Karya kreatifUncategorized August 27, 2015 -
Assalamualaikum dan salam sejahtera pembuka kata, semoga diri kita semua berada di dalam rahmatNya. Buat semua perindu syurga, pejuang agama, mari kita merenung sejenak perjalanan di landasan kehidupan yang telah kita terokai selama ini. Terfikirkah kita adakah perjalanan kehidupan kita selama ini diterima olehNya atau sekadar mengundang murkaNya?
Pernahkah ada air mata yang menitis menginsafi kejahilan diri sekalipun tempat teratas dan bahagia telah kita miliki? Istiqamahkah kita bertaubat kepadaNya lantaran pelbagai dosa yang kita warnakan saban hari? Aku mengingatkan juga diriku kerana aku bimbang di akhir nanti di manakah aku bakal ditempatkan.
Suasana di Perkuburan Menginsafkan
Ya aku akui, semakin hari berganti hari, tanah perkuburan ini bakal penuh dengan jasad manusia dan masing-masing menunggu tiket untuk mengisinya. Dahulu kawasannya agak lapang, tetapi lama-kelamaan aku pasti ianya akan penuh menanti pasangannya yang bakal dijemput nanti. Seketika mahu beransur keluar dari kawasan tersebut selepas menziarahi kubur arwah adik, aku memerhati dua orang pak cik yang agak tua menunggu di tepi pagar dengan tuala putih berbalut di lehernya lalu aku menyapa mereka:
“Pak Cik tunggu siapa ?”
Lantas jawab pak cik tersebut menjawab:
“Menunggu dua jenazah untuk dikebumikan nak.”
Aku dimaklumkan dua jenazah itu adalah sama umur dengan diriku. Setelah selesai bicara di antara kami, aku keluar dari kawasan itu dan aku berasa sentapnya diriku saat itu.
“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Dan hanya pada hari Kiamat sajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.”Erm…. Kematian. Suatu kepastian yang Allah SWT sudah tetapkan. Untuk menghargai sebuah kematian mungkin tidak semudah menghargai sebuah kehidupan. Untuk bersedia membuat persediaan menghadapi sebuah kematian mungkin tidak semudah membuat persediaan menghadapi sebuah pernikahan. Untuk menangisi sebuah kematian mungkin tidak semudah menangisi sebuah perpisahan mahupun kekalahan, tetapi ia akan kembali dipermudah andai kita tahu , faham dan mengerti sebab dan tujuan kita diciptakan.
(Surah Ali Imran : 185)
Katakanlah , “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah, yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.”Kematian Itu Menghidupkan
(Surah Al-Jumu’ah : 8)
Apabila kita berbicara tentang kematian, ia berkisar tentang kehidupan sebenar yang lebih menghidupkan dan bukan sekadar jasad kaku yang dipersembahkan. Bila-bila masa tidak kira di mana jua, tidak kira tahap umur seseorang, kematian bisa terjadi tanpa kita ketahui. Hakikatnya, kematian itu adalah rahsia Ilahi yang Maha Mengasihani. Kebiasaannya, bagi mereka yang sudah lanjut usia, waktu itulah dipergunakan dengan sebaik-baiknya dengan ibadah dan kebaikan kerana mereka sudah meyakini masa untuk kembali kepada Penciptanya berbaki hanya sedetik cuma.
Begitu juga pemuda, alangkah bagusnya sekiranya masa kehidupan yang ada dipergunakan sehabis-habisnya demi menegakkan ad-deen tercinta dan mengekang nafsu-nafsu yang merosakkan jiwa. Berapa banyak cerita yang telah kita dengar pemuda hebat yang telah pergi ke Rahmatullah seusia muda. Adakah sudah ter’set’ di minda kita untuk bercita-cita ke arah kematian sedemikian rupa atau sekadar bersikap “ada aku kisah?biarlah depa!”.
Wahai sahabatku, jadilah seperti peribadi Rasulullah SAW yang mana perginya Baginda membuatkan lahirnya rijal-rijal agama yang mewakafkan seluruh kehidupan untuk memastikan Islam tersebar ke seluruh dunia. Buktinya, Alhamdulillah nikmat iman dan Islam dapat kita kecapi sehingga saat ini. Wafatnya Baginda, membuatkan air mata para sahabat menitis kesedihan dan sekaligus membangunkan jiwa-jiwa yang rela berkorban harta, masa dan nyawa semata-mata untuk mengecapi kemanisan di saat bertemu Pencipta.
