Pages

Sunday, August 9, 2015

Pilihlah Pemimpin Yang Takut Kepada Allah

Pilihlah pemimpin yang takut dengan Allah, yang minta dibantu untuk menegakkan kebenaran dan minta ditegur kalau dia bersalah. Ia tidak menyebut jasanya dan tidak banyak membuat janji-janji manis. (Status Mohd Fadli Yusof - February 23 at 1:57am

Memimpin bukan berbuat jasa, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab. 

Memimpin bukan berbuat jasa, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Jika ditanya "Siapa mahu jadi pemimpin?" Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan, permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.

Realiti ini sedang berlaku di seluruh dunia. Perebutan untuk menjadi pemimpin itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu ambisious kerana melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan keistimewaan yang dikecapi selama ini.

Biarpun banyak seruan dan peringatan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau.

Cuba bayangkan kalau berlaku di sebuah negara yang pemimpinnya boleh memiliki tanah 1000 hektar dalam tempoh pengurusan hanya dua hari sahaja. Cuba kira pula bagaimana pemimpin di sebuah negara yang para menterinya mendapat habuan 2% setiap kali kontrak kementerian bernilai berbilion ringgit ditandatangani. Begitu juga berlaku di sebuah negara yang lahir ramai "millionaire by-night" yakni dalam satu jamuan malam secara ringkas berjaya memperolehi kawasan balak dengan mudah.

Keistimewaan duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat peluang lain di antaranya ialah populariti, meningkatkan 'self esteem' dan pengaruh.

Jika tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau keistimewaan mungkin ramai yang tidak cicir air liur, tidak ghairah, tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.

Di sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memandang dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu.

Kepimpinan juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan. Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan masak dengan selok belok peranan kepimpinan.

Terlalu luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.

Kata Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.

Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna."

Bersandarkan kepada intipati pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua perkara pokok. Pertama; ketaqwaan, kedua; kepintaran.

Jika pemimpin itu bertaqwa, segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya.

Pemimpin bertaqwa apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana pihak.

Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini, dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.

Pemimpin bertaqwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana yang haram itu berdosa dan yang makruh itu dibenci oleh Allah SWT. Orang bertaqwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab yang lama di Akhirat nanti.

Pemimpin bertaqwa adalah seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan manusia.

Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia sedang melakukan kerja kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau dengan kata lain tidak ada nilai bagi orang yang membuat kerja Allah SWT tetapi jauh dari Allah SWT.

Kecacatan dalam urusan manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya. Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.

Penyebab perpecahan adalah sifat mazmumah. Sikap suka disanjung, suka dipuja hingga taksub, suka mempromosi diri adalah mazmumah. Amat penting bagi pemimpin mengenal sifat mazmumahnya. Kerana mazmumah dirinya itu boleh mencacatkan kepimpinannya. Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertaqwa sahaja yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.

Pemimpin bertaqwa tidak mudah dengan sewenang-wenangnya menyalahkan orang lain atau rakyatnya yang mengumpat atau mencerca dirinya. Jika pemimpin itu baik, tidak melihat kesalahan diri dan membaiki segala kesilapan dan cacat cela diri.

Mengapa Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a berupaya memimpin dan mentadbir empayar yang luasnya 3/4 (tiga suku) dunia? Kerana urusan Sayidina Umar dibantu oleh Allah SWT dan melaksanakan dua prinsip asas ini iaitu taqwa dan kepintaran. Tidak terpisah antara keduanya.

Hari ini kepimpinan sering rosak dan cacat kerana hanya memiliki kepintaran tanpa taqwa. Akhirnya bukan saja dirinya rosak, kepimpinannya rosak malah rakyat juga turut menanggung akibatnya. Sebab itu rakyat juga turut terlibat dengan seribu satu macam gejala negatif dan mungkar kerana itu manifestasi atau buah dari kepimpinan yang tidak bertaqwa.

Sayidina Umar tidak tidur malam kerana menyelesaikan segala urusan dengan Allah SWT. Dan tidak tidur siang untuk menyelesaikan urusan umat. Sayidina Umar Ibnu Aziz pula menangis hampir setiap malam sepanjang kekhalifahan beliau. Rintihan beliau ialah; "Urusan diri pun belum tentu selamat, ini pula hendak memikul urusan umat."

Pentingnya pemimpin memiliki sifat taqwa dan cerdik, digambarkan dalam pertanyaan Rasulullah ﷺ ketika melepaskan Sayidina Muaz menjadi gabenor di Yaman,

Rasulullah ﷺ bertanya:
“Dengan apa nanti engkau menghukum?”
"Dengan Kitabullah,”  jawab Muaz.
“Kalau tidak  ada?”
“Dengan Sunnah Rasul-Nya. ”
"Jika tidak ada dalam Sunnahnya?”
Muaz menjawab, “Aku akan berijtihad dengan fikiranku. ”
Rasulullah  ﷺ berkata, “Segala puji bagi  Alllah yang menyelaraskan fahaman urusan Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah. ” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At Tarmizi)

Maka kecintaan Muaz terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasulullah tidak menutup pintu untuk mengikuti buah fikirannya, dan tidak menjadi penghalang bagi akalnya untuk memahami kebenaran-kebenaran hebat yang masih tersembunyi yang menunggu usaha orang yang akan menghadapi dan menyingkapnya.

Sejarah telah mengkhabarkan, kecerdasan akal dan keberanian Sayidina Muaz mengemukakan pendapat, hampir menyamai Umar bin Khattab.

Ada di antara kepimpinan di dunia masakini yang sudah di persada puluhan dan belasan tahun. Kedapatankah sifat dan sikap seperti Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Muaz Bin Jabal atau Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz itu? Di zaman kepimpinan umpama merekalah yang dimaksudkan oleh Allah SWT,

 بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬

"Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT." (Saba' 34:15)

Baik atau 'thaiyibah' itu bererti manusia berada dalam aman damai dan berkecukupan dalam segala keperluan hidup rohani dan jasmani, spiritual dan material. Aman sejahtera kehidupan manusia kerana sangat minimanya segala unsur negatif, maksiat kejahatan dan kemungkaran.

Mendapat keampunan Allah SWT pula adalah kerana majoriti masyarakat Islamnya bertaqwa atau mempunyai ciri-ciri orang soleh. Iaitu orang yang rata-rata menggabungkan iman dan kebaktian. Iman terhadap Allah SWT, kebaktian pula untuk sesama manusia.

Ciri-ciri ini akan tercapai dan berjaya dicetuskan hanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan pintar.

محمد فضلي بن يوسف
13 Rabiul Akhir 1432H
18 Mac 2011
Sumber: https://www.facebook.com/notes/10150160937101719/

No comments:

Post a Comment