
manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan
dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya.
Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia
supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.
Penyebab
perpecahan adalah sifat mazmumah. Sikap suka disanjung, suka dipuja
hingga taksub, suka mempromosi diri adalah mazmumah. Amat penting bagi
pemimpin mengenal sifat mazmumahnya. Kerana mazmumah dirinya itu boleh
mencacatkan kepimpinannya. Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil
membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertaqwa sahaja
yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.
Pemimpin
bertaqwa tidak mudah dengan sewenang-wenangnya menyalahkan orang lain
atau rakyatnya yang mengumpat atau mencerca dirinya. Jika pemimpin itu
baik, tidak melihat kesalahan diri dan membaiki segala kesilapan dan
cacat cela diri.
Mengapa Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a
berupaya memimpin dan mentadbir empayar yang luasnya 3/4 (tiga suku)
dunia? Kerana urusan Sayidina Umar dibantu oleh Allah SWT dan
melaksanakan dua prinsip asas ini iaitu taqwa dan kepintaran. Tidak
terpisah antara keduanya.
Hari ini kepimpinan sering
rosak dan cacat kerana hanya memiliki kepintaran tanpa taqwa. Akhirnya
bukan saja dirinya rosak, kepimpinannya rosak malah rakyat juga turut
menanggung akibatnya. Sebab itu rakyat juga turut terlibat dengan seribu
satu macam gejala negatif dan mungkar kerana itu manifestasi atau buah
dari kepimpinan yang tidak bertaqwa.
Sayidina Umar
tidak tidur malam kerana menyelesaikan segala urusan dengan Allah SWT.
Dan tidak tidur siang untuk menyelesaikan urusan umat. Sayidina Umar
Ibnu Aziz pula menangis hampir setiap malam sepanjang kekhalifahan
beliau. Rintihan beliau ialah; "Urusan diri pun belum tentu selamat, ini
pula hendak memikul urusan umat."
Pentingnya pemimpin
memiliki sifat taqwa dan cerdik, digambarkan dalam pertanyaan Rasulullah
ﷺ ketika melepaskan Sayidina Muaz menjadi gabenor di Yaman,
Rasulullah ﷺ bertanya:
“Dengan apa nanti engkau menghukum?”
"Dengan Kitabullah,” jawab Muaz.
“Kalau tidak ada?”
“Dengan Sunnah Rasul-Nya. ”
"Jika tidak ada dalam Sunnahnya?”
Muaz menjawab, “Aku akan berijtihad dengan fikiranku. ”
Rasulullah
ﷺ berkata, “Segala puji bagi Alllah yang menyelaraskan fahaman urusan
Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah. ” (Riwayat Ahmad, Abu
Daud dan At Tarmizi)
Maka kecintaan Muaz terhadap
Kitabullah dan Sunnah Rasulullah tidak menutup pintu untuk mengikuti
buah fikirannya, dan tidak menjadi penghalang bagi akalnya untuk
memahami kebenaran-kebenaran hebat yang masih tersembunyi yang menunggu
usaha orang yang akan menghadapi dan menyingkapnya.
Sejarah
telah mengkhabarkan, kecerdasan akal dan keberanian Sayidina
Muaz mengemukakan pendapat, hampir menyamai Umar bin Khattab.
Ada
di antara kepimpinan di dunia masakini yang sudah di persada puluhan
dan belasan tahun. Kedapatankah sifat dan sikap seperti Sayidina Umar Al
Khattab, Sayidina Muaz Bin Jabal atau Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz
itu? Di zaman kepimpinan umpama merekalah yang dimaksudkan oleh Allah
SWT,
بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬
"Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT." (Saba' 34:15)
Baik
atau 'thaiyibah' itu bererti manusia berada dalam aman damai dan
berkecukupan dalam segala keperluan hidup rohani dan jasmani, spiritual
dan material. Aman sejahtera kehidupan manusia kerana sangat minimanya
segala unsur negatif, maksiat kejahatan dan kemungkaran.
Mendapat
keampunan Allah SWT pula adalah kerana majoriti masyarakat Islamnya
bertaqwa atau mempunyai ciri-ciri orang soleh. Iaitu orang yang
rata-rata menggabungkan iman dan kebaktian. Iman terhadap Allah SWT,
kebaktian pula untuk sesama manusia.
Ciri-ciri ini akan tercapai dan berjaya dicetuskan hanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan pintar.
محمد فضلي بن يوسف
13 Rabiul Akhir 1432H
18 Mac 2011
Sumber: https://www.facebook.com/notes/10150160937101719/