Jadilah seperti Saidina Abu Bakar As-Siddiq, walaupun hanya memerintah selama dua tahun(632M-634M), tetapi beliau telah banyak menyumbang ke arah perkembangan Islam. Antara sumbangan yang telah beliau curahkan adalah beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah yang ada di antaranya murtad dan ada juga yang mengaku sebagai nabi. Bukan itu sahaja , beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam dan memulakan usaha mengumpulkan ayat-ayat Quran. Beliau kembali ke Rahmatullah pada usianya 63 tahun dan di kala itu usaha dakwah tidak lagi hambar bahkan semakin berkobar.
Jadilah seperti Saidina Umar Al-Khattab, beliau berani membuktikan dan mengakui keIslamannya di khalayak umum tanpa takut dan gentar. Pernah di saat beliau ditikam oleh Abu Lu’lu’ah Al-Majusi dengan mengalirnya darah keluar tanpa henti di tubuhnya, beliau masih bersabar dan berimpian untuk menyumbang lebih tenaga demi agamaNya.Kata beliau:
“Demi Allah, seandainya aku miliki semua isi dunia, akan ku gadaikan demi menghadap dasyatnya suatu hari saat menghadap Allah.”
Sepanjang hidupnya, setelah beliau berhijrah untuk kembali kepada fitrah , beliau tidak pernah tertinggal menyertai peperangan bersama Rasulullah SAW dalam menentang golongan musyrik. Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar wafat dalam keadaan redha terhadap beliau. Sepanjang memerintah, beliau memimpin manusia dengan baik. Beliau wafat pada usia 63 tahun. Beliau telah membuktikan dirinya sebagai penolong agama Allah SWT sehingga membuatkan orang-orang kafir sangat benci kepadanya.
Binalah susuk tubuh segagah Saidina Uthman bin Affan yang mana beliau juga banyak menyumbang sepanjang kehidupannya. Bukan itu sahaja, beliau juga melakukan perluasan kuasa terhadap beberapa buah negara untuk menyebarkan Islam semasa pemerintahannya. Keluasan empayar Islam ketika itu dikatakan mampu mengatasi keluasan empayar Rom Timur dan juga empayar Parsi pada zaman kegemilangan mereka.
Antara wilayah baru yang berjaya ditakluk oleh beliau ketika itu seperti Cyprus, Afganistan, Samarqand, Libya, Algeria, Tunisia, Morocco dan beberapa buah negara yang lain. Seterusnya, beliau juga membukukan satu naskah Al-Quran baru yang digunakan oleh umat Islam. Beliau wafat pada usianya 83 tahun apabila dibunuh oleh beberapa orang pemberontak yang memecah masuk rumahnya dalam keadaan beliau sedang membaca Al-Quran. Pemergiannya bukan sekadar menjadi tangisan, bahkan lebih menimbulkan pengajaran kepada generasi seterusnya.
Begitu juga dengan Saidina Ali bin Abi Talib yang tidak terlepas dari susuk ketokohannya yang agung. Beliau memiliki pelbagai jenis kemahiran dan kebijaksanaan. Beliau terkenal sebagai seorang cendikiawan, seorang jurudakwah yang berkaliber, seorang hakim yang adil dan seorang pahlawan yang berani menentang musuh di hadapanya. Wafatnya beliau di usia 63 tahun apabila dibunuh oleh Ibnu Muljam dengan kejam ketika beliau ingin menunaikan solat. Pemergiannya juga langsung tidak memadam semangat perjuangan, malah menaikkan lagi ruh jihad yang tidak berkesudahan.
Ayuh Bangkitlah, Jangan Rebah
Aku yakin, terlalu banyak cerita perjuangan para sahabat yang pernah kalian dengar, tetapi sudahkah cukup terkesan sehingga mampu merubah tingkah laku dan perbuatan. Mujahadahlah sentiasa walaupun terkadang goyahnya terasa. Usah dilewatkan pembaikan kerana ditakuti maut yang datang membuatkan kita kecewa kerana kurangnya amal sepanjang perjalanan. Biarlah kita mati di dalam keadaan diri kita berada di puncak sebagai seorang pejuang menegakkan agama ini dan bukan sebagai seorang petualang yang bakal di cemuh dan dicaci maki.
