Pages

Sunday, August 9, 2015

BELASUNGKAWA: Almarhum Sheikh Wahbah Az-Zuhaili

August 9, 2015

wahbah-4

Sheikh Prof Dr Wahbah Az Zuhaili menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008 daripada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

SECARA ringkas Almarhum Sheikh Prof Dr Wahbah Az Zuhaili atau Wahbah bin Musthofa Az-Zuhaili adalah seorang ulama fikh global di mana buah fikirannya tersebar ke seluruh dunia melalui kitab-kitab fikhnya.

Almarhum dilahirkan di perkampungan Dir ‘Athiah di utara Damaskus atau Damsyik, sebuah ibu kota di Syria, pada tahun 1932. Bapanya adalah seorang hafiz al-Quran yang berkerja sebagai petani dan peniaga. Bapanya sentiasa memberi galakan kepada beliau dan adik-beradiknya yang lain untuk menuntut ilmu.

Almarhum mendapat didikan awal peringkat rendah dan kuttab (tadika) di desanya. Pada tahun 1946, beliau memasuki peringkat menengah di Kolej Syariah di Damsyik selama enam tahun sehingga tahun 1952.

Almarhum Syeikh Wahbah berjaya mendapat pangkat cemerlang dalam peringkat menengah tersebut sebelum berhijrah ke bumi Mesir. Di Mesir, beliau belajar dengan memasuki beberapa kuliah dalam beberapa universiti di Kaherah dalam waktu yang sama iaitu kuliah Syariah dan kuliah Bahasa Arab di Universiti al-Azhar dan kuliah Undang-Undang di Universiti Ain Syam. Ketika itu, beliau memperolehi ijazah seperti berikut :

1. Ijazah B.A dalam Kuliah Syariah Universiti al-Azhar pada tahun 1956. Beliau mendapat tempat pertama dari kalangan keseluruhan pelajar.

2. Ijazah Takhasus Pendidikan dari Kuliah Bahasa Arab Universiti al-Azhar pada tahun 1957

3. Ijazah B.A dari Kuliah Undang-Undang dari Universiti Ain Syam pada tahun 1957.

Almarhum kemudian menyambung pengajian peringkat Master di Kuliah Undang-undang, Universiti Kaherah dan tamat pada tahun 1959. Menyelesaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah di Kuliah Undang (Syariah Islamiyyah) di Universiti Kaherah pada tahun 1963.

Tesis Almarhum yang bertajuk Athar al-Harb fi al-Fiqh al-Islami-Dirasat Muqaranah Baina al-Mazahib al-Thamaniah Wa al-Qanun ad-Dauli al-‘Am (Kesan Peperangan dalam Fiqh Islam-Kajian Perbandingan Antara Lapan Mazhab dan Undang-undang Antarabangsa) berjaya mendapat keputusan Syaraf al-Ula (kepujian tertinggi).

wahbah-3
 Antara karya Almarhum
SheikhWahbah Az Zuhaili

Jawatan Akademik
1. Menjadi pensyarah di Universiti Damsyik pada tahun 1963, Professor Madya pada tahun 1969 dan menjadi Professor pada tahun 1975. Almarhum mengajar fiqh, usul fiqh dan fiqh perbandingan di Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Damsyik.

2. Menjadi pensyarah pelawat di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Muhammad bin Ali as-Sanusi di Bandar al-Baida’, Libya selama dua tahun.

3. Menjadi pensyarah pelawat di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti UAE selama lima tahun dari tahun 1984 sehingga 1989.
4. Menjadi Professor pelawat di Jabatan Syariah, Universiti Khartoum dan Universiti Omdurman.

5. Dipinjamkan ke Qatar dan Kuwait untuk memberi pengajian pada bulan ramadan pada tahun 1989 dan tahun 1990.

6. Dipinjamkan sebagai Professor pelawat di Markaz al-‘Arabi li Dirasat al-Amniyyah wa at-Tadrib selama dua minggu.

7. Mengajar kitab beliau, Fiqh al-Islam wa Adilatuh untuk para pelajar pengajian tinggi di beberapa universiti di Pakistan, Sudan dan lain-lain.

8. Mengajar kitab beliau Usul al-Fiqh al-Islami di Universiti Islam Madinah dan Jabatan Kehakiman di Riyadh.

9. Menyelia banyak tesis Master dan PhD di Universiti Damsyik dan Kolej Imam al-Auza’I di Lubnan serta menyelia lebih daripada 70 tesis kedoktoran di beberapa universiti di Damsyik, Beirut dan Khartoum.

10. Merancang sistem pengajian di Kolej Syariah di Damsyik pada akhir tahun 60-an, menyusun sistem pengajian di bahagian Syariah, Kuliah Syariah dan Undang-undang, Universiti UAE serta Ma’had Syariah di Syiria pada tahun 1999.

11. Memberi idea penerbitan majalah Syari’ah dan Pengajian Islam di Universiti Kuwait pada tahun 1988.

12. Memberi ceramah berkenaan tafsir al-Quran di radio Syiria dan program al-Quran dan kehidupan di televisyen Damsyik, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

13. Menulis di akhbar-akhbar di Syiria, Kuwait, UAE dan Arab Saudi.

14. Menubuhkan Jurnal Syariah dan Undang-undang di Universiti UAE.

15. Ketua Jawatankuasa Kebudayaan dan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Manuskrip di Universiti UAE.

16. Pengerusi Lembaga Madrasah Pengajian Sheikh Abdul Qadir al- Kassab peringkat menengah di Dir ‘Attiyyah, Syiria.

17. Menjadi khatib di Masjid al-Uthman, Damsyik dan menjadi khatib pada musim panas di Masjid al-Iman di Dir ‘Atiyyah, Syiria.

18. Pengerusi Lembaga Penyeliaan Syariah di Bahrain dan kemudian menjadi ketua badan ini di Bank Islam Antarabangsa di Arab Banking Corporation di Bahrain dan London.

wahbah-2
Antara karya Almarhum SheikhWahbah Az Zuhaili

Selain menjadi dekan, Almarhum juga menghadiri pelbagai seminar peringkat antarabangsa, forum ilmiah di negara-negara Arab serta pernah datang ke Malaysia. Beliau dianugerahi tokoh Maal Hijrah pada tahun 2008 oleh Kerajaan Malaysia.

Sebagaimana, di sebut dalam berita utama tadi, Almarhum Sheikh Wahbah banyak menulis kitab-kitab yang antaranya terkenal di Malaysia iaitu ‘Taman-Taman Syurga’ dan Al-Fiqh al-Islam wa Adilatuh, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Malaysia.

Dr Badi` As Sayyid Al Lahham dalam biografi Sheikh Wahbah yang ditulisnya dalam buku yang berjudul, “Wahbah Az Zuhaili al -`Alim, Al Faqih, Al Mufassir” menyebutkan 199 karya tulis Almarhum Sheikh Wahbah selain jurnal serta kira-kira 500 karya dalam bentuk makalah ilmiah.

Sumber:  http://www.ismaweb.net/2015/08/belasungkawa-almarhum-sheikh-wahbah-az-zuhaili/

No comments:

Post a Comment