Pages

Monday, August 3, 2015

TPPA: Jaminan hak Bumiputera terpelihara hanya palsu, kata CEO MTEM

August 4, 2015 Berita Utama,

En Nizam Mahshar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)
En Nizam Mahshar, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM)

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

KUALA LUMPUR, Selasa – Jaminan kerajaan bahawa hak Melayu dan Bumiputera terpelihara dalam Perjanjian Perkongsian  Trans-Pasifik (TPPA) adalah ‘jaminan perlindungan palsu’ kerana kerajaan masih belum menunjukkan secara jelas di manakah undang-undang yang boleh dirujuk.

“Dalam Perlembagaan, hanya ada Perkara 153 yang menyatakan bahawa hak keistimewaan Melayu terpelihara, tapi ia masih bersifat umum.

“Dalam konteks TPPA secara terperinci, undang-undang manakah yang menyatakan ‘syarikat tempatan akan diberi keutamaan berbanding syarikat asing’? Adakah ia tertulis dalam teks perjanjian dengan terperinci?

“Kita tidak tahu dan kerajaan pun tidak membawa apa-apa bukti.”

Antara peserta ceramah anjuran PENGKAJI malam tadi.
Antara peserta ceramah anjuran PENGKAJI malam tadi.

Demikian kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM), Nizam Mahshar ketika menyampaikan ceramah ‘Bahaya TPPA’ anjuran Pertubuhan Pembangunan dan Kajian Insan Malaysia (PENGKAJI) di sini, malam tadi.

Beliau membidas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang berkata bahawa kedaulatan negara dan hak Bumiputera tidak akan terhakis menerusi perjanjian ini.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi rundingan TPPA, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan Perlembagaan, kedaulatan dan dasar teras negara kita, termasuk kepentingan masyarakat Bumiputera, dilindungi dan dipertahankan,” kata Mustapa minggu lepas.

Selaku pihak yang telah mengkaji TPPA sejak tahun 2012 lagi, Nizam berkata, Malaysia wajib menolak menandatangani perjanjian ini kerana TPPA dijadikan alat untuk menjayakan agenda Amerika Syarikat (AS) di rantau ini selain menggugat kedaulatan negara.

“Semua orang sudah maklum Amerika bersungguh-sungguh menjayakan TPPA kerana mahu mengekang kuasa China yang sedang meningkat naik.

“Selain itu, ia mengancam kedaulatan negara dalam aspek perundangan. Siapakah yang memiliki kuasa mutlak perundangan? Adakah sistem perundangan negara sekarang, atau mekanisme ISDS (Penyelesaian Pertikaian Negara Pelabur) yang penuh dengan skandal?

“Pada 2006, Malaysia menolak untuk menandatangan perjanjian dagangan bebas (FTA) dengan Amerika. Kita tidak pernah rugi pun. Mengapa sekarang bersungguh-sungguh mahu tandatangan TPPA?” katanya.

Nizam juga mengulas kenyataan Datuk Seri Mustapa yang ‘berbangga’ apabila menyebut Malaysia tidak menandatangan TPPA ketika rundingan berlangsung di Hawaii beberapa hari lalu.

“Kita pun tahu mesyuarat di Hawaii adalah mesyuarat berbentuk teknikal, memang kerajaan tidak akan tandatangan di Hawaii. Pada bulan Ogos, akan ada satu lagi rundingan.

“Kita berharap Malaysia tidak akan menandatangani sehingga September, kerana bermula September, Kongres AS akan sibuk dengan pilihan raya presiden. Jika tidak tandatangan sehingga September, kita berasa sedikit lega, tetapi Presiden AS yang baharu mungkin akan meneruskan rundingan sehingga ia ditandatangani.

Pengalaman ditipu MITI

Dalam ceramahnya, Nizam berkongsi pelbagai usaha yang dilakukannya termasuk mengadakan perbincangan dengan kementerian, menyerahkan memorandum bantahan dan mengadakan sidang meja bulat, selain siri-siri ceramah penerangan.

“MITI dan Tok Pa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) ‘mungkir janji’ dalam isu kajian analisis kos manfaat. Sudah banyak kali mereka berjanji mahu membentangkan hasil kajian. Katanya pada Jun 2015. Sekarang dah masuk Ogos, mana kajian itu?

“Berkenaan ‘cleared advisors’ (pihak bukan kerajaan yang mengesahkan isi perjanjian), kerajaan meletak syarat-syarat yang tidak logik, umpamanya perlu mengisi surat akujanji dan perlu merahsiakan isi kandungan dokumen. Dokumen itu pula tidak boleh disimpan, hanya boleh dibaca dalam tempoh singkat,” katanya.

Sumber:   http://www.ismaweb.net/2015/08/tppa-jaminan-hak-bumiputera-terpelihara-hanya-palsu-kata-ceo-mtem/

No comments:

Post a Comment