Ambillah inspirasi dari perjuangan Hamzah Asadullah yang mana saat ketika beliau dibunuh dan dirobek tubuhnya lalu hati dan jantungnya dilapah oleh Hindun. Namun kembalinya beliau dalam keadaan iman yang sejahtera kepada Allah SWT.
Andai kau rebah, ingatlah Bilal bin Rabbah ketika mana beliau disiksa dan ditindih tubuhnya dengan batu yang panas di padang pasir, beliau tidak pernah beralih keimanannya kepada Allah SWT.
Andai kau berduka di jalan perjuangan ini, titiplah semula kisah keluarga Yasir yang sangat tabah walaupun dibantai dengan cemeti , lalu seorang demi seorang dari mereka dipanggang masak-masak sehingga melecur daging mereka.Nabi Muhammad SAW yang melihat penderitaan keluarga Yasir di hadapannya begitu sedih dan Baginda mendoakan :
“Sabarlah wahai keluarga Yasir. Sesungguhnya di depanmu telah dijanjikan syurga.”
Ketelusan Dalam Perjuangan
Belajarlah untuk bersikap telus di dalam perjuangan ini kerana sememangnya perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT memang payah. Bersyukurlah kerana kita di Malaysia ini, bagi yang berjuang tidaklah lagi sampai tahap nyawa terpaksa digadaikan dan keluarga menjadi pertaruhan. Ujian kita tidaklah besar jika mahu dibandingkan dengan para sahabat yang menerima lebih besar tahapan ujian mereka ketika melaksanakan dakwah. Mereka ada yang digergaji tubuhnya, ada yang disikat antara daging dan tulangnya dengan berus besi, namun ianya sesekali tidak menggoyahkan keimanan mereka.
Sepatutnya perkara yang perlu dilakukan bagi seseorang pejuang yang yakin dengan hari kematian dan pertemuan dengan Allah SWT, mereka tidak akan mudah terasa hati dengan rakan seperjuangan, mudah memaafkan sahabat dan kenalan, sentiasa berakhlak mulia, sangat menjaga ukhwah, berlapang dada apabila ditegur, sedia menerima nasihat dan banyak lagi amalan kebaikan yang mampu memberi manfaat kepada kehidupan kita seharian. Kita kalah bukan sebab musuh kita kuat, tetapi dalaman kita lemah.
Terdapat beberapa hikmah yang boleh kita perolehi dari mengingat kematian. Antaranya :
- Mengingat kematian dapat melebur dosa dan mendidik diri bersifat zuhud.
“Perbanyaklah mengingat kematian , sebab yang demikian itu akan menghapus dosa dan menyebabkan timbulnya kezuhudan di dunia.”
(HR Ibnu Abiddunya)
- Seseorang yang cerdik adalah mereka yang sentiasa mengingat hari kematian.
“Secerdik-cerdik manusia ialah yang terbanyak ingatannya kepada kematian serta terbanyak persiapannya untuk menghadapi kematian itu.Mereka itulah orang-orang yang benar-benar cerdik dan mereka akan pergi ke alam baka dengan membawa kemuliaan dunia dan akhirat.”Akhir kalam , sentiasa bermuhasabah dengan kehidupan kita di dunia. Semoga saat kehidupan kita di dunia ini dan detik kematian kita bertemu Pencipta adalah saat yang terindah kerana keredhaanNya mengiringi kita. Cukuplah kematian penasihat berharga bagi kita yang masih hidup di bumiNya. Hidup menjadi hambaNya yang taat dan mati menjadi qudwah terhebat. In Shaa Allah. Wallahu’alam.
(HR Ibnu Majah)
Hasil Nukilan:
Nur Diyanah binti Mohd Salim(Ummu Raudah)
Aktivis ISMA Batu Pahat
Sumber: http://isma.org.my/v2/kematian-yang-menghidupkan/
No comments:
Post a Comment