Pages

Tuesday, August 11, 2015

PKS Indonesia lantik Presiden baharu

August 11, 2015 Berita Dunia

sohibul iman pks
 
BANDUNG, Selasa – Parti Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia mengumumkan Muhammad Sohibul Iman sebagai Presiden baharu parti itu menggantikan Anis Matta yang sebelum ini memegang jawatan tersebut sejak 2010.

Sohibul dipilih berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Syura PKS bagi pemilihan 2015-2020 yang diadakan di Bandung semalam.

Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Wakil Ketua DPR sepanjang tempoh 2013-2014 menggantikan Anis Matta yang meletak jawatan ekoran terpilih sebagai Presiden PKS menggantikan Luthfi Hasan Ishaaq yang terlibat dengan rasuah.

Sohibul juga merupakan anggota DPR untuk tempoh kedua bagi tahun 2014. Dalam PKS, sejak 2005 beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Dewan Pimpinan Pusat PKS Bidang Ekonomi, Kewangan, Industri, dan Teknologi.

Sebagai Presiden PKS yang baharu katanya, beliau akan meneruskan program-program yang telah direncanakan parti itu.

“Saya akan meneruskan kepimpinan parti ini dalam menghadapi pelbagai cabaran. Justeru, kita perlu membuat pembaharuan.

“Kuncinya adalah kerja sama dan sokongan pimpinan di seluruh wilayah, baik di dalam negeri, Indonesia, mahupun luar negeri. Saya mengharapkan sokongan anda semua,” ujarnya.

Beliau merupakan Presiden ke-6 yang dilantik. Sebelum ini ialah Nur Mahmudi Ismail, Hidayat Nur Wahid, Tifatul Sembiring, Luthfi Hasan Ishaaq, dan Anis Matta.

Selain menetapkan Sohibul Iman sebagai Presiden PKS, sidang mesyuarat ini juga memutuskan Suharna Surapranata sebagai Ketua Majlis Pertimbangan Pusat (MPP), Surahman Hidayat sebagai Ketua Dewan Syariah Pusat (DSP), Taufik Ridlo sebagai Setiausaha Dewan Pengurus Pusat (DPP), Mahfuzh Abdurrahman sebagai Bendahari Umum DPP dan Untung Wahono sebagai Setiausaha Majlis Syura.

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/08/pks-indonesia-lantik-presiden-baharu/

No comments:

Post a Comment