August 5, 2015 Berita Utama, Kolumnis,
SAMBUNGAN drp sebelumnya
BERBALIK
kepada lenggang lengok Azalina dan Abdul Rahman, saya sedikit pun tidak
terkejut jika sememangnya parti-parti pembangkang di negara kita
terutama parti rasis dan cauvinis DAP serta parti serpihan Umno – PKR –
menerima wang daripada penyangak-penyangak dunia.
Tetapi
perlu diingat bahawa parti pembangkang itu bukannya kerajaan yang
mentadbir Malaysia sekarang. Mereka tidak ada kepentingan untuk membalas
budi baik penyangak-penyangak itu kerana tidak ada apa-apa projek yang
boleh diberikan, kecuali di Pulau Pinang dan Selangor.
Masalahnya,
ialah parti yang menjadi kerajaan memerintah Malaysia sekarang ini
telah diakui boleh menerima dana (atau sudah pun menerima dana) dari
pihak luar, termasuk daripada penyangak-penyangak Barat atau Timur.
Ini
sesuatu yang berbahaya kepada negara. Negara boleh tergadai, sebagai
mana rancangan untuk ‘menggadai’ maruah dan kedaulatan Malaysia melalui
persetujuan terhadap Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Kestabilan
negara boleh terancam kerana pemberi dana itu sudah ‘memegang kepala’
kita. Adalah tidak mustahil negara boleh terjebak dengan penjajahan
bentuk baru kuasa asing, seperti TPPA, kerana parti pemerintah menerima
dana orang yang hendak menguasai kita dan sudah tentu mereka juga boleh
mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Tidak
mustahil apabila pihak yang menerima dana itu menang dalam pilihan raya
dan memerintah negara, nescaya mereka terpaksa tunduk dan akur dengan
kehendak negara yang mengeluar dana berkenaan. Contohnya mereka boleh
memaksa Malaysia akur dengan TPPA.
Semua
parti politik, tidak kira pemerintah atau pembangkang mesti memelihara
harga diri dan memastikan mereka tidak terdedah dengan gejala menerima
dana asing, yang akhirnya akan merosakkan masa depan Malaysia.
Dan jika
benar wang RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib adalah dana
politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, kenapa akaun itu
ditutup? Kenapa tidak menunggu sehingga hampir PRU-14 dikeluarkan semua
wang itu untuk digunakan dalam kempen pilihan raya?
Sekarang, di mana RM2.6 bilion itu?
Jika wang
itu milik peribadi Najib, sememangnya beliau tidak perlu memberitahu
kita di mana wang itu sekarang, namun jika jawapannya wang itu hak
beliau maka mungkin rakyat tertanya-tanya dari mana seorang Perdana
Menteri yang baru enam tahun menduduki takhta sudah ada wang peribadi
sebanyak itu.
Namun,
jika wang itu bukan milik peribadi, maka Najib kena beritahu kita wang
siapa? Betulkah untuk Umno dan BN dan di mana wang itu sekarang selepas
akaun berkenaan ditutup.
Selepas
SPRM mengesahkan memang ada RM2.6 bilion dalam akaun Najib, rakyat
tertanya-tanya siapa yang memberi wang sebanyak itu kepada beliau.
Bolehkan siasatan lanjut dijalankan ke atas Najib untuk mengetahui sama
ada wang itu adalah rasuah atau tidak?
Jika
mengikut undang-undang sudah tentu siasatan lanjut dijalankan dan SPRM
sekurang-kurang menyoal siasat dan menangkap Perdana Menteri atas
tuduhan menerima suapan, sebagaimana yang berlaku kepada beberapa ahli
politik lain.
Sebelum
ini, ramai juga ahli politik yang dituduh di mahkamah kerana menerima
rasuah yang pada masa itu bukan dikatakan ‘dana politik’.
Datuk
Norza Zakaria (ahli Umno yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno Wilayah
Persekutuan); Datuk Suhaili Abdul Rahman (bekas Ahli Parlimen Labuan);
Datuk Azman Mahalan (bekas EXCO Perak); Datuk Waad Mansor (bekas EXCO
Negeri Sembilan); Mohd Yahya Mat Sahri (ahli PKR dan Pegawai Tugas-tugas
Khas Menteri Besar Selangor); Wong Chuan How (ahli DAP dan Pembantu
Khas Adun) dan Hasbie Satar (bekas Setiausaha Politik Menteri Kewangan),
adalah antara ahli politik yang pernah dituduh menerima rasuah.
Ada yang
didapati bersalah. Cuma ketika itu mungkin mereka terlupa untuk
menggunakan istilah wang yang diterima adalah ‘dana politik’,
sebagaimana ‘dana politik’ yang masuk ke akaun peribadi Najib.
Saya selama ini menganggap bahawa calon-calon BN, terutama yang mewakili Umno menggunakan peruntukan daripada Ibu Pejabat Umno untuk bertanding pada pilihan raya. Mungkin juga ada yang menggunakan wang bantuan daripada rakan atau saudara mara yang mendapat projek tertentu.
Tetapi,
terfikir juga dari mana Ibu Pejabat Umno hendak mendapat wang membiayai
calon-calonnya jika tidak datang dari dana pihak tertentu.
Apa yang
biasa saya dengar sebelum ini ialah setiap calon Umno juga diperuntukkan
sekurang-kurangnya RM1 juta seorang untuk kerja politik pada musim
pilihan raya. Mungkin ada yang lebih, kerana khabar angin sentiasa
bertiup bahawa syarikat-syarikat besar diminta menghulurkan bantuan.
Maka,
jutaan ringgit dalam bentuk tunai mula bergerak di hotel-hotel seluruh
negara ketika musim pilihan raya. Pada musim itulah ada rakan
memberitahu bahawa wang tunai satu juta ringgit berada di bawah kakinya.
Wang yang
datang dari dalam atau luar untuk membantu parti. Wang yang dikatakan
‘dana politik’ untuk digunakan oleh parti politik. Dana yang membantu
untuk memenangkan parti.
Berbeza
dengan seorang saudara saya yang bertanding bukan atas tiket BN, yang
terpaksa menjual tanah pusaka untuk dijadikan modal berkempen pada
pilihan raya umum yang lalu, selain sedekah seringgit dua daripada orang
kampung yang setia sebagai penyokong.
Sedihnya
apabila pemimpin politik sudah mula menjual maruah diri, agama, bangsa
dan negara untuk mendapat ‘dana politik’. Janganlah kerana ingin
memiliki kuasa yang tidaklah sebesar mana atau ingin mencapai kemenangan
sehingga ada yang sanggup menggadai maruah agama, bangsa dan negara
dengan membenarkan pemilihan kerajaan dipengaruhi oleh ‘white’, ‘black’
atau ‘yellow’.
P/S:
Politik Malaysia kini berubah apabila pemberian wang kepada ahli
politik bukan lagi ‘rasuah’ tetapi ‘dana politik’. Maka, sesiapa pun
ahli politik sekarang ini bolehlah menerima ‘dana politik’ tanpa perlu
takut ditangkap oleh SPRM.
Pengarang Kanan Ismaweb.net
No comments:
Post a Comment